Raungan Mak cik Zaitun meleret-leret. Kesakitan yang dirasai
akibat ditendang oleh Pak Jaafar tadi semakin membisa apabila dia mendengar
berita tentang Aryati.
“Itulah, suruh lagi dia lari dari rumah senja-senja
ni!”sanggah Pak Jaafar tanpa rasa belas simpati kepada isterinya itu. Berita
yang disampaikan oleh jirannya tadi sedikit melegakannya. Aryati ditemui
terguling di tepi jalan berhampiran dengan kebun getah.
“Pergilah awak tengok dia!!”tangis Mak cik Zaitun yang
terjelepuk di tepi dinding. Rasa sakit diperutnya menyebabkan dia kehilangan
daya.
“Kenapa awak ni tak berhati perut sangat?Pergilah tolong
tengok dia. Dia tu yatim piatu..”suruh Mak cik Zaitun sambil merintih. Sakit
hatinya apabila melihat Pak Jaafar tersandar di dinding sambil menggulung daun
rokok nipah.
“Tak kuasa aku hendak pergi menengok dia!Bukannya mati
pun!”tukas Pak Jaafar. Mindanya pada waktu itu hanyalah memikirkan tentang
perkahwinan Aryati dan Aji Kudus. Peristiwa yang terjadi hari ini menyebabkan
dia ingin menyegerakan majlis pernikahan pasangan itu. Sebelum Aryati melarikan
dirinya sekali lagi.
“Awakk!!”rengus Mak cik Zaitun yang tidak puas hati.
“Biarkan saja dia tidur kat rumah Busu malam ini. Lagipun
mereka dah bawa dia ke hospital. Jika teruk kecederaannya, tidur di wadlah dia
malam ni..”
“Hisy!Awak ni lahhh..”rengus Mak cik Zaitun lantas menggagahkan
dirinya untuk bangun dan berdiri sambil berpegang pada dinding. Hatinya lega
apabila mendengar suara batuk Safwan yang sudah balik dari surau.
“Emak..”sapa Safwan sebaik naik ke rumah. Pandangannya sempat
singgah ke kolam mata emaknya yang memerah. Wajah emaknya yang berkerut seolah
sedang menyembunyikan sesuatu. Pandangan matanya terarah pula kepada ayahnya
yang sedang tersandar ke dinding sambil menghisap rokok daun nipah.
“Safwan..tolong bawa emak pergi ke rumah Busu..”beritahu Mak
cik Zaitun dengan suara tertahan. Selagi dia tidak mendengar cerita yang
sebenarnya daripada mulut Aryati, hatinya tidak akan berasa senang.
“Dah malam ni,mak. Nak buat apa ke sana..?”soal Safwan. Rumah
Busu terletak di pinggir kebun getah tempat emaknya menoreh, agak jauh dari
rumah mereka. Tambahan pula pada waktu itu sudah hampir 10 malam. Jalan di
dalam kampung itu gelap gelita.
“Dah gelap,mak..”terang Safwan sambil menggaru telinganya. Dia
serba salah sebenarnya.
“Kalau kau tak mahu temankan, biar emak pergi sorang..”balas
Mak cik Zaitun seolah merajuk. Dia bukan sahaja ingin ke rumah Busu untuk
mengetahui tentang Aryati yang dipatuk ular, tetapi dia juga ingin pergi ke klinik
bidan kampung itu untuk memeriksa kandungannya. Entah-entah anak yang di dalam
kandungannya mati kerana diterajang oleh ayahnya sendiri!
“Ayah dan anak, semuanya sama. Tak ada hati perut!”rungutnya
sambil memakai tudung kepala. Tak tertahan pula airmatanya lantas meleleh
membasahi pipi.
“Kalau terjadi perkara
yang tidak elok kepada Ati..aku akan terkilan sampai mati,”tangis Mak cik
Zaitun meleret. “Ya Allah Ya Tuhanku kenapalah nasibku begini,”rintihnya dalam
tangisan yang berlarutan mengenang nasib malang. Mak cik Zaitun cepat-cepat
menuruni tangga tanpa peduli warna pekat malam.
“Emakk..emakk..nanti
dulu. Tunggu sekejap. Saya ambil lampu picit..”panggil Safwan kepada emaknya
yang sudah turun ke tanah.
