Home Novel Keluarga Cinta Sambal Belacan
Cinta Sambal Belacan
Junie Octovian
23/11/2012 16:50:41
203,379
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 2
LEPAS satu CD ke satu CD ditonton Tengku Azri sepanjang hari. Puan Adila yang sibuk dengan jahitan sulam tampalnya sesekali mengerling anak lelaki tunggalnya itu dengan ekor mata.Tak bosan ke asyik menonton aje? Di atas meja kopi di depannya sudah penuh dengan pinggan, gelas dan kotak jus. 

“Ayie, dah habis makan tu pergilah hantar ke dapur. Semak mata mama tengok atas meja ni,” ujar Puan Adila mencuri perhatian. 

“Kejap,” jawab Tengku Azri sepatah. 

Lily Athira entah ke mana. Senyap sahaja dari lepas makan tengah hari tadi. Selalunya dia akan sama-sama sibuk menolong Puan Adila yang mahu menyiapkan cadar sulam tampal daripada hasil kerja tangannya untuk Tengku Azri. Bukan mudah. Kain yang besar-besar itu digunting menjadi kecil-kecil. Dicantum dan dijahit kembali. 

Kali ini bercorak bintang daripada kain polka dot biru putih dan kain warna biru polos. Sudah hampir dua bulan masih belum siap-siap lagi. Oleh kerana petang ini Tengku Azri pun tidak ke mana-mana dan sibuk melengkar di sofa, Lily Athira tidak berani mendekat. 

“Ma, petang nanti Ayie nak pinjam kereta. Nak keluar jumpa kawan.”

“Hmm...”Dah bosanlah tu. 

Senyap seketika dan kemudian... 

“Ma!” 

“Hmm?” 

“Betul ke pak su nak suruh Ayie kerja kat TGI Holdings?” 

Puan Adila mengangkat muka memandang Tengku Azri. “Kenapa?” 

“Tanya aje.” 

Tengku Azri yang berbaring sambil memeluk kusyen kecil itu, bercakap tanpa memandang Puan Adila. 

“Bukan Ayie kena terus ambil alih tempat arwah papa. Mama dah cakap dengan pak su, biar Ayie bermula dari bawah macam orang yang lain jugak.” 

“Hmm... okey.” 

“Bila nak mula?” tanya Puan Adila ingin tahu. 

“Bulan depanlah. Sekarang Ayie nak rehat cukup-cukup.” 

Ayie nak buli anak angkat mama ni. Suka-suka dia aje panggil mama. Mama pun bukan main lagi manjakan anak dara arwah Mak Esah tu, getus Tengku Azri. 

“Okey.” 

Jam besar di ruang tamu berdenting menunjukkan pukul 4.00 petang. Lily Athira melintas sambil membawa kain baju yang siap berlipat untuk dibawa ke bilik. 

Hisy! Tak reti diam budak perempuan ni. Tengku Azri mengerling dengan ekor mata. Robot ke apa? Tengku Azri sedang menonton Signs dari Night Syamalan. Muzik latar filem itu membuatkan Lily Athira perlahan-lahan menuruni anak tangga. Matanya tegak sama memandang ke skrin TV. 

“Kalau nak tengok, duduk ajelah kat sini, Lily,” tegur Puan Adila yang terpandang Lily Athira sedang curi-curi menonton dari arah anak tangga.

Tengku Azri turut sama berpaling ke arah tangga. Malu Lily Athira jadinya. 

“Tak apalah, Lily ada kerja lagi sikit kat dapur tu,” ujar Athira mempercepatkan langkah. 

Kerja apa ajelah. Rumah ni bukan ada budak kecil yang buat sepah, bisik hati Puan Adila. 

HIDUNG Tengku Azri kembang kempis menghidu bau yang enak dari arah dapur. Dia bangun daripada baringnya. 

“Hmm... sedapnya bau.” 

Puan Adila melurutkan cermin mata ke batang hidung. Dia turut sama memandang ke arah dapur. Dia kemudian tersenyum. 

“Ma, bau apa ni?” tanya Tengku Azri. 

