Home Novel Keluarga ADUH! PENING...
ADUH! PENING...
Asmah Hashim
21/6/2015 11:57:24
84,415
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 6

Ikmal memandang sahaja tingkahlaku Aleeya yang banyak mendiamkan diri daripada bercakap dengannya. Selalunya mulut isterinya becok macam mulut murai. Hari ini diam seribu bahasa. Sekali bertanya, sekali sahaja jawapan yang keluar. Marah ke? Takkan marah? Dia ada buat salah ke? Hatinya cuak dengan sikap Aleeya, mesti ada yang tidak kena di hati. Mesti ada yang menyinggung perasaan isterinya itu.

“Awak okey ke?” Ikmal duduk di meja makan sambil memerhati isterinya menyusun lauk-pauk di atas meja.

“Okey.” Aleeya kembali ke dapur untuk mengambil nasi pula. Malas nak bercakap. Hatinya masih diulit resah dan sebak. Sudahlah beberapa hari bercuti dengan suaminya, kelmarin telefon ajak suaminya keluar kerana anak-anak tak nak makan di rumah. Anak-anak kononnya ajak ayah mereka keluar makan. Dia? Tak boleh ikut! Ada ke patut? Cuba baagi tahu? Siapa tak cemburu? Memanglah cemburu. Tak payah bagitahu.

“Malam ni tak keluar dengan bekas isteri awak tu ke? Atau anak-anak tak ajak awak pergi ke mana-mana ke?” kata Aleeya sambil duduk mengadap suaminya yang buat muka selamba meratah lauk-pauk yang terhidang.

“Bunyi macam cemburu aje?’ Ikmal merenung wajah Aleeya yang asyik melarikan anak matanya ke arah lain.

“Cemburu!? Uh! Tengok kakilah. Tak mainlah cemburu-cemburu ni. Nak cemburukan abang dan anak-anak? Tak kuasa saya, banyak perkara lain yang boleh saya buat selain fikirkan perasaan saya terhadap abang dan anak-anak abang berserta bekas isteri abang tu.” Sengaja dia menekankan bekas isteri. Ada ke boleh tanya, cemburu ke tidak? Hey, dia perempuanlah. Siapa pun akan cemburu kalau suami asyik berkepit sahaja dengan bekas isteri. Bekas isteri! Okey. Anak-anak? Kenapa nak bawa anak-anak bekas isteri ikut sama? Ada sesiapa yang boleh bagitahu? Mesti ada agenda tersembunyi.

“Betul ni tak cemburu? Awak tak sayangkan abang agaknya. Kalau orang lain dah tentu angin satu badan.” Ikmal mengambil nasi pula dan mula menjamah makan malamnya. Ringkas tetapi sedap. Aleeya memang pandai memasak.

“Itu orang lain. Ini Aleeya Aneesa!” Tak angin satu badan? Sudah nak meletup tau. Aleeya mengetap bibir. Hatinya sudah cukup sakit. Tetapi dia masih lagi menjaga tatasusila seorang perempuan Melayu yang tidak boleh marah-marah. Tak brutallah marah-marah ini.

Dia makan nasi terasa seperti sedang mengunyah Nadia sehingga lumat dan telan masuk ke dalam tekaknya. Biar hancur dan akhirnya jadi sisa buangan. Lenyap dan terus senyap. Tidaklah menyusahkan suami dan dirinya lagi. Sedang dia dan Ikmal enak menikmati makan malam dengan hati yang sakit. Telefon bordering. Telefon suaminya berdering. Siapa pula yang ganggu malam-malam ini. Kalau hal pejabat, esok sahajalah. Kalau kawan-kawan, tak tahu ke suaminya nak bersantai dan bergurau senda dengan dirinya. Kalau….! Uh… tak kuasa nak sebut. Semakin bernanar hatinya.

“Ya… Nadia. Ada apa?” Jawab Ikmal lembut dan mula mengangkat punggung beredar dari meja makan.

Aleeya memandang dengan penuh tandatanya. Hal apa pula malam-malam ini.

“Abang kena keluar kejap. Along demam. Nadia tak boleh nak bawa along ke klinik sebab tiada siapa nak jaga yang lain,” beritahu Ikmal yang sudah pun bersiap.

Hah? Demam pula? Aleeya menggaru kepala. Semakin gatal kepalanya atau semakin sakit hatinya.

