Home Novel Keluarga Tenggelam Dalam Cinta
Tenggelam Dalam Cinta
30/4/2015 13:04:09
47,247
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 1

Satu demi satu pinggan kotor yang berlonggok di dalam besen plastik dicucinya. Memang sudah menjadi tugasnya pada setiap hari membantu emak saudaranya membuat kerja-kerja rumah, sekiranya dia berada di rumah. Aryati melakukannya sambil bernyanyi-nyanyi kecil lagu kesukaannya, Aryati.

Tidak seperti selalu, hari ini Aryati mencuci pinggan mangkuk dengan hati sayu. Bibirnya tidak lagi mendendangkan lirik lagu Aryati seperti lazimnya bahkan hatinya sedang menangis sedih kehibaan.

Cuaca pada hari itu mendung. Lukisan wajah Aryati juga mendung. Seolah cuaca yang membaluti alam, jiwanya juga diselubungi warna kelam.

Segalanya gara-gara perbualan Pak Anjangnya tentang kesusahan keluarga mereka yang hidup di dalam kemiskinan. Sedikit sebanyak dia terasa hati. Kata-kata kiasan yang diungkapkan oleh Pak Anjangnya terkesan ke dalam sanubarinya. Seolahnya dia menjadi beban kepada keluarga itu. Kalaulah dia ada kuasa ajaib yang dapat menjadikan setiap apa yang disentuh menjadi emas,takkan dibiarkan keluarga itu hidup di dalam kesusahan. Kehidupan mereka seumpama ayam, kais pagi makan pagi. Kais petang makan petang. Makan pun ala kadar sahaja. Namun apakan daya,dia tidak memiliki kuasa apa-apa. Sudahlah yatim piatu, hidup pula menumpang.

“Kamu dah ada orang nak!”kata Pak Anjang tiba-tiba, tanpa merenung ke wajahnya. Aryati terpempan. Sebagai seorang gadis yang sudah dewasa dia faham dengan kenyataan Pak Anjangnya itu. ‘Dah ada orang nak’ bermakna sudah ada orang yang berkehendakkan dirinya. Hendak berkahwin dengannya. Dia hendak dijadikan isteri.

“Ati, aku dah terima pinangan Aji Kudus,”beritahu Pak Anjang lagi dengan suara yang sangat jelas. Tertakut-takut dia merenung Pak Anjang dengan ekor matanya. Lelaki itu merupakan suami kepada emak saudaranya. Walaupun dipanggil Pak Anjang, namun lelaki itu telah dianggap sebagai ayah. Sejak usianya 8 tahun dia sudah tinggal bersama dengan pasangan itu kerana ibu dan ayah kandungnya telah meninggal dunia akibat dihempap pokok rambai tumbang yang menimpa rumah mereka yang uzur.

“Aji Kudus meminang kamu!”ulang Pak Anjangnya lagi. Mendengar kenyataan itu sekali lagi Aryati terpana. Nama lelaki yang disebut itu sudah biasa sangat menjadi santapan telinganya. Di kedai lelaki itulah dia bekerja sejak dia tamat tingkatan lima persekolahannya.

“Kamu dah ada kawan jantan ke?”tanya Pak Anjang lagi sambil menjeling. Mak cik Zaitun yang duduk berhampiran dengan mereka tidak bersuara sejak tadi. Hatinya yang membengkak dan bernanah sejak dari semalam semakin membisa. Baru semalam suaminya memberitahu yang dia telah menerima pinangan Aji Kudus. Langsung tidak berunding dengannya terlebih dahulu.

“Aku tanya, kamu dah ada kawan jantan?”soal Pak Anjang lagi. Kali ini suaranya semakin kuat. Gadis-gadis di zaman ini bukannya seperti gadis-gadis di era sebelum merdeka atau awal merdeka dulu. Zaman ini budak-budak perempuan yang masih di sekolah rendah pun sudah pandai berkawan dengan lelaki. Apatah lagi Aryati yang sudah besar panjang. Sudah berusia 22 tahun. Pasti sudah berangan-angan tentang lelaki! Mungkin juga berangan-angan untuk bersuami dan keseronokannya berkahwin!

