MASIH lagi dia duduk di kerusi,
menunggu Ezeti melunaskan kerja. Tampak professional dia merakam setiap aksi
pasangan pengantin itu. Mutiara memuji
sendiri, kagum. Sesampainya dia di situ,
Ezeti sudah memintanya menunggu dia menyelesai setengah jam lagi dan katanya jika dia ada urusan lain, boleh saja
melunaskan kerjanya dan kembali ke situ setengah jam kemudian, selepas selesai pengambaran di studeo itu.
Mutiara memilih untuk menunggu
sambil menonton aksi-aksi bersahaja pasangan pengantin. Tertarik dia.
Aku kekok kalau diminta bergambar
macam tu, malu. Senyum dia mendengar
bisikan sendiri.
Setengah jam berlalu, pasangan
merpati itu bersedia meninggalkan studio sementara Ezeti berkemas dengan
dibantu pekerjanya.
“Hai, tak busy hari ni?”
Mutiara menggeleng perlahan. Ezeti
mengambil tempat di sofa yang masih kosong, berhadapan Mutiara.
“Apa cerita?” ulangnya selepas menetapkan diri.
“Tak kan tak boleh datang melawat saudara
sendiri?”
“Bukan tak boleh, tapi selalunya lawyer ni sibuk benar. Mana ada masa untuk borak kosong gini.”
Mutiara senyum, mata Ezeti ditujahnya. Segumpal resah cuba disembunyi namun Ezeti nampak
juga. Dia hanya menunggu.
“Lama awak tak balik?”
Ezeti senyum juga.
“Baliklah sesekali.”
“Sibuk, nantilah free sikit aku balik. Itu saja
ke perkaranya yang membuat engkau ke sini?”
masih mahu ditembak burung yang terbang rendah.
“Dia tu orang gila ke?” tiba-tiba itu yang ditanyakan tanpa sebarang
pembayang, seakan berbisik namun jelas didengar Ezeti.
“Siapa?” berpura-pura memerhati sekeliling. Dalam studio sederhana besar itu tidak
kelihatan sesiapa kecuali mereka berdua.
“Kawan awak hari tu.”
“O Neor, kenapa?”
“Macam tak betul je?”
“O, ya ke? tak tahu pulak. Tapi apa hujahnya yang menyebabkan cik peguam
kata dia gila?” serius bunyinya tapi
tetap bersenda.
“Malam tadi call Ira, bagitahu perasaannya.”
“Apa perasaannya?”
“Cinta.”
“Oh, ya?”
Mutiara mengangguk perlahan. Renungan
Ezeti disambutnya.
“Cinta pada siapa?”
Mutiara sekadar menunjuk dada dengan jari telunjuk.
“Cinta engkau?” masih mahu menyuluh meski sudah terang
benar.
Mutiara mengangguk perlahan, tiada senyum di bibirnya,
kucam juga tidak. Ezeti senyum manis.
“Tak kan orang gila saja tahu menyebut
cinta?” bersahaja dia.
“Jangan main-main…”
“No,
I’am serius.” Ezeti menyangkal dia sedang mempermainkan.
“Ira terima tak?”
Mutiara mencebir seraya menggeleng perlahan.
“Kenapa?”
“Datang mendadak gitu, takut.”
Ezeti tertawa perlahan, tampak
mengawal tawa meski kata-kata Mutiara menggamitnya tertawa besar. Sehabis tawa perlahan itu dia mengeluh pula juga
perlahan, tidak tampak bosan sebaliknya
sedikit gembira.
“Bukankah cinta itu dari mata turun
ke hati?” manis wajahnya, Mutiara direnung.
“Tadi awak kata, cinta itu buta?”
Ezeti tertawa lagi, sedikit kuat dan
berlarutan agak lama. Mutiara menujah
dengan kening berkerut.
“Apahal ni?”
“Hari ni, puan lawyer ni nampak bodoh sangat.”
Tawanya yang sudah berakhir, kembali meledak.
Mutiara menumpang tawa, tidak sekuat
tawa Ezeti, sekadar tercuit hati pada
senda itu. Mulut terus ditutup
dengan tangan kanan, malu tawa yang sedikit melantun. Itu gayanya acap kali tertawa. Jarang memperlihat barisan mutira dalam
mulutnya yang memutih cantik.
“Zet serius….” Merayu bunyinya dia.
Ezeti melangsungkan tawanya lagi
sedikit jauh sebelum mengakhiri dengan senyum manis.
