Home Novel Keluarga SAKITNYA CINTA
SAKITNYA CINTA
Ramlah Rashid
11/1/2013 23:01:20
47,730
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 15
MUTIARA termangu, bagai dihimpap tualang matang, dia benar-benar terhimpit, tersepit sakit. Sakit sungguh, lemas benar menampan sinar mata Tuan Jaafar bagaikan membakar bukan sahaja menghanguskan sekeping hati tetapi juga sekujur tubuhnya. Panas benar dia dalam dingin sederhana itu. Neor pula sudah dua hari menyepi, tidak langsung pulang. Kepada Tuan Jaafar, Mutiara menyatakan suaminya bekerja di luar Kuala Lumpur selama seminggu.

“Ke mana dia?”

“Penang.”

“Sudah berapa hari dia ke sana?”

“Dua hari. Masih ada lima hari lagi.” Runduk perasaannya disoal Tuan Jaafar setegas itu. Tidak takut dimarah mahupun diherdik kerana dia begitu dimanjakan, dia cuma bimbang emosi lelaki itu akan menjejaskan kesihatannya. Dia mahu Tuan Jaafar kekal sihat dan terus gagah untuk kehidupan uminya juga.

Puan Sumira hanya diam, sekadar mengeluh perlahan. Mutiara sudah berjaya mengintip, pastinya ada sesuatu yang kurang enak sedang berlaku pada Tuan Jaafar dan perkara itu membimbangkan Puan Sumira. Berkali-kali direnung uminya dalam detik yang tidak panjang. Wanita itu hanya bisu, cuma bicara di hati pastinya.

“Panggil dia balik sementara walid ada di sini.” Perintah Tuan Jaafar merentap anganan Mutiara yang sedikit jauh terbangnya.

“Dia bekerja.”

“Tapi walid di sini cuma tiga hari.”

“Nanti Ira dan Neor akan melawat walid.”

“Walid nak jumpa Neor sekarang, ada perkara yang nak walid bincang dengan dia.”

Mutiara mengeluh lagi, jernih wajah Puan Sumira diratahnya demi menyejuk sedikit resah. Puan Sumira diam juga, tidak mencelah meski sepatah. Tekur duduk di sisi suami, bagaikan tidak memahami apa yang sedang dibincang anak dan suami.

“Apa yang walit nak bincangkan? Berkenaan apa?”

“Begini.” Tuan Jaafar membetul letak kaca mata di hidungnya. Terbatuk juga perlahan, bukan kerana penyakitnya tetapi sekadar menyelesakan diri untuk satu perbincangan yang dirasakan penting, mustahak.

Mutiara bersedia, Puan Sumira meski turut menunggu tetapi tidak seserius Mutiara. Jelas dia sudah mengetahui apa yang mahu dibincang suaminya dan isi perkara itu tidak disenanginya.

“Sebenarnya Neor tidak berpelajaran tinggi. Jauh beda dengan kita. Walid sudah menyiasat siapa dia.”

Mutiara menekur, debar sudah menyakitkan. Ditahan rasa itu, tidak mahu sesiapa di situ sedar rasa itu. Memang sukar merahsia sesuatu rahsia dari lelaki bernama Tuan Jaafar. Tidak lama rahsia disembunyi, pecah dan terbongkar juga, itu yang pasti. Siapa Neor, sudah ada di dalam buku pemerhatian lelaki itu. Mutiara sudah membayangkan apa akan berlaku dan bakal berlaku kemudian namun terus juga disabarkan hati, ditenangkan perasaan.

Demi sebuah cinta, suami akan kekal dipertahan. Itu tekatnya sebaik pulang dari majlis perkahwinan. Ezeti juga bernasihat begitu, teringat dia kesungguhan kakak itu mempertahan dia dan Neor.

“Neor di luar, yang bukan di sisi Ira. Suami Ira adalah Meor Rezamudin. So, biar siapa pun dia apabila di luar, biarlah. Sebagai isteri yang baik, sentiasalah pertahankan suami.” Nasihat Ezeti kekal disimpan, mahu diguna setiap masa.

“Tapi walid akan menolak dia. Walid tidak akan menerima orang seperti Neor.”