“Saya tak boleh ikut abang ke?” tanya Aleeya.

“Tak payahlah. Nanti awak letih pula. Kejap aje tu. Lepas abang bawa along ke klinik, abang terus baliklah,” jelas Ikmal sudah pun berada di muka pintu.

Aleeya mengeluh. Asyik kena ganggu sahaja. Kenapalah Nadia tak bawa saja semua anak-anaknya ke klinik? Ada sahaja alasan untuk ajak suaminya keluar, anak sakitlah, anak ajak makan di luarlah… anak, anak, anak! Aleeya menggumam sendiri.

Aleeya gelisah di dalam rumah. Dua jam berlalu, bayang suaminya masih tidak kelihatan. Matanya mula mengantuk. Nak telefon bertanya ke? Dia mula tidak keruan. Sesekali menyelak langsir. Lampu diruang tamu dipadamkan. Dia naik ke tingkat atas, merebahkan diri di atas katil sambil memikirkan ke manalah suaminya pergi. Tidak baik berfikir yang bukan-bukan. Suaminya pula, kenapa tidak telefon jika nak balik lewat. Memang masalah betul. Air mata mula bergenang di kelopak mata. Terasa dirinya diketepikan. Aleeya menyeka air mata. Jangan bersedih hati. Dia perlu kuat. Ini semua dugaan sahaja untuknya. Anak-anak itu anak-anak dia juga. Jika mereka ada masalah, suaminya harus bertanggungjawab. Jangan ada cemburu di hati. Suaminya tidak ada apa-apa hubungan dengan madunya.

***

Dia terjaga apabila azan berkumandang. Azan subuh sudah kedengaran di cuping telinga. Sudah tiba waktu untuk beribadah dan sujud kepada Yang Esa. Aleeya memandang katil yang kosong di sebelahnya. Suaminya tak balik ke semalam? Hah? Tak balik? Tidur di mana? Hish… tak boleh jadi ni! Aleeya bingkas bangun, membersihkan diri dan bersolat. Dia mencapai telefon bimbitnya. Dia mendail nombor telefon suaminya. Tidak berjawab. Bibirnya dikepam sekuat hati. Berombak dadanya menahan marah. Mana suaminya pergi? Teruk sangat ke demam along sampai tak balik? Aleeya menyandar di birai katil. Fikirannya berserabut. Apa sudah berlaku? Kenapa suaminya tidak menelefon.

Keresahan semakin menjalar di hati. Sehingga dia keluar ke pejabat pagi tadi, bayang suaminya langsung tidak kelihatan. Ke mana pula perginya? Akal dan hatinya saling bertelingkah, bertanya sesama sendiri. Dia cuba buang jauh-jauh syak-wasangka. Tidak mahu mencipta sengketa. Rumah tangga yang baharu di bina biarlah bahagia sahaja sehingga ke penghujungnya. Sesekali merajuk, itu tidak mengapa. Tanda cinta dan kasih yang terus mekar dan subur di hati. Hilang moodnya hendak bekerja. Lebih memikirkan permasalahan suaminya. Mana dia pergi? Hari itu hari yang tidak begitu mewarnai hidupnya. Hambar, suram dan terasa malangnya. Adakah dia terpaksa berkongsi kasih suaminya dengan orang lain? Orang lain itu adalah anak-anak suaminya. Adakah Nadia juga cuba mendapatkan semula perhatian suaminya?

“Ah!” keluhnya agak kuat. Geram di hati, marah menusuk di kalbu.

“Kau kenapa Leya?” tanya Rozita.

“Tak ada apalah… masalah kerja,” jawab Leya. Tidak mahu membebankan orang lain dengan masalahnya.

“Kalau ada masalah, aku sedia menjadi bahu untukmu, teman.”

“Terima kasih Rozita…” Aleeya menyambung tugasnya semula. Hatinya berkecamuk. Fikirannya asyik memikirkan suaminya sahaja. Wajahnya tidak seceria selalu. Suram dan muram melakar di wajah. Tengahari pun dia tidak semangat hendak keluar makan. Hanya berehat di surau. Kepada rakan sekerja diberitahu dia tak berapa sihat.

