Dia sudah berkemas diri untuk ke mahkamah.
Selepas merehatkan minda dan fizikal dengan tidur nyenyak sepanjang malam,
seawal jam 8.15 pagi itu dia mengatur langkah, cekal sungguh. Perbicaraan di hadapan hakim buat kali ketiga
untuk sebutan kes pengesahan lafaz talak yang dilakukan seorang suami kepada isterinya
dalam keadaan marah. Isteri memfailkan pengesahan perceraian tetapi tidak mendapat
kerjasama baik dari suami. Telah tiga
kali perbicaraan dijalankan, suami tidak juga bersedia melerai
keserabutan. Mengeluh dia sendiri. Jika mementingkan keuntungan, dia
lebih gemar kes begitu diperpanjangkan kerana setiap kali sebutan kes, anak
guamnya perlu membayar. Tetapi itu bukan
prinsibnya, dia mahu membantu seadanya dan khidmatnya dibayar setimpal. Fail
sederhana tebal di sisinya, dikerling. Sengaja
dibawa pulang kelengkapan itu kerana dia akan terus ke mahkamah melakukan
persediaan mental dan fizikal sebelum sebutan kes.
Teringat dia perbualan bersama
defendan yang menghubungi pejabatnya kelmarin sebaik surat saman memerintahnya hadir ke mahkamah
untuk sebutan kes sampai ke tangannya.
Lelaki yang tidak kurang terpelajarnya itu dengan angkuh mencabar
undang-undang.
“Kalau saya tak datang, apa yang puan
lowyer boleh buat?”
“Saya berharap tuan hadir untuk
menyelesai kemelut rumah tangga tuan.”
“Rumah tangga saya biar saya
selesaikan. Puan lawyer selesaikan kes lain yang berlambak di mahkamah. Kes rompak, ragut, bunuh bertahun-tahun tak
selesai, masalah rumah tangga orang yang disibukkan.”
Mutiara tidak mahu melatah, terus cekal dengan
prinsibnya, tidak akan bertikam lidah di luar mahkamah, menggeleng dia
perlahan. Kesal kebodohan lelaki
terpelajar itu yang mencampur-adukkan kes sivil dan syariah.
“Begini tuan, Puan Jasmin selaku plaintif sudah
melantik saya selaku peguam untuk mendengar sebutan semula kes itu esok. Oleh itu saya bertanggung jawab memerintahkan
tuan hadir.”
“Perdengarkan saja pada dia. Dia yang beria-iakan?”
“Tapi tuan wajib hadir untuk
menyelesai. Kalau kali ini tuan tidak
muncul juga, kes ini akan bertangguh lagi.”
“Biar dia bertangguh seratus tahun. Ada
aku kisah?”
“Jangan begitu tuan. Nikah tuan dan isteri secara sah, persetujuan
bersama. Apabila berlaku pertelingkahan, eloklah diselesai dengan persetujuan
bersama juga.”
“Kalau saya tak nak hadir, apa
mahkamah boleh buat?”
“Waran tangkap akan dikeluarkan.”
Tawa lelaki itu sungguh menyakitkan
namun sebagai peguam yang sudah tebal ilmu dan pengalamannya, tidak mudah dia
melatah. Beristighfar lebih baik dari mengikut bisikan syaitan. Itu pujuknya
sendiri.
“Tuan di mana sekarang?”
Pertanyaannya langsung tidak dijawab,
hanya terus tertawa dan mematikan panggilan.
Mengeluh Mutiara sendiri. Aku sendiri boleh jadi gila kalau semangat
langsung tak kuat. Senyum pula dia
seraya menggeleng perlahan.
Plaintif sudah dihubungi sebelumnya, mahu memastikan
sama ada dapat mengesan di mana suaminya berada, Mutiara bercadang akan
menemuinya sendiri, melakukan rundingan damai dan memujuknya hadir ke
mahkamah. Namun jawapan wanita itu tetap
juga mengecewakan.
“Saya tak tahu di mana dia
berada. Dia sudah berhenti kerja di
tempat lama dan rumah isteri barunya lengang tidak berpenghuni.”
“Ya saya juga sudah ke alamat surat menyuratnya, tapi
rumah berkunci.”