“Walid tetap walid. Tanpanya kita tidak akan hadir di sini. Itu betul. Tetapi jodoh rahsia Allah. Allah sudah menetapkan jodoh Ira dengan Neor, siapa walid berbanding Allah? So, pertahankan anugerah Allah itu demi mahligai yang sudah dibina.” Pintar benar Ezeti.

Buat pertama kalinya fikiran kakak itu seakan lebih matang dari dia yang terkenal cerdik dan bijak berkeputusan. Namun dia tidak sama sekali rasa tercabar malah bangga menerima nasihat itu. Angguk dia berkali-kali, mahu menjadikan kata-kata Ezeti sebuah jambatan, merentas lautan yang bakal menenggelamkannya mungkin.

Dan, akhirnya gelora itu sampai juga sebelum sempat manis bulan madu dikecapi. Hanya seminggu berselang, Tuan Jaafar sudah bertandang dengan nafiri peperangan, menyerang sedang dia belum siap bersenjata. Berusaha juga dia berlindung dengan sehelai lalang layu.

“Ada dia beritahu apa pekerjaannya?” kata-kata Tuan Jaafar mencantas ganas ingatan Mutiara. Terhenyak Mutiara lagi selepas tersadung, sakit sungguh.

Dia diam juga, tidak bermaksud berbohong tetapi dia terpaksa. Dalam diamnya berusaha merangka jawapan sipi-sipi jika tidak berjaya tepat dan padat sekali pun.

“Dia bukan ahli perniagaan tetapi pelakon. Artis yang tak ada class. Sijil SPM pun cuma cukup makan, orang kampung yang tak menyambung pengajian.”

“Itu tak penting, walid…”

“Mana boleh tak penting, cuba you fikir baik-baik, macam mana dia nak menyesuaikan diri dengan keluarga kita?” dicantas tangkas ayat pendek Mutiara.

Mutiara mengeluh perlahan. tidak berjaya direka sebarang jawapan dalam waktu sesingkat itu.

“Apa idea yang boleh disumbangkannya masa berbual dengan kita?”

“Tak payahlah berbincang perkara-perkara berat dengan Neor.” Masih lembut persis memujuk.

“Habis, kita nak berbual dan berbincang berkenaan gosib artis? Tentang mutu lakonannya yang langsung tak berguna? Nak berbincang berkenaan nasi lemak yang naik harga dari seringgit kepada seringgit setengah? Atau sikap artis wanita yang berusaha menghimpit lelaki-lelaki VIP, VVIP untuk kemewahan? Heh! Langsung tak mengembangkan minda.” Dari wajah serius, bertukar rona jijik.

Puan Sumira mengeluh perlahan, dikerling Mutiara, berharap tidak terus membeli kemarahan Tuan Jaafar. Sebaiknya diturutkan sahaja supaya ketegangan segera mengendur.

“Nak diberitahu apa pada sahabat-sahabat walid dan keluarga kita? Neor itu artis, pelakon dan pemuzik? Begitu?” sudah kian meninggi dia.

“Abang, abang. Bertenang.” Tangan Tuan Jaafar ditepuk-tepuk perlahan, memujuk pastinya. Begitu selalunya, Puan Sumira akan menyedarkan Tuan Jaafar dari lantunan suara yang bagaikan guruh.

“Aku muak perangai artis-artis perempuan menggedik menggoda kawan-kawan aku. Dunia dah kata pergi, kubur dah kata mari, tapi lelaki-lelaki yang dah putih rambutnya lentuk dengan godaan. Awak tak geli? Tak jijik?” Puan Sumira pula disanggahnya. Ditoleh tepat ke wajah isteri di sebelah.

“Itu perangai golongan macam abang. Golongan artis lelaki tak macam tu.” Senyum Puan Sumira berusaha menyejuk suasana.

“Zet juga fotografi.” Berani dia mencuba nasib walaupun marah jika ada yang merendahkan kerjaya saudara kembar itu. Demi Neor, berani dia mencagar diri kakak itu. “Jurugambar juga digelar artis dan tugas Zet bergaul dengan artis-artis.”

“Tapi sekurang-kurangnya Ezeti ada ijazah! Suami you, hanya SPM!”

“Tapi Abang Neor bukan tak lulus SPM, cuma dia tidak menyambung pengajian di peringkat tertinggi. Keluarganya tak mampu.”

