Home Novel Keluarga SAKITNYA CINTA
SAKITNYA CINTA
Ramlah Rashid
11/1/2013 23:01:20
47,822
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 11

SIBUK dia melunas kerja mengemas, seusai pengambaran pasangan pengantin berbangsa Cina di situ sebelum pengambaran luar yang dilakukan pekerjanya. Sengaja dia menyibukkan diri demi melerai runsing sejak beberapa hari itu.  Keputusan Mutiara   dan Neor serta keadaan Tuan Jaafar dengan Puan Sumila bertanggungjawab menjerumuskannya segelisah itu. Bukan sahaja kesihatan ayahnya tetapi juga penerimaan sekeluarga itu pada Neor nantinya.  Jika ditanya apa perasaannya pada Neor, berani dia menyatakan betapa sayangnya dia pada sahabat itu.  Tidak sanggup dia melihat Neor di apa-apakan sama ada fizikal mahupun mental.  Perasaan Mutiara  juga begitu penting, juga tidak sanggup dia melihat perasaan gadis itu disakiti. Teringat dia perbualannya dengan Neor beberapa hari lepas berkenaan Mutiara.

“Saya sangat-sangat menyayangi Ira.  Tapi sesuaikah dia pada saya?”

“Kenapa tidak?”

“Saya tak ada apa-apa, harta kosong, jawatan juga tak ada.”

“Rasanya itu tak begitu penting bagi Ira.”

“Betul?”

“Ira gadis terbaik.  Paling sesuai dengan awak.  Dia tak pernah punya teman lelaki sebelum ini dan tidak pernah punya keinginan untuk itu.  So, berusahalah menjaga perasaannya dengan cinta yang awak ada.”

“Keluarganya?”

“Yang penting adalah perasaan awak berdua, kan? Keluarga boleh saja dirunding kemudian.  Dengan cinta dan kasih sayang sejati, keluarga boleh saja dipeluk dalam genggaman.”

“Awak baik sungguh Zet.  Sangat-sangat baik sebagai sahabat.  Saya tak mungkin mampu membalas budi baik awak.”

“Tak seberapa, usah dihitung kebaikan saya yang sedikit.”

“Assalamualaikum.”  

Ezeti yang termenung di samar studio pantas menoleh ke pintu seraya menyambut salam Neor hanya dengan gerakkan bibir.  Senyum juga, dalam fikiran terbang mengenang lelaki itu, muncul dia di situ.  Panjang umur, desis hati kecilnya.

“Hai, tiba-tiba muncul, apa hal?”

“Tak boleh?”

“Bukanlah tak boleh, tapi selalunya nak datang beritahu saya dulu…”

“Dah tak boleh jumpa ke kalau tak ada appointment?”

Ezeti tertawa perlahan namun kedengaran hambar.  Sudah bangun dia dari kerusi tingginya, mengalu-alukan kunjungan sahabat karib itu seraya menyalakan lampu terang untuk menukar cahaya samar.  Neor juga sudah melangkah masuk tanpa pelawaan atau kebenaran.  Dia sudah bebas di situ.

“Tak sibukkah, malam nanti nak bertolak, kan?”

“Tak ada apa yang perlu disiapkan, sediakan diri aja.  Pakaian dah pack, pasport dah periksa, lagipun bukan banyak sangat barang nak bawak.’

Dia sudah menyelesa duduk di sofa tersedia.

“Bukan macam pergi shooting.”

Ezeti mengangguk perlahan, menunjuk gaya faham.

“Awak kenapa Zet?”

“Kenapa apa?”

“Sejak seminggu ni awak banyak berubah, tak ceria macam dulu.”

“Oh, ya? Tak ceria ke saya?”  berusaha tersenyum, tapak tangan diletak pada pipi kiri dan kanan sendiri.  Gaya dia untuk berlucu namun mengeluh pula, perlahan.

Neor menunggu terus.  Serius juga.

“Orang tua saya tak sihat.”

“Di kampung?”

Ezeti diam cuma, hanya mengeluh lagi.

“Baliklah sekejap.”

