Home Novel Keluarga Cinta Sambal Belacan
Cinta Sambal Belacan
Junie Octovian
23/11/2012 16:50:41
203,388
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 15
“MAMA! Ayie pergi dulu!” jerit Tengku Azri Iskandar dari pintu utama rumah besar itu. Tengku Azri sudah hilang mood sejak semalam.

Eh? Tuan muda ni tak nak sarapan dulu ke? Lily Athira mengerling jam di dinding dapur. Baru pukul 7.30. Bukan ke dia masuk kerja pukul 9.00? Tak ada cakap pun nak pergi cepat? Aiseymen! Tentu mama marah aku sebab anak bujang dia pergi kerja tak sempat sarapan. Dia yang cepat ke atau aku yang lambat? Lily Athira mengomel sendirian, bimbang nanti dipersalahkan. 

“Ayie!”Terdengar suara Puan Adila memanggil dari atas. Tapi bunyi enjin Civic Type R Tengku Azri sudah meninggalkan pekarangan rumah besar itu. Puan Adila termangu-mangu di pintu utama. “Kenapa Abang Ayie kamu pergi cepat pulak pagi ni, Lily?” Suara Puan Adila sudah sampai ke ruang dapur. 

Tengok! Dia punya pasal, aku yang kena soal siasat sekarang, getus Lily Athira. “Lily tak tahu, ma. Abang Ayie tak cakap apa-apa pun.” 

“Macam-macam perangai budak ni. Nak menyusahkan hati orang tua betul,” rungut Puan Adila sambil berlalu dari ruang dapur ke meja makan. 

“Baru 7.30 pagi. Bukan dia masuk kerja pukul 9.00 ke Lily?” tanya Puan Adila sambil berpaling ke ruang dapur. 

“Biasanya macam tulah.” Dari semalam moodnya tak baik. Dipanggil makan malam pun tak mahu turun. Memerap dalam bilik entah kenapa. 

Tengku Azri sendiri tidak faham kenapa hatinya resah sejak kebelakangan ini. Rasanya semenjak dia mendapat berita pasal Lily Athira yang seronok sakan mendapat tajaan untuk buat program persediaan tu. 

Alah, baru tawaran untuk program persediaan aje. Jealous ke? 

Ek? Mintak simpang ya? Tak mainlah jealous-jealous ni. Apa kes? 

Habis tu? Yang perangai dah macam orang perempuan datang bulan tu, kenapa? 

Haah ya? Kenapa? 

Dia bertanya, dia juga yang nak menjawab. Mungkin sebab aku tak puas nak buli budak perempuan ni. 

Rindulah tu. 

Mungkin jugak sebab setiap hari dia ada melayan kerenah aku. Entahlah! Perasaan itu yang tiba-tiba sahaja berubah. Macam ada satu perasaan suka bila pulang ke rumah setiap hari ada orang yang melayan makan minum. 

Mama? 

Tak sama. Layanan mama lain. Mama kita tak boleh nak buli, nak order sembarangan. Ada rasa hormat pada mama. Tapi pada budak perempuan seorang ni, memang seronok dapat buli dia hari-hari. Suka tengok dia muncung walau dia tidak pernah membantah. 

Lily Athira? 

Kalau esok-esok dia dah tak ada, mesti sunyi. Mama lagi sunyi kerana budak perempuan itulah yang selalu menemani mama sepanjang hari.

Tengku Azri membayangkan pembantu rumah yang dicari mamanya. Mana nak jumpa yang muda macam Lily Athira tu. Kalau ada pun rasanya tak sepandai Lily Athira. Apatah lagi gadis-gadis di Malaysia lebih suka bekerja di kilang daripada menjadi pembantu rumah. 