“Heh, lagi memalukan. Menantu aku dari keluarga miskin. Papa kedana. Nak sekolah pun tak mampu!” Kian keras penghinaan itu meski suara Tuan Jaafar tidak sekeras mana.

“Biarpun miskin tapi Abang Neor berpemikiran luas. Boleh saja berbual dari sudut apa pun.”

“Sijik Pelajaran Malayasia. Itu yang you katakan berpemikiran luas? Ya, sebagai artis memang banggalah ada sijil itu, sebab rata-ratanya artis setakat boleh menulis membaca aaja. Kan?” Sudah tidak tinggi suaranya, lebih kepada sindiran menghina. .

“Apalah ada pada sijil-sijil semua tu. Yang penting boleh berfikir. Kalau ada ijazah sekali pun tapi suntuk fikiran, nak buat apa?” Mutiara menyanggah.

“Artis berfikiran tinggikah? Luaskah fikiran dia orang?” Panas benar membakar telinga dan perasaan. Mutiara benar-benar sakit, melecur sudah dia.

“Kerana tak berpelajaran dan tak berfikiran tinggilah, dia jadi pelakon, penyanyi. Kerja tu tak payah fikir. Dapat lagu, nyanyi. Dapat skrip, baca. Ikut arahan pengarah. Apa susah?” tangan digedangnya, sepuluh jari dikembangkan memberi maksud tidak ada apa-apa.

Puan Sumira memegang tangan suaminya, digosok belakang tangan, masih gaya memujuk. “Jaga perasaan abang. Sakit nanti susah.”

“Walid…” hanya itu yang termampu oleh Mutiara.

“Hidup di dunia hayalan, menghayalkan orang lain.” Tangan dihayun tinggi ke kiri dan kanan, arah tidak pasti. “Mereka cerita bohong untuk melalaikan. Dunia akan hancur dik orang-orang macam suami you!” Keras lagi dia.

“Jangan cakap macam tu walid…”

“Tak betul?” pantas menyoal pula. “Habis, aku nak cakap macam mana? Nak puji menantu yang tak berkedudukan tu? Menantu yang macam hantu?”

“Artis juga manusia biasa, macam kita.”

“Tak sama. Serupa pun tidak. Kita berpijak di bumi yang nyata, mereka…”

“Mereka masih punya perasaan, cuma bidang kerjayanya berbeza.” Belum sempat Tuan Jaafar menyambung ayat, sudah dipotong Mutiara.

“Itu bukan kerjaya.” Panjang mendatar namun padat penghinaan.

“Biarlah mereka dengan hidup mereka.” Sebaris ayat singkat Puan Sumira, Tuan Jaafar menoleh lagi. Lama direnung, Puan Sumira tidak menangkap mata itu, sebaliknya membelek jemari kiri yang bermain sendiri. Tangan kanan kekal di atas riba Tuan Jaafar.

Sebaris ayat ringkas Puan Sumira itu bukan sahaja memeranjatkan suaminya tetapi juga si anak. Dengan juring mata, Mutiara menikam tajam tetapi halus. Tidak disangkanya wanita itu berani menyanggah, disebalik rasa gembira mendapat sokongan, terselit rasa bimbang kemurkaan raja dalam keluarga itu. Puan Sumira tampak bersahaja, tidak seperti selalu, yang sering kesal dengan kata-katanya jika ditentang mata suami yang seperti singa lapar.

“Tengoklah, baru seminggu masuk ke dalam keluarga kita, dah berjaya dia merubah Ira.” Menuding Mutiara tetapi mata terarah kepada isterinya.

“Tak ada sesiapa berubah. Neor tak mungkin berjaya merubah anak abang jadi lain. Bagi kepercayaan, Ira yang akan merubah suaminya nanti. Bagi dia masa.”

Mutiara mahu mengiakan, mahu bersetuju pendapat Puan Sumira tetapi waktu itu telefon bimbit di atas meja kopi di hadapan sofa bernada panggilan. Diangkat Mutiara, dibaca skrin yang tertera perkataan ‘My Heart’, senyum terukir seminimanya. Bersembunyi dari mata Tuan Jaafar dan Puan Sumira. Dijawabnya juga dengan salam pertama, perlahan.

“Hai Sayang, tengah buat apa tu?” manis dan mesra benar, menyejukkan hati yang sedang panas.

