Home Novel Keluarga Tenggelam Dalam Cinta
Tenggelam Dalam Cinta
30/4/2015 13:04:09
47,257
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 3

Gemersik angin pada pagi itu menyamankan tubuh Aryati yang sedang berbasikal menuju ke pekan. Meskipun hatinya terasa berat hendak pergi bekerja pada hari itu, digagahkan juga. Sudah seminggu dia tidak pergi bekerja. Semenjak diberitahu oleh Pak Anjangnya yang dia akan dikahwinkan dengan Aji Kudus. Selama seminggu itu tidurnya ditemani airmata. Setiap malam dia menangis mengenang nasib dirinya yang dirundung malang yang tidak pernah berkesudahan. Sudahlah diri yatim piatu dan menumpang hidup dengan emak saudaranya itu, kini dia dipaksa pula berkahwin dengan lelaki tua oleh suami emak saudaranya yang telah dianggap ayah itu. Kontang sudah airmatanya kerana menangis saban malam, namun keputusan Pak Anjangnya itu tiada siapa yang boleh membangkang. Safwan sudah puas bertegang leher dengan ayahnya, namun hampa.

Pagi ini selepas solat subuh emaknya pula datang memujuk. Menyuruh dia pergi bekerja. Bukan kerana apa, di rumah barang-barang keperluan dapur hampir kontang. Sudah tiga hari emaknya tidak dapat pergi menoreh kerana tidak sedap badan. Emaknya selalu muntah-muntah. Aryati faham dengan keadaan emaknya itu. Mungkin sedang berbadan dua lagi. Jika benar telahannya itu, sudah tentu tidak lama lagi dia akan mendapat adik saudara lagi.

Dengan bekerja di kedai Aji Kudus, dapatlah dia membantu emak saudaranya walaupun hanya membeli beras dan garam. Gaji yang diberikan oleh Aji Kudus kepadanya hanyalah enam puluh ringgit sebulan. Syukurlah. Jumlah itu lebih banyak jika dibandingkan pendapatannya menolong emak saudaranya menoreh getah dan mengutip getah sekrap. Harga getah sekrap pada waktu itu lebih kurang dua puluh sen sekilogram.

Hampir lencun bajunya dengan peluh, barulah dia sampai ke kedai tempat Aji Kudus berniaga. Basikal yang dibawa diparkirkannya di belakang kedai. Setelah itu dia perlahan-lahan berjalan masuk ke dalam kedai.

“Awal sampai Ati..”tegur Aji Kudus sambil senyum. Aryati buat muka selamba. Dengan tiba-tiba sahaja pipinya terasa panas. Ekor matanya sempat menjeling Aji Kudus yang sedang menyusun golok parang di atas rak. Dia cuba membayangkan dirinya duduk bersanding dengan lelaki itu. Meremang bulu leher Aryati. Ngeri. Malu. Apatah lagi saat dia membayangkan yang dia akan berjalan ke sana ke mari dengan lelaki tua itu yang akan menjadi suaminya. Hatinya luluh. Namun itulah ketentuan Tuhan yang mesti diterima dengan redha.Melihat riak Aji Kudus, seolah tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Kenapa seminggu tak datang? Emak kamu sakit ke?”tanya Aji Kudus. Aryati tidak menjawab. Aji Kudus hanya memerhati gadis kurus itu yang sudah memegang penyapu. Aryati memang pekerja yang rajin. Tanpa disuruh dia sudah tahu tugas yang harus dilakukan setiap awal pagi.

“Emak kamu tak sehat ke? Kata Pak Anjang kamu, emak kamu mengandung lagi..”soal lelaki itu lagi. Baru minggu lepas Pak Jaafar memberitahu kepadanya, yang dia bakal menimang cahaya mata lagi. Bangga benar kelihatannya sewaktu bercerita tentang Mak cik Zaitun yang muntah-muntah pada setiap pagi.

Sekali lagi Aryati membisu. Entah, sebenarnya dia sendiri tidak faham mengapa bibirnya bagaikan terkunci pada pagi itu. Agaknya dia berasa marah dengan Aji Kudus yang meminangnya tetapi dia tidak dapat meluahkan kemarahannya dengan kata-kata kerana jarak usia mereka. Bimbang dikatakan biadap lebih baik mendiamkan diri tanda protes!