“Tak..tak ada, Pak Anjang..”jawab Aryati gugup. Faizal anak Aji Kudus memang berkawan dengannya. Sekadar berbalas senyum dan berbual beberapa patah perkataan sahaja. Namun kalau Aji Kudus sudah melamarnya untuk dijodohkan dengan Faizal,dia tidak akan menolak. Pasti tidak boleh menolak kerana melihatkan riak wajah Pak Anjang yang serius.

Faizal pun sudah merantau untuk mencari pekerjaan. Itulah yang dikabarkan kepadanya. Sudah hampir setahun dia tidak melihat wajah Faizal. Dari cerita-cerita yang sampai di telinganya, kata orang Faizal sudah masuk askar. Mungkin agaknya Faizal ada balik baru-baru ini dan menyatakan keinginan untuk menyuntingnya sebagai isteri kepada ayahnya, Aji Kudus.

“Kau bersetuju ke untuk berkahwin ni?”tanya Pak Anjangnya lagi. Jika Aryati enggan, dia akan memaksanya juga. Dia akan bangkitkan tentang kesusahan hidup keluarga itu kerana terpaksa memelihara gadis itu sejak dia di sekolah rendah lagi. Budi dan jasa yang telah ditabur selama ini akan diungkit. Makan pakainya. Belanja sekolahnya dan pelbagai lagi. Pasti Aryati tidak ada peluang untuk menolak kehendaknya.

“Setuju ke tidak?”Pak Anjang mula menekan suaranya apabila melihat Aryati berkerut-kerut wajahnya seolah memikir sesuatu. Mendengar suara yang seakan menengking itu,tanpa sedar Aryati menganggukkan kepalanya. Pak Anjang langsung tidak memberi peluang untuk dia berfikir walau sejenak.

“Bagus! Aku akan kahwinkan kau dengan Aji Kudus!”tegas Pak Anjang. Aryati terpana. Seribu pertanyaan tersangkut dikerongkongnya. Bagaikan ada sebuah gunung jatuh dan menghempap kepalanya. Tubuh badannya sakit, hatinya hancur. Dunia di hadapannya seolah kelam dan tidak berharga lagi.

‘Ya Allah…’rintih hatinya. Bergetar bibirnya menahan tangisan. Selepas sahaja mengungkapkan kalimah yang menghumban jiwa raganya ke lembah lara, Pak Anjangnya terus sahaja berlalu dari situ. Cepat-cepat melarikan diri kerana tidak mahu melihat keributan yang pasti akan terjadi antara dia dan isterinya yang berada di situ.

Menahan hempasan pilu di dada, Aryati terdiam beberapa ketika. Airmata yang tidak terbendung menyebabkan dia merenung mata Mak cik Zaitun yang memerhatikannya dari tadi. Muram wajah emak saudarnyanya itu menyebabkan hatinya semakin meruntun kerana kesedihan sudah di kemuncaknya.

“Maakk..”tangisnya lantas memeluk tubuh emak saudaranya. ‘Mengapa nasib Ati malang sekali,mak..’rintihnya di dalam hati. Walaupun terasa hendak meraung kuat-kuat.

“Atii..”kata Mak cik Zaitun. Sebagai wanita yang tidak berdaya menghalang kehendak suaminya, pada saat itu dia hanya mampu bersabar sambil memikirkan ikhtiar.

“Sabarlah dulu, nakk..”pujuknya sambil mendakap tubuh anak gadis itu. Kesedihan mereka berdua beranak membuak-buak.

Suasana sekeliling sebuah rumah tua di pinggir Kampung Mata Kucing gelap gelita. Maklumlah rumah agak jauh dari jiran-jiran. Yang paling dekat pun kira-kira sepelaungan. Hanya sedikit sinar lampu yang malap menerjah dari tingkap bilik dan tidak mampu menerangi kawasan sekitar rumah itu. Kesepian dan keheningan yang menyelubungi suasana sejak dari tadi tiba-tiba terganggu oleh bunyi batuk yang kuat dan berleretan.

