Home Novel Islamik Menanti Fajar Sidik.
Menanti Fajar Sidik.
Raihan Zaffya
9/1/2014 16:57:35
33,076
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Beli Sekarang
Bab 4



Miah Sakinah memicingkan telinganya ke daun pintu. Masih senyap sunyi. Waktu Solat Subuh hampir ke penghujungnya. Belum ada tanda-tanda mama dan papanya bangun dari tidur. 

Mia Sakinah gelisah. Benaknya mula menimbang kewajaran yang harus dilakukan. Bimbang akan bersikap biadap jika dia mengetuk pintu. Lebih takut lagi andai dia dipersoalkan di hadapan RABBUL JALIL nanti.

“Mama! Mama! Ma! Bangun ma!” Mia Sakinah tiada pilihan lagi.

“Papa! Oh pa! bangunlah pa!”

‘Tak kuat ke aku ketuk?’ Fikir Mia Sakinah lalu mengetuk daun pintu lebih kuat lagi.

Beberapa detik terus berlalu. Mia Sakinah tetap dengan kedegilannya yang bertempat. Ia demi kasihnya pada mama. Juga kerana sayangnya pada papa. Ketukan semakin kuat. Laungan Mia Sakinah tidak kenal jemu. Akhir nya daun pintu terkuak juga.

“Apa yang kamu nak ni, Mia? Pagi-pagi buta dah ganggu mama.” Omel Puan Ruby dengan mata separuh terbuka. Wajah sembab dan rambut yang tidak terurus membayangkan Puan Ruby benar-benar mengantuk.

“Solat ma. Subuh dah nak habis.” Bagi Mia Sakinah tanggungjawab itu mesti dilakukan. Islam mengajar agar umat manusia saling ingat-mengingat kan. Itu pesan Mak Jah. Itu juga yang cuba diamalkan oleh Mia Sakinah.

“Mama ingatkan apalah tadi. Mia, Mia, mama mengantuk ni. Kamu tau pukul berapa kami balik malam tadi?” ujar Puan Ruby dengan jengkel.

“Mia tau mama balik lewat. Tak apa kan kalau mama solat dulu, lepas tu mama sambunglah tidur.” Selembut mungkin Mia Sakinah cuba mengingat kan Puan Ruby.

“Mia, mama bukan budak-budak. Tak payah nasihatkan mama macam tu. Nanti ada masa mama gantilah. Sudah! Mama nak tidur.” Serentak dengan itu daun pintu ditutup semula.

Mia Sakinah masih di situ. Tarikan nafas panjang dilepaskan satu-satu. Mia Sakinah hampa. Dia benar-benar kecewa. Niat baiknya tidak mendapat sambutan. Kolam matanya terasa hangat. Tirai mata dibuka dan ditutup beberapa kali. 

Mia Sakinah cuba melarang namun air mata jernih bertakung juga. Sepantas kilat, ia diseka. Mia Sakinah tidak mahu jadi lemah. Tanggung jawab telah pun dilaksanakan, terpulang sahaja andainya tidak diterima.

‘Sikit-sikit nak menangis! Tak apalah tak berjaya kali ni esok lusa cuba lagi. Aku mesti kuat. Kalau tak, macam mana aku nak jadi seperti Rabiatul Adawiyah.’ Bisikan baik memujuk laranya. Mia Sakinah tersenyum.

‘Baik tengok umi.’ Tidak mahu membuang masanya, dia meninggalkan tingkat atas.

Setibanya di dapur, perasaannya segar kembali. Terbit senyuman mekar diulas bibirnya. Setiap kali memandang wanita tua itu hatinya lapang. Seakan ada nur yang sukar dimengerti lahir dari kedut wajah tuanya. Mia Sakinah terjengkit-jengkit. Tidak mahu langkahnya dihidu. Sengihan terlihat dari raut wajahnya yang nakal.

“Sayang ummi!” Mia Sakinah merangkul tubuh Mak Jah dari belakang.

“Astaghfirullah..” Lalu Mak Jah mengurut-ngurut dada.

