Home Novel Islamik Menanti Fajar Sidik.
Menanti Fajar Sidik.
Raihan Zaffya
9/1/2014 16:57:35
33,080
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Beli Sekarang
Bab 1



TAK SEINDAH PELANGI

Mia Sakinah memusing-musingkan tubuhnya di hadapan cermin solek beberapa kali. Entah mengapa, untuk kali ini juga dia masih tidak puas hati. Semua pakaian yang disarungkan ke tubuhnya dirasakan tidak selesa. 

Sehelai demi sehelai pakaian yang berselerakan di atas katil telah dicuba. Setiap kali pakaian itu diganti, setiap kali itu juga dia akan membelek-beleknya semula. Andai cermin solek di hadapannya bisa berkata-kata, tentu ia akan menegur atau mengejeknya.

“Alah! Tensionnya!” Gerutu Mia Sakinah dengan wajah kelat.

Akhirnya Mia Sakinah membiarkan sahaja pakaian-pakaian itu. Dia melirik ke arah almari pakaian di sudut bilik. Hanya ada beberapa helai yang masih tergantung di situ. 

Mia Sakinah melihat satu-persatu dengan rasa malas. Sebaik-baik ekor matanya terpandang sehelai blouse merah jambu, dia tersenyum senang. Tanpa berlengah lagi, dia mencapai blouse yang masih ter gantung itu.

‘Pakai yang ni je lah.’ Bisik Mia Sakinah.

Blouse merah jambu segera disarung sambil ekor matanya mencuri-curi pandang melihat jam di dinding. Terlalu lama dia berada di situ. Sudah tentu Tuan Zaki dan Puan Ruby sedang menunggunya di tingkat bawah. Papa dan mamanya tidak suka andai dia tidak bijak mengatur masa. Semua perkara mesti berlaku dengan cepat dan tepat pada masa.

Setelah blouse merah jambu tersarung di tubuhnya, Mia Sakinah menggaru-garu kepala. Dalam waktu yang singkat dia terpaksa pula memilih kain tudung yang sedondon dengan warna blousenya. Sekali lagi Mia Sakinah membuka daun pintu almari. Beberapa helai kain tudung tergantung dengan rapi. Sayangnya Mia Sakinah hampa.

“Alamak! Tak ada warna pink la.” Keluh Mia Sakinah.

Sedang Mia Sakinah berada dalam keadaan buntu, dia terdengar bunyi ketukan di luar pintu. Dengan tergesa-gesa dia mengambil sehelai kain tudung berwarna biru muda.

‘Ah! Biru pun birulah.’ Kata hatinya.

“Masuk ma!” Ucap Mia Sakinah sambil mengenakan kain tudung.

Kedengaran kuakan daun pintu dari luar. Mia Sakinah membiarkan sahaja kerana sedang asyik melilit kain tudung di atas kepalanya. Kali ini dia merasakan begitu sukar untuk memastikan kain tudungnya dalam keadaan yang kemas. Mia Sakinah membukanya lalu mencuba sekali lagi.

Puan Ruby mengamat-amati sekujur tubuh anak gadisnya. Kemudian pandangan itu beralih pada longgokan pakaian di atas katil. Dia menjadi kurang senang dengan apa yang sedang dilihatnya. Hatinya menjadi sedikit panas namun cuba ditahankannya.

“Kenapa baju ni yang Mia pakai?” Luah Puan Ruby sambil mengawal emosi.

“Kenapa ma? Baju ni kan ok.” Ucap Mia Sakinah selamba lantaran tidak dapat menghidu rasa kurang senang dalam diri Puan Ruby.

“Ok kata kamu? Bila pakai macam ni untuk pergi parti, kamu nampak lebih tua tau.” Komen Puan Ruby sambil menarik hujung blouse Mia Sakinah. “Kan mama dah pilih baju-baju yang lebih sesuai. Tu ha, kan cantik-cantik semuanya.” Tambah Puan Ruby lagi.

“Takkkan Mia nak pakai baju macam tu dengan bertudung.” Sahut Mia Sakinah sambil terus membetul-betulkan kain tudungnya.

“Tak payahlah pakai tudung. Mia lebih cantik bila nampak rambut Mia yang ikal mayang.” Ucap Puan Ruby sambil membetul-betulkan rambutnya yang telah berubah warna.

Gerakan tangan Mia Sakinah terhenti. Dia berdiri tegak, terkaku. Tidak tahu apa yang mahu diucapkan. Juga tidak tahu bagaimana mahu menyata kan kebenaran. Perlahan-lahan anak matanya menyelusuri sekujur tubuh wanita yang dipanggilnya mama. 

