Kalau Nadia ada
rancangan, dia juga ada rancangan.
Rancangan baik punya. Hujung
minggu yang sungguh membosankan.
Suaminya bercuti dengan Nadia dan anak-anak di Gambang. Bukan main lagi pilih tempat. Jauh nun di Pahang. Ingat dia tidak berani pergi agaknya. Kau tengoklah Nadia, ini Aleeya tau, bisik Aleeya dalam hati. Dia sudah mengajak beberapa teman sekerjanya
yang masih bujang dan yang sudah tinggal sendirian. Bercuti di mana? Gambanglah juga. Aleeya ketawa di dalam hati. Dia akan memandu
sendiri bersama kawan-kawannya.
“Kenapa ke Gambang?
Kat sini pun ada Water World, kalau kau nak mandi-mandi,” kata Rozita
bertingkah.
“Ala kak… nak rasa keindahan alam semulajadi, jauh dari
hiruk pikuk kenderaan,” ujar Aleeya. Takkan nak beritahu agendanya pada
kawan-kawan, malu besarlah dia nanti. Uh! Kenalah skoding suami sendiri. Entah apalah yang diborakkan oleh suami dan
jandanya. Memang tak boleh
percayalah. Helo… dia perempuan
juga tau!
“Kalau macam tu, maaflah akak tak boleh ikut. Nanti apa
pula kata suami akak,” kata Rozita menolak ajakkan Aleeya.
“Tak apa kak, saya faham.
Saya pergi dengan Lin, Ros dan Ina ajelah,” ujar Aleeya. Tak kisah siapa pergi sebenarnya, yang
penting ada saksi dan kawan. Taklah dia
dituduh mengintip. Tak pasal-pasal kena
intip suami sendiri.
“Selamat bercuti dan bergembira ya. Jangan nakal sangat. Kau tu isteri orang,” pesan Rozita.
Aleeya menyengih. Tahulah… mana boleh lupa. Biarpun Nadia sudah lupa yang dia bukan
berstatus isteri lagi.
“Leya… nak bertolak pukul berapa?” tanya Lin punyalah
teruja.
“Selepas subuh,”
beritahu Aleeya dengan muka selamba.
“Uh… awalnya kak?”
Ina menggeleng. Lepas subuh
selalunya dia tidur semula, apatah lagi hujung minggu, waktu bersenang-lenang
menjaga tubuh yang bertungkus-lumus bekerja lima hari seminggu.
Perjalanan ke Gambang mengambil masa tiga jam dari Kuala
Lumpur, maklumlah orang perempuan yang memandu, banyak masa dihabiskan di
R&R, berbual, makan-makan dan berehat.
Tidak sabar hendak sampai ke sana.
Suaminya sejak malam tadi sudah bertolak ke sana. Uh! Tak sabar nak
bercuti dengan anak-anak dan bekas isterinya. Cemburu cepat-cepat menghadir.
Dengan Ikmal dia beritahu bersama dengan kawan-kawan di sekitar Kuala
Lumpur. Tipu sunatlah. Mana boleh berterus-terang, nampak sangat dia
tak percaya dengan suaminya.
Sampai di hotel, mereka terus mendaftar masuk. Aleeya sudah tersenyum sendiri. Kejap lagi bolehlah dia cari suaminya
berada. Oh, suamiku di manakah kau? Sudah macam tajuk novel penulis Alaf 21, Sri
Diah Shaharudin. Penulis novel yang amat diminati.
“Kak Leya cari siapa? Terjengah-jengah,” tegur Lin yang
sudah mengangkat beg untuk ke apartment yang sudah mereka tempah awal. Hotel itu ada bilik dan apartment dengan
harga yang berpatutan.
“Tak cari sesiapalah!”
Aleeya mengangkat begnya dan mengekori rakan-rakannya yang lain. Seronok juga bercuti di sini. Ini pertama kali dia datang ke tempat
itu. Dengar kata ada Taman Tema Air dan
Taman Safari, ala macam zoo. Tapi kena
naik kenderaan yang disediakanlah, sebabnya harimau dan singat terlepas
keluar. Uh, tak mahulah jadi sajian
binatang buas tersebut.
Sampai di bilik dia mula menelefon suaminya, kononnya
hendak bertanya khabarlah. Pandai betul
dia berlakon. Boleh jadi pelakon
tambahan lepas ini. Erk… ada syarikat
kekurangan pelakon tambahan boleh hubungi nombor ini 144 tekan,tekan tak
dapat. Aleeya menyengih sendiri. Teringat dialog Saiful Apek dalam cerita Anak
Mami.
“Lepas ni kita nak ke mana dulu kak?” tanya Ina sambil
membuka pintu sliding.