Meski tipis untuk menyelesaikan kes dengan
sekali lagi perbicaraan, namun Mutiara masih menaruh harapan defendan akan muncul di mahkamah sebelum sebutan
semula jam 10.30 pagi nanti. Sekiranya
defendan masih gagal, kemungkinan hakim
tidak akan menangguhkan lagi kes itu, sebaliknya akan meminta anak guamnya
menutup kes dan memfailkan tuntutan yang
baharu. Itu perlu dijelaskan kepada Puan
Jasmin sebelum masuk ke mahkamah nanti agar wanita itu bersedia dengan mental
yang kuat.
Sedang giat membina kekuatan sendiri
untuk diri sendiri, telefon bimbit di dalam beg sandang kecilnya bernada
panggilan. Segera dikeluarkan sambil
terus melangkah menuju ke kereta. Hanya
sekilas dilihat skrin telefon bimbit, senyum berbunga. Salam diberi, disambut Neor di kejauhan. Segar suaranya.
“Masih kat rumah atau sudah bergerak
ke tempat kerja?” itu soalan pertama Neor.
“Nak buka pintu kereta dah ni.” Jujur benar dia, telus dan berasa mahu
dimanjakan suara.
“Selamat jalan, jaga diri
baik-baik. Petang nanti saya call lagi.” Hanya itu pesanannya, terlalu ringkas,
kosong, tetapi berjaya membuat Mutiara senyum sendiri. Semangat kian berbunga.
Sebelum muncul Neor dalam hidupnya,
belum pernah dia merasakan apa yang dirasanya tika itu. Padanya kerjaya dan keluarga sudah mencukupi
dan sudah saling melengkapi. Sering Ezeti
mengemuka persoalan, sampai bila mereka akan terus meminggir dari meletak
lelaki di dalam hidup mereka. Mutiara akan
hanya mentertawakan, tidak perlu lelaki katanya dalam senyum mulus.
“Tak nak kahwin?”
“Untuk apa berkahwin kalau hanya
untuk dizalimi? Untuk disakiti?”
“Terlalu keras persepsi engkau
pada kaum Adam.”
“Belum ada lelaki yang benar-benar
ikhlas mendampingi pasangannya. Tidak
ada yang benar-benar tulus menyayangi isterinya.”
“Kejam sungguh tuduhan tu.” Masih berbau gurauan.
“Kejam lagi perbuatan lelaki pada
kaum yang lemah.”
“So,
engkau tak nak mencari cinta?”
Dia hanya menggeleng. Langsung tidak berminat katanya.
“Kita boleh hidup tanpa lelaki,
kenapa mesti kita mencari susah?”
Ezeti mentertawakan. Akhirnya mengangguk juga.
“Dunia akan aman tanpa campur tangan
kaum lelaki.”
“Ya betul, terutama lelaki-lelaki
seperti Tuan Jaafar.” Tertawa meledak lagi, Mutiara mengerling, marah senda Ezeti
yang keterlaluan itu. Ezeti tidak
memperduli, terus juga dengan rentak tawa biasanya.
“DEFENDAN gagal ditemui, Yang Arif. Tempat kerja lamanya dia sudah berhenti,
rumah tempat tinggalnya berkunci. Tidak
pernah ada maklumbalas setiap kali orang kita ke sana.”
Hakim lantas memandang Puan Jasmin
sejurus mendengar penjelasan Mutiara.
“Prosiding
ini tidak dapat diteruskan jika defendan
tidak hadir, peguamnya juga tidak
dikirim ke sini. Jadi mahkamah
menyarankan puan menutup kes pengesahan lafas cerai yang puan failkan setahun dulu. Buka fail baru dengan tuntutan baru.”
Puan Jasmin hanya berdiri kaku, wajah
tegas, bengis hakim di hadapannya ditatap.
Dia sedikit mendongak kerana kedudukan hakim sedikit tinggi dari tempat
mereka berdiri. Mahu dia menyanggah, menolak perintah itu, mahu dirinya
mendapat pembelaan sewajarnya namun mulut terus berkunci, mengeras sudah
lidahnya. Hanya kelipan keraguan dibaca hakim yang terkenal bijak sana. Semua di kamar itu
bagaikan dapat merasai apa yang sedang dirasainya. Suasana yang sentiasa sunyi dan dingin itu
kekal begitu, membangkitkan pelbagai rasa bukan sahaja pada wanita yang sedang berdiri di tempatnya
berhadapan hakim tetapi yang lain-lain juga yang sedang menunggu kesnya
dibicarakan.