Puan Ruby yang sudah menjangkau ke usia pertengahan lima puluhan masih lagi bergaya. Gaun labuh ketatnya meng gambarkan dia seorang wanita up to date. Rambut yang mulai diintai-intai uban telah pun diwarnakan.

“Mama, Mia dah sembilan belas tahun, dah akil baligh. Mia dah wajib bertudung.” Balas Mia Sakinah perlahan sambil tertunduk. Harapannya agar hati Puan Ruby tidak terguris.

“Alah! Kamu masih muda! Nanti tua sikit pakailah.” Sahut Puan Ruby dengan wajah serius.

“Tak boleh ma. Ini kewajipan. Semua orang perempuan yang sudah cukup umur mesti bertudung.” Terang Mia Sakinah dengan lembut dan berhati-hati.

“Jadi kamu sindir mama? Nak ajar mama?” Puan Ruby meninggikan suara.

“Tak ma. Mia tak ada niat pun. Mia tak berniat nak sakitkan hati mama.” Balas Mia Sakinah tenang.

“Tengok tu! Baju kamu warna pink tapi kain tudung warna biru. Sakit mata mama.” Marah Puan Ruby lagi.

Kemarahan Puan Ruby telah pun diduga. Dari awal lagi memang dia kurang senang dengan keputusan Mia Sakinah untuk bertudung. Mia Sakinah menadah cuping telinga mendengar leteran Puan Ruby yang bertali arus. Biarlah apa sahaja yang mahu diperkata dan dileterkan, Mia Sakinah tidak akan melawan. Mak Jah telah berpesan agar tidak derhaka pada kedua ibu-bapa.

“Bila mama bercakap, tak nak dengar!” Puan Ruby jengkel.

“Mia dengar ma.” Jawab Mia Sakinah perlahan.

“Malulah mama nak bawa kamu macam ni.”

“Ma, Mia tak nak ikutlah.” Mia Sakinah membuat keputusan.

Puan Ruby bercekak pinggang. Jam di tangan dijeling sebentar. Lalu kerlingannya meratah sekujur tubuh Mia Sakinah. Puan Ruby menyungging kan kedua ulas bibirnya. Bosan apabila melihat pakaian yang dikenakan oleh anak dara suntinya. 

Untuk menunggu Mia Sakinah bertukar pakaian dan berdandan sekali lagi akan memakan masa. Sudah tentu rakan-rakan Tuan Zaki telah lama menunggu di pesta ulang tahun perkahwinan Datuk Khalid dan isterinya.

“Suka hati kamulah tapi tak ada makanan di rumah kita, Mak Jah kurang sihat hari ni.”

“Tak apalah ma, Mia makan roti saja nanti.” Sahut Mia Sakinah dengan dada lapang. Hatinya begitu senang kerana tidak perlu membuat sesuatu yang tidak disukainya. Lebih elok dia duduk di rumah bersama Mak Jah. 

Sekurang-kurangnya bolehlah dia belajar sesuatu dari pembantu rumah yang telah di anggapnya seperti ibu sendiri. Setiap kali kedua orang tuanya tiada di rumah, Mak Jahlah menjadi pengubat sepinya.

Sebaik-baik Puan Ruby melangkah keluar, senyuman di ulas bibir Mia Sakinah pun mengembang. Dia menanggalkan semula kain tudung biru mudanya. Blouse merah jambunya juga diganti dengan sehelai pijama berwarna suram. Selepas itu Mia Sakinah mengutip semua pakaian yang bersepah di atas katil.

“Kenapa Mia tak ikut mama?” Suara dari arah muka pintu membuat Mia Sakinah agak tersentak.

“Ya ALLAH! Ummi! Terkejut Mia.” Ucap Mia Sakinah sambil mengusap-usap dada.

“Ya juga, lupa pula ummi nak beri salam.”

“Ummi jangan buat selalu tau. Nasib baik Mia tak sakit jantung.” Pinta Mia Sakinah dengan manja.

“Beri pada ummi baju-baju tu, biar ummi tolong gantung.”

“Tak payahlah ummi. Ni senang je, pejam mata pun Mia boleh buat.” Lalu Miah Sakinah menggantung pakaian-pakaian sambil ketawa kecil.

Tanpa di pinta Mak Jah telah pun duduk di birai katil. Dia memerhati segala gerak-geri Mia Sakinah dengan rasa bangga. Dari sebesar dua tapak tangan, Miah Sakinah diasuh seperti anaknya sendiri. Kesibukan dan sikap sambil lewa Puan Ruby membuat hubungannya dan Mia Sakinah menjadi terlalu dekat.