“Okey, kita berbincang serius.” Sejurus tawanya berakhir, senyum juga
disimpan.
“Neor memang suka pada engkau, kali
pertama dia nampak engkau melintas di hadapan restoran dekat office engkau, dia
dah jatuh suka. Berusaha dijejaknya
siapa engkau, di mana bekerja, di mana tinggal.”
Mutiara hanya diam, terus menumpu.
“Sewaktu kita ke rumah anak-anak
yatim hari tu, membenihkan lagi cintanya.”
“Awak ni dah macam pakar cinta pulak.” Mutiara mentertawakan Ezeti yang bersungguh-sungguh
namun tawanya singkat benar. Meski tidak
seberani Ezeti yang tertawa lepas, memuntahkan apa yang menggelikan namun
sesekali, rentak tawa mereka seakan sama.
“Aku nampak je brutal, tapi jiwa halus….”
Serius dia namun jelas bersenda.
“Oh, okey.” Turut serius meski
menyambut senda Ezeti.
“Tak salah kalau Ira mencuba kali ni, mana tahu berjodohan, kan?”
Mutiara tertawa perlahan, mersik tawanya. Tidak berasa geli hati, cuma tindakbalas
dari sokongan Ezeti untuk dia menerima Neor.
“Awak pun kena mencuba juga.”
“Aku nak juga cuba, tapi belum ada yang tampil
menawarkan cinta. So… tunggu ajalah. Dan tak
salah kalau engkau mendahului.”
“Tak apa ya?” Mutiara senyum pula, mengusik.
Ezeti mengangguk, menyebut tidak
mengapa dengan hanya gerakan bibir.
“Itu dikira langkah bendul?”
“Tak kisah, siapa dulu,
didahulukan. Tidak kan aku mintak sepersalinan.”
“Betul?” senyum Mutiara tampak menawan.
“O ho, yang awak menolak Neor tu
bukanlah sebab tak suka, tak cinta, tapi sebab takut langkah bendullah…?” Ezeti tertawa kuat seraya memegang tangan Mutiara
lalu menariknya ke ribaan. Gembira benar
rupanya dia.
Mutiara ikut tertawa tetapi tidak
sekuat tawa Ezeti.
“Ha, aku dah tau jawapannya.” Tangan Mutiara dilepasnya lalu mencapai telefon
bimbit untuk menghubungi Neor untuk menyampaikan berita baik itu.
Mutiara menghalang, malu katanya
perlahan.
“Soal cinta tak boleh ditangguh, kena
cepat bertindak sebelum disambar garuda
lain.”
“Ramai ke yang menunggu dia?”
Ezeti termenung, mata Mutiara ditikamnya
juga. Cuba dicari jawapan pasti, akhirnya
tersenyum longgar dia seraya mencebir dan menjungkit bahu. Mutiara mengerling seraya tersenyum juga.
“Nak aku tolong bagi jawapan tak ni?”
“Tak payah kut.”
“Kut?” Ezeti masih mahu bersenda.
“Biarlah dulu.”
“Okeylah. Kalau nanti engkau nak aku tolong, bagitahu
aje.” Telefon bimbit diletaknya semula.
Baharu beberapa detik terdampar di
meja di sisi lengan Ezeti, nada panggilan berlagu pula. Serentak dua wanita itu menujah ke situ. Ezeti membaca nama tertera, senyum dia
memberitahu Mutiara suara siapa dibawa gelombang.
Mutiara terpinga seketika namun tidak bertanya siapa, sebaliknya membiar
Ezeti menjawap panggilan.
“Wei.” Disambut teguran nakal itu dengan tawa nakal
juga. Begitu selalunya mereka
berteguran, sering disulam gurau senda dan mesra. Mutiara membiar, manis senyumnya.
“Neor.” Terlalu perlahan, hanya dengan gerakan bibir,
Mutiara sudah jelas siapa di kejauhan.
“Kat mana ni?” sedikit lama menunggu jawapan Neor.
“Dah habis kerja?” mengangguk-angguk dia perlahan, memberi erti
faham penerangan Neor.
“Apa hal telefon ni? Nak belanja minum lagi ke? Dah kembung dah,
asyik-asyik belanja air aja.” Ezeti
pantas menekan butang loud speaker
untuk Mutiara bebas mendengar.
“Saya ada benda nak kongsi dengan
awak.”
“Apa tu?”senyum Ezeti menguja,
matanya sirna merenung Mutiara yang sudah turut mendengar.
“Saya dah cuba memancing, tapi jelaslah dia
tak berminat pada saya.”