“Puan faham maksud saya?”
Puan Jasmin menggeleng perlahan dalam
tunduknya.
“Puan faham?” Hakim terus menekan, sudah berulang kali
diperintahkan untuk tidak memberi sebarang isyarat bisu apabila disoal, tetapi
puan Jasmin sering terlupa. Gementar hatinya membuat dia sering alpa.
“Saya tak faham.” Terlalu perlahan.
“Jawab dengan jelas.” Sudah sedikit lembut intonasinya namun kekal
kedengaran tegas di telinga Puan Jasmin.
Puan Jasmin mengulang jawapannya
seraya mendongak memandang tepat ke anak mata Hakim.
“Mahkamah tidak boleh meneruskan
tuntutan puan sebab suami puan tidak hadir, waran tangkap sudah dikeluarkan
tapi si penama gagal ditemui. Sudah
setahun kes puan tertangguh dan ditangguh, puan berulang-alik ke sini mengikut
tarikh disediakan mahkamah. Jadi, mahkamah hendak membantu meringankan. Puan senang, mahkamah juga mudah.” Tepat wajah Puan Jasmin ditikamnya.
Puan Jasmin tidak juga tewas,
menunggu terus apa selanjutnya.
“Puan boleh pergi semula ke pejabat
mahkamah, tarik balik tuntutan lama, failkan tuntutan baru. Tuntutan fasakh.”
Pantas wajah Mutiara ditoleh Puan
Jasmin, kesal dan takut juga.
“Tapi saya ke sini bukan untuk mintak
cerai.” Sudah bergelam suaranya, ditahan
terus.
“Mahkamah faham, tapi dalam kes puan
ini, puan tak boleh teruskan tuntutan asal, sebab suami puan tidak hadir. Puan faham maksud
saya?”
Puan Jasmin tunduk sebaik mengangguk perlahan.
“Puan sudah ditinggalkan dua tahun
tanpa nafkah zahir dan batin, bukan? Tambah setahun lagi selama sebutan kes pengesahan lafaz cerai di
mahkamah ini, jadi sudah tiga tahun puan terbiar tanpa identiti yang
jelas.” Terang bergema suara Hakim
memberi nasihat yang ternyata perintah.
Sesak nafas puan Jasmin semakin membungkam di dada. Itu jelas dilihat semua termasuk Mutiara dan
Hakim. Perlahan dia mengurut dada, Mutiara memandang, simpati.
“Perlakuan suami puan itu sudah cukup
menguatkan bukti puan diabai dan puan layak menuntut fasakh.”
“Tapi kadang-kadang suami saya
menelefon anak saya. Kadang-kadang mereka
berjumpa di luar dan bagi duit belanja.”
“Berapa selalunya?”
“Tak lebih dari 50 ringgit.”
“Tiap-tiap minggu?”
Puan Jasmin menggeleng. “Beberapa kali setahun.”
“Cukupkah dengan wang sebanyak itu
untuk menyara hidup puan dan tiga orang anak puan yang semuanya sedang
bersekolah?”
Puan Jasmin menggeleng perlahan, sudah berkaca di dalam
matanya. Hakim dan Mutiara gagal dibohongi,
pengalaman mereka berada di kerusi itu membuat mereka seorang yang tajam mata
hati.
“Puan, Islam tidak menzalimi
mana-mana kaum. Sama ada lelaki atau
perempuan, semuanya dilayan sama adil.
Masing-masing ada hak menuntut dan diberi hak untuk memperbaiki kehidupan.” Sedikit motivasi untuk menguatkan keyakinan
Puan Jasmin diselitnya. Puan Jasmin hanya mengangguk dalam keterpaksaan. Mutiara di sebelah dikerlingnya seakan meminta
sokongan emosi.
Mutiara menangkap renungan ringan itu, mengangguk juga
dia dalam bisunya.