Bermakna, mama kena cari pembantu warga Indonlah. Macam dekat rumah tok umi tu, pembantu Indonnya sudah berumur. Tak cergas untuk disuruh buat kerja. Dia sendiri pun sekejap sakit pinggang, sekejap sakit lutut. Tapi nak buat macam mana? Kalau tak ada lagi susah sebab tok umi dan tok daddy tu sama-sama sudah tua. Nak harap pak su? Sampai sekarang pun masih nak membujang. Entah perempuan mana yang dinanti untuk dijadikan suri. 

“Hey bro! Tak nak balik ke?” tanya Wafie tanpa memberi salam, sudah terjengul di muka pintu bilik Tengku Azri. 

“Dah pukul berapa?” soal Tengku Azri macam baru menjejakkan kaki ke bumi nyata. Macam mana aku boleh tak sedar dah habis waktu pejabat ni? Bukan buat kerja sangat pun. Hari ni mengelamun aje. 

“Pukul 6.00 petanglah wei.” Mata Wafie beralih dari jam di tangan. “Nak pekena teh tarik dulu tak? Kalau tak wa ‘ger’ dulu." 
“Okeylah, tunggu kejap.” Tengku Azri mengemas beg laptop. Beg dompet, ada. Kunci kereta, ada. Telefon bimbit, ada. Wokey. Chalo! 

Mereka sama-sama menuju ke arah lif. Ditekan butang untuk turun. Semasa sama-sama menuju ke arah tempat parkir, Tengku Azri memberi arahan untuk berjumpa di restoran biasa sebelum menaiki kereta masing-masing. 

“Hari ni saya nak nescafe ais dengan mi goreng,” ujar Tengku Azri cepat membuat pesanan. 

“Saya teh tarik dan roti telur,” pesan Wafie pula. “Lapar sangat ke? Siap order mi goreng. Selalu tu reserve perut nak makan kat rumah. Hari ni kenapa? Tukang masak kau cuti?” Wafie yang kehairanan memberikan pertanyaan bertubi-tubi. 

“Saja. Sesekali ubah selera,” jawab Tengku Azri memberikan alasan kukuh. Balik ni aku nak naik terus ke bilik. Mandi dan tidur. Malu pulak pagi tadi terus pergi kerja tak bersarapan, desis Tengku Azri. 

“Tengku Azri Iskandar, kau ni kenapa? Sejak tadi dok pintal-pintal mi tu tapi tak jugak masuk ke mulut. Aku dah habis dah,” tegur Wafie melihatkan kelakuan sahabatnya yang sedikit berubah semenjak dua menjak ini. 

Kadang-kadang tu happy sangat. Ajak singgah kedai mamak pun tak mahu. Macam tak cukup tanah dia menyusun langkah. Hari ni pulak slow motion. 

“Tak ada apa-apalah. Mungkin perut aku dah masuk angin agaknya. Pagi tadi aku tak breakfast langsung. Tengah hari tadi makan sandwic aje,” jelas Tengku Azri sambil menolak pinggan mi ke tengah meja. Dia menyedut nescafe ais yang dipesan. 

“Oh ya, sebelum aku lupa. Tengah hari tadi Azzah cari kau. Dia datang ke ofis tapi masa tu kau tak ada. Dia kata dia cuba call berkali-kali tapi macam bunyi engaged aje."

Tengku Azri yang mendengar penjelasan Wafie tadi terus meraba-raba telefon bimbit di dalam poket seluar. Dibeleknya mencari missed call. “Ah, sudah! Bateri telefon aku dah konglah.” Itulah dosa pagi tadi pergi ofis tak sarapan dan tak salam mama pun. Tengku Azri menepuk dahi. 

“Maknanya seharian ni kau bawak telefon yang tak bercaslah?” tanya Wafie. 

“Haahlah. Jom balik. Bimbang pulak aku. Kut-kut mama aku call tak dapat karang lagi haru.” Tengku Azri melambai ke arah mamak untuk membuat bayaran.

Mama dia yang dirisaukan? Cerita Azzah tadi macam mana? Gasak dialah, dah lepas tanggungjawab aku, bisik hati Wafie. Mereka sama-sama beredar dari situ.



Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Junie Octovian