“Kenapa tak ikut mama?” Soalan Mak Jah diiulang sekali lagi.

“Mia tak suka. Lebih baik duduk dengan ummi di rumah. Mama kata ummi tak masak ya?” Mia Sakinah turut duduk di birai katil.

“Tengahari tadi ummi tak masak. Malam ni ummi akan masak khas untuk Mia.” Ujar Mak Siti sambil menarik hidung Mia Sakinah.

“Perut Mia ni masih kenyang. Kita borak-borak lagi best.” Pinta Mia Sakinah sambil melentokkan kepalanya pada bahu Mak Jah.

“Ummi, apa yang Mia buat ni tak betul ke?” Soal Mia Sakinah setelah diam seketika.

“Apa yang Mia cakap ni? Ummi tak fahamlah.”

Mia Sakinah menarik perlahan tangan Mak Jah. Dia bermain-main dengan jari-jemari yang telah dibaluti oleh kulit yang mula berkedut. Hatinya begitu senang setiap kali dapat bermanja-manja dengan orang tua yang tiada pertalian darah dengannya. Dalam diri Mak Jah tersemat kasih-sayang yang melimpah ruah. Dari raut wajah tuanya terpamer perhatian yang besar buat Mia Sakinah.

“Mama selalu tak puas hati dengan Mia. Sejak Mia bertudung ni ada-ada je yang tak kena pada mata mama. Kadang-kadang Mia rasa kecewa sebab sepatutnya mama yang mesti didik Mia. Mama pun harus berubah.” Ucap Mia Sakinah dengan nada hampa.

“Mia dengar sini. Setiap kali apabila kita mahu mencari kebaikan dan kebenaran akan ada seribu halangan di depan kita. Memang kadang-kala halangan itu datangnya dari orang yang paling hampir dengan kita. Itu semua ujian. Kalau Mia rasa apa yang Mia buat adalah betul, teruskan saja.” Nasihat Mak Jah sambil mengusap pipi gebu Mia Sakinah.

“Kalau Mia membantah mama, bukan derhaka namanya ke ummi?”

“Apa yang Mia lakukan adalah suruhan Allah. Itu adalah hukum yang tak boleh dinafikan. Semua hambaNYA dituntut untuk melakukan yang wajib.

Tiada istilah derhaka untuk Mia. Cuma yang ummi nak, jangan sekali-kali Mia bersikap keras dengan mama.” Nasihat Mak Jah lagi.

“Mia selalu beralah dengan mama. Tapi Mia sedih, mama langsung tak faham diri Mia. Papa pun sama. Cukup makan pakai Mia dah memadai buat mereka. Ummi tau tak? Kadang-kadang Mia fikir kenapalah Mia tak dilahirkan dari perut ummi.” Keluh Mia Sakinah.

“Ssyy..jangan cakap macam tu, Mia. Apa yang Allah dah tentukan ada lah yang terbaik buat hambaNYA. Di situ ada rahsia yang tersembunyi. Di situ juga adanya hikmah yang mana kita sebagai manusia sukar untuk memahami nya.” Pujuk Mak Jah yang amat mengerti hati dan perasaan seorang gadis yang mula mencari jalan kebenaran.

Nasihat Mak Jah didengari dengan hati terbuka. Setiap tutur kata Mak Jah adalah kata-kata hikmat. Acapkali apabila mendengar nasihat dan tunjuk ajar Mak Jah, hatinya menjadi lapang. Jiwanya begitu tenang dan dia dapat merasakan dirinya lebih selamat apabila berada di sisi pengasuhnya itu.

Mia Sakinah menarik sebiji bantal lalu memeluknya dengan erat. Sinar matanya yang redup merenung tepat ke wajah Mak Jah. Mia Sakinah mahu malam itu berlalu dengan perkara-perkara yang menyenangkan. Semenjak dia menyambung pelajarannya, sukar sekali mahu meluangkan masa bersama Mak Jah. 

Dia merindui masa-masa lalu tatkala setiap detik dan waktu Mak Jah sentiasa di sisi menemaninya. Sayangnya masa kanak-kanak itu sudah lama ditinggalkan. Kini hanya pada waktu-waktu tertentu, dia dapat bermanja dengan orang tua yang begitu disayanginya itu.

“Kenapa pandang ummi macam tu?” Soal Mak Jah sambil tersenyum.

“Ummi baik.”

“Miah pun anak yang baik.” Puji Mak Jah pula.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.