“Saya terlalu busy…”

Mengangguk lagi Neor, faham.

“Saya betul-betul buzy, Neor.  Bukan sangaja.  Jadual saya padat.”  Sudah sedikit meninggi dia, keras.  Seakan tadinya Neor mendesak dia meninggalkan kesibukannya.

Neor mengangguk lagi.  Sorry.”

It’s ok.”  Mengendur dia kembali.  Kesal juga terseret emosi dik desakan hati,  tersenyum hambar dia, malu sendiri.

So, bila rasanya awak tak busy sangat?”

“Dalam minggu depan.”

“Ah, okaylah tu. Minggu depan baliklah.”

Mengangguk Ezeti perlahan, bibir menutur ‘insyaAllah’ tanpa suara.

Flyght  pukul berapa?”   mengalihkan perhatian Neor kepada perkara lain pula.

“Pukul 8 malam.”

Mengangguk Ezeti perlahan, jam di tangan dibaca seimbas.

“Siapa hantar ke air port?”

“Naik teksi.”

Mengangguk lagi Ezeti, langsung tidak berniat dia untuk menghulur bantuan.   Perbualan itu  juga tidak langsung memberansangkan seperti selalu.  Sekadar mengisi kekosongan waktu yang terasa begitu panjang.

“Oh ya.  Selamat menjadi pengantin, esok….”  Senyum riang.

“Terima kasih.  Tapi betulkah keputusan   kami ni?”  berkerut Neor dalam sangsi.

“Kenapa? Awak jangan…”   Ezeti beramaran, berkerut juga  keningnya.

Neor tertawa perlahan, di hujung tawanya yang mendatar mengeluh juga perlahan.  “Rasa tak percaya, dah nak kahwin dengan Ira.”

“Kenapa ni?”

Neor senyum manis.  “Akhirnya dapat juga saya orang yang seiras dia…”  seakan tergantung ayatnya.

“Seiras siapa?”

Neor mengeluh perlahan.  Lama diam, menyandar kemas pada penyandar sofa.

“Orang pertama dalam hidup saya.”

“Fifei?”

Neor mengangguk perlahan, mengeluh lagi.

“Sampai sekarang awak masih belum boleh melupakan dia?”

“Dia adalah cinta pertama saya. Sudah penuh mengalir di sesalur darah dan menempat di salur nadi.  Tetap, tegap.”

“Begitu sekali kuatnya cinta awak padanya?”

Neor mengangguk perlahan, bersungguh-sungguh.

“Bukankah cinta yang agong itu hanya kepada Yang Satu?”  ditunjuk ke atas dengan jari telunjuk, memberi maksud Allah Yang Agong.

Neor mengangguk perlahan, mengeluh juga perlahan.

“Cinta yang agong memang kepada Allah, tetapi Fifei sudah lama menempat dalam hati saya, sangat kuat melekat. Sayang sangat pada dia. Cinta kami kerana Allah, bukan nafsu semata.”

Ezeti mengangguk bersungguh-sungguh juga. Asalnya mahu mengusik perasaan Neor dengan  falsafah kecintaan pada Ilahi itu, namun tersasar menjadi sindiran yang memungkinkan Neor berkecil hati.

“Neor, adilkah pada Ira?”  serius kembali dia.

“Tapi saya benar-benar cintakan Ira, bukan sebab dia serupa Fifei tapi hati saya dah terpikat.”

“Dalam nadi awak sudah penuh Fifei, di mana Ira akan awak tempatkan?”

“Di sudut kamar hatiku…”  didamparkan lima jari di dada kiri.  Bersungguh-sungguh benar dia namun tampak payah.

“Bukankah nadi dan hati saling berkaitan dengan perasaan? Nanti  beramukkan antara ke tiga-tiganya, awak akan sakit sendiri?”  tinggi lagi falsafah cinta Ezeti.

“Dengan menempatkan dia di dalam hati saya, saya berharap dapat melupakan Fifei selamanya.”

