Home Novel Keluarga Cinta Sambal Belacan
Cinta Sambal Belacan
Junie Octovian
23/11/2012 16:50:41
203,401
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 16
MANAKALA di rumah, Puan Adila tidak senang duduk. Dia berjalan ke hulu ke hilir sambil memegang telefon bimbit. Dia hendak memberitahu Tengku Azri tentang surat daripada Tabung Haji yang baru diterima. Dia terpilih untuk memenuhi kuota bakal-bakal haji untuk tahun itu. 

Menurut giliran, namanya tersenarai untuk tahun hadapan, tetapi oleh kerana ada bakal-bakal haji tahun ini yang sudah lebih awal menghadap ILAHI, maka namanya tiba-tiba naik pula. Seronoknya tidak terperi, namun dia harus menyegerakan urusan untuk meninggalkan rumah dan anak tunggalnya. 

“Tak dapatlah, ma,” beritahu Lily Athira. 

Sudah hampir tenggelam punat telefon itu ditekan. Naik lentik jari telunjuk dibuatnya. Mamat ni merajuk ke apa? 

“Mama risaulah. Dahlah pagi tadi dia main pergi macam tu aje. Sarapan pun tak. Mana pernah dia buat macam tu. Bila telefon bimbitnya dipanggil, tak berangkat. Hisy anak bujang seorang ni, sakit jiwa betul dibuatnya,” rungut Puan Adila. 

“Mama relakslah. Jangan risau sangat. Mungkin Abang Ayie sibuk agaknya. Dia kan dah besar, tentu dia tahu apa yang dia buat,” ujar Lily Athira cuba mententeramkan Puan Adila. 

“Bukan apa. Mama tengok perangai dia sejak kebelakangan ni pelik sikit. Nak tu, nak ni.” Puan Adila yang duduk di kerusi meja makan menongkat dahi dengan dua tangan. “Anak mama itulah seorang. Kalau apa-apa terjadi kat dia...” Puan Adila tidak dapat menyambung kata-kata. 

“Mama...” Lily Athira merapati Puan Adila lalu mendakapnya dari belakang. Dia tahu erti kesedihan kerana dia sudah dua kali mengalami kehilangan. Puan Adila menarik tangan Lily Athira agar duduk di kerusi sebelahnya. 

“Mama rasa mama kena mintak pertolongan kamu, Lily.” 

Puan Adila tiba-tiba mendapat idea spontan. Cadangan untuk menjodohkan anaknya dengan Lily Athira harus dipercepatkan. Lily Athira yang terpinga-pinga mengangkat kening bertanya. 

“Mama rasa mama nak nikahkan kamu dengan Abang Ayie.” 

Lily Athira tergamam dengan pernyataan itu. Baru dia mahu membuka mulut, Puan Adila sudah menyambung lagi. 

“Mama senang dengan kamu, Lily.” 

“Mama, janganlah cakap yang bukan-bukan. Abang Ayie baik aje. Lagi pun mama dah lupa ke dengan Auntie Lina yang datang semalam?” 

Auntie Salina, kawan baik Puan Adila yang sama-sama pergi buat facial. Balik dari pusat kecantikan, dia singgah ke sini. Sempat juga Lily Athira pasang telinga waktu dia sibuk hendak menjodohkan tuan muda rumah ini dengan anak gadisnya yang dikatakan baru pulang dari Liverpool. Belajar apalah agaknya sampai keluar negara tu. Mesti cantik. Dahlah tu, pandai pulak. Anak orang berada lagi.

“Suliza anak Auntie Salina tu? Tak naklah mama. Sexy gila. Dah tak ada rupa orang Melayu. Rambutnya aje dah berbelang-belang. Dah macam rupa skunk aje mama tengok,” ujar Puan Adila mencebik. 

Rupa skunk? Dalam sedih tu sempat pulak mama nak buat lawak, desis Lily Athira. 

“Lily, please?” Puan Adila menggenggam kedua-dua tangan Lily Athira minta simpati. Dia amat mempercayai gadis itu kerana Lily Athira memang membesar di rumahnya selama ini, sebab itulah dia berani hendak mengambil Lily Athira sebagai anak angkat. 

“Mama, hal ni mama kena tanya Abang Ayie dulu. Kalau Lily terima tapi dia tak suka, macam mana?” 

“Jadi, Lily terimalah?” soal Puan Adila sudah berdiri kegembiraan. Dia tahu Lily Athira memang seorang anak yang mendengar kata orang tua. 

“Mama...” Hisy! Mama ni buat malu aku aje dengan Abang Ayie tu. Kalau tiba-tiba dia kata aku ni tak sedar diri macam mana? Anak orang gaji nak jadi menantu? Luar alam betullah. 

Serentak itu kedengaran enjin Civic Type R Tengku Azri masuk ke pekarangan rumah. Lily Athira sudah tidak tahu mana nak letak muka. Puan Adila segera menyambut kepulangan anak tunggalnya. 

“Assalamualaikum!” jerit Tengku Azri dari luar. 

Pintu utama dibuka dan Puan Adila menjawab salam. “Waalaikumussalam. Lambat kamu balik, Ayie?” 

“Borak dengan kawan kat kedai mamak tadi, ma,” jawab Tengku Azri letih. 

