Home Novel Keluarga My Sweet Tom Girl
My Sweet Tom Girl
Zulfati Hanis
22/3/2015 21:31:35
72,093
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 4

BAB 4

Fatimah Dhaniyah duduk di atas kerusi meja makan di dapur sambil kedua belah tapak tangannya menungkat dagunya.

“Macam mana ni, Kak Siti? Tentu saya kena buang kerja ni,” kata Fatimah Dhaniyah, hambar.

Kak Siti memandang dengan pandangan simpati. Tapi apa yang dia boleh buat. Dia sendiri makan gaji di rumah ini. Hanya Tan Sri Jalal dan Puan Sri Yusni saja yang boleh membantu Fatimah Dhaniyah saat ini.

“Sabarlah. Marah Encik Uwais tu kejap aje tu. Tim pun tadi bukannya sengaja nak basahkan dia, kan?”

Fatimah Dhaniyah mengangguk pantas. “Tim ingatkan dia Tok Arab jual minyak attar, Kak Siti.”

Nak tergelak Kak Siti mendengar alasan Fatimah Dhaniyah. Bakal peneraju Samudera Holding dikatakan Tok Arab jual minyak attar.

“Ke situ pulak yang kau fikir, Tim. Encik Uwais tu anak sulong Tan Sri dengan Puan Sri. Tim akan jadi driver dia lah nanti.”

Fatimah Dhaniyah menelan liur. Hari ini adalah permulaan yang pincang antara dia dengan majikan barunya.Manalah dia nak tahu lelaki yang disangka Tok Arab itu rupa-rupanya anak Tan Sri Jalal.

“Habislah saya, kak. Mesti Encik Uwais tak mahu saya jadi driver dia.” Gusar hati Fatimah Dhaniyah memikirkan kemungkinan itu akan berlaku. Penat ajelah dia berlakon kena langgar kalau akhirnya dia dibuang kerja.

“Insya-ALLAH kalau Tim minta maaf elok-elok, dia okey nanti. Kita tawakal ajelah.”

Sebaik saja Kak Siti habis bercakap, Fatimah Dhaniyah bingkas bangun dari duduknya.

“Kamu ni dah kenapa, Tim?”

“Saya nak jumpa dengan Encik Uwais lah, Kak Siti. Nak minta maaf dekat dia.”

Belum sempat Kak Siti menghalang Fatimah Dhaniyah berlalu keluar dari dapur dengan pantas. Kak Siti menghela nafas.

“Lurus bendul pulak budak Tim ni. Sekarang ni mintak maaf silap haribulan kena sembur aje dengan Encik Uwais tu. Ya ALLAH, harap-harap semuanya berjalan lancarlah. Amin.”

What? Driver along?” terduduk Ahmad Uwais dibuatnya bila mendengar penjelasan daripada Puan Sri Yusni.

“Haah. Dia ada pengalaman kerja bawak teksi. Memang sesuailah sangat kerja yang abi tawarkan tu.” lembut saja nada suara Puan Sri Yusni.

“Tomboi tu jadi driver, along? Oo…no…no…no…ami. Along tak setuju!” tegas Ahmad Uwais. Ada ke patut perempuan tak cukup sifat tu jadi pemandunya? Memang tak lah jawabnya.

“Kenapa pulak, long? Dah sesuai dah dia tu jadi driver along.”

“Ami…budak tomboi tu tak sesuai jadi driver along. Muka aje nampak comel, bertudung bagai. Tapi perangai mengalahkan jantan. Kaki gaduh.”

Puan Sri Yusni senyum. Teringat dia dengan kejadian tadi. Naik lencun anak bujangnya yang seorang ini dibuat oleh Fatimah Dhaniyah. Semuanya gara-gara salah faham. Tapi agak lucu jugak kejadian tadi.

“Along…kita cubalah dulu. Kalau lepas dua tiga bulan along masih tak boleh terima dia, kita berhentikan atau tukarkan dia ke department lain. Lagipun Abi dah janji nak bagi dia kerja driver tu. Tak baik along aniaya orang susah.” Puan Sri Yusni memujuk.

Ahmad Uwais mengaru dahinya. Rasa panas dihatinya masih terasa lagi. Ini kan pulak ami nak dia bersabar dua tiga bulan lagi? Abi pun satu, bukannya nak bincang dengan aku dulu sebelum tawar kerja.

“Eee…Encik Uwais.”

Ahmad Uwais dan Puan Sri Yusni sama-sama menoleh ke arah suara yang menegur.

“Saya nak mintak maaf pasal tadi. Saya tak sengaja.” Teragak-agak Fatimah Dhaniyah bercakap.

Kau tak sengaja ya tomboi? Habis basah lencun aku kau buat, boleh kata tak sengaja. Hai…kau memang cari pasal dengan aku. Turun naik turun naik kening Ahmad Uwais saat ini.

“Habis basah aku kau buat boleh pulak cakap tak sengaja!” jerkah Ahmad Uwais.

Fatimah Dhaniyah mempamerkan wajah blur. Alamak…melenting pulak mamat ni. Muka dah mengalahkan muka singa lapar aje tu. Naik seram pulak aku tengok muka dia ni. Ditelan air liur beberapa kali.

“Along…” Puan Sri Yusni memegang lengan Ahmad Uwais.

“Hummm…along bagi dia masa sebulan aje, ami. Kalau dalam tempoh tu dia tak boleh ikut rentak along, jangan salahkan along sebab pecat dia!” Tegas Ahmad Uwais seraya berlalu meninggalkan Puan Sri Yusni.

Bila Ahmad Uwais berselisih dengan Fatimah Dhaniyah, dia berhenti melangkah. Direnung tepat mata Fatimah Dhaniyah.