“Tak perlu awak melupakan sesiapa, biarkan terus   dalam ingatan.  Cuma yang perlu awak lakukan, jangan lagi berharap kenangan  awak yang dulu bersambung atau muncul kembali, itu sahaja.  Dan usah berharap Ira   akan menggantikan Fifei, sebab awak sendiri akan kecewa lagi nanti.”

Neor mengangguk perlahan, seakannya bersetuju nasihat itu namun keruh wajahnya.

“Fifei  masa silam awak dan Ira  kehidupan masa kini juga masa depan.  Rancang masa hadapan bersama Ira, jangan sekali-kali mahu Ira  mengisi tempat masa silam awak.”

Neor mengeluh perlahan namun mengangguk juga. Terenyum tipis dia, menunjuk yakinnya pada hati sendiri.  Ezeti turut mengangguk, turut yakin  namun sedih juga mengenang kisah silam Neor yang pernah diceritakan kepadanya. 

“O, macam itu rupa Fifei?”  perlahan sambil mengangguk-angguk berpuas hati.

“Cantik…”

“Ya, dia sangat cantik.  Bukan saja parasnya tapi segala-gala milik dia, everything sempurna.  Rupa-rupanya yang serba sempurna itu tak sesuai untuk saya.  Saya redha.”

“Ingat Neor, kenangan sudah menjadi sejarah, tak salah awak terus mengenangnya tapi tolong jangan cuba menukar sejarah itu.  Awak dah tak boleh berundur lagi, hati Mutiara cuma  satu dan yang satu itu sudah diserahnya kepada awak.  Tolong jangan kecewakan dia.”

“Tidak.  Saya cintakan Ira.  Seperti kata awak, Fifie adalah   cerita silam saya.  Saya  tidak akan mungkin mengubah apa-apa.  Percayalah saya.”

“Saya percaya, tapi Ira tahu kisah silam awak?”

Neor menggeleng perlahan. 

“Kenapa tidak diberitahu dia?”

“Saya tak bermaksud berahsia, tapi tak ada ruang untuk saya bercerita.”

Ezeti mengangguk berkali-kali, faham.

“Tapi saya akan beritahu dia satu hari nanti.”

Ezeti setuju, membiar Neor terus merencana sendiri.  Tidak langsung mahu memberi buah fikiran mahupun mempengaruhi apa-apa.  Terserah Neor katanya.

Hanya beberapa detik lagi berbual yang hanya kosong, Neor meminta diri, mahu memberi ruang Ezeti melunaskan kerjanya yang diketahuinya bukan sedikit. 

Baharu beberapa minit senggang ditinggalkan sendirian, Mutiara   pula muncul, wajah benar-benar keruh.

“Kenapa tak jawab phone?”   terus sahaja dia menujah sebaik salamnya dijawab.

Ezeti menepuk-nepuk poket seluar jeans kiri dan kanan, ternyata tidak ada ketulan di situ.  Poket belakang seluar pula diraba, juga tipis.  Sekitar bilik pula disemah matanya tetap juga tidak ditemui apa yang dicari.

“Di mana hand phone aku?”  tukasnya perlahan, sekadar bertanya pada diri sendiri.

Mutiara   hanya membiar kerja Ezeti yang tidak difahaminya.

Hand set aku?”  dia bertanya Mutiara   pula.

“Terlupa ke   hilang?”

Ezeti menjungkit bahu seraya mencebek, menggeleng pula perlahan.  “Entah.”  Hanya sepatah itu.

“Apa hal call?”  dia sudah duduk kembali di hadapan Ezeti, tempat yang ditinggalkan Neor.  Tidak lagi dipedulinya telefon bimbit yang gagal ditemui.

“Umi call, katanya walid  admitted  wad jantung lagi.”

“Bila?”  ditangkap kenyataan itu, bimbang benar gayanya.

“Sekejap tadi, umi kata tiba-tiba walid sesak nafas.”

Terkedu Ezeti, Ira juga puas membendung rasa.  Diseka keras mata yang mula berair suam.  “Tepat sebulan sihat, kena serangan lagi.”   Kesal benar bunyi keluhannya.

“Umi kata, doktor minta kita berkumpul.  Walid  dalam bahaya.”

