Home Novel Keluarga Cinta Sambal Belacan
Cinta Sambal Belacan
Junie Octovian
23/11/2012 16:50:41
203,376
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 5
TENGKU Azri terbongkang di sofa kembar tiga. Habis kusyen-kusyen kecil bersepah di lantai. Selepas Puan Adila naik ke tingkat atas untuk Solat Zohor tadi, belum turun lagi. Jam hampir menjejak pukul 4.00 petang. Rasa-rasanya Tengku Azri masih belum Solat Zohor. TV yang terpasang bercakap sendiri. 

Lily Athira naik ke tingkat atas untuk menghantar baju yang sudah berlipat ke bilik Tengku Azri. Nanti kalau dikejutkan dia, payah pula hendak menyimpan baju kalau dia sudah ada di bilik. 

Mana mama ni? Takkan aku pulak yang nak kejut anak bujangnya? Makan tak berhenti, nak naik solat pun dah malas. Kalau atas meja kopi ni macam kelab tempat menonton bola sepak. Sejak dia balik sini, rumah ni macam ada budak kecik. 

Lily Athira mengutip segala khazanah yang berterabur. Atas karpet, CD yang sudah ditonton masih tidak disimpan balik masuk ke dalam ‘casing’nya. Lily Athira membongkok, mahu mengutip dan menyusun CD itu ke dalam kabinet TV. Atas meja kopi, kotak jus, gelas, piring dan tin Anlene, bekas tempat simpan kerepek ubi, semuanya dikutip dan dibawa ke dapur. Kusyen yang berterabur dikutip dan dipindahkan kesofa kembar dua.

Lily Athira terbongkok-bongkok mengelap meja kopi membelakangkan Tengku Azri yang enak tidur walaupun waktu sudah hampir melepasi Zohor. Bila dia berpaling mahu bergerak semula ke dapur, Tengku Azri kebetulan juga berpaling dan menjulurkan kaki. Apa lagi? Kakinya yang tersangkut pada kain baju kurung Lily Athira tadi, menyebabkan Lily Athira terbalik dan jatuh terbaring di atas badan Tengku Azri. Kepala Lily Athira terhantuk ke kepala Tengku Azri. 

“Aduh!” jerit Tengku Azri. 

Automatik tangannya terus memeluk Lily Athira. Lily Athira yang serentak menjerit berusaha bangun sambil menggosok-gosok kepala yang sudah berpinar dibuatnya.Tengku Azri yang terkejut segera bangun. Mereka yang duduk sebelah-menyebelah kini sama-sama menggosok-gosok kepala. 

“Aduh! Sakitnya,” Lily Athira sambil meraba-raba pelipisnya yang terhantuk ke kepala Tengku Azri. Mahu benjol kalau tidak pun lebam. 

“Apasal tiba-tiba boleh jatuh atas abang ni?” sergah Tengku Azri. 

“Abanglah, tidur macam The Rock. Ganas betul.” 

“Abang pulak? Yang Lily tu tiba-tiba ada kat sini macam mana?” 

“Eh? Ingat Lily sengaja nak jatuh atas abang?” Lily Athira menjeling. 

“Abang tarik kain Lily apasal?” 

“Mana ada?” jawab Tengku Azri tidak mahu kalah. 

Puan Adila yang baru keluar dari bilik menuruni anak tangga menegur bila mendengar suara-suara macam orang sedang bergaduh. 

“Kamu berdua kenapa?” 

Tengku Azri dan Lily Athira yang sama-sama duduk sebelah-menyebelah berpaling bila terdengar suara Puan Adila di tengah-tengah anak tangga. 

“Nothing,” jawab Tengku Azri sambil konon-konon menepuk kusyen yang dijadikan bantal. 

Lily Athira yang malu segera bangun dan membetulkan tudung di kepala. “Tak ada apa, ma.” Dia terus ke dapur meninggalkan dua beranak di ruang tamu. Kepala yang sakit tadi pun dibuat-buat tidak terasa sakit. 

Eh budak-budak ni, macamlah aku ni pekak badak pulak. Tadi elok dia orang bertekak, macamlah aku tak dengar, getus Puan Adila. 

“Kamu dah solat ke Ayie?” tanya Puan Adila. 

"Nak pergilah ni,” jawab Tengku Azri terus bangun meninggalkan Puan Adila. 

Tengku Azri tersenyum sambil menapak untuk mendaki anak tangga. Dia teringat insiden terpeluk anak dara arwah Mak Esah sebentar tadi. Hmm... wanginya dia. Mujur tak jatuh tadi muka bertemu muka. Gilalah, macam filem Hindustan. 

Puan Adila yang ditinggalkan di ruang tamu tidak sudah-sudah memikir. Apa hal budak berdua ni? Dia menggeleng-geleng. Tangan mencari jarum, benang dan gunting. Seperti biasa dia akan menyambung kerja tangan menjahit sulam tampalnya. 

Lily Athira pula terus ke bilik di belakang. Dia menelek pelipisnya yang bagai hendak pecah terhantuk ke kepala Tengku Azri yang keras itu. Macam manalah aku boleh jatuh atas dia? Mak ai! Ini memang insiden tak boleh dilupakan selagi hayat dikandung badan.Tengku Azri di bilik juga sedang membelek-belek dahi yang menjadi sasaran anak dara arwah Mak Esah. Hairan betul dia. Kebetulan tadi dia sedang bermimpi mendaki gunung. Dua tiga hari ini pula kawan-kawannya sibuk mengajak dia beriadah pada hujung minggu. Segala gunung yang ada di Malaysia ini hendak cuba didaki. Gunung Ledanglah, Gunung Tahanlah, hisy!

Asyik berkepit celah ketiak emak aje! Dia diejek begitu bila payah hendak diajak keluar. Kebetulan Lily Athira jatuh ke atasnya. Memang dia ingat betul-betul sudah bergolek jatuh dan dihempap pula oleh batu besar ketika mendaki Gunung Ledang itu tadi. Ya ampun! 

PUAN Adila bersandar di sofa untuk menyambung kerja jahitan sulam tampalnya. Kepala memikir apa yang telah berlaku di antara Tengku Azri dan Lily Athira. Bagaimana mahu dijodohkan mereka berdua kalau perangai sudah rupa anjing dengan kucing? Nampak gaya tadi Lily Athira pun sudah pandai menjawab bila hanya tinggal mereka berdua sahaja. 

Puan Adila teringatkan mentuanya yang sering minta diperkenalkan dengan Lily Athira untuk dijodohkan dengan Tengku Izwan, anak bongsunya yang sudah mencapai usia 30-an dan masih berat bertemu jodoh. 

Menyesal pula rasanya kerana menjual tinggi saham Lily Athira, anak angkatnya yang pandai sungguh membuat kerja-kerja rumah ini. Kalau dapat ke ibu mentuanya, Puan Sharifah Rohaya itu, tentu dia pula yang rugi. 

Ini nak kena cari jalan, agar Ayie boleh jatuh hati pada Lily. Bukan Lily tu tak ada paras rupa, mungkin Ayie yang masih buta hati kerana telah lama hidup kat negara barat, fikir Puan Adila sambil menjahit dan mencantum kain-kain perca yang telah digunting kecil-kecil berbentuk bulan bintang.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Junie Octovian