Home Novel Keluarga ADUH! PENING...
ADUH! PENING...
Asmah Hashim
21/6/2015 11:57:24
84,446
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 1

Namanya Aleeya Aneesa, bukan, bukan penulis novel itu tau, keluarga memanggilnya Leya. Dia hanya insan biasa yang dilahirkan berpuluh tahun yang lalu. Erk… umur rahsia, boleh begitu? Biarlah rahsia. Tidak perlu diuar-uarkan, terasa tua pula nanti. Sudah berkahwin beberapa bulan yang lalu. Dia bekerja sebagai penjawat awam di pejabat kerajaan. Gaji tidak besar mana, sesuailah dengan kelulusannya yang hanya ada Diploma Sumber Manusia. Bukan dia yang memberi sumber kepada manusia.

Tinggi lima kaki empat inci. Pinggang 24 inci. Cukuplah dia memberitahu bahagian tertentu tubuhnya. Boleh bayangkan sendiri, dia tidaklah gemuk, malah kurus dan cantik bergetah, walaupun tidaklah seperti ala-ala model di luar sana. Sudah cukup untuk mengetarkan hati suami sendiri. Setiap hari dia ke tempat kerja memandu sendiri. Nun di Putrajaya, duduknya di Puchong Perdana. Rumah teres dua tingkat, sewanya usah cerita. Jaga status kata suaminya sedangkan boleh saja sewa rumah flat dengan harga separuh dari sewa rumah teres dua tingkat itu. Ikutkan sahaja, bukan dia yang bayar sewa, tetapi suaminya.

Untuk pengetahuan semua, dia berkahwin dengan seorang duda beranak lima. Bagaimana perkara itu berlaku? Uh! Panjang ceritanya. Menurut pakar kajiselidik. Jika usia sudah melebihi 30-an orang yang akan masuk meminang, jika bukan suami orang, sudah tentulah duda. Mahu tak mahu kenalah terima daripada mendapat status andartu terlajak tak larisnya. Takut tahu, jadi anak dara tua. Jiran tetangga asyik bertanya bila nak makan nasi minyak? Sedangkan setiap hari dia makan nasi minyak di kedai mamak. Kalau nak sangat belanjanya, boleh sahaja dia beli dan jamu mereka semua. Emak dan ayah juga membebel, asyik fikir pasal diri sendiri, tak nak berkahwin. Akhirnya terjumpa seorang lelaki yang sedang merana kerana ditinggal isteri dan lima anaknya, terpaksalah dia kutip demi merealisasikan impian kedua orang tua dan jiran tetangga. Erk… boleh tak begitu, berkahwin kerana nak tutup mulut orang? Boleh sajalah. Asalkan ada jodoh dan sampai serunya. Bukan main pilih dan tangkap muat saja. Dia pilih juga.

Nama suaminya Ikmal Hakimi, sedapnya nama, kan, kan, kan. Kalau tengok pada nama tentulah orangnya kacak bergaya dan ada karismanya. Boleh tahanlah, tetapi tidaklah sekacak Aaron Aziz atau siapa ya nama pelakon lelaki yang sedang popular di Malaysia? Cari sendiri, fikir sendirilah ya.
Sudahlah berkahwin dengan duda anak lima, dia terus mendapat gelaran ibu segera, mana tidaknya lima orang dik oi! Nasib baik bukan dia yang kena jaga, sesekali suaminya bawa juga anak-anaknya pulang ke rumah, hanya untuk makan-makan dan beramah mesra. Ehm… kenalah jadi seorang ‘ibu tiri’ yang baik semuanya. Dalam fikiran ramai orang, ibu tiri selalunya jahat dan suka mendera. Maaflah ya, dia bukan spesis seperti itu. Masih ada hati dan perasaan. Anak-anak suaminya masih kecil dan memerlukan perhatian. Tidak mungkin dia menjadi manusia jahat yang hanya ada hati tetapi tiada perasaan. Tidak mungkin! Anak-anak suaminya tiga perempuan, dan dua lelaki. Berumur daripada dua tahun sehingga lapan tahun. Hati naluri seorang ibu, tidak perlu belajar menjadi ibu hanya ketika ada anak sendiri sahaja. Anak-anak suaminya, anak-anak dia juga. Walaupun bukan lahir dari rahimnya.