“Kamu dah makan?” 

“Belum.” Tengku Azri masuk dan terus berbaring di sofa panjang. Beg laptop ditinggalkan di tepi tangga. 

“Ayie, kamu buat mama risaulah. Cuba cerita dengan mama. Kamu ni kenapa? Apa masalah kamu? Kalau mama boleh tolong, mama tolonglah,” soal Puan Adila mendekati anak bujangnya yang rupa kusut-masai itu. 

“Ayie nak kahwin,” pinta Tengku Azri tanpa sedar. Padahal dia mahu cakap dia nak makan. Oleh kerana seharian ini mempertimbangkan kehendak Puan Adila, otak dan mulutnya tidak synchronize pula. 

“Ayie dah ada pilihan ke?” tanya Puan Adila pula. Baru sekejap tadi dia berbincang dengan Lily Athira untuk dijadikan menantu. Kalau Tengku Azri sudah ada pilihan sendiri, mahu menangis anak dara orang tu nanti. Hatinya memanjat doa. 

“Eh, apa yang Ayie cakap tadi?” soal Tengku Azri terus bangun daripada baringnya.

“Bukan Ayie cakap tadi Ayie nak kahwin ke?” jawab Puan Adila sedikit berkerut dahi. Anak aku ni kenapa? Sendiri cakap pun dah tak ingat. 

“Hisy, mama ni. Ayie nak makan. Betul, Ayie lapar sangat. Sejak pagi tadi belum makan,” ujar Tengku Azri sambil menggosok-gosok perut. 

“Kamu ni Ayie, buat suspens aje. Tapi kalau betul kamu nak kahwin, mama suka aje,” ujar Puan Adila tersenyum lebar sambil mengerling ke arah dapur. Harap-harap dia setuju dengan cadangan aku nak menjodohkan dia dengan Lily, bisik hati Puan Adila. 

Tengku Azri memandang wajah mengharap Puan Adila. Hai mama, kenapalah begitu mengharap? Tengku Azri cuba mengkaji di sebalik kehendak Puan Adila itu. Kenapa perlu isteri yang pandai mengurus rumah tangga? 


LILY Athira di biliknya malam itu masih belum dapat melelapkan mata walaupun badannya begitu penat. Tanpa perlu ke taman untuk beriadah waktu petang atau berjoging macam Tengku Azri setiap pagi Sabtu dan minggu jika dia tidak bekerja, Lily Athira yang ke hujung ke pangkal, ke luar ke dalam dan ke atas ke bawah di dalam rumah itu seolah-olah bersenam juga.

Selalunya pantang jumpa bantal, belayarnya jauh betul. Kalau berlaku gempa bumi pun barangkali dia tidak akan sedar. Tetapi malam ini setelah diajukan dengan pertanyaan dan permintaan yang sangat pelik pada pendapatnya itu, membuatkan Lily Athira berfikir dan terus berfikir. Meletakkan dirinya di kalangan keluarga ternama itu. Bolehkah? Mampukah dia?

Kenapa dia di antara ramai gadis di luar sana yang telah menjadi pilihan menantu Puan Adila? Tidak malukah Puan Adila nanti jika teman-temannya ketahui bahawa dia mengambil anak yatim pembantu rumahnya sebagai menantu? Apa kata Tengku Azri sendiri di dalam hal ini? Mahukah dia menerima Lily Athira sebagai isteri? Mustahil sungguh! 

Sepanjang dia mengurus anak bujang Puan Adila, Tengku Azri diperhati hanya suka membulinya dengan kerja-kerja rumah. Kalau dibulinya aku setelah berkahwin nanti bagaimana? Lily Athira teringat kisah yang berlaku di dalam novel ‘Andai Itu Takdirnya’ karya Siti Rosmizah. Eee...selisih! 

Memang agak payah untuk menerima permintaan Puan Adila itu. Sudahlah mereka ini berdiri tidak sama tinggi dan duduk tidak sama rendah, ada hati hendak menjadi menantu orang yang ada kedudukan. Lily Athira merangka cara bagaimana dia hendak melepaskan diri daripada masalah itu. Apa kata kalau dia beritahu Puan Adila bahawa dia mahu melanjutkan pelajaran sebagaimana yang telah ditawarkan? 

Kalau sambung belajar, dia harus berhempas-pulas kurang lebih untuk lima tahun lamanya. Apatah lagi kalau dia memilih jurusan kedoktoran. Jika dia menerima permintaan Puan Adila, dia hanya akan terus-menerus hidup sebagai suri rumah tangga sahaja.

Apa yang dimahukan seseorang di dalam hidup mereka sebenarnya? Sebuah rumah tangga dan keluarga yang bahagia sahaja. Tengku Azri sebagai anak tunggal di dalam rumah itu sudah ada semuanya. Hanya perlukan seorang suri yang dapat membahagiakan dia. Akan bahagiakah Tengku Azri jika memilih dia sebagai surinya? 

Lily Athira bergolek ke kiri dan kanan, gelisah hati jadinya. Tidak betah dengan keadaan itu, dia bangun ke bilik air. Dia membasahkan diri dengan mengambil wuduk untuk beristikharah dengan yang Maha Esa. Semoga DIA akan membantu dirinya di dalam membuat pilihan.


Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Junie Octovian