Mutiara senyum lembut, sambil memberi isyarat minta berundur dari kelompok kecil itu, dia bangun. Mahu menjawab panggilan Neor sedikit jauh.

“Sayang, saya balik esok pagi.”

“Bukankah selepas lima hari di sana baru balik. Esok baru hari ke tiga?”

“Rindu…” berbisik nakal.

Meremang bulu roma Mutiara, senyum dia sendiri.

Dari balkoni, Mutiara kerling Tuan Jaafar dan Puan Sumira yang kekal duduk di sofa ruang tamu. Ke dua-duanya tidak mempeduli dia.

“Tak payah tergesa-gesa kalau awak masih ada kerja…”

“Scene saya ditangguhkan dua hari lagi. Jadi, esok saya cuti. Rindu sangat kat Sayang.”

“O, ok. Esok kita jumpa.” Senyum lagi dia sendiri. Dari tempatnya berdiri, dikerling lagi Tuan Jaafar dan Puan Sumira, jelas ke duanya sedang menumpu pada muka televisyen yang bervoleum perlahan.

“Oh ya, lupa nak beritahu, walid dengan umi ada sini.”

“Bila sampai?”

“Baru je….”

“Ok, kirim salam pada walid dan umi. Katakan, esok pagi-pagi saya sampai. Habis scene malam ni, saya terus gerak ke KL.” Kedengaran gembira mahu bertemu mentuanya. Mutiara dipeluk hiba, simpati pada Neor yang ikhlas menerima keluarganya.

“I miss you Sayang. Sangat-sangat.” Lagi berbisik terang.

“Miss you too…” juga perlahan, berbisik manja.

Perbualan ditamatkan sebaik ucapan salam perpisahan. Termenung dia beberapa detik di balkoni, teruja kekasih akan pulang melunas rindu. Bimbang juga pada tindakan Tuan Jaafar yang selalu tergesa-gesa dan membuta tuli. Dia tidak menyetujui kerjaya Neor, pun begitu apa dayanya, Neor sudah menjadi suami. Suami itu pula tidak berhasrat mencari ruang rezeki lain. Hanya seni. Akhirnya dalam redha yang dipaksa, terpaksa dia merelakan demi cinta yang kian mekar dengan putik-putik yang bakal membenih terus.



“MUTIARA DAN EZETI dianugerah pelajar terbaik di universiti mereka. Ezeti juga punya ijazah di bidangnya. You?”

“Saya berhajat untuk melanjutkan pelajaran di bidang muzik. Bercita-cita untuk membuka kelas muzik.” Bangga dia memperturun angan-angan yang pernah dibentuk bersama Fifeinya lama dahulu dan itu juga cita-citanya pada Makcik Rominah. Sementelah Tuan Jaafar sudah mengetahui siapa dia, dia berbesar hati mengongsikan cita-cita dan impiannya.

Mutiara sendiri baharu itu mendengar, dalam kebimbangan penolakan orang tuanya, kagum juga dia, sekurang-kurangnya suami itu punya cita-cita.

“Lagi-lagi muzik, lagi-lagi muzik. Apakah sudah tidak ada bidang lain yang boleh you ceburi selain hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan?”

Neor bungkam dalam senyum yang sengaja dimaniskan meski hati sakit sungguh. Pun begitu, sabar dia. Sudah sering mendengar dia dinista, sudah lali….

“Seni itu mulia, walid.” Digagahnya menganggap sudah lama mengenali Tuan Jaafar.

“Siapa yang memuliakannya?” tiada sesiapa menjawab. Bukan tidak menemui jawapan beralasan, takut didenda juga tidak jika tersalah. Tetapi Neor dan Mutiara sengaja mahu suasana tegang itu, sedikit nyaman. Dengan tidak membeli kemarahan Tuan Jaafar, mereka berharap lelaki itu akan menamatkan kemurkaan.

“Bersih? Bersih! Dari sudut apa kamu mengatakan seni hiburan itu bersih?” lagi dia menyoal. Mahu Neor menjawab pastinya.

“Tanpa muzik, dunia akan sepi.” Berani benar dia mempertaruh ayat Fifei lama dahulu. Diam-diam Mutiara bangga dengan keberanian itu namun jauh di sudut hatinya bimbang juga.

“Melahu sana, melahu sini, hidup tak menentu arah. Tanpa tujuan, tanpa wawasan, itu yang dikatakan baik? Yang you laungkan mulia?”