“Ummi terkejut ke?” Soal Mia Sakinah selamba.

“Mia nak balas dendam ya?” Mak Jah memusingkan tubuhnya sambil bercekak pinggang. Buat-buat marah.

“Taklah ummi. Tak ada niat pun.” Jawab Mia Sakinah sedangkan hidung nya memicing pada aroma nasi goreng di kuali.

“Haaah..sedapnya!” Puji Mia Sakinah.

Telatah Mia Sakinah membuat Mak Jah mengeluh panjang. Mia Sakinah gadis nakal. Dalam nakalnya dia pandai mengambil hati. Dia juga gadis periang. Dalam riang itu ada duka yang tersembunyi. 

Keberanian juga milik gadis bertubuh kecil bernama Mia Sakinah. Mia Sakinah berani menongkah arus. Mahu membina rumahku syurgaku. Ingin melihat mama dan papanya bisa berubah.

Mak Jah lebih kenal Mia Sakinah luar dan dalam. Mia Sakinah mem besar di hadapan matanya. Jerit tangis Mia Sakinah di malam hari, Mak Jah yang mendodoikan. Kembung perut Mia Sakinah, sepanjang malam Mak Jah berjaga. 

Kering tekak Mia Sakinah, Mak Jah membancuh susu untuknya. Tidak pernah sekali pun Mia Sakinah dapat menikmati susu ibu. Puan Ruby enggan berbuat begitu. Takut tubuhnya menjadi jelik pada pandangan mata.

“Ummi! Ummi angan-angan ya?” Imbasan kenangan lalu segera terbang melayang, hilang entah ke mana.

“Mia ni ada-ada je. Nasi goreng ni dah boleh senduk.”

“Mia sediakan pinggan ya ummi.”

Pagi itu hanya mereka berdua di meja makan. Untuk menunggu mama dan papanya, tidak tahu pukul berapa mereka akan terjaga. Mia Sakinah tidak mahu lagi memikirkan. Rezeki yang ALLAH beri mesti dinikmati segera.

Selesai makan, Mia Sakinah mengambil angin pagi. Mia Sakinah me ngintai-intai Pak Jamil yang sedang menghias landskap taman. Lirikan mata nya mengamati setiap jenis bunga yang ditanam oleh Pak Jamil. 

Sejuk mata memandang. Pokok orkid hutan ditanam berbaris menganjur hingga ke pintu taman. Pokok-pokok keladi kecil di tanam dalam pasu dan di susun membentuk bulatan. Pokok tanduk rusa digantung di empat penjuru tiang bumbung penahan panas.

“Pak Jamil!!!” 

Hanya suara yang kedengaran sedangkan tuan punya tubuh tidak kelihatan. Pak Jamil tertunduk-tunduk memanjangkan leher. Mencari arah suara halus itu. Gunting besar dalam pegangannya diletakkan sebentar. Pak Jamil mengambil tuala kecil yang terlilit di bahunya. Peluhnya disapu perlahan.

“Pak Jamil, buat apa tuuuu?” Sekali lagi suara halus kedengaran.

Pak Jamil tersenyum sumbing. Dia hanya berdiri tegak. Membiarkan suara itu memanggilnya berkali-kali. Selesai mengelap peluh, Pak Jamil mencapai botol air di atas seketul batu hiasan taman. Air diteguk dengan laju. Menandakan Pak Jamil terlalu dahaga.

“Keluarlah Mia. Janganlah nak takutkan Pak Jamil. Pak Jamil kenal benar suara kamu.” Ucap Pak Jamil selamba sambil ketawa kecil

“Pak Jamil ni tak sportinglah.” Mia Sakinah muncul dari balik batu besar yang dibina sebagai air pancut buatan.

“Mia, Mia, dari dulu sampai sekarang, perangai kamu tak pernah berubah.” Pak Jamil terus ketawa.

“Siapa lagi Mia nak usik kalau bukan ummi dan Pak Jamil.” Keluh Mia Sakinah.

“Subur bunga-bunga ni Pak Jamil. Kalau tak ada Pak Jamil mesti tak terjaga semua ni.” Puji Mia Sakinah mengubah topik.

