Senja semakin menghilang. Langkahan kaki Aryati semakin
longlai. Namun detakan jantungnya masih laju temponya. Debaran di hatinya hanya
Tuhan sahaja yang tahu. Tidak dapat ditahan airmatanya gugur juga sewaktu dia
mengikut langkah kakinya. Begitu juga dengan keringatnya. Memercik di seluruh
wajah dan mengalir di lehernya.
Sesekali dia menoleh ke belakang. Perasaannya cemas. Bimbang Pak
Anjang mengejarnya. Kalaulah Pak Anjang berjaya mendapatkannya tadi, pasti dia
akan diheret balik ke rumah. Setelah itu wajiblah dia kena belasah dengan
penyapu kalau Pak Anjangnya naik minyak.
“Ya Allah, dah malam. Kemana aku nak pergi ni?”soalnya
sendiri. Dia mula kecut perut. Maklumlah suasana kampung yang di penuhi dengan
pokok-pokok besar dan terbiar, mulai gelap apabila sang mentari menyembunyikan
diri.
Aryati terengah-engah berjalan di tepi kebun getah tempat
emaknya menoreh. Jika diikutkan rasa takut yang sedang membelitnya pada saat
itu, ingin sahaja dia berpatah balik ke rumah.
‘Tak sepatutnya aku keluar dari rumah pada waktu ini!’rungut
Aryati yang mula kesal dengan tindakannya itu. Namun desakan emak saudaranya
tidak patut dibantah. Pandangan sayu wanita yang banyak berbudi kepadanya itu
menyebabkan dia patuh. Hati kecilnya faham apa yang tersembunyi di lubuk hati
wanita itu. Segalanya kerana tidak mahu dia berkahwin dengan Aji Kudus yang tua
bangka. Emak saudaranya ingin dia mengecap kebahagiaan di dalam hidupnya pada
masa akan datang.
Kini dia teringat
pondok kecil yang berada di dalam kebun getah itu. Pondok itu menjadi tempat dia dan emak saudaranya berehat sebaik
selesai menoreh getah sementara hendak mengutip susu getah. Mungkin malam itu
dia boleh menyembunyikan diri di situ sementara menanti hari esok. Aryati terus
berjalan sambil menunduk melihat denai yang dilaluinya.
Suasana hening dan menyepi. Hanya sesekali terdengar bunyi
ranting-ranting halus dan daun kering yang dipijaknya. Dalam jarak lebih kurang
dua puluh kaki dari pondok, pandangan mata Aryati terarah kepada kepada satu
cahaya yang menuju ke pondok itu juga. Langkah kaki Aryati terhenti. Dup-dap.
Dup-dap. Detakan jantungnya seolah meleburkan seluruh jiwa raganya. Nafasnya
melaju. Kini dia serba salah. Tidak tahu samada hendak meneruskan niatnya
menuju ke pondok itu atau pun mencari tempat lain untuk bersembunyi. Namun pada
waktu itu malam semakin menghimpit.
‘Jangan-jangan budak-budak penagih dadah berhimpun di situ
malam-malam begini,’bisik hatinya yang mula diratah ketakutan. Aryati
memusingkan tubuhnya ke belakang dan melihat sekeliling. Muktamad! Dia mesti
tinggalkan tempat itu dengan segera. Rembulan mula menunjukkan wajahnya pada
waktu itu. Cahayanya yang putih sedikit sebanyak dapat memberi sinar ke kawasan
kebun getah itu yang kegelapan.
Baru lima langkah dia berjalan Aryati mendengar tapak-tapak
kaki yang laju di belakangnya. Gemeratap bunyi daun dan ranting kering yang
dipijak. Entah haiwan,entah manusia. Aryati semakin takut untuk menduga. Cemas
hatinya hampir dia tidak mampu untuk melangkah ke hadapan. Namun rasa takut
yang mencengkam memaksa kakinya untuk berlari. Aryati berlari lintang pukang
meredah pokok-pokok renek dan rumput lalang.
“Oii!Jangan lari!!”tempik suara lelaki. Aryati sempat menoleh.
Dalam cahaya suram Aryati lihat lelaki itu mengejarnya.
Basikal tua yang menjadi tunggangannya ke kedai Tok Ajil terus
disandarkan ke tiang rumah sebaik sahaja dia turun dari basikal. Pak Jaafar
tergesa-gesa naik ke rumah melalui pintu dapur. Suasana dapur ditambat kesepian
dan kesunyian. Agaknya semua orang sedang bersolat Isya. Begitulah kata hati
Pak Jaafar.