Bunyi burung pungguk bersahutan. Suasana kampung yang gelap
dihiburkan oleh suara cengkerik yang sayup-sayup kedengaran. Pada saat itu
kebanyakan penghuni kampung sudah memerap di dalam rumah masing-masing. Berehat
dan mungkin juga telah tidur. Barangkali juga ada yang leka menonton televisen.
Hanya Mak cik Zaitun dan Safwan sahaja yang sedang menapak menuju ke rumah
Busu.
“Ayah pukul emak ke tadi?”tanya Safwan sebaik sahaja mereka
berjalan agak jauh dari rumah. Perangai panas baran ayahnya itu sudah
difahaminya benar. Cepat naik angin dan rengan tangannya jika ada hal yang
tidak mengikut kehendak hatinya.
“Tak..”jawab Mak cik Zaitun berahsia. Tidak guna menceritakan
hal keburukan suaminya itu kepada anak-anak, bimbang anak-anak akan berdendam
dengan ayah mereka. Lantas memadamkan rasa hormat kepada ayah kandung mereka
sendiri.
“Emak bohong..”tukas Safwan. Perlahan suaranya bagaikan
berkata untuk dirinya sendiri. Mak cik Zaitun buat-buat tidak dengar pada
rungutan anaknya itu. Kakinya terus dihayun perlahan dan berhati. Hatinya terus
berbicara sendiri. Fikirannya terus berterbangan mengenangkan nasib diri serta
anak-anak. Likuan hidup yang dilalui selama ini begitu memeritkan,entah bila
akan berhujungnya.
“Emak, saya hendak pergi cari kerja di Kuala Lumpur…”beritahu
Safwan setelah agak lama berjalan dan membiarkan emaknya hanyut di dalam
lamunannya sendiri. Mak cik Zaitun diam.
“Jadi tak perlulah Ati mengorbankan dirinya untuk keluarga
kita,mak..”sambungnya lagi. Mak cik Zaitun diam lagi. Buntu fikirannya dengan
kenyataan anaknya itu. Kalau boleh dia ingin Safwan meneruskan pengajian sama
seperti kakak dan abangnya yang lain. Biar suatu hari nanti Safwan menjawat
jawatan yang baik dan menjamin masa hadapannya. Biar generasinya nanti keluar
dari kepompong kemiskinan dan kedunguan.
“Safwan kena teruskan pelajaran,”tegas Mak cik Zaitun. Jika
boleh, Aryati pun ingin dipaksa untuk meneruskan persekolahannya. Namun sayang
keputusan SPM Aryati setakat cukup makan sahaja. Jadi dia tidak menerima
tawaran untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi.
“Emak..kenapa Ati berada di rumah Busu pula..?” Safwan
mengalihkan tajuk perbualan mereka. Sedari tadi emaknya tidak menjelaskan hal
yang telah terjadi. Cahaya lampu dari rumah Busu pun sudah kelihatan. Mungkin
seminit dua lagi mereka akan sampai ke kaki tangga rumah jirannya itu.
“Emak suruh Ati lari dari rumah,”jawab Mak cik Zaitun hampir
tidak kedengaran suaranya. Safwan tersentak dengan kenyataan itu.
“Emak suruh Ati lari dari rumah?”soalnya seolah tidak percaya.
Selama ini emaknya begitu menyayangi Aryati kerana sikap Aryati yang penyayang
serta rajin.
“Emak tak nak Ati kahwin dengan orang tua tu..”pintas Mak cik
Zaitun menahan kesedihan.
“Habis tu..apa yang terjadi?”soal Safwan yang tidak sabar.
Sungguh tidak diduga emaknya mengambil keputusan senekad itu.
“Pak Busu kamu jumpa
Ati terguling di tepi jalan kat kebun getah tempat emak menoreh tu. Katanya Ati
dipatuk ular sewaktu berlari di dalam semak samun di situ..”jelas Mak cik
Zaitun.
“ Ati dipatuk ular? Teruk ke? Ma..macamana boleh kena?”tanya
Safwan bertubi-tubi sambil mengeluh panjang. Sekali lagi Mak cik Zaitun berdiam
diri kerana dia sendiri kurang jelas cerita yang sebenarnya. Dalam kegelapan
Mak cik Zaitun mengelap airmata yang tiba-tiba meleleh.