Telefon bimbit asyik menjadi tatatap matanya. Menanti dengan sabar suaminya menelefon. Tetapi hamba. Bagaikan hilang tanpa berita. Dia menongkat dagu. Pening dan sakit kepalanya. Berdenyut rasa otaknya yang mula membeku, berat dan sarat itu. Terasa membahang tubuhnya. Berasa sakit hatinya. Terbayangkan kemesraan suaminya dan anak-anak tirinya berserta Nadia yang manis manja itu.

Petang itu Aleeya tidak terus pulang ke rumah. Dia perlu merehatkan fikiran dan dirinya sendiri. Kalau suaminya pulang dan lihat dia tiada di rumah, pandai-pandailah telefon dia. Aleeya singgah di IOI Mall. Biarpun orang masih ramai, dia tidak peduli, jiwanya sedang kacau-bilau sekarang ini. Biarlah dia bertenang. Matanya memerhati orang ramai yang berpusu-pusu dengan urusan masing-masing. Matanya juga singgah di wajah seorang yang amat dikenalinya. Aleeya mengetap bibir. Rasa hendak meraung di situ juga. Rasa hendak dikejar orang itu dan beritahu betapa seksanya kehidupannya seharian ini. Wajah-wajah ceria yang cukup menyakitkan hatinya. Aleeya melangkah laju kembali ke keretanya dengan curahan air mata yang laju mengalirnya. Dia meraung di dalam kereta. Terasa dirinya dipermain dan berasa tertipu.

Adakah mereka benar-benar sedang mencipta kebahagian bersama kembali? Bergetar jantungnya. Terasa lembut lututnya. Berat kepalanya. Mana dia nak pergi? Pulang ke rumah? Tidak mungkin. Hatinya sedang sakit. Tidak mungkin dia berhadapan dengan lelaki itu. Pasti meledak perang besar nanti. Dia tidak suka bertekak. Dia tidak suka bergaduh. Itu bukan caranya.

Laju dia memandu meninggalkan perkarangan IOI Mall. Ingin segera meninggalkan kawasan itu yang sudah pun mencalar duka di hati. Matanya sakit, hatinya juga begitu. Kesuraman semalam terus mencipta mendung di hatinya. Sudah pun turun hujan mencurah-curah tanya hentinya. Dilap berkali-kali agar tidak mengganggu pemanduannya. Semakin kuat raungannya. Dia tidak boleh meneruskan pemanduan jika dia tidak menenangkan diri. Aleeya berhenti seketika di tol Sunway. Melepaskan rasa sakit di hati dan menangis semahu-mahunya. Kalaulah dia tidak berkahwin, tentu hidupnya jauh lebih bahagia. Kalaulah dia masih sendiri tentu sekarang ini sedang bersukaria dengan teman-teman seangkatan dengannya. Kenapa dia kahwin? Kenapa keluarganya paksa dia berkahwin? Kata Aleeya marah dengan dirinya sendiri. Kenapa lelaki itu yang menjadi pilihan keluarganya? Hampir sejam berhenti, beristighfar berkali-kali. Mencari ketenangan di hati.

Telefon tidak, balik pun tidak. Tak tahu ke dia sebagai seorang isteri sedang berombak risau. Burung pungguk yang merindukan bulan usahlah diikut. Dia bukan bulan, dia juga bukan pungguk. Dia manusia yang ada hati, ada perasaan.

Tak boleh! Dia tak boleh membiarkan suaminya dirampas kembali oleh Nadia. Siapa suruh perempuan itu minta cerai dan tinggalkan suaminya? Bila suaminya sudah berkahwin semula, pandai pula datang mengendeng. Hey… jangan ingat dia akan membiarkan begitu sahaja. Anak,anak juga. Dia juga punya hak yang sama. Hoi! Ini isteri Ikmallah! Aleeya mendabik dada. Benci, benci, semuanya ini terjadi. Dia bukan manusia yang tidak punya rasa dan tidak punya hati. Dia ada perasaan cemburu, hatinya boleh terusik. Dia boleh merajuk dan sememangnya suka dipujuk. Kenapa Ikmal buat tidak tahu sahaja? Apakah sudah tidak suka dengan dirinya? Hey… tak boleh berfikir begitu. Mungkin ada perkara yang tidak boleh diselesaikan dengan baik oleh suaminya. Mungkin suaminya juga memerlukan ruang untuk menyelesaikan masalah yang mendatang. Dia tidak boleh serkap jarang sebelum mendapat maklumat yang terperinci daripada suaminya. Aleeya menarik nafas panjang. Terasa lelah hatinya.

Previous: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.