“Oh, ya?”
“Dia berterus-terang tak berminat
pada awak?”
Neor diam pula.
“Saya reda…” itu pula dijawabnya meski soalan Ezeti
bercorak lain.
“Usah mudah berputus asa. Cuba lagi.”
“Mungkin saya tidak ada karisma yang
dicarinya.”
Ezeti tertawa sedikit lama. Direnungnya Mutiara di kerusi hadapan. Kedudukan mereka sedikit rapat, bercantum
lutut, untuk memberi peluang Mutiara mendengar perbualannya bersama Neor. Mutiara senyum malu, tertunduk menyembunyi
rona merah di kulit wajahnya yang mulus.
Ezeti memberi isyarat untuk Mutiara mengambil
alih, berbicara terus dengan Neor yang ternyata sedang kecewa. Mutiara menggeleng seraya mencebir, masih belum bersedia dia. Ezeti akur, terus juga mempermain Neor.
“Jangan kecewa dulu ya? Kalau ada
jodoh, tak kan
ke mana….” Mendatar nasihatnya seakan
memberi motivasi.
Mutiara bangun selepas menunjuk ke
arah tandas. Ezeti sekadar mengangguk,
membenarkan. Butang loud speaker ditekan pula, tidak lagi mahu sesiapa mendengar suara Neor.
“Nak saya bagitahu dia betapa jujur
dan bersihnya hati awak?”
“No,
tak perlu.”
“Kenapa?”
“Saya cuma nak diterima seadanya
saya, betapa ikhlasnya saya, begitu juga yang saya harapkan dari dia.”
Ezeti bersetuju sahaja, tidak
membantah, tidak juga memberi cadangan. Ezeti
turut mencadangkan Neor menghubungi Mutiara lagi pada malamnya. Katanya perempuan tidak semudahnya menerima
cinta lelaki yang datang mendadak.
Sebaliknya akan mengambil kira kesungguhan. Neor mengeluh perlahan, kedengaran berat benar
tetapi bersedia menurut nasihat sahabat itu.
“Awak tak nak tahu pasal
keluarganya?”
“Selepas saya mendapatkannya nanti,
saya nak dia sendiri menceritakan. Bukan dari orang lain, tapi dari dia.”
Ezeti tertawa perlahan.
“Selepas jauh mengenalinya, saya
takut awak akan kecewa apabila mengetahui siapa keluarganya.”
“Saya hendak mengahwininya bukan
keluarganya.”
“Tapi mengahwininya bererti
mengahwini keluarganya sekali. Itu
adalah prinsib orang Melayu, kan?
Orang Timur dan orang Islam.”
“Demi cinta saya, saya tidak akan
berkira sangat. Saya akan menerima dia
seadanya. Biar dari mana dia
datang, bagaimana keluarganya, saya akan
terima semua. Saya harap dia juga begitu.
Saya bukan dari keluarga berada, hartawan dan jutawan jauh sekali.”
“Okey, kalau sudah begitu kata
awak. Berusahalah untuk mendapatkannya
dan bersusah senanglah dengan dia.”
SEMINGGU bertolak dari malam Neor
mencurah rasa, Mutiara terus terbiar lengang.
Neor tidak langsung menghubungi, mengulang kata cinta tidak, bertanya
khabar juga tidak. Sepi terus. Mutiara sendiri terus dihimpit kesibukan,
sepanjang pagi sibuk di kamar mahkamah, pulang ke pejabat meneruskan kertas
kerja-kertas kerja rumusan dan perancangan selanjutnya. Berakhir urusannya
sebelum senja mendatang, memandu pula pulang ke rumah membawa padat perancangan
untuk keesokannya.
Dia sendiri sudah melupakan lamaran
cinta Neor, meski sehari dua selepas lamaran pertama dia menunggu-nunggu juga
lamaran ke dua dan dia rasanya sudah bersedia mengangguk ‘ya’. Namun masa
berlalu, Mutiara kembali menjadi dirinya, hanya kerjaya, diri sendiri dan
keluarga menjadi kepentingan ke dua dan ke tiga. Ezeti juga tidak menyebut
apa-apa meski menghubunginya tengah hari itu, sekadar bertanya khabar.
Tenang dia memandu ke mahkamah, meski
jadual sebutan kesnya sudah ditetapkan jam sepuluh pagi, namun seperti biasa dia
gemar bersedia lebih awal. Menunggu anak guam di luar kamar mahkamah lebih baik
baginya dari menunggu panggilan mereka.