Safwan memberi salam sebaik sahaja mereka sampai di halaman
rumah Busu. Mereka dipersilakan naik ke rumah oleh isteri Busu. Lega hati Mak
cik Zaitun apabila mendapat penjelasan daripada Aryati akan hal yang telah
terjadi. Rupa-rupanya Busu yang pergi ke kebun getah pada waktu malam untuk
mengendap pencuri getah buku telah ternampak seseorang. Disangkanya pencuri
lantas dia pun mengejarnya. Aryati pula menyangka dia dikejar oleh lembaga yang
yang tidak diketahui terus lari kerana ketakutan. Entah macam mana tiba-tiba
dia terasa kakinya amat sakit. Mujur pada waktu itu dia sudah sampai ke jalan
dan terus jatuh terguling kerana kepenatan,ketakutan dan kesakitan.
Mereka baru sahaja balik dari hospital sewaktu Mak cik Zaitun
dan Safwan tiba. Mujurlah Aryati hanya digigit oleh lipan, bukannya dipatuk
ular seperti yang disangka oleh Busu.
“Malam ini biar Ati tidur di rumah ni..”pelawa Busu disokong
pula oleh isterinya. Setelah didesak oleh Busu untuk mengetahui cerita yang
sebenarnya barulah Mak cik Zaitun berani membuka mulut. Apatah lagi Busu
bersuami isteri jiran mereka yang paling dekat. Mereka juga orang yang boleh
dipercayai dan tidak suka membawa mulut.
“Sabarlah,Tun. Dah tabiat Jaafar tu memang begitu. Nak buat
macam mana! Anak-anak pun dah ramai..”kata Busu. Hiba hatinya melihat warna
kesedihan yang terlukis di wajah Mak cik Zaitun, Safwan dan Aryati.
“Ati….”seru Mak cik Zaitun. Hatinya hampa kerana Aryati gagal
melarikan dirinya pada malam itu. Jika Aryati hendak melarikan dirinya pada
hari yang lain, pasti tidak berpeluang lagi. Suaminya itu pasti akan mengawal
Aryati. Silap hari bulan Aryati akan dinikahkan dengan Aji Kudus dengan segera.
“Tak sempat Ati lari..”katanya pula dengan nada sebak dan
tertahan-tahan. Tubuh Aryati yang kurus dirangkulnya kemas.
“Emak,tak apalah…”pintas Aryati untuk memujuk hati emak
saudaranya. Faham dengan kekecewaan yang sedang menahtai hati emak saudaranya
itu mungkin sama dengan kehampaan yang sedang membelit di sanubarinya.
“Emak..biarlah Ati ikut cakap Pak Anjang. Ati tahu, tadi mesti
emak kena pukul dengan Pak Anjang. Ati tak sanggup melihat emak susah hati atau
dipukul oleh Pak Anjang lagi. Mungkin ini perencanaan Tuhan yang telah
ditetapkan buat Ati. Ati redha,mak. Hanya dengan cara ini Ati dapat membalas
budi baik emak dan Pak Anjang yang telah memelihara Ati. Sebab itu Allah
gagalkan percubaan Ati untuk melarikan diri,”ujarnya lagi dengan panjang lebar.
“Lagipun, kalau Ati melarikan diri, mesti Ati tak dapat pulang
ke rumah lagi,mak..”kata Aryati seolah merintih. Jika dia tidak dapat lagi
balik ke rumah wanita tempat dia menumpang sayang selama ini, kemana lagi dia
hendak menumpang kasih. Emak dan ayah kandung yang telah pergi buat selamanya,
tak mungkin akan kembali lagi.
“Kalau Ati kahwin dengan Aji Kudus, rumahnya kat kampung
bersebelahan saja. Kedainya pun dekat pekan tu. Ati masih ada peluang untuk
bertemu dan melihat wajah emak..”
“Atii…”kata Mak cik Zaitun. Terus dia mendakap Aryati kerana
tidak tertahan hati mendengar kata-kata anak saudaranya itu. Begitu mulianya.
Sanggup mengorbankan dirinya untuk kebaikan orang lain.
“Kalau begitu keputusan hati Ati, emak tak dapat
menghalang…”bisiknya sebelum meleraikan tubuhnya dari tubuh Aryati. Kekecewaan
hatinya tidak terlontar. Namun jika Aryati sendiri sudah berlapang dada hendak
menggalas dugaan berat yang mendatang, hanya doa sahaja yang mampu dipanjatkan
kepada yang Maha Berkuasa. Mudahan ada sinar bahagia yang menanti anak
saudaranya itu.
“Pagi esok..Ati baliklah ke rumah,nak..”suruhnya sebelum
beredar dari rumah Busu.