Ros pula sedang meneliti pamplet yang diambil di kaunter
pendaftaran.
“Wei, banyak aktiviti lasaklah. Boleh
main pin ball, boleh pandu ATV…
wah, wah, wah!” Kata Rose teruja. Maklumlah pertama kali sampai.
“Tak sia-sia akak ajak kami ke marilah. Memang berbaloi!” Sambung Ina gembira. Dia turut meneliti pamplet yang ada.
“Kan… rugilah Kak Rozita tak ikut. Kita ambil gambar banyak-banyak nanti kita
whatsapp kat dia,” kata Aleeya ceria. Padan Nadia minta suaminya bawa anak-anak
mereka ke mari. Memang menarik sangat. Sampai hati Ikmal tidak mahu bawa dia dan
ikutkan sahaja kehendak Nadia.
“Masih awal lagi ni, masih sempat mandi-manda di Taman
Tema Air tiga empat jam,” kata Lin.
“Betul,” sampuk Ina.
“Tak nak cari mana dulu ke? Mana tahu makanan di dalam
sana mahal. Selalunya macam itukan? Tempat yang ada Taman Tema Air macam ni mesti
mahal, ka?”
“Ala… bukan mahal sangat pun. Jomlah kak Leya… mana tahu jumpa jejaka
perasan atau bakal jodoh kami.” Ina mengenyit mata.
“Uh! Gatal!”
Aleeya membaling bantal ke arah Ina yang memang terkenal dengan gediknya
di pejabat. Umur muda lagi tetapi galak
nak bernikah masalahnya calon pun belum ada lagi.
“Jangan nak gedik sangat, kang akak masukkan kau duduk
sekali dengan rimau kat safari tu.”
Aleeya menjegilkan mata.
“Ala akak ni.” Ina mencebik.
“Cepatlah bersiap. Perut akak dah berkeroncong,” ajak
Aleeya. Malas hendak melayan rakan
sekerjanya yang masih tercari-cari calon yang sesuai untuk dijadikan calon
suami.
“Laa… bukan baharu makan di R&R Temerloh, akak kan
makan nasi tadi?” Lin kehairan. Kuat makan juga kawannya ini.
“Itu pagi tadi, sekarang sudah pukul berapa? Nak mandi ke tidak?” Aleeya sudah menyimpan beg pakaiannya ke
dalam bilik. Ada tiga bilik dalam
apartment itu, seorang satu biliklah kiranya.
“Jomlah, nanti takut yang ada jadi singa pula kalau kita
lambat,” usik Ros sambil mengenyit mata
kepada kawan-kawan yang lain.
“Singa? Uh… perli
nampak?” Aleeya menunjukkan penumbuk.
Pecah gelak mereka bertiga.
“Boleh tahan brutal kakak kita ni,” gurau Ina pula tidak hiraukan penumbuk yang
ditunjukkan oleh Aleeya yang pastinya bergurau dengan mereka.
Mereka menaiki kenderaan yang disediakan oleh pihak hotel
untuk ke Taman Tema Air yang terletak ke
dalam sikit dari tempat penginapan mereka.
Orang begitu ramai mengunjungi Taman Tema Air itu. Maklumlah yang pertama ada di Gambang dan
Pahang. Jadi berpusu-pusulah barisan
manusia. Harga mahal atau murah bukan
masalah yang pasti anak-anak gembira dan suka.
Tidak kira tua muda berpesta airlah gamaknya. Setelah membayar harga
tiket masuk, hah! Duduklah sampai tempat itu tutup. Mata Aleeya meliar sahaja, mencari kelibat
orang tersayang. Uh! Di manalah suamiku, detik hati kecilnya. Nak telefon ke tidak ni? Tergaru-garu kepala sendiri di sebalik tudung
yang menutup rambutnya.
“Kak, kenapa macam kucing nak beranak aje?” tanya Lin
yang sejak tadi memerhati tingkahlaku teman sepejabatnya itu.
“Kau pernah tengok kucing beranak ke?” Tanya Aleeya
dengan wajah serius. Hatinya sedang
risau ada sahaja DJ tak bertauliah menyibuk.
“Hish… pernahlah.
Tengok dalam youtube,” jawab Lin tersengih.
“Uh!” Aleeya
menonong sahaja masuk ke dalam Taman Tema Air. Matahari memancar lip, lip, lip
menembak ke seluruh tubuh dan mukanya.
Terasa membahang, sesuailah sangat berendam di air yang tenang dan
memang tiada buaya. Buaya darat tak
pasti ada ke tidak.
“Kak! Amboi, tak sabar nak mandi ke?” Usik Ros, berlari-lari anak dia mengejar
Aleeya yang berjalan laju di hadapan.