“Ati pergi ke mana?”tempik Pak Jaafar sebaik sahaja melihat
wajah isterinya. Mak cik Zaitun yang buat-buat tidak dengar. Pak Jaafar merapati Mak cik Zaitun yang tidak
mengendahkan pertanyaannya. Isterinya itu sedang membelah buah pinang. Buah
pinang yang sudah dibelah-belah itu akan dijemur dan dijual setelah kering.
Harganya pada waktu itu 20 sen sekilogram.
“Tun!Ati pergi mana?Hah?”tengkingnya kuat. Hatinya bagai
dicucuh api apabila melihat isterinya itu tidak mempedulikan pertanyaannya.
Seolah telinganya telah pekak.
“Ati pergi mana?”ulangnya lagi dengan suara yang lebih kuat
menandakan darahnya mulai mendidih.
“Fatimah!!”Nama Fatimah pula yang dilaungkan. Baran Pak Jaafar
bertambah apabila Fatimah tidak menyahut panggilannya.
“Kemana budak-budak ni semua pergi!”rungutnya kuat. “Fatimah!!”laungnya
sekali lagi. Kuat suaranya membingitkan telinga Mak cik Zaitun yang ada
berdekatan.
“Fatimah pergi mengaji…”beritahu Mak cik Zaitun. Tinggi
suaranya kerana kesabaranya juga mulai tercarik.
“Fatimah pergi mengaji. Ati? Ati pergi ke mana?”soal Pak
Jaafar dengan gelojoh.
“Mana aku tahu! Dari senja tadi aku tak nampak dia..”jawab Mak
cik Zaitun melereh. Berpura tenang menyembunyikan resah di jiwa. Dadanya
berdebar-debar apatah lagi apabila melihat alam yang diselubungi kegelapan
malam.
“Aku nampak dia lalu di depan kedai Tok Ajil tadi. Bawa beg
berbundut-bundut. Dia nak ke mana?”soal Pak Jaafar sambil menekan suaranya.
“Entah anak siapa yang awak nampak senja-senja tadi. Kan
seharian ni mata awak asyik tengok buah dam?”tanya Mak cik Zaitun sambil
menyindir tajam. Pertanyaan dari suaminya itu menyebabkan dia kecut perut.
Segunung doa dipanjatkan, agar anak saudaranya itu berjaya melarikan dirinya
dari kampung itu. Dapat memerdekakan dirinya daripada hajat Aji Kudus yang
ingin memperisterikannya.
“Safwan, panggil Ati!”jerit Pak Jaafar tanpa mempedulikan
sindiran isterinya itu. Walau apa yang terjadi Aryati mesti dicari. Dia pasti
sangat gadis yang dilihatnya tadi ialah Aryati!Mustahil dia tidak mengenali
gadis yang sudah dipelihara lebih sepuluh tahun?
“Safwan tak ada. Dia dah ke surau…”beritahu Mak cik Zaitun.
Mendengarkan ungkapan kata-kata daripada isterinya itu, Pak Jaafar cepat-cepat
menuju ke bilik. Langkahnya panjang-panjang dan sengaja dihentak-hentakkan
kakinya menunjukkan rasa marahnya. Pintu almari kayu buruk di dalam bilik terus
dibuka dengan rakus. Walau pun dia tidak pernah tahu kain baju yang dimiliki
oleh Aryati namun pasti kain baju anak gadis itu sudah tiada di dalam almari.
Ini adalah kerana, ada tetingkat di dalam almari yang telah kosong tanpa
sehelai pakaian pun. Mungkin tetingkat itu hak Aryati kerana almari itu diguna
berkongsi dengan anak-anaknya yang lain.
“Tun!Ati dah lari dari rumah!! Habis kain bajunya dia bawa!!”jerit
Pak Jaafar sambil merapati Mak cik Zaitun semula. Perkara itu menyebabkan dia
naik darah dengan tiba-tiba.
“Kenapa awak biarkan dia lari,hah?”marahnya kuat. Mencerlung
matanya melihat Mak cik Zaitun. “Anak gadis seorang pun tak boleh nak jaga?”Sekali
lagi Pak Jaafar menghamburkan pertanyaan dalam kemarahan.