“Pergilah tengok sendiri kat dapur tu.” 

Butang ‘pause’ ditekan. Tengku Azri bangun untuk mengangkat pinggan, gelas dan kotak jus yang telah kosong. Dia melangkah ke dapur. Sejak balik ke Malaysia, asyik makan sahaja kerjanya. Kotak jus dilempar ke dalam bakul sampah. 

Lily Athira di kaunter dapur terkejut dan berpaling. Hisy, mamat ni masuk dapur tak bagi salam. Terkejut aku dibuatnya. Pinggan dan gelas diletak ke dalam singki. Mata Tengku Azri mengerling orang sebelah yang sedang mengacau sesuatu di dalam periuk yang baunya sampai ke ruang tamu. 

“Masak apa tu?” Tengku Azri memberanikan diri bertanya. Jika tidak nanti hendak dicedok sendiri malu pula walaupun itu memang rumahnya. 

Siap dah! Api dapur dimatikan. 

“Pengat pisang,” jawab Lily Athira pendek. 

Kemudian dia teringat. Mamat ni tak makan kot jenis pengat-pengat ni. Cuba tanya. 

“Nak ke?” soal Lily Athira.

Elok dia berpaling bertanya, dia melihat Tengku Azri sedang mencuci pinggan dan gelas yang digunakan tadi. Pandai pun cuci. 

“Boleh jugak,” jawab Tengku Azri sambil menyendengkan pinggan tadi ke dalam tempat pengering. Dia kemudian mengelap tangan. 

Lily Athira membuka pintu kabinet bawah dan mengambil sebiji mangkuk. Pengat pisang yang siap dimasak disenduk ke dalam mangkuk. 

“Nah!”Lily Athira menghulur mangkuk berisi itu kepada Tengku Azri yang sedang terpacak menunggu.“Air?” tanya Lily Athira lagi. 

“Nescafe,” jawab Tengku Azri sambil mencapai sudu dari dalam laci. 

“Right.” 

Tengku Azri sudah menapak kembali ke depan TV. 

“Makan kat sini?” tegur Puan Adila. 

“Tak apalah, ma. Ayie bukan budak kecik. Nak tengok cerita ni sampai habis.” 

“Mama nak makan kat depan TV jugak ke?” tanya Lily Athira sambil menjengul kepala dari pintu dapur. 

Eh, perli aku ke? Getus Puan Adila. 

“Biar aje kat meja makan tu. Ni mama datang.” 

Benang, jarum dan gunting diletak di atas meja. Perca-perca kain yang sudah siap bergunting disimpan di dalam bakul tepi sofa. Puan Adila melangkah ke meja makan. 

“Wah, pengat pisang. Patutlah baunya wangi sampai ke depan,” ujar Puan Adila sambil menarik kerusi dan melabuhkan duduk. “Mana dapat pisang?” 

“Tu!”Muncung Lily Athira menala ke belakang. 

“Kat tepi pagar belakang tu.” 

“Nasib baik ada Lily, boleh jadi pemakan. Kalau mama, busuk atas pokok ajelah pisang tu.”

Puan Adila mengangkat kedua-dua tangan untuk membaca doa makan. Padahal tengah hari tadi baru sahaja makan nasi beriani. Tengku Azri yang sibuk minta dimasakkan beriani. Sudah lama teringin katanya. Lagipun Puan Adila asyik mengungkit kisah kahwin sahaja. Itu yang dia teringatkan nasi beriani. Puan Adila hanya membantu sikit-sikit, selebihnya Lily Athira yang buat. 

Dulu, arwah Mak Esah selalu buat kerana suaminya, Abu Bakar McBride, suka makan daging kambing Australia. Sudah bermacam-macam digayakan. Daripada kambing sula (BBQ), kari kambing, dalca kambing, lamp chop dan sebagainya. Sebab itu agaknya dia meninggal kerana sakit jantung. Terlalu banyak makan daging kambing yang mempunyai tahap kolesterol paling tinggi. WALLAHUALAM.



Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Junie Octovian