Jam di dash board kereta
dikerlingnya, masih ada satu jam setengah lagi, bisiknya perlahan. Mengangguk dia beberapa kali, berasa lega dan
yakin aturan waktu olehnya sendiri.
Telefon bimbit bernada panggilan,
tidak lama dibiarkan, dijawabnya sambil membetulkan alat pendengaran bebas
pegang di telinga kiri. Salam rakan
kongsinya dijawab ringkas, senyum juga seperti kebiasaan. Mutiara turut memaklumkan dia sedang memandu
menuju ke mahkamah. Mengangguk beberapa kali dan menjawab ‘ya’ juga beberapa
kali. Panggilan yang tidak begitu
penting itu ditamatkan selepas menjawab salam sekali lagi. Kembali dia menumpu pada pemanduan. Tenang mengharung kesesakan biasa. Sudah saban hari begitu, dia sudah tidak
berasa tertekan lagi sambil melayan radio yang terus berkumandang dan sesekali jenaka DJ yang
mengendali rancangan berjaya mencuit hati.
Sekali lagi telefon bernada
panggp class=ilan, dia memberi salam sambil lewa, menyangka setiausahanya terlupa
sesuatu dan mahu memaklumkan waktu itu juga.
Salamnya disambut suara lelaki, Mutiara masih bersahaja, menyangka
panggilan itu seperti panggilan-panggilan yang
biasa diterima. Alat bebas pegang
di telinga dibetulkan lagi, mahu lebih jelas, lebih tepat mendengar.
“Siapa ni?” itu ditanyanya selepas
lelaki di kejauhan bertanya perkara santai yang sering ditanyakan rakan-rakan.
“Tak save nombor saya lagi ke?”
“Maaf, saya tak tengok nombor yang
masuk, sebab saya sedang memandu.”
“O, sorry. Kiranya salah
waktulah saya call?”
“No,
saya guna year phone. So,
saudara boleh teruskan.” Lembut teratur
mengucapannya.
“Pertamanya, saya Neor. Meor Rezamudin Meor Ahmad.”
Berterus terang, membuat Mutiara terkedu sedetik.
“Hello?” Neor menyapa lembut, menyangka Mutiara sudah
tiada di talian.
“Ya, I’am here.”
“Sorry
menganggu.”
“Tak apa.”
“Saya bercadang nak ajak you breakfast.”
“Sorrylah,
saya tak free pagi ni. Ada
temu janji penting.”
“O, okey. Lain kali saja.”
“Ya.”
Mutiara bersedia menamatkan panggilan. Kaki sibuk menekan break untuk berhenti di lampu isyarat
merah.
“Tengah hari ni free?” Neor masih
bertawar-menawar.
Mutiara mengerling jam kereta lagi,
mahu memastikan waktu tika itu dan membuat pengiraan rambang jarak masa
sehingga sampai waktu makan tengah hari.
“Boleh?” Neor menerjah, bunyinya mendesak.
“Saya cuba.”
“Ok, saya dah booking set luch di restoran Paya Serai, saya tunggu di sana nanti. Kalau free,
datanglah. Saya tunggu.” Panggilan terus
dimatikan, tidak memberi peluang Mutiara berkata apa-apa lagi.
Mengeluh Mutiara perlahan, bimbang
tidak berjaya melunaskan temujanji tidak rasmi itu. Namun senyum juga, berakhir
penantiannya sepanjang seminggu itu.
Aku ni umur bukan muda lagi, tapi
macam budak-budak gak kadang-kadang tu. Yang
cemas sangat kenapa? Nak berharap sangat pada lelaki nak buat apa? Layan
ala kadar sudah. Dia mentertawa diri
sendiri.
MUTIARA melangkah tenang, di hadapannya penyambut tetamu
berjalan tertip menemani. Dari kejauhan
kelihatan Neor asyik dengan telefon
pintarnya melayari internet sendirian tanpa
menghirau sekitar.
Mutiara kian berdebar, berlainan benar rasa
perasaannya. Sudah banyak ditemui
termasuk kerabat-kerabat di Raja dan pemimpin peringkat tertinggi negara, tetapi
belum lagi dia segementar itu.
“Hai.” Belum sempat dia memberi salam, Neor sudah terlebih
dahulu bangun, menyapa mesra. Tangan
dihulurnya memberi maksud mempersilakan, sebaik penyambut tetamu yang
mengiringi, merenggang kerusi untuk Mutiara di hadapannya.
