Titisan hujan dari langit semakin melebat. Bunyi derunya yang
kuat sesekali menenggelamkan suara Pak Jaafar dan Mak cik Zaitun yang bertegang
leher semenjak tadi.
“Tergamak awak hendak mengahwinkan Ati dengan lelaki tua? Dia
tu anak saudara aku, bukannya anak saudara awak!”tempik Mak cik Zaitun yang
hilang sabar. Hari ini bukan kali pertama mereka bertengkar dan bergaduh atas hal
yang serupa. Hati Mak cik Zaitun tidak akan berasa puas selagi suaminya itu
tidak membatalkan niat jahatnya itu untuk mengahwinkan anak saudaranya dengan
lelaki tua ganyut itu.
“Biarlah dia kahwin dengan pilihan hatinya sendiri! Yang lebih
kurang sebaya dengan dia! Bukannya dengan lelaki yang boleh dipanggil atuk!”
“Eh, Tun! Ati tak menolakkan? Lagipun Aji Kudus banyak harta.
Dia pun sudah bersetuju untuk membawa hantaran lima ribu ringgit! Safwan anak
kita tu perlukan duit untuk belanja pengajiannya!”balas Pak Jaafar dengan suara
kuat sehingga tegang urat-urat di lehernya. Safwan, anak lelaki tunggal mereka.
“Apa kena mengenanya antara perkahwinan Aji Kudus dan Aryati
dengan pengajian Safwan?”soal Mak cik Zaitun sambil merenung tajam. Kecurigaan
yang membenih kian menyubur. Suaminya itu bukannya boleh dipercayai sangat
dalam hal duit!
“Safwan nak pergi belajar di Sabah,kan?”tanya Pak Jaafar pula. Sabah itu di negeri yang
jauh. Bukannya sedikit wang yang diperlukan sebagai tambang dan perbelanjaan.
“Iya, Safwan nak ke Sabah,tapi kenapa pula Ati yang kena jadi
taruhan?”bidas Mak cik Zaitun yang tidak mampu lagi bersabar. Fikirannya mula
meneka apa yang sedang bertunas di fikiran suaminya itu. Memang ada sesetengah
manusia yang rajin menggunakan akal untuk mengambil kesempatan atas sesuatu
tetapi malas menggunakan akal dan tulang empat kerat untuk mengusahakan sesuatu
yang boleh mendatangkan pendapatan buat keperluan keluarga.
“Ati mesti kahwin dengan Aji Kudus! Tak dapat tidak!”tegas Pak
Jaafar. Walau apapun yang terjadi dia mesti kahwinkan Aryati dengan Aji Kudus. Aji
Kudus sudah berulang kali memberitahu kepadanya yang dia begitu berkenan kepada
Aryati yang memang menjadi pembantu di kedainya di pekan. Tambahan pula dia
tidak mempunyai anak perempuan.
“Duit untuk Safwan tu biar aku yang mencarinya. Selama ini pun
aku yang terbongkok-bongkok setiap pagi menyembah pokok getah untuk cari duit,
beri anak-anak makan dan sekolah!”bidas Mak cik Zaitun. Peluang yang datang
untuk dia menghamburkan kemarahannya kepada suaminya itu digunakan secukupnya.
“Awak hanya tahu mengahwinkan anak! Lepas mereka habis sekolah
sahaja awak kahwinkan! Awak tak bagi langsung mereka mencapai cita-cita!”tempik
Mak cik Zaitun melepaskan geram yang selama ini terpendam.
Sikap Pak Jaafar yang tidak bertanggungjawab terhadap
anak-anak membuatkan dia merana. Anak-anak perempuannya merana. Lima orang anak
perempuannya berkahwin kerana dipaksa oleh ayah mereka.
“Kau jangan nak mengungkit!”tempelak Pak Jaafar sambil
menudingkan jari telunjuknya kepada Mak cik Zaitun. Tercabar kelelakiannya jika
isterinya itu memperlekehkannya.
“Mengungkit apanya? Tak betul ke selama ini aku yang
terbongkok-bongkok pergi mencakar pokok getah tu pada setiap hari! Awak ni
taunya duduk di kedai kopi. Main terup..main dam! Main terup..main dam! Macam
inilah lelaki! Jangan-jangan Aji Kudus tu sama macam awak! Nanti Ati yang akan
merana!”
“Tun! Berapa kali aku nak cakap? Dari semalam lagi aku dah
bagitau, Ati mesti kahwin dengan Aji Kudus itu juga. Aku tidak peduli…”tempik
Pak Jaafar lagi.
“Ati tu muda sangat lagi!”sanggah Mak cik Zaitun. Sanggul yang
terlerai cepat-cepat dikemaskannya kembali. “Muda apa? Umur 22 tu bukannya muda
lagi. Dah kira anak dara tua dah tu!”pintas Pak Jaafar.