“Hanya kerana sesetengah orang mengotorinya, spekulasi orang luar terus beranggapan begitu.” Kekal senyum, tidak langsung berbau bangkangan. Dia beranggapan mereka sedang berbual santai dengan mengangkat isu hiburan dan masyarakat. Meski di dalam hati berasa sakit namun, dibujuk hati sendiri agar positif.

“Semua I dengar, yang buruk-buruk belaka. Belum ada yang bersih. Semua yang aku dengar, pelakon, penyanyi, pemuzik semuanya yang gagal sekolah. Yang tercicir. Kalau berijazah, orang tak akan jadi artis.”

Neor diam, menggeleng dalam tunduknya. Sudah terbakar dalam dada namun, terus membujuk sendiri agar tidak menderhakai orang tua isteri yang sudah menjadi orang tuanya juga. Sebaik akad disambut, sudah dia berjanji untuk mengangkat Tuan Jaafar dan isteri sebagai ibu dan ayahnya. Akan dijaga hati dan perasaan ke dua mereka sebagaimana dia menghormati ibu dan ayahnya sendiri juga.

“Semua artis low class….” Keras tuduhannya meski mendatar, perlahan.

Berdesing lagi, merentas kesabaran Neor, itu juga dirasakan Mutiara. Meski dia sendiri tidak menyenangi kerjaya Neor, namun penghinaan Tuan Jaafar itu benar-benar menyakitkannya juga.

“Walid…” dia mahu melarang namun tangannya segera dipegang Neor, digenggam erat. Sewaktu juring mata masing-masing berlaga, Neor menggeleng perlahan melarangnya dari menambah apa-apa di dalam bara yang kian bernyala.

“Di mana aku nak sorokkan muka aku kalau orang tahu menantu aku artis? Pemuzik, pelakon, penyanyi? Di mana? Pakat bersorak semua orang, bertepuk mengejek.” Sudah beralasan lain dia.

“Pedulikan pada semua orang itu, kita hidup dengan nyawa kita sendiri. Tidak menumpang sesiapa.” Perlahan suara Mutiara namun tertusuk juga ke ulu hati Tuan Jaafar, tajam ditikamnya mata Mutiara. Mutiara tidak menangkap tikaman itu, berusaha juga tidak langsung cedera. Terluka juga tidak.

“Tengoklah, baru seminggu tinggal bersama pemuzik, pelakon ni, anak awak dah berubah. Sudah berani menentang, mematah lidah saya.” Tuan Jaafar yang sudah bangun, baharu setapak meninggalkan kerusinya, menoleh Puan Sumira pula. Ditunjuk ke arah Neor dan Mutiara, mahu mengadu kepada isteri itu layaknya.

Puan Sumira tidak menyanggah, mengeluh cuma, perlahan.

“Pada Allah? Tak usah dipedulikan juga?” dia menambah.

“Apa kaitannya dengan Allah?” bersoal jawab pula Mutiara dengan Tuan Jaafar. Neor hanya diam. Kekal menggenggam tangan Mutiara, kemas.

“Allah suruh kita bagaimana di bumi ini? Ha? Apa yang dikerahnya, apa yang dilaknatnya?” ke sudut agama pula Tuan Jaafar, mungkin mahukan Mutiara tewas. Benarlah, Mutiara tewas sudah. Mengeluh dia perlahan.

“Berhibur sampai lupa akhirat? Lupa perintah Allah?”

“Golongan artis juga ada yang solat, walid.”

“Masa bila solat, kalau majlis secara langsung bermula pukul 8 malam? Itu contoh paling mudah untuk membuktikan siapa kamu orang semua.”

“Boleh saja solat dulu sebelum ke pentas hiburan.”

“I pernah ditawar membeli sebuah meja untuk sumbangan kerja amal, kedatangan VIP pukul tujuk setengah, artis-artis berbaris di karpet merah menyambut, bersolek tebal, seksi. Habis tu, pukul berapa mereka solat Maghrib? Semua uzur?” sudah seakan ahli agama Tuan Jaafar.

Puan Sumira mencebek, mengejek suami yang tiba-tiba cenderung bercakap isu keagamaan sedangkan diri sendiri sering ingkar solat wajib.