“Mahkamah menutup kes, kes ini tidak
akan disebut lagi di lain tarikh.” Hakim
sudah membuat keputusan, tidak ada apa lagi yang boleh dikatakan selain
bersetuju.
Puan Jasmin bernafas sesak lagi, sesak sudah hatinya. Tidak langsung dia terlintas untuk menuntut
cerai. Hina benar dia sebagai wanita dan
isteri, menuntut cerai dari suami yang dikahwini di atas dasar cinta, jodoh
pilihannya sendiri. Tiada cinta lagi,
benci juga tidak dan dia tidak mengharap apa-apa dari lelaki yang menghilang
itu. Namun prinsib hidupnya tidak akan
membuat Arasy bergegar dengan tuntutan cerai dari pihak isteri.
Mutiara sudah bangun, membantu
menyedarkan Puan Jasmin, mahkamah tidak lagi memberi ruang baginya berkata apa-apa dan Hakim sudah
bersedia untuk mendengar kes lain yang juga berkaitan syariah. Mutiara mengangguk sekali kepada anak guamnya, isyarat supaya
mereka beredar, meninggalkan Ruang Bicara.
Puan Jasmin menghela nafas
sedikit sesak, bagai seruh bumi dipijak, namun digagahkan juga menghayun
langkah perlahan.
Mutiara menghulur tangan menunjuk hormat, meminta Puan Jasmin mendahuluinya
meninggalkan tempatnya.
“Puan peguam, tolong terangkan kepada
plaintif apa yang harus dilakukannya selepas ini.” Hakim masih mahu membantu meredakan perasaan
Puan Jasmin yang tampak sangat-sangat tertekan.
Mutiara menghadap Hakim, mengangguk
dia sekali. Faham dan hormat.
“Jom.” Terlalu perlahan dia memberi arahan, fail
yang dikepit masuk tadi, dikepit juga keluar.
DI KERUSI menunggu di luar kamar
mahkamah, Mutiara mempelawa Puan Jasmin duduk bertenang. Sudah bertitisan air yang dikandung di
lopaknya sejak dari Kamar Bicara. Mutiara
hanya menunggu, membiar anak guamnya
membasuh sesak dengan air mata. Sudah
kerap benar dia menjadi peneman wanita-wanita malang begitu yang menangis begitu sehingga
dia sudah menjadi wanita yang begitu tegar, sukar merenikkan air suam
begitu. Dia sekadar melihat, membiar
sebelum memberi buah fikiran untuk membantu kaum sejenisnya merintis jalan
seterusnya.
Beberapa minit berlalu kosong, Puan Jasmin
terus terangguk-angguk dalam tunduknya,
kesan tangis yang ditahan-tahan. Mutiara
membiar terus, hanya menyemak dokumen di
dalam fail yang diribanya. Masih ada dua
kes kelolaannya yang akan disebut pagi itu, bermakna dia hanya ada 10 minit
untuk bersama Puan Jasmin. Namun tidak
mungkin dia meninggalkan wanita yang sedang sarat kesedihan itu begitu di situ
tanpa ditemani sesiapa.
“Tadi, asalnya saya hendak
menerangkan perkara ini pada puan,
supaya puan tidak terlalu terkejut. Tapi malangnya puan lewat sampai dan
kebetulan kes puan menjadi sebutan pertama pagi ni sebab kes pertama dibatalkan.” Perlahan intonasinya, hanya mahu Puan Jasmin
di sebelah mendengar.
“Saya ada masalah di rumah…” terketar dia memberi alasan
kelewatannya. Air jernih di pipi diseka berkali-kali, sudah
merah mata putihnya dan sudah bengkak kelopak matanya. Pipi yang mulus juga sudah memerah. Semuanya diperhatikan Mutiara. Faham benar dia perasaan anak guamnya saat
itu.
“Tak mengapa. Sekarang macam mana?
Puan nak teruskan dengan tuntutan ke dua?”
“Mintak cerai?”
Mutiara mengangguk perlahan. “Fasakh.”
“Sumpah, saya ke sini bukan untuk
bercerai.”
“Allah tahu hati kita…”
Mengangguk lagi dia. “Tak pernah terlintas untuk mintak itu.” Diungkapnya ayat lain meski memberi maksud
yang sama.