“Kamu ni puasa bercakap ke?”tanya orang tua itu. Aji Kudus yang mula sakit hati apabila segala pertanyaannya tidak berjawab mula menyindir. Aryati buat tak dengar.

“Dah makan ke belum?”tanya Aji Kudus pula. Kali ini Aryati mengelengkan kepalanya. Sudah beberapa hari dia tidak lalu makan. Tekaknya terasa kesat. Anih, perutnya tidak pula terasa lapar. Aji Kudus merenung Aryati dengan ekor matanya. Wajah gadis itu muram dan sugul. ‘Jangan-jangan Jaafar sudah memberitahu hal itu kepada dia,’ teka Aji Kudus.

“Kenapa tak makan?”soal Aji Kudus lagi. “Pergi makan dulu, lepas tu baru boleh buat kerja..”sambungnya sambil menghulurkan not seringgit sebanyak dua keping. Sekali lagi Aryati mengelengkan kepala. Kesedihan yang sudah terpahat di hati takkan terhapus dengan pemberian duit sebanyak dua ringgit itu. Namun siapakah yang mengerti dendangan hiba yang sedang berlagu sayu di lubuk hatinya.

“Tak mau makan?Erm,kalau begitu, aku nak pergi makan. Kau jaga kedai seorang..”

Aji Kudus yang perasan Aryati berasa tidak senang pada ketika itu cuba menghindarkan diri. Mana tahu tanpanya Aryati akan lebih tenang berada di kedai itu.

“Yalah,”jawab Aryati sepatah tanpa merenung kepada Aji Kudus. Tangannya terus mencapai barang-barang jualan yang perlu disusun di hadapan kedai.

“Ada barang-barang yang baru sampai, kau susun sekali di situ. Kotaknya ada di sana,”beritahu Aji Kudus sambil menunjukkan ke arah kotak yang bersusun di tepi dinding. Aryati hanya merenung tempat yang ditunjukkan oleh Aji Kudus tanpa bersuara.

“Kalau ada orang datang nak membeli, kau suruh dia tunggu.” Arahan demi arahan terlontar dari bibir Aji Kudus. Aryati sudah faham sangat tentang hal itu. Aji Kudus seolah tidak mempercayainya tentang soal jual beli. Atau boleh jadi juga kerana Aji Kudus itu bersikap tangkai jering.

“Kau dengar tak Ati?”soal Aji Kudus apabila Aryati mematikan diri seolah dia sedang bercakap dengan dinding.

“Dengar..”jawab Aryati sepatah. Tidak sanggup dia memikirkan, jika benar lelaki tua itu yang akan menjadi jodohnya. Begitu buruk takdir hidupnya. Keluhan demi keluhan yang dilepaskan, tidak mampu menenangkan jiwanya semakin berkocakan.Dia resah akan keberadaannya kini. Tak mampu dikuatkan dirinya untuk beranjak pergi meninggalkan segala kepedihan itu.

Sesal. Sedih. Kecewa. Itulah perasaan yang mengasak jiwa Mak cik Zaitun sejak suaminya merancang hendak menikahkan Aryati dengan Aji Kudus. Pelupuk mata membengkak. Pedih kolam matanya kerana tangisan yang berpanjangan. Namun jika dia menangis berairmatakan darah pun, keputusan suaminya tetap tidak boleh dibantah. Aryati tetap akan dinikahkan dengan Aji Kudus.

“Emak..tak usah menangis lagi emak…”pujuk Aryati yang perasan emak saudaranya itu terlarut oleh kesedihan sehinggakan airmatanya asyik bergenangan sepanjang masa. Walaupun sudah seminggu airmata emak saudaranya itu masih belum kontang.

“Macam mana emak tak sedih Ati..!Emak tak mahu menganiayai engkau. Ati, amanah arwah…”balas Mak cik Zaitun dengan suara bergetar. Berat fikirannya mengenangkan nasib anak saudaranya itu. Muram di wajah Aryati tidak lagi memudar sejak diberitahu oleh Pak Anjangnya yang dia akan dinikahkan dengan Aji Kudus. Berat mata yang memandang, bahu yang memikul lagi terasa bebanannya.

“Sepatutnya emak mencari lelaki yang baik untuk menjadi suami engkau..yang dapat memberi kebahagiaan kepada Ati, di dunia dan akhirat, tapi..”ujar Mak cik Zaitun.