“Macam-macam cara boleh mereka lakukan untuk bersolat, kecualilah mereka yang sememangnya tak nak buat.” Puan Sumira mencelah, perlahan.

“Itulah soalnya. Berapa ramai yang melakukannya berbanding yang ingkar?”

“Ala, yang bukan artis pun ramai yang tak solat.” Semakin berani Puan Sumira menelingkah. Pastinya Tuan Jaafar tidak terdengar kerana lelaki itu sudah berdiri di balkoni dan Puan Sumira sengaja memperlahan suara. Tujuannya mahu menyindir suami itu tetapi tidak mahu secara terus menyakitinya.

Mutiara puas bantuan Puan Sumira, tetapi tidak bagi Neor. Dia kesal benar pada apa yang berlaku.

Tujuannya pulang hari itu bukan sahaja kerana merindui Mutiara tetapi juga bagi merai kunjungan ibu bapa mentuanya. Mahu beramah mesra dan menghibur mereka. Lain yang diharapkan, lain pula yang terhidang. Kesal benar dia, namun disembunyi rasa itu.

“Sudahlah, perkara kecik tak usah diperbesarkan.” Puan Sumira berusaha menyejuk bahang. Sengaja dikuatkan suaranya untuk sampai ke pendengaran suami.

“Bukan kecik!” menengking sudah. Tengkingan yang benar-benar merentap semangat semua.

“Jaga kesihatan abang, tak perlu menengking, sakit dada nanti.”

“Saya berjanji akan bersembunyi dari orang-orang yang mengenali walid. Saya tidak akan mengakui siapa saya dalam keluarga walid dan umi. Saya berjanji…” pantas dipotong Neor. Dia berharap perhimpunan panas itu segera berakhir.

“Bagus. Tapi bukan di Brunei saja, di Malaysia juga orang mengenali aku. Aku juga rakyat Malaysia. Waris dan kenalan aku bersepah di sini. Berpuluh tahun aku naik turun tangga Mahkamah Tinggi. Banyak sudah orang-orang kenamaan yang aku bela, ramai yang sudah menang bicara. Anak didik aku pun ramai yang sudah berjaya menjadi lawyer terkenal.” Bongkak benar dia mendabik.

Mengangguk lagi Neor. “Tidak akan saya uar-uarkan siapa walid dalam kehidupan saya.” Serius, kedengaran sayu benar oleh Mutiara. Simpati dia pada nasib suami itu.

“Bagus, aku nak engkau rahsiakan perkahwinan ini. Engkau dengan dunia engkau, biar Mutiara dalam dunia kami. Minyak dan air tak boleh bersatu.”

Neor mengeluh perlahan, ditadah seraut wajah kosong Mutiara. Kasih tersimpan di situ, simpati juga nasib isteri yang terpaksa merahsiakan identiti suami.

“Ingat, semua orang tak boleh tahu Mutiara berkahwin dengan you. Kalau tidak, I lebih rela Ira menyandang status janda.”

Terhenyak Neor sendiri, Mutiara juga terpukul. Puan Sumira mengeluh berat, menggeleng juga perlahan, berkali-kali. Kesal benar dia.

“Anak aku tak akan rugi tak bersuamikan lelaki macam you.” Joring telunjuknya menunjal perasaan Neor, Mutiara juga terluka benar.

“Mutiara akan menutup firma guamannya di sini dan berangkat ke Brunei.” Itu juga kata-kata Tuan Jaafar sebelum menutup perbincangan panas.

Puan Sumira hanya mengeluh perlahan. Hanya itu upayanya. Mutiara mengerling Neor, runduk. Isi dalam kerlingan itu sukar dimengerti Neor. Meski Tuan Jaafar benar-benar mengobor seruang hatinya, namun masih mampu disejukkannya sendiri. Tidak perlu dibujuk, dia sudah tekal dengan kesabaran. Dunia kerjayanya sudah cukup mengajar dia pelbagai ragam dan suasana. Pernah dimaki dan diugut bunuh di samping dipuja dan digilai juga. Namun, pastinya isteri itu tidak gemar ugutan ayahnya. Dia menyayangi kerjaya yang sedang berkembang, tebalnya kecintaan pada kepeguaman juga Neor tahu dan sebagai suami, Neor tetap mahu memberi suntikan semangat.
Previous: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.