“Saya faham dan Allah Maha Besar, Maha Mengasihi,
Mengasihani. Sama ada wanita atau lelaki
semuanya diberi hak yang serupa di bumiNya ini.”
“Bergegar Arasy dengan tuntutan cerai
kakak.”
“Allah kan Maha Tahu? Tidak satu pun
terlepas dari perhatianNya. Saya yakin,
Allah melihat isi di dalam hati puan.”
“Tak berdosakah kakak jadinya?”
“Islam itu maha adil, tidak ada agama
lain sesucinya. Hukum syariah ada dalam
al-quran dan Allah menghalalkan perceraian yang membawa maksud pembubaran perkahwinan
di atas sebab-sebab tertentu. Dan, salah
satu yang tertentu itu adalah seperti kes puan
ini.”
“Puan peguam nak suruh kakak
bercerai?” yang itu juga dipersoalnya
sehingga dia kelihatan seperti si bodoh yang sangat bodoh.
“Saya bukan menyuruh, tapi saya bersedia
membantu kalau puan perlukan bantuan.”
Angguk Puan Jasmin ditangkap Mutiara, direnung lama. Dibiarnya terus.
“Saya ada kes lagi selepas ini. Jadi,
puan fikirkan saranan Hakim tadi dan buat keputusan sendiri. Saya tidak punya
kuasa mempengaruhi puan untuk membuat keputusan. Tapi sekiranya puan mahukan sebarang bantuan
atau nasihat, puan tahu kan? Di mana
mahu mencari saya?”
Puan Jasmin mengangguk
lagi.
“Nombor telefon saya masih ada dalam
simpanan puan?”
Puan Jasmin memeriksa
beg tangannya, mengeluar pelbagai kertas yang sudah sedikit berkeronyok, tampak
gopoh dan tergesa-gesa. Jelaslah,
fikirannya sangat tidak tenteram tika itu.
Dicari sekeping demi sekeping yang sudah berupa sampah. Mutiara tidak menunggu lagi, terus mengeluar
kad namanya, dihulur.
“Tak payah cari, ini kad saya,
simpannya baik-baik dan hubungi saya bila-bila puan perlukan bantuan.” Mutiara sudah bersedia bangun.
Sebelum sempat Puan Jasmin ikut
berdiri tegak, tangan sudah dihulurnya.
“Saya minta diri dulu, puan buatlah
keputusan, sama ada nak terus pulang atau singgah di pejabat mahkamah untuk memfailkan
tuntutan baru.”
Puan Jasmin angguk lagi.
“Terima kasih puan, lama benar sanggup
membantu saya.”
“Sudah menjadi tanggungjawab
saya.” Senyum Mutiara mahu membekalkan
sebanyak mungkin semangat kepada wanita itu.
EZETI terus senyum, panjang sungguh
lirikannya. Neor sudah bersahaja, terus
menyelak lembaran majalah, memeriksa gambar-gambarnya di situ. Di studio itu mereka akan selalu bertemu,
melunas tanggungjawab dan bekerjasama.
Artis dan juru foto dua cabang kerjaya yang saling bergantungan,
kerjasama erat dan serasi itu membuat perhubungan Ezeti dan Neor kekal
bertahun-tahun, sejak ke duanya dipertemu buat kali pertama dalam sesi rakaman
fotografi untuk sambutan Aidilfitri pertama Neor bergelar artis.
“Apa yang dibualkan dengan Ira selama waktu makan tengah hari?” Ezeti sudah tidak sabar menunggu Neor
memulakan ulasan pertemuan pertama mereka tanpa ditemani dia.
Neor menghela nafas panjang, majalah
yang dipegang dan dibelek dari awal, diletak di meja.
“Sembang biasa-biasa….” Ringan benar jawapannya.
“Tak ada yang menarik?”
“Menarik juga, tapi kawan awak tu
macam tak ada perasaan pada saya.”
“Pulak…”
“Kena saya saja yang call dia.”
“Usaha tangga kejayaan, kan?” Ezeti bersahaja, berbekal sekelumit senyum. Sibuk juga dengan kerja biasanya, membersih
cermin kecil kamera berselang seli dengan mengintip lubang gambar kamera.