“Aku yang suruh dia lari…Aku yang suruh!”jawab Mak cik Zaitun
berani. Biar apa pun yang terjadi dia takkan membenarkan Aryati bernikah dengan
lelaki yang sudah tua ganyut itu.
“Kau yang suruh?”soal Pak Jaafar yang naik hantu. Tak tersedar
kakinya diangkat lalu menendang perut isterinya itu. Mak cik Zaitun terperosok
di sudut dinding. Menahan rasa sakitnya,bibirnya diketap kuat.
“Aku dah ambil duit dari Aji Kudus!!!”tempik Pak Jaafar lantas
menendang Mak cik Zaitun sekali lagi. Baru semalam Aji Kudus memberinya 200
ringgit. Kalau Aryati lari dan tidak dapat dinikahkan dengan orang tua itu,duit
200 kena bayar balik kepada Aji Kudus! Di mana hendak dicekaunya duit?
“Awak pergi cari dia balik!”tempiknya lantas menampar kepala
isterinya itu. Kali ini Mak cik Zaitun meraung kesakitan. “Awak ni!Lebih baik
ambil parang dan bunuh sahaja aku!! Bunuh sahaja aku dan anak yang dalam perut
ni!!”
Dalam tangisan yang tertahan Mak cik Zaitun cuba melawan. Pak
Jaafar terkedu sejenak. Sewaktu perasaan marah menguasai hati dan akal,langsung
dia tidak ingat yang isterinya itu sedang mengandung.
“Awak ingat aku tak siuman ke?”soal Pak Jaafar dengan suara
kuat. Walau kesal dengan tindakannya itu dia tidak mahu menunjukkan rasa
bersalah. Akan tercemarlah maruahnya sebagai seorang suami jika dia tunduk
kepada kata-kata isterinya itu.
“Memang awak dah tak siuman!”jerit Mak cik Zaitun yang naik
angin. Kesakitan yang dirasa terus ditelan. Bibit-bibit pertengkaran yang mulai
membara antara dia dan suaminya itu menyebabkan dia panas hati.
“Orang tak siuman saja yang nak kahwinkan anak dengan lelaki
tua! Orang tak siuman saja yang sanggup tendang bini yang sedang mengandung!”tukasnya
kuat.
“Diam!Jangan nak cabar aku, Tun! Jangan kerana Ati, awak jadi
isteri durhaka! Aku ketua keluarga ini!”sanggah Pak Jaafar. Nafasnya naik turun
dengan cepat sehingga dadanya nampak beralun-alun.
“Ohh,jadi kalau awak ketua keluarga awak bolehlah menindas
isteri dan anak-anak?”soal Mak cik Zaitun. Sakit hatinya bukan kepalang apabila
suaminya itu kerap sangat membangkitkan hal yang sama berulangkali. Bangga
menjadi ketua keluarga yang menguasai seluruh isi keluarga itu, tetapi
tanggungjawab yang sepatutnya dipikul dihumban entah ke mana!
“Kalau Ati tak kahwin dengan Aji Kudus tu,siaplah …”Pak Jaafar
cuba mengugut. “Awak nak buat apa?”soal Mak cik Zaitun. Mustahil suaminya itu
akan menceraikannya kerana hanya dia sahaja yang sanggup berkongsi hidup dengan
lelaki itu. Jika perempuan lain yang menjadi isterinya, sudah lama dia
ditinggalkan.
“Engkau akan terima akibatnya nanti…”ancam Pak Jaafar dengan
nafas deras. Sengaja hendak menakutkan isterinya itu. Orang perempuan ini
begitu takut jika ditinggalkan oleh seorang suami. Teramat takut menjadi janda.
Itulah yang terfikir oleh otaknya yang tak begitu jernih.
“Akibat apa?”soal Mak cik Zaitun sengaja hendak mengapi. Jika
suaminya itu berani mengancam dengan hal yang tidak-tidak, dia juga tidak
berasa takut untuk membuat ugutan. Selama hidup bersama lelaki itu, dia tidak
pernah mengecap rasa kesenangan pun!
“Tun…aku..aku..”
“Jaafar!!”laung satu suara. Ungkapan Pak Jaafar terputus. Namanya
dipanggil berulang kali dari bawah rumah.
Kuat dan cemas nada suara itu. Pak Jaafar menguatkan ikatan
kain pelikatnya lantas turun ke tanah.