Untuk mengelak dapat suami orang, duda pun tidak mengapalah. Ada anak lima pun dia tidak kisah. Namun, kebahagian yang baharu menjelma bagaikan tercalar dengan sengaja, atau disengajakan. Terasa hendak menjerit sahaja. Walaupun tidak dimadu atau bermadu, dalam diam tak diam dia sudah ‘bermadu’ dengan bekas isteri suaminya. Huh! Susah juga berkahwin dengan duda yang ada anak dan ada bekas isteri! Lain kali berkahwin dengan duda yang kematian isteri tahu! Aleeya mengetap bibir sendiri. Rasa hendak dihempuk sahaja fail-fail yang berselerakan di atas mejanya. Fikirannya sudahlah berserabut, ditambah dengan masalah yang dicipta oleh manusia bernama bekas isteri.

Wajahnya langsung tidak melakar bahagia. Muncung bibirnya boleh panjang sedepa kalau dibiarkan sehingga ke petang. Sakitnya di sini, di hati yang paling dalam. Tidak mampu meluahkannya kerana yang terlibat adalah anak-anak suaminya juga. Oleh kerana geram yang melampau pernah juga terbit rasa di hati, menyesal dia berkahwin. Biarlah jadi anak dara tua sehingga ke mati. Aleeya mengeluh berat.

“Kau kenapa? Sejak dari tadi, asyik mengeluh aje aku dengar, tak penat ke?” Tanya Rozita kawan sepejabat yang selalunya prihatin sangat dengan dirinya.

“Tu… bibir kau, boleh sangkut baju. Besar sangat masalah kau ke?” Sambungnya lagi.

Aleeya memandang wajah rakannya itu tidak berkelip. Macam mana dia nak mulakan kata-kata. Terasa seperti mengumpat pula, lebih-lebih lagi hal rumah tangga sendiri. Buatnya Rozita canang satu pejabat, dia juga yang malu besar nanti. Biarlah rahsia, boleh tak? Kalau sudah muka poyonya yang berbicara, semua orang ingin ambil tahu juga.

“Macam mana ya aku nak cakap?” Aleeya sedang berkira-kira. Bukan kira matematik itu. Kira-kira macam sedang berfikirlah. Nak beritahu atau tidak?

“Kalau nak kongsi, aku sedia mendengar, kalau tak sudi, aku pun tak paksa.” Rozita mengangkat bahu.

Aleeya menyengih. Eh! Masih boleh menyengih rupanya. Ingatkan sudah hilang kegembiraan di hati.

“Hah, boleh pun menyengih.” Usik Rozita.

“Nantilah aku cerita kat kau. Tapi, bukan waktu sekarang. Sekarang waktu kerja! Jangan culas, nanti kena tindakan tataterbit!” Sempat lagi Aleeya bergurau. Hilang sedikit rasa marah di hati.

“Yalah… bibir tu jangan biar muncung lama-lama, aku takut tak boleh nak leperkan semula, nahas kau,” gurau Rozita.

Aleeya mencebik. Rozita Yamin, ibu kepada dua orang anak yang sedang meningkat remaja. Layak dipanggil kakak, baik dan suka membantu orang lain. Pakaiannya ke pejabat selalu ikut peredaran fesyen tetapi menutup auratlah. Pantang dengar ada jualan murah, pasti dia yang muncul dahulu. Kalau nak tahu pasaraya mana yang buat jualan murah, bolehlah tanya kepadanya. Nak tahu kedai yang murah boleh juga rujuk kepadanya. Tudungnya pula beraneka ragam dan warna. Agak-agaknya almari pakaian dan tudungnya entah besar mana. Aleeya tersenyum sendiri. Hatinya sudah berbunga riang. Hilang menjauh seketika semua masalah yang bersarang di dada.