“Anak-anak perempuan kita yang lain, laris sahaja. Umur tujuh
belas, lapan belas tahun dah dipinang orang. Anak saudara awak tu tak laku-laku
walaupun umur dah lanjut. Biarlah dia kahwin dengan Aji Kudus
tu..”Kalimah-kalimah yang diungkapkan oleh Pak Jaafar bagaikan menoreh-noreh
hati Mak cik Zaitun. Jika tidak memikirkan rasa hormatnya kepada lelaki itu
yang berstatus suaminya, mahu sahaja dia menerkam!
“Anak-anak kita yang lain, kahwin dengan orang yang sepadan
umur dengan mereka! Tapi Ati..awak tak kasihan ke hendak memadankan dia dengan
lelaki yang dah tua merenta tu? Bak kata orang, rumah kata pergi, kubur kata
mari. Ada hati hendak meminang anak dara orang! Dah tak ada perempuan lain lagi
ke? Carilah yang seumur dengan dia!”tingkah Mak cik Zaitun. Rasa geramnya masih
belum pudar. Sakit hatinya semakin berbisa. Apa guna berkahwin jka tidak dapat
menikmati kebahagiaan dan mutiara dari perkahwinan itu.
“Kalau kahwin dengan perempuan tua nak buat apa? Aku pun kalau
ada peluang kahwin lagi satu, nak cari anak dara yang masih muda!”
Balasan kata-kata
daripada Pak Jaafar semakin menyemarakkan perasaan marah di hati Mak cik
Zaitun. Memanglah suaminya itu tidak ada hati dan perasaan. Diri sendiri tak
tertanggung masih ada hati hendak beristeri lagi.
“Aji Kudus kata dia kasihan melihat Ati. Sudahlah yatim piatu,
hidup pula susah. Kata Aji Kudus dia hendak membantu Ati..”tambah Pak Jaafar
terus memujuk Mak cik Zaitun.
“Nak membantu? Dengan cara menikahi anak saudara aku? Budak
itu hendak dibuat bini? Itu bukan membantu namanya. Itu mengikut telunjuk
nafsu!”sanggah Mak cik Zaitun. “Saya tak benarkan dia kahwin…”ujar Mak cik
Zaitun. Walau apa pun sebabnya dia takkan membenarkan perkara itu berlaku.
Untuk apa berkahwin jika sekadar untuk menempah kesengsaraan?
“Tak boleh! Tun,kau jangan degil cakap aku. Ati tak menolak,
kamu pulak yang membantah!”marah Pak Jaafar yang selalu hilang sabar.
“Apa kurangnya Aji Kudus tu. Ilmu ugama banyak. Harta pun
banyak…Hidup Ati akan senang nanti. Aji Kudus tu akan memberi kesenangan kepada
dia di dunia dan akhirat!”
“Ati tu tak faham tentang kehidupan lagi. Dia masih mentah..”bidas
Mak cik Zaitun dengan nada marah. “Mentah? Awak dulu, umur dua puluh dah
mengandungkan anak ke empat..”ungkap Pak Jaafar dengan wajah serius.
Matanya sempat
menjeling perut Mak cik Zaitun. Seminggu dua ini dia sempat melihat isterinya
itu muntah-muntah pada setiap pagi. Entah-entah lepas sembilan bulan nanti, dia
akan jadi tukang bakar tungku untuk isterinya itu. Ahli keluarga akan bertambah
lagi. Kesusahan hidup mereka juga akan bertambah.
Jika Aryati berkahwin, mungkin kehidupan mereka akan lega
sedikit. Dia boleh meminta bantuan daripada menantunya, Aji Kudus. Jika tidak, sekiranya Mak cik Zaitun sudah sarat
atau di dalam pantang nanti, dialah yang susah. Terpaksa bekerja untuk mencari
duit buat menyara keluarga.
“Awak jangan nak bandingkan waktu dulu dengan sekarang!
Dulu-dulu aku tidak pernah bercampur gaul dengan orang. Apabila dipinang orang,
walaupun umur baru empat belas tahun, emak bapak terus terima dan nikahkan!
Orang dulu-dulu tidak ada pilihan. Kalau yang datang meminang tu lelaki tua
bongkok tiga pun, pinangannya diterima,”balas Mak cik Zaitun dengan panjang
lebar.
“Apa masalahnya kalau berkahwin dengan lelaki tua? Siti Aishah
isteri nabi tu berkahwin dengan nabi yang jarak usianya lebih 50 tahun!”
“Itu saja yang awak tahu! Kalau bab kahwin nikah, mudah sahaja
hendak mengikut Nabi. Soal tanggung jawab terhadap anak bini kenapa tak nak
ikut Nabi?”Sanggah Mak cik Zaitun yang mula naik angin. Sempat dia menyindir
suaminya itu.