“Ya Allah, gatalnya tekakku ini,”keluh Hajah Kuntum sambil menggosok-gosok lehernya dengan telapak tangan. Ledakan batuknya tidak berhenti dari tadi menyebabkan dadanya terasa sakit. Terketar-ketar tangannya mencapai gelas yang terletak di dalam dulang di sisinya. Tangannya seolah tidak berdaya hendak memegang gelas itu lantas terlepas dari pegangan di kala batuknya memuncak.

“Bapaknya…”Terketar suara Hajah Kuntum memanggil suaminya untuk memohon bantuan. Kecewa. Suaminya Aji Kudus tidak menjawab. Mungkin suaminya belum balik dari masjid. Dia memang suka solat berjemaah. Setiap hari Aji Kudus akan bersolat di masjid pada waktu Maghrib dan Isya. Tapi pada waktu itu jam sudah menunjukkan waktu hampir 10 malam. Mustahil Aji Kudus belum pulang! Hajah Kuntum cuba meneka-neka.

“Bapaknya..”Meskipun ragu-ragu, Hajah Kuntum mencuba lagi. Mana tahu panggilannya tadi tidak didengari oleh suaminya itu. Aji Kudus yang kebelakangan ini menunjukkan ciri-ciri penyakit pekak badak.

Bunyi keriutan daun pintu anjung yang ditolak dari arah luar melegakan hati Hajah Kuntum. Matanya terarah ke muka pintu. Terjongol tubuh Aji Kudus. Wajahnya tidak jelas kelihatan kerana lampu yang menyinari bilik itu amat suram. Maklumlah sekadar menggunakan mentol 15VT untuk penjimatan!

“Aku baru sampai. Ada majlis tahlil di masjid tadi. Terpaksalah aku tunggu sekejap..”beritahu Aji Kudus tanpa dipinta sambil merapati tilam Hajah Kuntum. Sebaik sampai, Aji Kudus terus duduk bersila berhampiran pinggang isterinya itu.

“Ada mereka bekalkan nasi ni untuk awak! Lauk dalca..”beritahu Aji Kudus sambil meletakkan bekas plastik di atas lantai. Hajah Kuntum tidak membalas. Matanya merenung lesu.

“Beria memanggil aku, awak nak berak ke?”soal Aji Kudus apabila mereka bertemu pandangan. Hajah Kuntum mengeleng. Sisa-sisa batuk masih kedengaran.

“Nak minumm..”beritahunya mencungap sebaik batuknya reda. Dia terengah-engah. Aji Kudus tidak membalas. Sekilas pandangannya tertumpah pada dulang di sisi bantal Hajah Kuntum. Gelas tergolek di dalam dulang. Air bertakung di atas lantai.

“Awak dah makan ubat?”tanya Aji Kudus sebaik sampai di situ semula membawa sejug air masak. Hajah Kuntum mengeleng. Suaminya itu seolah lupa yang dia tidak ada kemampuan untuk menguruskan dirinya sendiri.

“Tak makan ubat, macam mana nak baik?”marah Aji Kudus. Wajah sugul yang dipamirkan oleh isterinya itu tidak terkesan di hatinya. Sudah tiga tahun Hajah Kuntum berkeadaan begitu. Sejak dia terjatuh di dalam bilik air. Semenjak itulah Hajah Kuntum terlantar di atas katil. Terkebil-kebil. Terkedip-kedip matanya jika tidak tidur. Orang kampung ada menasihatkannya supaya membawa Hajah Kuntum ke hospital tetapi dia yang menolak. Untuk meredakan sakit isterinya itu dia hanya membelikan ubat cap tiga kaki di kedai runcit Cina yang berhampiran dengan kedai dia di pekan.

“Aku dah jelak makan ubat…”rintih Hajah Kuntum. Dia lebih rela minum air penawar yang dijampi oleh suaminya. “Awak jampilah air untuk batuk aku ni..”pintanya pula.

“Dah dekat setempayan aku jampi air penawar untuk awak! Tapi ubat tu kena makan jugak..”tukas Aji Kudus.

“Ubat batuk tu manis, aku takut nanti kena kencing manis. Aku tak nak kena potong kaki pulak!”jawab Hajah Kuntum yang masih berdegil kerana tidak mahu makan ubat batuk yang dibeli oleh suaminya.

