Home Novel Keluarga SAKITNYA CINTA
SAKITNYA CINTA
Ramlah Rashid
11/1/2013 23:01:20
48,506
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 12

BERSANDAR Tuan Jaafar di sofa, sesi ramah mesra santai-santaian bersama anak dan menantu. Sudah ditanya asal keturunannya serta keupayaannya menjaga Mutiara.  Neor menjawab setelus mungkin, berusaha agar tidak gagal temuduga dahsyat itu.  Meski Tuan Jaafar sudah terselamat dari landasan bahaya penyakitnya namun para pegawai perubatan tetap mahu dia berhati-hati dan menjaga kesihatan serta perasaan.  Kepada Puan Sumira  dan Mutiara   juga diberi penerangan yang serupa.

Kata Doktor Mohammed, penghidap penyakit jantung biasanya akan kembali bahaya apabila emosinya terganggu.   

Dari dalam kapal terbang lagi Mutiara    sudah memberi sedikit gambaran berkenaan Tuan Jaafar kepada Neor, apa yang tidak digemarinya dan apa yang sangat-sangat disukai.  Tuan Jaafar begitu menjaga protokol dan  imej diri serta keluarga.  Jika tidak berkenan di hatinya, dia akan menyingkir orang itu dari dalam hidupnya dan Tuan Jaafar juga pendendam dan jarang memendam.  Yang tidak digemari, terus dikatakan dia tidak suka. Jika suka, akan bertalu-talu memuji dan terus menyayangi. Itu diberitahu Mutiara    agar Neor sebaik mungkin menjaga peradaban.

“Saya orang biasa-biasa, lahir di kampung,  tidak berpelajaran tinggi dan tidak punya harta bertimbun.  Malah keluarga saya hanya keluarga sederhana yang terus menetap di pusaka peninggalan ayah yang hanya sekangkang kera.”  Neor menjelaskan agar Mutiara   tidak akan rasa tertipu mengahwininya.

“Tapi saya ada cinta bertimbun untuk membahagiakan Ira.” 

Mutiara  senyum mengangguk, sudah terhakis rasa tidak senang terhadap kerjaya Neor.  Sebaik menjadi  suamiku, akan ku atur gaya hidupnya.  Tinggalkan sahaja kerjaya seni dan lakonan,  cari kerjaya lain yang lebih molek di mata keluarga.  Itu rencananya sendiri.  Dan sedaya mungkin akan menyembunyi siapa Neor, tidak mungkin diberitahu orang tuanya.  Biarlah itu menjadi rahsia…

Tiba-tiba tanpa disangka Tuan Jaafar menyoal Neor berkenaan kerjaya.  Pertanyaan Tuan Jaafar benar-benar merentap tangkai semangat Mutiara.  Kembali fikirannya ke tengah-tengah orang tuanya dan Neor.

“Abang Neor  berniaga sendiri.  Tak berapa besar, tapi cukup untuk kami berdua.” 

“Oh, bagus.  Sembilan puluh sembilan peratus rezeki datangnya dari berniaga.  Berniaga lebih bebas dan lebih mudah untuk memajukan diri.  Lebih banyak untung dan lebih ruang untuk memajukan diri.  I  suka orang berniaga.”

Neor terkulat-kulat sendiri. Tidak dibincangnya bersama Mutiara   jawapan begitu untuk soalan begitu.  Tidak menyangka dia akan ditemuduga juga begitu.  Puan Sumira  hanya senyum, terus setia di sisi Tuan Jaafar.  Sesekali digosok-gosoknya tangan Tuan Jaafar yang tampak lebam kesan tusukan jarum selama  waktu dia terlantar di katil hospital. Neor cemas juga, apa jenis perniagaan yang mungkin dinyatakan sekiranya Tuan Jaafar bertanyakan itu.  Tetapi jelaslah, Mutiara  lebih bersedia dari dia sendiri.

“Walid jangan banyak bercakap, doktor kata walid kena banyak berehat.”

Tuan Jaafar mengangguk seraya tersenyum manis.  Tampak sayang benar dia pada anak gadisnya.  Diperhatikan Neor dengan mata hati.

“Ira ada kakak kembar.  Tapi langsung tak seiras.”

“Oh,” terpinga Neor.  Langsung tidak diketahuinya namun angguk juga dia.

“Dari rupa paras sampailah kepada perangai masing-masing, langsung tak serupa. Kakaknya keras, degil.”  Sedikit beremosi dia menuturkan rasa tidak senangnya pada saudara kembar Mutiara. 

Neor diam cuma, angguk terus. Kosong.

“Tak bijak dalam merangka masa depan.”  Tuan Jaafar masih tidak berpuas hati.

“Walid….”  Mutiara  mengerling, meski ada manis dalam senyum namun terselit benci.  Tidak gemar kenyataan Tuan Jaafar itu, tidak mahu Ezeti diburukkan di hadapan Neor.  Langsung juga dia  tidak terfikir Neor masih tidak mengetahui perhubungan antara mereka. 

“Nak berbulan madu di mana nanti?”  itu pula ditanyakan Tuan Jaafar selepas menyedari cerita berkenaan Ezeti  tidak disenangi Mutiara  dan dia sendiri tidak gemar mencemar suasana meriah itu dengan cerita berkenaan anak buangannya.