Dihala ke sana
ke sini, arah yang boleh membantunya mengesan ketidak seimbangan kamera. Sering dia begitu di waktu senggangnya,
sentiasa dia mahu memastikan barang
kesayangannya itu dalam keadaan baik.
“Iya lah, kadang-kadang tu terasa
macam hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.”
Ezeti tertawa besar, kamera yang
diangkat setinggi mata, diletak di ribaan, terus tertawa. Neor ditujahnya dengan mata sedikit menyepet
dik tawa yang melebar. Neor berkerut
kening, riang Ezeti membuatnya hairan.
“Memang hidung you tak berapa
mancung, kalau dibandingkan dengan hidung lelaki Bangla,” pecah lagi tawanya yang sudah berbaki
sedikit. Sedikit lama begitu, dia
kembali mengendur. Semakin serius.
“Tetapi kalau dibandingkan dengan hidung bangsa kita,
awak boleh dikira okeylah….” Senyumnya
membuat Neor tertawa sedikit memanjang.
Lama tawa mereka meledak akhirnya
melonggar dan berpenghujung juga.
“Sejak bila aktor hebat ni sesensitif
ini?”
“Aktor juga namanya manusia biasa.”
“Bukankah yang namanya Mior Rezamudin
ini menjadi buruan wanita?”
Neor mengerling marah disindir Ezeti. Ezeti senyum, kamera yang dipegang, diletak
di meja, berhati-hati kerjanya. Majalah
yang terabai di atas meja di tengah-tengah mereka, diangkat lalu dibelek. Selembar demi selembar helaian majalah
diselak, sampai pada helaian yang
mempamer foto Neor yang dirakamnya sendiri, dia berhenti. Dibelek sedikit lama, direndah, diletak di
atas meja untuk membolehkan Neor turut memberi perhatian. Ezeti memberi komen biasa, gaya bergambar dari sudut pandangan seorang
juru foto berpengalaman. Neor menumpu
dan mengangguk-angguk juga, bersetuju.
“Harap-harapnya
lepas ni tak ada lagi kontroversi-kontroversi gila yang mengaitkan saya dengan
perempuan.”
“Hai,
takut? Sejak bila si Rezamudin ni jadi penakut?”
“Yang
namanya Rezamudin ni memang penakut, yang berani tu Neor…” bersahaja dia, Ezeti tersenyum cuma.
“Dan
yang menjadi buruan wanita pun Neor, bukan Reza. Reza hidupnya sepi sendiri.”
Ezeti
mengeluh perlahan, serius dan jatuh simpati.
“Benarlah
kata orang, anak wayang hidup umpama lilin….”
Tidak disudahkannya ayat itu.
Dibiarkan Neor mengeluh pula.
“Kadang-kadang
saya nak lari dari semua ini.” Sudah
jauh serius dia.
“Kalau
takut dilambong ombak, jangan berumah di tepian pantai, kawan…”
“Saya
tak takut, cuma tak gemar dijadikan bahan senda demi menaikkan pihak lain.”
“Awak
bukan sahaja menaikkan pihak satu lagi, tapi juga menaikkan nama sendiri
juga. Dalam dunia hiburan ini, semuanya
saling bergantungan, kan?”
“Ya,
saling bergantungan tapi pihak satu lagi, sewenang-wenangnya memijak saya untuk meraih untung.”
“Tanpa
wartawan, nama Neor tidak akan ada di akhbar dan majalah, so, redalah.”
“Saya
reda dan berterima kasih pada wartawan
semua, tapi sesetengahnya keterlaluan.”
“Tidak
akan dapat kita mengutip yang baik sahaja, setiap kali menjala, sampah juga
akan ditarik keluar. Jadi, kutip rezeki
Allah itu, asingkanlah sarapnya.
Berhati-hati dalam melakukan pengasingan itu supaya jala tidak koyak,
ikan tidak terlepas.” Bijak dia berperibahasa, Neor tidak langsung terpanggil
untuk memikirkannya. Mengeluh pula dia
perlahan.
Sedang
berbual, pejabat Ezeti diterjah Mutiara.
“Hai,
tiba-tiba aja muncul, apa hal?”