“Ya Allah.”

Mutiara   mengangguk perlahan, menunduk juga.  Keruh  benar rona wajahnya.

“Malam nanti Ira dengan Neor akan berangkat.”

Ezeti mengangguk pula.

“Kalau Zet berhasrat untuk berjumpa walid, pulanglah.  Sekejap pun jadilah…”

Ezeti mengeluh perlahan.  Memberat benar perasaannya.

Air dicincang memang tidak akan putus, kenyataan itu benar dan dia akuinya.  Tapi gurisan di hatinya masih terasa pedih.  Dia benar-benar rasa terhina apabila disingkir bapa sendiri dan dinafikan kedudukannya dalam keluarga itu.  Meski sudah kering darahnya namun luka itu masih belum sembuh malah setengah-setengah waktu berdenyut  sakit. Lebih-lebih lagi apabila teringat pujukan uminya sewaktu dia diusir… 

“Usah ambil hati, sayang.  Walid  memang begitu, tapi hatinya baik.  Minta maaf pada walit sekarang.”     

Dia hanya diam, tidak mahu bertelagah dengan wanita itu.  Sudah banyak air matanya yang gugur dik rakusnya suami menuding perasaannya.  Namun dia kekal setia, akur dan taat.  Ezeti hormati pendirian ibu itu tetapi tidak sama sekali mahu membiar maruahnya diinjak hanya kerana perbezaan kemahuan dan keinginan.

“Walid tengah marah, biar Zet pergi dulu, nanti bila walid dah sejuk dan bersedia menerima  jiwa Zet, Zet akan kembali.”   

“Tak payah ikut perasaan, turutkan saja kemahuan walit tu.”  Puan Sumira mencurahkan minyak pada nyalaan unggun yang sedia marak.

“Tak sakit kalau belajar ilmu perubatan, malah beruntung.  Keluarnya Zet nanti, boleh jadi doktor dan tak perlu juga bekerja dengan majikan kalau  awak tak berminat makan gaji.  Dengan kewangan kita, kita mampu membuka klinik sendiri.”

Disabarkannya hati, dibujuk jiwa sendiri.  Lembutnya umi itu tidak berdaya ditentang meski usulnya sama seperti walid, menyakiti.

“Umi, Zet faham maksud umi, hormati kehendak walid. Tapi tolonglah beri ruang untuk Zet membentuk hala tuju sendiri.”

“Sia-sia belajar aliran sains kalau sampai ke peringkat ini Zet memilih cabang yang jauh beda.”

“SPM hanya pengantara dari sekolah menengah ke institusi pengajian yang lebih tinggi.  Zet lebih berminat pada seni foto, tolonglah beri restu.”

“Tapi walid tak gemarkannya…”

“Yang nak belajar Zet, bukan walid.”

Dia melihat uminya mengeluh, berat sungguh.  Dia simpati, tapi apa kan daya dia tidak langsung berminat untuk menurut telunjuk mereka yang hanya mementing diri sendiri, mengabai perasaannya.

“Ira sudah bersedia menurut kemahuan walid, biar Zet tentukan masa depan sendiri.”

“Tapi umi akan kehilangan seorang anak…”

“Zet tidak akan membuang umi walaupun Zet sudah disingkir walid, percayalah.”  Sepantasnya dia berkemas barang-barang keperluan.  Dia akan menyisih, meski berat meninggalkan sekeluarga itu, namun tekal sudah hatinya.  Tekat sudah segumpal, membulat, tidak bersegi lagi.  Dia mesti pergi!

Ezeti mengeluh berat, mahu mengikis ingatan menyakitkan itu. Mahu lari jauh dari kenangan demi melupai dendam dan benci.  Rasanya kini dendam sudah berkubur, benci juga sudah tumpul benar, tidak lagi melukakan tetapi jarak yang sudah diempang orang tuanya membuat dia tidak lagi betah.  Janggal sungguh,  akhirnya dia resah sendiri…

“Umi….”  Resah benar dia.