“Yang awak tu, membantah cakap suami, Nabi suruh buat macam
itu ke?”balas Pak Jaafar yang mulai berang. Sakit hatinya apabila isterinya
meninggikan suara kepadanya.
“Susah nak berunding dengan awak ni!”keluh Mak cik Zaitun yang
hampa dengan sikap keras kepala suaminya itu. Terasa sesak dadanya menahan rasa
marah.
“Tak payah nak runding-runding lagi. Aku suami. Kata pemutus
di tangan aku!”jawab Pak Jaafar dengan bongkak. Walau apapun terjadi, dia tidak
akan tunduk kepada kehendak isterinya itu. Isteri kena patuh dan taat kepada
perintah suami!
“Cepat masak nasi! Aku dah kebulur nak makan!” perintahnya
pula tanpa mempedulikan Safwan yang baru naik ke rumah.
“Dari mana,Safwan?”tanya Mak cik Zaitun kepada anak terunanya
itu. Meskipun dia sudah dapat meneka berdasarkan baju yang membaluti tubuh
anaknya itu. Safwan berbaju Melayu dan bersongkok. Pasti dia baru balik solat
berjemaah di surau kampung itu.
“Safwan baru balik dari surau,emak. Erm, emak nak siapkan
makan malam ya. Biar Safwan tolong emak,”kata Safwan lantas mengekori emaknya.
Damai kembali hati Mak cik Zaitun apabila mendengar kata-kata anaknya itu.
“Safwan tolong cedok dan hidangkan. Nasi, emak dah masak
tadi..”balas Mak cik Zaitun. Pak Jaafar pada waktu itu sudah turun ke tanah.
Agaknya melarikan diri daripada Mak cik Zaitun untuk mengelakkan perbalahan.
Dia naik kembali ke rumah apabila dipanggil oleh Safwan yang memberitahunya
makanan malam sudah siap dihidangkan tidak lama selepas itu.
Suasana dapur pada
waktu makan malam sepi dari suara penghuni rumah itu. Bibir Mak cik Zaitun dan
Pak Jaafar seakan terkunci. Kelibat Aryati pula tidak kelihatan. Safwan yang
ada bersama turut membisu.
Muram wajah Mak cik Zaitun menyebabkan anaknya takut hendak
bertanya. Namun Safwan dapat meneka keributan yang sedang melanda keluarga itu.
Segalanya disebabkan ayahnya yang telah menerima pinangan Aji Kudus untuk
dikahwinkan dengan sepupunya Aryati. Walaupun Aryati itu hanya sepupu tetapi
telah dianggap sebagai kakaknya sendiri. Keputusan ayahnya yang hendak
mengahwinkan Aryati dalam usia muda dengan lelaki tua itu dirasakan sebagai
satu kezaliman pula. Memang tidak patut!
“Emak, Ati pergi mana?”soal Safwan. Dari petang tadi dia tidak
nampak kelibat Aryati. Hairan juga. Rumah itu bukannya besar jika Aryati hendak
menyembunyikan dirinya pun!
“Safwan, jangan
pedulikan dia. Cepat makan. Kalau hendak berbual tunggu selesai makan
dulu..”tegur Pak Jaafar dengan suara tegang. Perutnya sudah berdendang sejak
dari tadi lantas pinggan yang sudah dilambakkan nasi dipermukaannya cepat-cepat
ditarik merapatinya. Gulai pucuk labu menjadi habuan tangannya selepas itu.
Safwan dan Mak cik Zaitun hanya memerhati sahaja pinggan nasi
masing-masing. Tidak ada selera mereka hendak makan pada malam itu. Yalah, bak
kata pepatah, ‘Cubit peha kanan, peha kiri pun akan terasa sakit juga.’
“Emak..ayah, Safwan rasa ayah tak patut buat kepada Ati
begitu.”Safwan memberanikan diri untuk bersuara, meskipun faham yang dia akan
dimarahi kerana keceloparannya itu.
“Safwan, kau jangan cuba mengajar aku! Aku tahu apa yang patut
aku buat untuk kebaikan keluarga ini!”balas Pak Jaafar dengan nada marah.
Mencerlung matanya memandang Safwan yang berlagak tenang.
“Kebaikan apanya jika ayah hendak kahwinkan Ati dengan lelaki
yang dah tua ganyut tu. Ayah telah melakukan kezaliman kepada Kak Ati..”sambung
Safwan sambil mengawal nada suaranya. Maklumlah yang dilawan bercakap ialah
ayah kandungnya sendiri.
“Safwan, jangan biadap dengan aku! Keputusan telahku buat! Tidak
ada siapa pun yang boleh menahan atau menghalangnya!”tegas Pak Jaafar lantas
membasuh tangannya. Terbantut seleranya.