Mutiara hanya angguk, senyum dan
mengucap terima kasih dalam bahasa Inggeris. Terlalu perlahan ucapannya kepada
penyambut tetamu lelaki itu dan Neor juga.
Neor mengangguk juga, turut mengucap terima kasih kepada lelaki awal dua
puluhan itu sebelum dia berlalu.
Mutiara memerhati sekitar, mencari
seseorang. “Zet mana?”
“Zet?” Neor turut berkerut.
“Sorry,
saya sangka, Neor bersama Ezeti ke sini?”
“No,
luch ini khas untuk kita berdua aja.
You tak selesa? Nak saya
panggilkan dia?” telefon terdampar di
meja dikerlingnya.
“Nak panggil siapa?”
“Ezeti?”
“No,
it’s ok. Cuma saya sangka, you akan
bersama Ezeti.” Mutiara mengangguk perlahan, beberapa kali. Tersenyum lembut.
Neor mengangguk juga perlahan,
beberapa kali. Senyum dia, berasa lega. Suasana tenang, sudut yang sedikit tersorok
dan sedikit terasing jauh dari mata-mata nakal yang memungkinkan Neor
diintip. Pun begitu, bersiap sedia juga
dia. Fesyen rambutnya di tukar, turut
mengenakan kaca mata berbentuk empat segi berbingkai putih. Tampak bergaya dengan ketampanannya tetapi
tidak langsung seperti gaya
dia di dunia glamour. Dia jelas lebih
berwibawa, lebih matang dan lebih berilmu.
“Saya harap, saya tidak mengganggu Ira.”
“No,
memang waktu makan tengah hari saya.”
Neor mengangguk dua kali,
bersungguh-sungguh. Pelayan datang
meminta izin menu yang dipesan Neor mahu dihidangkan. Neor mengangguk seraya mengucap terima kasih
dalam bahasa Inggeris, perlahan. Mutiara
turut senyum dan mengangguk.
“Ada pesanan lain?”
Neor memandang Mutiara, “saya memesan
mengikut citarasa saya, kalau Ira nak buat
penambahan, silakan.” Dia menunjuk
senarai menu yang sedia terbentang di atas meja.
Mutiara memerhati setiap yang
ditunjuk Neor. “Rasanya cukup, kut.”
“Ira
nak apa-apa lagi?”
“No,
thanks.”
“Dessert?”
pelayan menunjuk beberapa jenis pencuci mulut, juga di dalam senarai menu.
Neor memberi penghormatan Mutiara membuat
pilihan. Dua jenis pencuci mulut berupa
campuran buah-buahan bersama ais krim menjadi pilihannya.
“Ini selepas makan, ya?” pelayan mahukan pengesahan.
Neor dan Mutiara mengangguk hampir
serentak, membenar pelayan pergi dan nantinya akan kembali lagi membawa
hidangan. Neor menekan suiz off telefon bimbitnya, lalu diletak
semula di sisi lengan kanan. Dibiar
terabai.
“Kenapa tutup phone?”
“Saya tak nak diganggu selama bersama
Ira.”
Mutiara senyum sinis. Menggeleng juga perlahan.
“Saya tak biasa membiarkan diri saya
terasing dengan dunia luar.”
“Up
to you. Saya tak akan meminta Ira melakukan apa yang saya lakukan. Kalau Ira
selesa, teruskan kebiasaan itu.
Bagi saya, masa saya bersama Ira, saya hendakkan keterasingan itu. Privacy.”
Mutiara sekadar senyum sumbing,
membiar pelayan menyusun set makan tengah hari untuk dua orang. Ezeti kata, Mutiara gemar makanan begitu,
yang ringkas, tidak begitu berat tetapi lengkap. Mutiara jarang makan tengah hari yang berat-berat
mengikut kebiasaan orang Melayu Malaysia.
Pun begitu, tidak menolak jika dijamu.
Cuma untuk memikat hati, perlulah mengikut kegemarannya. Itu kata Ezeti kepada Neor sewaktu Neor
meminta sedikit tips untuk menambat hati gadis itu.
Lima minit hanya memberi laluan kepada sepi. Riang ke duanya terus menikmati hidangan
dengan kembangan yang berbau mawar.
Sesekali senyum keduanya manis juga apabila mata berlaga tidak sengaja,
bersinar bahagia. Mutiara berusaha berlagak berani, Neor pula tampil lelaki yang bersedia
melindungi. Redup renungannya, manis
senyumnya benar-benar pahlawan wanita. Mutiara
benar-benar rasa terlindung dan dilindung.
.”