“Lagipun awak bukan tak tahu aku tak berdaya..”suara Hajah Kuntum seolah merintih. Hatinya dibuai sayu. Dia rasa dirinya tidak berguna bagaikan batang buruk. Sudahlah dirinya uzur,kerap pula ditinggalkan bersendirian di rumah itu. Sunyi. Sepi. Hanya itu yang setia menemaninya sejak beberapa tahun ini. Entah-entah nanti dia akan mati dan kejung bersendirian juga.

Aji Kudus mengeluh panjang. Memang sulit hendak menjelaskan sesuatu kepada orang yang fikirannya tidak boleh menerima pendapat orang lain. Dia sudah jemu menasihatkan Hajah Kuntum tentang hal yang sama pada setiap hari.

“Kuntum..”Hajah Kuntum melangutkan pandangannya merenung ke wajah Aji Kudus. “Aku tengok penyakit kau ni tak mungkin akan sembuh..”kata Aji Kudus seterusnya tanpa emosi simpati.

Hajah Kuntum menunduk. Rasa pilu mula berakar di lubuk hatinya. Dia sedar akan dirinya. Tanpa diberitahu oleh sesiapa pun, dia tahu kesihatannya mustahil kembali normal. Dia juga sedar selama dia terlantar di atas katil itu, dia banyak menyusahkan orang lain. Jiran-jiran. Suaminya.

Faizal anak tunggalnya pun tidak sanggup menjaga dia,lantas pergi merantau. Kalau Faizal duduk di kampung pun, dia bukannya boleh diharap sangat. Buat menghabiskan beras sahaja. Kerjanya hanya membuat tahi mata atau pergi memikat ayam hutan.

“Dah lama keadaan kau begini,Kuntum. Makan minum aku pun dah tak terjaga. Kau pun tak ada orang nak jaga. Kalau nak harapkan aku seorang, manalah aku mampu. Takkan aku hendak terpengap di celah ketiak kau yang dah berkedut tu sepanjang masa. Kedai siapa nak tengok?”

Suara bebelan Aji Kudus agak kuat. Lamunan dan kenangan Hajah Kuntum terhadap Faizal berkecai. Pandangan matanya merenung ke wajah suaminya. Sekali lagi Hajah Kuntum insaf akan kekurangan dirinya. Tugasnya sebagai seorang isteri sudah terabai semenjak dia sakit. Dia tahu satu saat nanti dia akan dihukum kerana tidak lagi menjadi ‘isteri’ yang sebenarnya.

“Kalau ada anak perempuan,bolehlah juga disuruh memasak..”kata Aji Kudus yang begitu kepingin memiliki anak perempuan. Saat itu dia teringat kepada pembantu kedainya. Kalau mereka ada anak perempuan, boleh jadi anak perempuan mereka sudah sebaya Aryati.

“Boleh juga diharap untuk menjaga awak!”sambungnya lagi. Lontaran kata-kata Aji Kudus diiringi dengan keluhan berat. Hajah Kuntum sekadar menjadi pendengar pada saat itu. Dia tidak boleh membangkang. Apa yang dikatakan oleh suaminya itu memang benar belaka. Tiada bantahan oleh hatinya.

“Kau pun dah tua, tak boleh beranak lagi..”sinis suara Aji Kudus. Sebenarnya dia cemburu melihat kawan-kawan seusianya yang berderet anak mereka. Anak lelaki ada, anak perempuan pun ada! Bila anak-anak itu sudah beranak pinak mereka memiliki cucu pula. Kepingin pula Aji Kudus mendengar panggilan atuk terhadap dirinya.

“Bukan aku yang nak jadi macam ni..”jawab Hajah Kuntum ingin memprotes. Bukannya dia tidak mahu beranak lagi tetapi mereka sudah tidak mampu. Selepas sahaja melahirkan Faizal,dia putus haid. Umurnya pada waktu itu baru 40 tahun. Puas dia berubat dan minum bermacam air akar kayu namun tiada perubahan. Akhirnya dia pasrah.

“Kuntum, aku nak menikah lagi satu..”

Kenyataan yang terlontar oleh bibir suaminya itu bagaikan bedilan bom. Hajah Kuntum terpana. Namun tidak berdaya untuk berkata apa-apa. Hukuman sudah dijatuhkan. Dia tidak boleh membantah.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.