“Okey, masing-masing buat hal sendiri, nanti akak cari
kau orang kat taman selera tu…” sambil jarinya menunjuk ke arah bahagian yang
menjual beraneka jenis makanan. Dia perlu
mencari suaminya. Aleeya menyengih dan
langkahnya laju berjalan.
“Laa… kenapa terpisah pula?” Lin mencebik.
Ros dan Ina saling berpandangan.
“Apa kena dengan Kak Leya tu… macam ada yang tak kena
aje?” Ros mengangkat kening. Bertanya
kepada teman-teman yang lain.
Masing-masing mengangkat bahu.
“Hoi! Jom main air!”
Lin sudah melangkah ke bahagian pelampung. Sewa pun sewalah.
“Masa untuk bergembira!” jerit Ros dan Ina serentak. Mereka menyengih sesama sendiri. Aleeya?
Biar dia selesaikan masalahnya.
Aleeya terjengah-jengah di setiap bahagian di Taman Tema
Air itu. Kelibat suami dan anak-anak
berserta Nadia tidak juga kelihatan.
Takkan sudah balik? Aleeya
mengeluh. Walaupun hati berlagu riang
untuk bermain air tetapi tetap terasa tawarnya.
Nak telefon ke tidak ni? Detik hati kecilnya. Telefon sudah berada di
tangannya. Masih berkira-kira.
Dia menekan nombor telefon suaminya. Berdebar-debar rasa
hati.
“Abang kat mana?” Setelah memberi salam.
“Ada kat Gambanglah, kenapa?”
“Kat mana? Gambang tu besarkan?” Aleeya menahan rasa, geram, marah, cemburu
bercampur baur menjadi satu. Cakap
sahajalah ada di mana? Takkan nak main sorok-sorok kut?
“Kalau cakap pun bukan awak tahu di mana?”
“Cakap ajelah!”
Suaranya sudah sedikit meninggi.
“Kat Taman Teman Air ni, tengokkan budak-budak mandi.”
“Oh! Okey, semoga bergembira!” Aleeya cepat-cepat mematikan talian
telefon. Mandi di sini, tapi di mana?
Kenapa tak nampak? Kaki sudah lenguh
berjalan. Di mana pula? Uh… Dia terus
berjalan dari satu ruang ke satu ruang sehinggalah dia sampai di bahagian
menara yang agak tinggi. Bercucuran air keluar dari menara itu menyirami
beberapa orang kanak-kanak yang bermain di bawahnya. Kelihatan Nadia bersama anak-anaknya sedang
bergembira. Aleeya cepat-cepat menyorok
di sebalik tiang pondok yang terdapat di
dalam kawasan itu. Suaminya mana? Matnya meliar lagi. Wah! Bukan main menyengih tengok Nadia dan
anak-anaknya bermain air. Uh! Si Nadia
pula bukan main lagi pakai baju mandi nampak bonjolan sana-sini. Nak menggoda suami diakah? Rasa cemburu membuak-buak di hati. Sabar Aleeya, jangan fikir yang bukan-bukan,
bisik hati kecilnya sendiri. Mata
suaminya pula amboi, tak sudah-sudah memandang Nadia dan anak-anaknya.
“Kak! Intai
siapa?” Lin menyergah.
Ros dan Ina sudah berada di belakangnya. Bila pula budak-budak ini muncul di
belakangnya. Mereka tidak mandi ke? Baju
pun tak basah.
“Tak ada siapalah. Kau orang tak mandi ke? Baju pun tak basah?” tanya Aleeya sedikit perlahan. Takut suara halalintarnya didengari oleh
suami dan Nadia.
“Kenapa cakap perlahan?” Ina mengerut dahi.
“Jomlah pergi mandi!” Ajak Aleeya kalau dia layan lagi
pertanyaan teman-temannya yang mula bernada syak wasangka, boleh kantoilah.
“Kak! Itu macam suami akak aje,” Ros menundingkan jadi ke arah Ikmal yang
sudah mula bermain air dengan anak-anaknya.
Siap main siram-siram lagi dengan mereka. Uh… Nadia pun bukan main lagi. Bergetar sudah jantungnya.
“Mana? Silap orang
kut?” Aleeya mengelak. Aduh! Tak sempat
nak sorok.
“Takkanlah saya tak kenal suami akak!” Ros memeluk tubu. Matanya dikecilnya
memandang wajah Aleeya yang kelihatan serba-salah itu.
“Suami akak dengan siapa tu?” tanya Lin pula yang sudah mula mengintai.
“Uh!” Aleeya
melangkah laju meninggalkan perkarangan bahagian kanak-kanak menuju ke taman
selera yang terdapat di dalam Taman Tema Air itu.
“Kak!” Laung Ina.
Ketiga-tiga mereka mengejar Aleeya.