Home Novel Islamik Menanti Fajar Sidik.
Menanti Fajar Sidik.
Raihan Zaffya
9/1/2014 16:57:35
33,074
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Beli Sekarang
Bab 5



Liar mata Mia Sakinah berpusar ke arah kamar pembantu rumah yang bertutup rapat. Mia Sakinah merapati daun pintu lalu memberi salam dengan lembut. Mak Jah muncul dengan wajah tidak seceria selalu. 

Cuba di ukir senyum untuk Mia Sakinah. Sebuah senyuman hambar bagai dipaksa. Mia Sakinah meluru masuk tanpa dipinta. Mak Jah yang sudah biasa dengan kerenah Mia Sakinah membiarkan sahaja.

“Ummi nampak tak sihat.” Tegur Mia Sakinah sambil menarik sebuah kerusi kayu.

“Ummi dah tua Mia, mulalah macam-macam yang tak kena pada badan ummi ni.” Jawab Mak Jah yang ditampal koyok pada tengkuk dan dahinya.

Segenap wajah itu itu diselusuri. Wajah yang dulunya putih bersih dan tegang kini sudah mula disinggahi kedut. Mata yang dipenuhi sinar telah menjadi layu. Yang masih sama pada wajah itu adalah riak-riak tenang yang mendamaikan.

“Ummi jangan tinggalkan Mia ya.” Pinta Mia bersungguh.

Kali ini wajah Mia Sakinah pula dihayati oleh Mak Jah dari setiap sudut. Wajah itu penuh mengharap. Mohon pengertian yang Mak Jah sendiri sukar untuk memberikan jawapan.

“Mia! Ummi tak berani janji. Apa yang akan jadi esok atau lusa kita tak kan tau. Semua tu di luar bidang kuasa kita kan.” Mak Jah mengingatkan.

“Jadi betullah apa yang Pak Jamil cakap?”

“Apa Pak Jamil beritau Mia?” Mak Jah pula bertanya.

Mia Sakinah mengetap ulas bibir. Renungannya pada wajah Mak Jah semakin dalam. Sebentar tadi Mak Jah seakan telah mengiakan kebenaran. Hanya Mak Jah masih mahu berselindung di sebalik teka-teki. Membayangkan andai wanita itu meninggalkannya, Mia Sakinah tidak menentu. Akan ter lalu sepilah kehidupannya nanti.

“Betul mama nak ummi berhenti?” Terlalu tidak sabar untuk Mia Sakinah berbasa-basi.

Mak Jah batuk-batuk kecil. Kemudian dia menarik nafas panjang. Seketika dia melayangkan pandang, seakan jauh menembusi ruang kamar. Tidak mahu lagi menatap wajah Mia Sakinah. 

Di dasar hatinya, Mia Sakinah adalah anak yang tidak pernah dikandungnya. Mia Sakinah adalah gadis kecil yang amat disayangi walaupun Mak Jah tidak pernah melahirkannya. Sudah sekian lama kasihnya tertumpah pada Mia Sakinah.

“Ummi tak jawab pun pertanyaan Mia.” Mia Sakinah semakin tidak sabar. Dia hampa dengan sikap membisu Mak Jah.

“Mia, ummi tak pernah sembunyikan apa-apa pada Mia. Cuma ummi belum bersedia. Kalau Mia dah tau dari Pak Jamil, itu lebih baik.” Jawab Mak Jah sugul.

“Ummi!” 

Mia Sakinah meluru ke arah Mak Jah. Dia berteleku dan meletakkan kedua tangannya pada lutut Mak Jah yang sedang duduk di birai katil. Air mata jernih mulai gugur satu-persatu.

“Mia, jangan suka bazirkan air mata. Mia bukan anak kecil lagi. Mia kata Mia nak jadi kuat. Kuat macam Rabiatul Adawiyyah.” Mak Jah mengingatkan Mia Sakinah sedangkan lautan air mata telah lama memenuhi kolam hatinya.

“Mia tak peduli. Ummi janji jangan tinggalkan Mia. Mia tak ada siapa-siapa. Mia cuma ada ummi je.” 

Rayuan Mia Sakinah kedengaran sambil dia menyembamkan wajahnya pada kedua paha Mak Jah. Mak Jah mengusap lembut rambutnya. Tidak pasti masih ada peluang lagikah untuknya berbuat begitu.

“Jangan cakap begitu Mia. Mia ada mama, ada papa. Pak Jamil pun ada. Mereka semua sayangkan Mia.” Pujuk Mak Jah dengan suara tertahan-tahan.

“Ummikan tau, bagi mereka, ada atau tak Mia, sama je. Lagipun tak ada orang yang faham Mia, ummi.” Esak Mia Sakinah.

“Sudah, sudah. Kalau Mia sayang umi, jangan menangis lagi. Mia tak ingat didikan ummi? Jangan jadi anak manja. Jangan mudah menyerah pada keadaan.” 

Satu per satu kata-kata nasihat meluncur dari bibir Mak Jah. Luahan kata itu bertentangan dengan suara hatinya. Andai diberi pilihan Mak Jah mahu terus berada di sisi Mia Sakinah. Malangnya Mak Jah tidak bisa berbuat apa-apa.

Mia Sakinah mengangkat wajah. Pipinya yang basah dilap segera. Mak Jah tersenyum sambil membantu mengesat sisa air mata. Tanpa Mia Sakinah tahu, kolam hatinya turut dibanjiri tangisan. Tangisan yang tidak mungkin dapat dizahirkan.

“Nanti Mia akan pujuk mama.” Ucap Mia Sakinah setelah hatinya agak lega.

“Tak perlu Mia. Kamu akan dimarahi mama. Lambat laun ummi terpaksa berhenti juga. Lebih baik rumah ni diuruskan oleh orang yang lebih muda, lebih bertenaga.” Ujar Mak Jah diselangi dengan batuk kecil.

“Mia tetap akan pujuk mama.” Tekad Mia Sakinah telah pun bulat.

“Mia! Mia!” Keluh Mak Jah.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.