Home Novel Keluarga Cinta Sambal Belacan
Cinta Sambal Belacan
Junie Octovian
23/11/2012 16:50:41
203,393
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 13
SEJAK peristiwa sambal belacan malam itu, setiap hari Tengku Azri minta dibuatkan sambal yang bermacam-macam. Sambal mangga mudalah, sambal geseklah, semua yang berasaskan belacan. Mahu resdung dibuatnya. 

Pening kepala Puan Adila memikir. Kenapa dengan anak bujang aku ni? Tapi dia tidak pernah bertanya. Lily Athira pula terkebil-kebil biji matanya bila setiap pagi setelah Tengku Azri habis bersarapan, dia akan memberitahu sambal apa yang perlu dibuat malam nanti. 

Dia ni tengah buat course memasak ke? Bukan ke mama kata, anak bujangnya tu dulu buat course chemical engineering? Ada kena-mengena ke chemical dengan segala bagai sambal ni semua? Desis Lily Athira.

Pagi itu..

“Lily, karang kalau kamu dah siap kerja kat dapur tu tolong kemas bilik Abang Ayie ya,” pesan Puan Adila yang sudah bersiap untuk berjumpa dengan kawan lama di pusat kecantikan.

Memang seminggu sekali dia akan ke sana kerana membuat facial. Bilik Tengku Azri memang tidak dibenarkan orang lain masuk. Katanya kelmarin sebab barang-barangnya belum siap berkemas. Sesekali Puan Adila mencuri masuk juga untuk mengemas dan mengeluarkan kain baju kotornya. Lily Athira memang tidak berani kalau tidak disuruh.

“Baik, ma,” sahut Lily Athira sambil mengekori Puan Adila ke muka pintu. 

“Hari ni Abang Ayie pesan buat sambal apa lagi?” tanya Puan Adila kerana arahan itu hanya diberitahu pada Lily Athira sahaja. 

“Sambal tomato,” jawab Lily Athira sambil tersenyum mencebik. 

“Alah, senang aje tu,” perli Puan Adila pula. Dia menghulur tangan dan tangan itu disambut Lily Athira lalu diciumnya. 

Setelah Puan Adila pergi, Lily Athira menaiki anak tangga ke bilik Tengku Azri. “Wanginya bilik mamat ni. Minyak wangi dia tumpah ke?” soal Lily Athira pelik. 

Namun dia kagum dengan anak bujang Puan Adila itu. Biliknya memang tersusun rapi. Katilnya juga siap berkemas. Warna maroon menjadi latar belakang dinding tempat tidurnya. Tergantung di situ dengan gambar hitam putih bandar Paris pada waktu malam dengan Eiffel Tower sahaja yang berwarna untuk menampakkan keterampilan pada gambar sebesar tujuh kali lima kaki itu. Lampu sorot kecil bercabang dua tunduk menyuluh ke arah gambar. Mak aih! Jiwang apa mamat ni? Berangan ke apa? Atau ada kenangan di sebalik gambar sebesar alam itu? 

Tangannya ligat mengibas-ngibas habuk dengan menggunakan feather duster. Beku dia seketika tatkala terpandang longgokan majalah di atas meja tepi katil. Majalah Rasa? Whoa! Rewind kejap. Dia ni dah nak tukar course jadi Chef ke apa? Lelaki kumpul majalah resepi? Mama tahu ke? Lily Athira mengukir senyuman nipis. Oh, patutlah dia pandai aje mengarah aku masak itu dan ini. Rupa-rupanya dia tengok majalah resipi ya? Tapi nak mengarah pun dia buat homework jugak? Hebat mamat ni, siap beli bahan rujukan lagi tu, desis Lily Athira. 

Siap di situ, dia bergerak ke meja belajar. Terbentang planner untuk bulan itu di atas meja. Hari yang berlalu siap bertanda. Jarinya berlari di atas planner itu mencari tarikh hari ini. Aik? Sambal tomato? Bulat mata Lily Athira merenung planner itu. Betullah dia dah buat homework. Hari-hari yang lepas? Jarinya berjalan lagi mencari. Sah! dia nak tukar course jadi chef atau nak masuk pertandingan Masterchef? Patutnya kalau dia yang nak masuk bertanding, dialah yang kena masak. Apasal dera aku pulak?

Nauzubillah, tak baik buruk sangka. Entah-entah dia baru nak belajar makan cara Melayu. Bukan ke mama cakap dulu anak bujangnya ni sejak belajar kat luar negara tak pernah balik? Baru nak belajar makan masakan Melayulah gamaknya ni, bisik hati Lily Athira. 

Lily Athira kemudian masuk ke dalam bilik air tuan muda itu. Tiada yang perlu dibersihkan. Memang dia seorang yang pembersih. Toiletriesnya bersusun mengalahkan anak dara. Kalah aku dengan mamat ni. Dia lagi ada pelbagai benda. Mandi bunga agaknya. Wangi semacam. 

Siap checking, dia menutup pintu bilik air. Bakul dobi diangkat untuk dibawa turun ke bawah. Ketika dia berpaling ke arah meja belajar, hampir terhantuk dia ke bucu pintu. Terlopong mulutnya melihat gambarnya yang sedang menumbuk sambal belacan dengan muka berkerut-kerut mengelak cili memercik ke mata menjadi wallpaper di laptop tuan muda itu. Patutlah...Lily Athira teringat gambar itu diambil sewaktu lepas maghrib. 

"Ma, senyumlah sikit. Nak ambil gambar ni. Takkan muka ketat aje?” pinta Tengku Azri, sibuk dengan kamera ke hulu ke hilir di dalam dapur yang seluas sekangkang kera itu.

Puan Adila yang rimas dengan cahaya flash daripada kamera yang seakan-akan kilat menyambar itu mengetap gigi. “Sanalah Ayie, kamu ni yang duk sibuk kat sini kenapa?”

“Alah ma, orang tengah nak masuk pertandingan ni, kena ambik gambar kandidlah. Mama relakslah buat macam biasa aje.”

“Kandid tengkorak kamulah, Ayie. Ada ke gambar orang tengah sibuk kat dapur?”

“Asyik tengah nak muka lawa aje, mana aci. Ayie nak buat kelainan sikit. Baru nampak real, macam kat kampung.”

“Banyaklah kamu punya kampung. Dah...dah...pergi sana,” halau Puan Adila. Tapi dalam banyak-banyak gambar yang diambil, kenapa gambar aku yang sedang menumbuk tu yang dijadikan wallpaper?



Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Junie Octovian