Neor menoleh Mutiara   di sebelah, senyum memanis juga.

“Kami tak rancang lagi.  Ira sebuk, Neor pun tak free di waktu-waktu terdekat ni.  Kahwin pun mendadak begini, belum sempat plan lagi.”

Neor mengangguk juga, senyum dia mempersetujui alasan itu.  Memang mereka belum pernah   membincangkan perkara itu.

“Bagus.  Lelaki mesti mengutamakan kerjaya.  Berbulan madu bila-bila pun boleh.”  Sesekali kedengaran Tuan Jaafar terbatuk kecil seraya memegang dada dengan tangan kanan.

“Walid…”  Mutiara   sedikit cemas.

“Walid ok…”  senyumnya manis.

“Maafkan walid, Neor.”

“Kenapa?”

“Neor terpaksa nikah di wad hospital.  Tak pernah dibuat orang.”  Kesal bunyinya namun tersenyum senang, menganggap juga upacara itu melucukan.

“Tak pernah orang buat, kita buat.”  Senda Neor berbau memujuk.  Senyumnya manis.

Terangguk-angguk Tuan Jaafar, mengeluh pula dia perlahan.  “Tapi walid janji, majlis malam nanti pasti meriah.”

“Kalau walid belum sihat benar, majlis itu kita tangguhkan dulu.”

“Tak boleh, semua sudah diatur, jemputan sudah menyatakan kesudian kehadiran masing-masing.”  Dia menolak saranan Neor.

“Tapi walid tak sihat.”

“Yang penting pengantin sihat.”   Puan Sumira  pula mencelah, tertawa dia perlahan.  Tangan Tuan Jaafar yang kekal diribanya, ditepuk-tepuk perlahan memujuk dan memanjakan pastinya.

Tuan Jaafar turut tertawa, juga perlahan.  Digosoknya perlahan permukaan dada dengan tangan kiri.  Nafas panjang dihela perlahan.

“Malam esok hotel bertaraf 5 bintang di Bandar Seri Begawan ini akan bergemerlapan,  mencatat sejarah hari bahagia puteri walid.”  Manis senyumnya merenung Mutiara  kemudian Neor.

“Terima kasih walid, umi.”

“Sama-sama, tapi sepatutnya walid yang berterima kasih pada Ira dan Neor, membantu mengembalikan nyawa walid.”

“Saya tak membantu apa-apa.  Sebaliknya walid membantu saya merealisasikan impian saya mengahwini puteri bongsu walid.  Saya bersyukur sangat.  Semudahnya saya sudah menjadi suami Ira.  Terima kasih juga umi.”

Puan Sumira mengangguk berkali-kali, senyum tidak lekang di bibirnya.  Tuan Jaafar juga bermandi girang yang bukan sedikit.

So, berapa hari di sini?”  

“Kalau boleh, duduklah lama sikit…”   Puan Sumira menyambung pertanyaan suaminya.

Mutiara   memandang Neor di sisi, mungkin menunggu sebarang buah fikiran suami.  

“Saya tak kisah, terserah Ira.”  Terlalu perlahan ungkapannya, hanya mahu Mutiara   mendengar dan menyampaikan keputusan sebulat suara mereka kepada Tuan Jaafar dan isteri.

“Ira masih ada banyak kes tertunggak. Selasa depan dah nak masuk mahkamah lagi.  Jadi, Isnin petang rasanya kami terpaksa bertolak balik.”  Mutiara   membuat keputusan bagi pihak suami.

“Baiklah,  itu pun dah kira lamalah tu….”   Tuan Jaafar berpuas hati.  “Cuma kalau boleh, walid nak berlama-lama dengan Ira dan Neor.”

“Lain kali kami ke sini lagi, kali ini tergesa-gesa sebab walid tak sihat.  Lain kali kami ambik cuti panjang khas untuk temankan walid dan umi.”

Panjang senyum Tuan Jaafar mengangguk dia berkali-kali. 

“Nanti bila-bila senang kita pulak pergi melawat Ira dengan Neor.”  Pinta Puan Sumira.  Tuan Jaafar mengangguk lagi.

Mutiara  tampak kurang senang permintaan itu namun senyum juga, berpura-pura mengalu-alukan kunjungan orang tuanya.

Malam itu bukan sahaja berupa malam pengantin kepada pasangan pengatin baharu itu tetapi juga sesi suai kenal keluarga Mutiara   dan Neor  juga siri perkenalan Neor ke atas diri Mutiara.  Baharu malam itu dia menyedari keterlibatan Mutiara dengan mahkamah namun masih tidak mengetahui siapa Mutiara   di sebalik urusannya dengan perbicaraan. 

Kerani mahkamah, setiausaha peguam, peguam atau hakim? Atau polis mahkamah.  Aduh, pening.  Neor cuba menyembunyi perasaan ingin tahunya kerana dia sudah menyatakan sejak awal perkenalan mereka, dia tidak peduli siapa Mutiara, yang penting adalah penerimaan serta hati dan perasaan masing-masing. 

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.