“Terserah Zet, tapi jangan menyesal kalau langsung tak sempat jumpa walid lagi.  Sebagaimana buruk pun walid tetap ayah kita.  Selepas umi, kita wajib menghormati walid.  Tanpa dia, kita tidak kan sebesar ini.”

Aduh, kasar sungguh adik itu menginjak dia yang tersungkur selepas tersadung sendiri.  Benar apa yang dikata Mutiara   malah sejak dahulu dia tetap meletak Tuan Jaafar di tempat yang tinggi. Orang yang bertanggungjawab menjadikannya setabah dan sekuat itu dalam membentuk kehidupan sebatang kara.  Mengeluh dia perlahan, mengangguk juga perlahan. 

“Ya Allah selamatkannya.”   Panas sudah lopak mata namun segera diseka, keras.  Tidak mengizin meski setitis pun titis.  Benci benar dia pada air mata.  Dia nekat untuk tidak menangis lagi sejurus pemergian neneknya.  Seingatnya itulah kali terakhir pipinya dibasahi air mata kesedihan.  Selepas peristiwa itu dia seakan gadis yang mati jiwa. Tidak punya perasaan sedih lagi.

Buku nota harian disemak lagi.  Sudah berkali-kali dibuka, dibaca dan dikira waktu-waktu yang perlu diperuntukkan demi semua itu, jelas padat tidak langsung berongga.  Mengeluh lagi dia perlahan, Brunei  juga di ruang hati.  Selama orang tuanya menetap di sana, belum lagi dia pernah menjejak kaki di negara minyak itu. Keberangkatan mereka ke sana juga hanya dimaklumkan Mutiara    secara rahsia.  Tinggallah dia di bumi Malaysia bersama nenek tua, satu-satunya keluarga yang dia punya.  Dan selama di situ, Tuan Jaafar jarang menjengah meski  warga emas itu adalah ibu kandungnya.  Jika rindu, Wancik Milah akan ke Brunei, merendah diri menemui anak menantu dan cucu.  Wancik Milah faham, selagi ada Ezeti bersamanya, Tuan Jaafar tidak akan ke kampung halamannya.  Lembut benar hati ibu itu, membuat Ezeti semakin mendendami ayahnya.

Selepas neneknya dijemput Ilahi, sebatang kara dia tanpa sesiapa.  Mujur Neor setia menemani dalam suka dan dukanya.  Dan sebaik Mutiara   kembali ke Malaysia seusai pengajian, dia kembali ceria, ria rasa sudah kembali berkeluarga.

Telefon bimbit dikesan dengan mendail nombornya mengguna telefon studio.  Kedengaran nada penggilan dari celah sofa di sudut studio, meluru dia mendapatkannya seraya tersenyum sendiri.

Apa nak jadi dengan aku ni? Dah semakin lalai dengan pelupa yang teruk benar.  Keluhnya sendiri. Resah walid sakit atau rindu umi? Atau gelisah perkahwinan Neor dan Ira.  Tapi kenapa mesti gelisah? Sepatutnya aku gembira adik itu sudah ada yang menjaga. Neor boleh diharap, tidak mungkin mengecewakan. Tapi aku akan kehilangan sahabat! Hilangkah sahabat itu sebaik dia memiliki permaisuri hati?  Berkerut teruk, menggeleng perlahan berkali-kali. 

Ezeti, Ezeti, tolonglah bangun.  Sedar dari lena.  Belajar kembali hidup sendiri.  Berat lagi keluhannya.  Foto Neor di kulit majalah di atas meja, direnung lama.  Bagaimana mahu menyatakan rasa sayang kepada sahabat itu.  Lagi dia menggeleng dan berdengus kuat seakan membuang ketulan di hati.

Nombor telefon Puan Sumila dikesan dengan jari telunjuk, sebaik tertera perkataan ‘umi’, ditekan kekunci panggil lalu didakap ke telinga.  Tidak lama menunggu, panggilannya dijawab. Meski dikejauhan namun berasa dekat benar, sudah duduk di dalam diri.  Jelas, terang dan lancar suara Puan Sumira menyinggahi telinga terus ke hati.  Tiba-tiba mata berasa panas, berkaca pandangannya.  Benar-benar rindu dia pada pemilik suara itu. 