“Ada ubi ada batas. Ada hari kau pulak yang basah kuyup,” bisik Ahmad Uwais sambil melemparkan senyuman sinis kepada Fatimah Dhaniyah.

Tidak menjawab. Sebaliknya Fatimah Dhaniyah beberapa kali menelan air liurnya lagi.



Ahmad Uwais duduk di tepi kolam renang sambil cuba menghubungi Fahmi. Namun panggilannya tidak berangkat.

“Humm…mana dia pergi ni? Tak kan sibuk layan awek lagi? Dah pukul berapa dah ni?” Ahmad Uwais merungut sendiri.

One mug hot milo for you, along. And one mug for me.” Farhana meletakkan sebijik mug di depan Ahmad Uwais dan dia menarik kerusi yang kosong untuk dirinya.

Thanks.” Ahmad Uwais menghirup air milo tanpa susu kegemarannya perlahan-lahan. Mmm…nikmatnya.

“Apa yang along mengomel seorang tadi?” soal Farhana.

“Tak ada apa-apa,lah. Ini kenapa tak tidur lagi? Esok tak ada kelas ke?”

“Ada. Saja nak berborak dengan along dulu. Along tak keluar ke malam ni?”

Ahmad Uwais mengeleng. “Malas. Tak ada mood.”

Farhana mencebik. “Tak ada mood ke atau along tak ada teman nak keluar?”

“Eee…mulut…” Tangan Ahmad Uwais ingin mencubit pipi Farhana. Namun dengan pantas Farhana mengelak sambil tergelak.

“Nakallah Hana ni! Lain kali along tak nak tambah duit poket Hana. Padan muka!” Ahmd Uwais mengugut.

“Alah…Hana gurau ajelah.”

“Tau takut.” Ahmad Uwais senyum kemenangan.

“Along dah pilih calon seterusnya untuk blind date along?”

Dibiarkan saja pertanyaan Farhana itu tidak berjawab. Ahmad Uwais mencapai mugnya dan menghirup perlahan-lahan minumannya.

“Along.” Farhana menepuk lengan Ahmad Uwais.

“Ada apa?”

“Sampai bila along nak terus macam ni?”

“Macam apa?”

“Along tahukan apa yang Hana cakapkan ni.” Farhana memandang wajah Ahmad Uwais.

“Boleh kita cakap benda lain tak? Along malaslah nak ulas perkara yang Hana bangkitkan tu.”

“Humm…okeylah, Hana pun tak nak paksa along. Mmm…long, dengar cerita along dah jumpa dengan pemandu baru along.” Farhana tersenyum-senyum.

“Tu yang tersenyum macam kerang busuk tu kenapa?” soal Ahmad Uwais tanpa menjawab pertanyaan Farhana. Dia tahu cerita pasal dia basah lencun pagi tadi dah tersebar serata rumah. Semua ni sebab minah tomboi tulah. Geram aku ni masih rasa dalam hati ni. Siap kau tomboi. Dapat peluang aku pulak simbah kau dengan air.

“Hai…senyum pun tak boleh ke?” bidas Farhana sambil tersenyum dan menjongket keningnya.

“Bukan tak boleh. Tapi senyum Hana tu senyum menyindir. Macamlah along tak tahu.” Ahmad Uwais mendengus.

“Hisy…bila masa along ni dah tukar kerjaya jadi ahli nujum ek? Ooo…rasanya sebab kena mandi pagi tadi kot?” mengekek Farhana ketawa.

“Ooo…perli along ek!” Ahmad Uwais menjegilkan matanya. Tangannya sudah seperti tangan sotong sambil cuba untuk mencubit Farhana.

Tidak mahu dicubit, Farhana bingkas bangun sambil tergelak besar. Mereka berdua berkejaran mengelilingi kolam renang.

Aksi mereka itu menjadi santapan mata Fatimah Dhaniyah. Dia tersenyum sendiri. Dia tidak pernah merasa suasana bergurau senda adik-beradik.

“Apa yang Tim tengok tu?” Kak Siti menegur dari belakang.

Pantas Fatimah Dhaniyah menoleh kebelakang.

“Tak ada apa-apa, Kak Siti. Saja tengok tu...”

Kak Siti mengintai keluar. Kemudian dia kembali memandang Fatimah Dhaniyah.

“Dia orang berdua tu memang rapat. Memang selalulah dia orang bergurau macam tu. Cik Hana tu memang suka mengusik Encik Uwais. Bukan Encik Uwais ajelah yang kena usik dengan Cik Hana. Kadang-kadang tu Tan Sri dengan Puan Sri pun jadi mangsa Cik Hana.”

“Seronokkan kalau dapat happy family macam ni. Akak ada keluarga?”

Pertanyaan Fatimah Dhaniyah membuatkan riak muka Kak Siti berubah. Sebelas tahun dulu dia pernah bergelar isteri. Tapi itu cerita lama.

“Dulu pernah, Tim. Tapi lepas akak bercerai dengan suami, akak hidup sendiri. Mak bapak dah lama meninggal. Akak ada seorang abang aje. Tapi dia ada keluarga dia sendiri. Bila dapat peluang kerja dekat sini, akak terus terima dan kerja sampai sekarang ni. Dah sepuluh tahun akak kerja dekat rumah ni. Akak bahagia dengan keluarga ni. Mereka layan akak macam keluarga sendiri.”

Fatimah Dhaniyah senyum nipis. Dilemparkan pandangan matanya kembali ke arah kolam renang. Kelihatan Ahmad Uwais dan Farhana sedang rancak berbual dan bersenda gurau. Ya ALLAH, berilah aku kesempatan untuk merasai kebahagiaan dalam keluarga ini. Aku mohon padaMu Ya ALLAH. Amin.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.