Sekali lagi airmatanya meleleh dan tidak mampu lagi mengungkapkan kata-kata kerana tekaknya terasa kesat dan terhimpit.

“Tak apalah emak..jangan kerana Ati emak bergaduh dengan Pak Anjang..”kata Aryati. Mana tahu dengan kata-katanya, kesedihan yang sedang mencengkam hati emak saudaranya itu akan terungkai.

“Ati hanya anak saudara..”Bergetar suara Aryati sewaktu mengungkapkan kalimah itu. Sebagai anak yang menumpang hidup dengan keluarga itu dia harus sedar diri.

“Jangan cakap begitu! Ati dah macam anak kandung emak sendiri. Emak mesti pertahankan Ati,nak. Emak tak sanggup nak lepaskan Ati ke tangan orang tua tu..”tukas Mak cik Zaitun. Kerunsingan yang sedang meratah tangkai hati sejak suaminya menerima pinangan Aji Kudus, memanggil duka nestapa ke dasar jiwanya.

“Nanti apa kata jiran-jiran tetangga? Ati pun mesti berasa malu kepada orang kampung dan kawan-kawan,kan? Mana kita nak sorokkan muka? Emak maluu!”

Mendengarkan kata-kata itu Aryati terus terdiam. Malu! Memang benar pasti dia akan berasa malu. Jika diikutkan hatinya yang masih muda remaja, ingin sahaja dia lari ke bandar meninggalkan kampung halaman dan keluarga itu. Tapi,pastikah tindakannya itu akan membawa kebaikan kepadanya? Apa pula perasaan Mak cik Zaitun apabila mendapati dia hilang dari rumah.

Banyak berita yang dibaca di dalam akbar, gadis-gadis yang lari dari rumah berakhir dengan peristiwa yang lebih buruk. Dirogol, dibunuh dan berbagai kes lagi. Bukankah itu lebih tragis jika dibandingkan dengan pernikahannya dengan lelaki tua?

“Tak apa,mak! Apa yang hendak dimalukan. Bukannya menyalahi hukum pun..”Walaupun ada kebenarannya, jawapan Aryati sekadar hendak memujuk hati emak saudaranya itu. Janganlah wanita itu merasa bersalah.

“Ati..”

“Saya,mak..”jawab Aryati lembut. Dipandanginya wajah Mak cik Zaitun yang masih muram dan sugul.Timbul rasa belasnya. Rasa kasihnya juga bertambah. Dek kerana rasa kasihnya kepada wanita itu dia tidak mahu menunjukkan kesedihannya. Walaupun Mak cik Zaitun itu hanya emak saudaranya,namun dia sanggup berkorban apa sahaja demi kegembiraan wanita yang telah banyak berjasa kepadanya itu.

“Emak nak minta sesuatu dari Ati…”kata Mak cik Zaitun lantas membisikkan sesuatu di telinga Aryati. Mendengarkan bisikan emak saudaranya itu tubuh Aryati tiba-tiba bergementar. Nafasnya melaju. Perasaannya menjadi tidak keruan.

“Tt..ta..tapi mak..”jawabnya tergagap sambil mengerutkan dahinya kerana tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

“Ati sayang tak pada emak?”soal Mak cik Zaitun seolah berbisik. Provokasinya itu pasti akan menewaskan hati anak gadis itu yang memang sangat sayang kepadanya.

“Bbaiklah emak. Tt..tapi..ka..kalau Pak Anjangg..”jawabnya tergagap-gagap dalam tubuh bergementar.

Aryati serba salah untuk membuat keputusan. Kecut perut mengenangkan kebengisan Pak Anjangnya. Kalau kerana tindakannya itu emaknya yang menjadi mangsa tentu dia akan berasa terkilan.

“Jangan pedulikan dia!Tahulah emak nak uruskannya nanti,” tukas Mak cik Zaitun sambil memberi isyarat supaya Aryati cepat-cepat beredar dari situ dan membuat apa yang disuruhnya. “Cepatlah!Sebelum Pak Anjang balikkk!!”gesanya sambil menepuk peha Aryati.