“Umi, umi sihat?”  diceriakan patah katanya, demi menyelindung rasa.

“Alhamdulillah, Zet sihat nak?”

“Seadanya, umi.”

“Zet, walid….”  Hanya itu, Puan Sumira tersedan dari tempatnya.

“Zet dah tahu dari Ira.  Sabarlah umi, walid mesti tak akan apa-apa.”

“Ira juga kata begitu, katanya walid orang baik, mesti Allah mengasihinya.”

“Ya, berdoalah.”

“Walid baikkah sayang?”  bergelam sungguh, keras benar menahan sebak.  Ezeti dapat mengesan perasaan itu.

Terkedu Ezeti sendiri. Mahu dibohongi wanita itu atau berterus terang apa yang ada di hatinya.  Lama pula diamnya, cuma menjawab di dalam hati sendiri.  Walid baik cara dia, caranya berbuat baik adalah dengan cara itu.  Walid tak salah, walid benar.  Itu cuma cara dia….

“Zet, maafkan walid nak.  Maafkan keterlanjurannya.”

“Walid tak salah apa-apa, Zet yang sepatutnya mohon ampun dari walid.…” 

“Zed masih dendam walid tak?”  yang itu juga ditanyakan Puan Sumira, Ezeti tertekan sungguh.

“Kenapa umi kata gitu?”

“Habis tu kenapa tak pernah balik?”

Malaysia tanah tumpah darah Zet, kampung halaman Zet.  Zet lahir di sini besar juga di sini.  Itu tidak bermakna Zet tak suka negara umi, Zet sentiasa ingat umi.  Tapi kebelakangan ini Zet sibuk benar… ”

Kedengaran Puan Sumira mengeluh, sayup namun, Ezeti  faham erti keluhan itu.

“Umi faham.  Tapi sesekali datanglah melawat umi dengan walid.”  Ditukarnya perkataan pulang dengan datang.  Begitu lebih menyelesakan Ezeti pastinya.

“Walid sakit, kali ini sakitnya teruk sikit.  Doktor minta ahli keluarga dekatnya berkumpul, dan bersedia….”   Tersedan lagi dia.

“Umi.”  Sabarlah hati, sabarlah sayang.  Demi umi, aku mesti menjejaknya nanti.  Keadaan umi sendirian meniti hari mengharap keajaiban penyembuhan suami.  Dibujuk hati sendiri demi umi….

“Datanglah jengah walid, sekejap pun jadilah.”  Mendayu bunyinya permintaan Puan Sumira.

“Zet memang nak pergi melawat walid dengan umi, tapi dalam masa singkat ni, Zet sibuk sangat.  Dah puas adjust, tapi…”  tidak tersudahkannya sebaris ayat itu.

“Tak mengapalah kalau tak ada masa, nanti kalau dah free datanglah, kasihanlah pada umi….”

“Umi, Zet  tengah susun jadual sebaiknya, susun pengganti untuk sehari dua sementara Zet tak ada.  Doakan Zet berkelapangan nanti.”

“Malam ni Ira sampai dengan bakal suaminya, esok acara nikah mereka. Umi berharap Zet  juga sampai dengan bakal suami.  Umi dah aturkan acara nikah untuk dua pasang.  Kiyai akan sampai lewat lapan setengah  malam, umi akan minta dia menunggu sehingga jam sebelas malam.  Kalau Zet  tak sampai juga, bererti Ira langkah bendul.”

“Umi, tak perlulah   nak tunggu Zet, memang Ira bertemu jodoh lebih awal, biarlah.”

“Zet?”

“Belum bersedia.”

“Tapi bawa sajalah teman lelaki Zet nanti.”

“Umi…”

“Umi tak akan mendesak, umi cuma nak kenal dia.”

Ezeti mengeluh perlahan, berusaha dia agar tidak didengari Puan Sumira.

“Zet  tak nak kenal bakal suami Ira?”

“Dah kenal, Ira dah kenalkan.  Neor lelaki baik, pastinya Ira   bahagia.”