Masalahnya tidak akan berkurang. Masalah itu juga tidak akan berlalu pergi. Melainkan diselesaikan oleh suaminya sendiri. Bukan sahaja dia yang pening. Suaminya sendiri juga pening memanjang. Tangan asyik letaknya di dahi semenjak dua menjak ini. Hendak membantu, dia sendiri tidak tahu harus bagaimana. Semuanya melibatkan wang ringgit semata-mata. Boleh papa kedana jadinya. Hish, tak baik fikir begitu. Mungkin semua ini ujian semata-mata. Pasti ada jalan keluar yang terbaik buat semua. Apa masalahnya? Kenalah tunggu saya tulis keseluruhan cerita. Sekali lagi keluhan terlahir di bibirnya. Mencanak rasa mual di hati dengan masalah yang timbul bukan sebab dia dan suami. Masalah orang ketiga. Bukan hadir untuk merampas suaminya, sedangkan mereka pernah bersama. Entah apa yang bekas isteri suaminya hendak sebenarnya? Masih berfikir dan mencari jawapannya. Anak-anak menjadi pecaturannya. Keluhan terlahir lagi, kali ini begitu menyesak jiwa. Diluah mati bapak, ditelan mati emak. Bidalan orang tua-tua yang benar-benar besar maknanya.

Tengahari itu nasi yang dijamah bagaikan tidak boleh terhadam. Disumbat ke tekak terus ditelan tanpa dikunyah seperti biasa. 40 kali kalau ikut sunahlah. Baik untuk penghadaman jika makanan yang masuk ke mulut dikunyah sehingga lumat. Ini bukan soal malas mengunyah tetapi mengejar waktu rehat yang hanya sejam lamanya. Di tambah dengan masalah yang melingkari jiwanya. Semakin kuranglah nafsu makannya, biarpun makanan yang dibeli adalah kegemarannya juga. Hari ini hilang seleranya. Putus nafsu makannya. Habiskan sahaja kerana sudah membayar sekelian harga siap dengan GSTnya Restoran biasa sahaja, tetapi kenakan GST? Jangan-jangan auta sahaja. Lantaklah, sebelum ini dia tidak pernah makan di restoran itu. Kerana ikut ajakkan kawan-kawan, kononnya nak ubah selera. Asyik makan di kedai Wak Karman kata mereka, jemu juga. Walaupun hanya gerai biasa, gerai Wak Karman tetap di hatinya. Selain murah, bersih juga. Itu sebab ramai rakan sekerja suka makan di situ.

Kedai yang mereka sedang duduk bersantai ini, jarang didatangi oleh rakan sekerja mereka. Masakannya biasa-biasa sahaja. Harganya sahaja yang buat perut memulas tiba-tiba. Mahallah. Rasa hendak ketawa melihat wajah Rozita ketika melihat harga makanan yang telah dikira. Ikan keli masak sambal, ulam-ulaman, kuah kari dicurahkan atas nasi, sayur taugeh goreng bersama air teh ais limau RM10.00. Biar betul! Ringan sahaja mulut hendak bertanya. Ikan keli takkan seekor RM5.00? Kalau makan di kedai Wak Karman, lauk seperti itu paling tidak RM7.00 sahaja. RM3.00 lagi boleh buat minum petang. Uh! Wak Karman hanya kau di hati. Aleeya menyengih. Menyesal tak sudah. Dia lagi mahal kerana ambil sotong dan udang yang memang kegemarannya. Kalau lauk udang di kedai Wak Karman, biasalah RM10.00 sahajalah. Biasalah udang dan sotongkan mahal. Ini tidak. RM15.00 terbang hanya makan tengahari sahaja. Larilah budjet kalau macam ini. Apasal pula main kira-kira makanan bagai? Memang kepalanya sedang biul sekarang ini. Masalah kecil dianggap bagaikan masalah negara. Tak apa, tak apa, dia harus bertenang dan berdiri di belakang suaminya. Tidak akan mengalah dengan permainan janda suaminya. Kuat Aleeya, kuat! Dia harus mempertahankan rumah tangganya. Kebahagian milik dia dan suami.

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.