Kedai kopi Tok Ajil masih dipenuhi dengan pelanggannya walaupun waktu Maghrib sudah lama masuk. Beberapa orang lelaki masih asyik dengan permainan dam. Leka mereka mengatur buah ke depan dan ke belakang. Ke kiri atau ke kanan. “Leha….buatkan kopi o lagi lima cawan…”arah Pak Jaafar yang nampaknya bakal menjadi juara pada senja itu. Dia sudah mengalahkan Senin, Tompel dan Mat Tupai. Kalau dia dapat mengalahkan Meon pula,nampaknya dia akan mempertahankan kejuaraannya untuk minggu itu.

“Leha..bawa laksa sekali. Perut dah lapar ni. Hari ini aku belanja….”minta Pak Jaafar lagi. Dia menepuk-nepuk poket baju kemejanya yang lusuh. Baru tengahari tadi Aji Kudus memberinya duit. Jadi apalah sangat untuk membelanja kawan-kawan yang selalu meraikannya itu. Harga kopi O baru tiga puluh sen secawan, harga laksa pula enam puluh sen satu pinggan. Jika dicongak-congak duit yang digunakan untuk belanja makan minum mereka pada petang itu tidak sampai pun sepuluh ringgit.

“Saya dah nak tutup kedai..”beritahu menantu Tok Ajil yang sudah berulangkali menjenguk ke depan. Pelik pula rasa hatinya melihat pelanggannya itu yang tidak mempedulikan suara azan menyeru mereka bersolat sedangkan masing-masing sudah tua bangka. Hanya menanti saat untuk disimpan di dalam tanah!

“Buat apa tutup lagi? Kan kami nak minum kopi dan makan laksa kamu yang sedap tu!Cepatlah buatkan! Hari ni aku nak belanja dia orang semua!!”Kuat suara Pak Jaafar menbalas kata-kata Leha.

“Amboi,banyak duit kamu Jaafar! Baru jual getah ke?”tanya Senin. Tangannya mengusap perut yang mula berdendang sejak tadi. Pak Jaafar hanya menyengih. Dari mana dia memperolehi duit untuk membelanja kawan-kawannya yang bermain dam di kedai Tok Ajil biarlah menjadi rahsia.

“Jaafar..aku dengar engkau nak berbesan dengan Aji Kudus yang berniaga golok parang di pekan tu!”sampuk Mat Tupai. Kabar angin sudah bertiup kencang di dalam kampung itu tentang Pak Jaafar yang akan menerima menantu. Banyak juga cerita yang didengarnya tentang Aji Kudus itu.

Pak Jaafar tidak segera menjawab kerana kosentrasinya tertumpu kepada buah-buah dam yang sedang di hadapannya. Lawannya Meon banyak muslihatnya dalam mengatur buah. Jadi dia perlu berhati-hati.

“Hah!Aji lagi!!”Pak Jaafar terjerit kecil sambil menepuk meja. Dia begitu teruja kerana sudah memiliki buah bertindan membawa maksud buah aji yang bebas bergerak ke sana dan ke sini di papan dam.

“Betul ke Jaafar?”ulang Mat Tupai sambil matanya memerhati buah aji Pak Jaafar yang sedang memakan buah Meon. Meon yang melihat Pak Jaafar mengutip buah-buahnya di atas papan dam terkebil-kebil matanya. Lincah tangannya menggaru-garu kurap tapak kucing di belakang telinga.

“Iya. Tapi bukannya berbesan! Aku akan jadi pak mertua dia,”jawab Pak Jaafar bangga sambil menepuk dadanya. Keningnya dijongket-jongket berkali-kali.

“Maksudnya kau nak kahwinkan Ati dengan pak Aji tu, lah?’ tanya Mat Tupai. Terbeliak mata Mat Tupai mendengarkan jawapan ikhlas dari Pak Jaafar. Pak Jaafar menganggukkan kepalanya berkali-kali mengalahkan burung belatuk.

“Kau gila apa? Takkan Ati tu kau nak kahwinkan dengan si tua tu. Kasihanlah kat dia. Carilah lelaki yang lebih muda. Ni, kau cari otai pula untuk kahwinkan dengan anak dara kau..”tukas Mat Tupai sambil mengelengkan kepalanya.