Ya. Semoga teman lelaki Zet  juga sebaik Neor.  Nanti bawa ke sini ya?”

Belum sempat dia berhelah, Puan Sumira sudah mohon berundur, katanya masa untuk bertemu doktor yang selesai memeriksa tahap kesihatan Tuan Jaafar.  Ezeti terkulat sendiri, siapa yang akan dibawa dan diperkenalkan, sekurang-kurangnya sebagai teman.  Meski tidak istimewa padanya tetapi cukuplah sekadar menitis bahagia di hati uminya.  Dia hanya ada Neor sebagai saudara dan sahabat, kini Neor  akan di sisi Mutiara, akan beriring menuju ke singgah sana bahagia.  Habis, siapa lagi akan menyamar sebagai teman lelaki?

Ezeti mengeluh perlahan, bersandar longlai dia di sofa.   Beberapa detik dihabiskan begitu, bagaikan lelah benar.  Mendongak terkebil menujah lampu-lampu di siling.  Bagaikan baharu itu disedari ujudnya cahaya buatan itu.

“Siapa nak bawak?”  keruh keluhannya, sakit benar dada.  Bingkas dia, majalah di atas meja kecil di hadapannya dikutip lalu diselak sehelai demi sehelai.  Beberapa wajah artis lelaki direnung.  Memang dia mengenali semua mereka, cuma segelintir artis  tidak begitu rapat kerana mereka masih setahun jagung.  Dibelek teliti satu persatu, jelas tidak boleh diguna walau seorang.  Dia bimbang dia sendiri akan dipergunakan.  Mengeluh lagi dia.  Majalah sudah   ditinggalkan, kembali dia bersandar santai, sedikit mendongak.  Kini mata dipejam, cuba menghayati lagu yang sedang berkumandang melalui MP3 yang sentiasa mersik menghibur di seruang sederhana luas studio itu.  Meski dia wanita masa kini namun kekal meminati lagu-lagu kelahiran masa lalu. 

“Kakak, I balik dulu.”  Tiba-tiba muncul pembantu lelakinya.

Ezeti menoleh, tanpa berkelip, dipandangnya Azrey.  Ditelek lelaki itu, minat benar.

“Kakak, akak kenapa? Tak sihat?”  Sudah mara dia menghampiri Ezeti yang masih menyelusuri sekujur tubuhnya.

Sakali lagi dia menyeru.  Duduk pula di sisi Ezeti.

“Engkau nak cuti dua hari untuk apa?”  terus itu yang ditanyanya.

“Kenapa kak?  Sudah sebulan dulu saya minta cuti, hari tu akak kata boleh?”

“Memang boleh, tapi untuk apa cuti tu, mustahak?”  sedikit keras dia.

“Saja nak rehat.  Cuti saya pun banyak lagi.”

“Tak ke mana-mana?”

“Tak, saya nak tidur puas-puas.”   Tawanya meledak di hujung ayat terakhir.

“Ok, kalau macam tu, tak payah tidur, ikut akak pergi Brunei, nak?  Akak belanja.  Azrey  sediakan passport saja.”

“Brunei? Nak buat apa?”

“Kakak nak jumpa orang tua akak kat sana.”

“O, orang tua akak kat Brunei? Kat Penang tu sapa pulak?”

“Itu tok akak…”

“O, gitu.  Okey juga, bila nak bertolak?  Saya pun dah lama tak pergi makan angin.”

“Dua hari lagi, boleh?”

“Maknanya saya kena anjakkan cuti?”

Ezeti mengangguk.

“Kenapa tak nak pergi esok aja?”

“Tak boleh, akak ada program beberapa hari ni.”

Terangguk-angguk Azrey  perlahan. 

“Okaylah kalau macam tu.” 

“Tapi memang kakak tak menyusahkan engkau, kan?”

“Apa pulak menyusahnya, seronok lagi ada.  Dapat melancong dengan bos besar.”  Senyum dia menguja, mengusik Ezeti.  Sifat lembut manjanya sering membuat Ezeti tertawa sendiri.

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.