“Ayah,tak patut ayah mengahwinkan Ati dengan Aji Kudus itu!
Kasihanilah Ati, ayah…”pintas Safwan dengan suara sebak. Kesakitan yang dirasai
oleh Aryati pada waktu itu bagaikan sedang menjalar di jiwanya juga.
“Safwan, engkau orang semua tak faham tentang hidup. Tentang
kesusahan hidup. Tentang kesulitan untuk mencari wang buat menyara makan minum
dan persekolahan kamu semua…”
“Apa kena mengena kesusahan hidup kita dalam hal ini? Selama
ini kami yang hidup susah. Emak yang tiap hari menoreh getah untuk makan minum
kita sekeluarga, tapi ayah…”bidas Safwan. Sesungguhnya dia menjadi keliru
dengan kenyataan ayahnya sebentar tadi sedangkan dia tahu yang ayahnya itu
jarang mengambil tanggungjawab terhadap keluarga mereka. Emaklah yang bersusah
payah. Emaklah yang bekerja dan berhutang di sana sini.
“Safwan! Sudahlah tu..jangan bertengkar dengan ayah. Jangan
menjadi anak derhaka..”marah Mak cik Zaitun yang membisu sejak tadi.
“Bukan nak menderhaka…tapi…”
“Cukup Safwan..!”Kemarahan Pak Jaafar berlarutan. Safwan
benar-benar mencabar maruahnya sebagai seorang bapa. “Kau hendak teruskan
persekolahan atau pun tidak?”tanya Pak Jaafar sambil menudingkan jari
telunjuknya ke muka Safwan.
“Kau tu anak lelaki!”tegasnya. Seolah mengingatkan Safwan
tentang tanggungjawab yang akan terpikul di pundaknya pada masa akan datang,
sebagai lelaki. Anggukan Safwan menyebabkan Pak Jaafar senyum sinis.
“Kalau begitu, dari mana aku nak dapat duit? Harapkan getah
yang emak kau toreh, untuk makan keluarga ini pun tak cukup..”hambur Pak
Jaafar.
Ingin sahaja Safwan melampiaskan rasa marah kepada ayahnya
yang hanya mengharapkan isteri mencari pendapatan untuk keluarga. Namun lidah
yang ingin meliar ditambat rapi, emosi berapi disisih ke tepi. Ayah tetap ayah
walau buruk bagaimanapun sikapnya!
“Nak harapkan kakak-kakak kau? Huh!Tak usah mimpilah. Semuanya
jadi enau di dalam belukar. Langsung tak ingat emak, bapak dan adik beradik
bila dah keluar dari kampung ni!”balas pak Jaafar sempat mengutuk anak-anaknya
yang seolah lupa kepada budi serta jasa emak dan ayah. Mak cik Zaitun
menjeling.
“Tak usahlah awak hendak memburukkan anak-anak. Mereka tu
bukannya berlakikan orang senang lenang. Sebabnya awak yang paksa mereka kahwin
dengan lelaki-lelaki yang bersikap macam awak juga..”sindir Mak cik Zaitun.
“Lepas tamat sekolah, asal ada orang bertanyakan mereka, terus
awak terima dan kahwinkan. Kalau awak tak kahwinkan mereka, dan beri mereka
peluang untuk meneruskan pelajaran atau bekerja, sudah tentu corak kehidupan
mereka berbeza. Sekarang ini mereka pun hidup susah dan miskin macam kita
juga..”
“Tun, awak tak ingat ke kata orang tua-tua. Menjaga seorang
anak perempuan ni,lebih menyusahkan dari menjaga lembu sekandang!”sanggah Pak
Jaafar yang tidak pernah mengalah dalam pertengkaran.
“Ati tu, apa yang menyusahkan kita?”balas Mak cik Zaitun yang
kemarahannya belum reda.
“Sekarang ni kita perlu duit!!”tegas Pak Jaafar. Melengking
suaranya. Memang Aryati banyak membantu mereka apabila bekerja di kedai Aji
Kudus.
“Kalau ayah nak minta
sedekah kepada Aji Kudus itu dan jadikan Aryati sebagai taruhan,tak payahlah
saya terima tawaran ke maktab tu. Lagipun jauh sangat...”celah pula Safwan.
Sesak dadanya mengenangkan kemelut yang berlaku di dalam keluarga kerana
tawaran yang diterimanya.
“Safwan!”jerit Mak cik Zaitun memanggil Safwan yang
meninggalkan pinggan nasinya. Safwan satu-satunya anak lelaki yang ada dan
diharapkan untuk mengubah kehidupan keluarga. Kini Safwan pula merajuk dan
terluka kerana sikap ayahnya. Mak cik Zaitun mengeluh dalam. Dadanya diusap
perlahan mengharapkan kesabaran datang bertandang.
3