“Otai pun masih berbisa..biarlah! Dia dah lama berkenankan Ati tu. Kan dah lama budak tu kerja di kedai dia..”balas Pak Jaafar tanpa sekelumit emosi simpati. Baginya keputusan yang dibuat tepat dan tidak menyalahi hukum atau undang-undang negara dan ugama. Jadi orang sekeliling tidak perlulah hendak menyibuk!

“Berniaga apa orang tua tu?”tanya Meon. Jarang ada orang Melayu yang berniaga di pekan berdekatan. Hampir 90% kedai dimiliki oleh orang Cina.

“Jual golok, parang, cangkul..”

“Kalau begitu banyaklah untungnya. Kedai menjual golok dan parang hanya sebuah itu sahaja,kan?”sampuk satu suara.

“Tak taulah pula. Tapi pada pendapat aku, parang golok ni barang yang kurang permintaan. Bukannya hari-hari orang hendak membeli golok dan parang..”balas Pak Jaafar.

“Nak-naknya orang kita, kalau ada kedai bangsa sendiri, mereka tetap nak mencari kedai Cina juga. Pasal itulah, bangsa Melayu susah hendak maju di dalam perniagaan..”kata Mat Tupai.

“Kau ni Mat Tupai..bercakap macam YB pulak!”sindir Pak Jaafar sambil tangannya sibuk mengatur buah.

“Peniaga Melayu ni tak pandai nak ambil hati pelanggan. Kadang-kadang lima sen pun mereka berkira. Sebab itulah, orang-orang Melayu ni, kalau berniaga cepat gulung tikar kerana tak pandai hendak menarik dan menjaga hati pelanggan..”Mat Tupai mula bersyarah.

“Macam mana nak maju. Baru aje buka kedai dengan modal empat ratus, orang yang membeli datang dengan air liur. Duit satu sen tak bawa. Lepas tu suruh tulis dalam buku tiga lima. Kalau begitu, benggali berniaga lembu pun jual kandang akhirnya..”tempelak satu suara dari jauh. Mereka yang sedang ralit bermain dam merenung sesama sendiri. Rasa macam tersindir pula sebab suara yang didengar macam suara Tok Ajil.

“Kalau sesama Melayu tidak membantu melonjakkan bangsa Melayu, engkau orang ingat bangsa lain hendak tolong ke? Takkan adanya..”sambung suara itu lagi.

Mat Tupai, Pak Jaafar, Meon dan beberapa orang lagi yang berada di situ tidak bersuara. Mereka berat hati hendak berdebat dengan Tok Ajil dalam isu bangsa, bimbang orang tua itu naik syeikh! Tak berhenti pula pidatonya yang berapi, mengalahkan mantan presiden Indonesia, Presiden Sukarno.

“Jaafar..!Cuba tengok kat jalan tu..bukan anak engkau ke?”kata Meon. Sebentar tadi sekilas pandang di jalan di hadapan kedainya itu dia bagaikan terlihat salah seorang anak Jaafar lalu di situ. Perbahasan mereka berkenaan dengan bangsa Melayu terhenti di situ.

“Kau jangan nak helahkan aku Meon….”jawab Pak Jaafar tanpa mengendahkan pertanyaan Meon itu. Matanya sudah mengesan buah-buah dam milik Meon yang akan dibaham oleh buah ajinya sebentar nanti.

“Betullah,Jaafar. Nak kemana Aryati tu berjalan laju-laju waktu senja-senja ni!Cari bidan ke?Zaitun dah cukup bulan ke?”tanya pula pula Tompel yang sedang duduk di sebelah Meon. Mendengarkan nama Aryati disebutkan, cepat-cepat Pak Jaafar bangun dari bangku yang didudukinya sejak berjam tadi.

“Ati?”tanyanya dengan suara kuat. Mustahil Aryati pergi mencari bidan seperti yang dikatakan oleh Tompel. Isterinya baru sahaja mengandung empat bulan.

‘Anak kurang ajar!Mesti dia hendak lari dari rumah kerana tidak mahu berkahwin dengan Aji Kudus!’teka Pak Jaafar. Pantas dia menghayun langkah ke bahu jalan untuk melihat dengan mata kepalanya sendiri. Melihat susuk tubuh seorang gadis dari arah belakang menyebabkan darahnya menyirap ke kepala.

“Atii!!!”laungnya kuat-kuat. “Ati!Balik!”jerkahnya lantang.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.