“Tak
boleh?” Mutiara senyum menangkap
keterujaan Ezeti yang sudah bangun dari sofa didudukinya sejak tadi, untuk
menyambut kedatangan tetamu.
Neor
juga turut bingkas selepas meluncurkan majalah yang diletak Ezeti di atas meja,
laju tindakannya menyelit majalah yang baharu terbit itu ke bawah meja. Mutiara
langsung tidak mempeduli, dik rasa kaget menemui lelaki itu di situ.
“Hai,
apa khabar?” Neor menyapa ramah.
Mutiara
mengangguk, senyum seraya menyebut baik,
perlahan.
“Dari
mana tadi?” Ezeti sudah mempelawa Mutiara
duduk di tempat yang didudukinya sebelum
itu sementara dia beralih ke mejanya lalu menarik sebuah kerusi beroda,
menghampir sofa. Di sebelah Neor masih
ada ruang kosong kerana sofa itu sedikit panjang dan memuatkan dua orang,
tetapi Ezeti lebih selesa menempat di kerusi yang diletak di antara dua
tetamunya.
“Dari
mana tadi?” soalan sama diaju sekali
lagi.
“Office.”
Ringkas juga jawapan Mutiara untuk soalan tidak penting Ezeti.
“Awal
balik, tak sibukkah?”
“Workshop datang ambil kereta, Ira mintak
mekanik tu drop Ira di sini.”
“Ala sorrylah, aku tak dapat tumpangkan engkau balik, aku ada appointment lepas ni.”
Mutiara
terkedu, kesal juga rupanya. “Kalau gitu, Ira ambil teksi sajalah.”
“Neor,
you kata nak balik, kan?
Why not kalau you tumpangkan Ira?”
Terpinga-pinga
Neor namun segera faham maksud yang tersirat.
“Tak
apa, saya boleh ambil teksi.” Beralih
juga Mutiara kepada Neor yang seakan berkira-kira dalam diam.
“It’s okay, I boleh hantarkan. Kereta you kenapa?”
“Mekap.” Ezeti membantu Mutiara menjawab.
“O.”
mengangguk-angguk Neor, faham.
“Kalau nak tahu, buah hati awak ni
memang selalu memekap keretanya. Dalam setahun berkali-kali menambah
macam-macam dan membuang macam-macam.”
Mutiara tidak membantah Ezeti membentang minatnya,
senyum dia mengakui.
“Satu aktiviti yang baik. Tapi tak membazir ke?”
“Dia ni kemut pat lain, kalau fasal
kereta, dia tak kedekut.”
Mutiara tertawa pula, perlahan.
Neor mengangguk perlahan, faham apa
yang dimaksudkan Ezeti. Tidak juga mahu
menelingkah atau merendahkan minat dan hobi Mutiara itu, masing-masing ada kegemaran sendiri. Itu diperhitungnya sendiri.
“Nak balik sekarang ke? Jom?”
Mutiara memandang Ezeti, Ezeti
menjungkit bahu, menyerahkan keputusan pada
Mutiara sendiri.
“You
free ke?” Mutiara meragui keselesaan Neor membantunya.
“Yes,
sure. Saya memang nak gerak dah ni.”
Mutiara
senyum seraya mengangguk. “Tapi kalau you nak bersembang lagi dengan Zet,
kita boleh duduk dulu sini. Kejap-kejap lagilah kita balik.”
“Tak
apa, saya memang dah lama dekat sini. Zet
pun ada hal, tak boleh lagi diganggu.” Neor
bingkas, menunjuk kesungguhannya. Kunci
kereta dan telefon bimbit di atas meja kecil di hadapannya dikutip satu
persatu, disimpan ke dalam poket seluar.
“IRA
nak terus balik ke?”
Mutiara
tidak terus menjawab, sebaliknya menunggu alasan kepada soalan Neor.
“Kita singgah minum dulu?”
Mutiara senyum cuma, angguk hanya perlahan benar.
Neor
senyum juga, girang sungguh. “Nak minum dekat
mana?”
“Up to you…”
“Kali
ni saya bagi peluang Ira buat pemilihan
tempat.”
Mutiara
senyum cuba mengingat-ingat di mana sesuai untuk mereka duduk minum sambil berbual.
p class=