“Kalau Pak Jamil tak ada ramai lagi yang nak kerja dengan papa Mia. Di bandar besar ni masing-masing berlumba cari kerja.” Balas Pak Jamil selepas meneguk air putih di dalam botol.

“Lain je bunyinya Pak Jamil. Macam jauh hati je. Pak Jamil ada niat nak berhenti ke? Janganlah macam tu.” Kebimbangan terbayang di riak wajah Mia Sakinah.

“Entahlah. Susah Pak Jamil nak cakap.” Keluhan kecil dilepaskan. 

Pak Jamil meletakkan botol air di atas bangku taman. Gunting besar yang diletak kan sebentar tadi diambil semula. Ranting pokok bunga kertas yang telah tumbuh bercabang-cabang dicantas dengan cermat. Pak Jamil membentuknya menjadi sepohon bonsai. 

Tiada suara yang kedengaran. Tidak seperti selalu, kali ini Pak Jamil seperti tidak mengendahkan kehadiran Mia Sakinah. Mia Sakinah bertenggek pada bangku taman. Matanya redupnya ralit memerhati perlakuan Pak Jamil yang di luar dari kebiasaan.

“Kenapa Mia tengok Pak Jamil tak macam selalu?” Soal Mia Sakinah mahu menghurai persoalan.

“Tu hanya perasaan Mia je, rasanya tak ada yang lain pun.” Dalih Pak Jamil.

“Bukan baru hari ni Mia kenal Pak Jamil. Pak Jamil tak pernah rahsia kan apa-apa dari Mia tapi hari ni Mia rasa lain. Mesti Pak Jamil ada sorokkan sesuatu dari Mia.” Tebak Mia Sakinah dengan yakin.

Pak Jamil mengisar tubuh. Dia membuka topi lalu dikibas-kibas ke wajahnya. Angin dari kibasan topi itu menyegarkan sedikit wajahnya yang di basahi peluh. Sorot mata tuanya merenung tepat ke wajah Mia Sakinah. Wajah itu begitu polos dan tenang. 

Baginya ia masih sama seperti sembilan belas tahun yang lalu. Mia Sakinah sudah seperti anaknya sendiri. Tangisan Mia Sakinah adalah gurisan hatinya. Gelak tawa Mia Sakinah adalah penyeri di rumah agam itu.

“Mia tak dengar apa-apa ke?” Mengenangkan itu semua membuat Pak Jamil berubah fikiran. Tidak ada yang perlu dirahsiakan lagi. Mia Sakinah harus tahu kerana dia berhak tahu.

“Tentang apa Pak Jamil. Ada apa-apa yang jadi ke masa Mia tak ada.” Riak wajah Mia Sakinah berubah tiba-tiba. Ada tanda-tanya di hatinya.

Pak Jamil duduk di atas tunggul kayu buatan. Dia membuang pandang ke arah percikan air pancut. Pandangan itu berlari pula ke sekitar lanskap yang terbina dari hasil titik peluhnya. Hingga akhirnya ia tertumpah ke wajah Mia Sakinah semula.

“Mama Mia dah beri kata dua pada Mak Jah.” Jelas Pak Jamil dengan berhati-hati.

Spontan Mia Sakinah berdiri. Degup jantungnya tidak menentu. Ada rasa yang kurang enak di dalamnya. Mukadimah dari Pak Jamil mengandung seribu makna. Walau apa sahaja, yang pasti ia berkaitan dengan pengasuh tuanya. 

Wanita itu segala-gala bagi dirinya. Selama sembilan belas tahun yang ditinggalkan sehingga kini kasihnya tertumpah di situ. Sayangnya berlegar dan bersatu bersama denyut nadi dalam tubuh tua itu.

“Apa maksud Pak Jamil? Mia tak dengar apa-apa pun.” Mia Sakinah cuba melawan gelodak jiwa.

“Akhir-akhir ni Mak Jah selalu kurang sihat. Mak Jah tak dapat urus semuanya seperti dulu. Mama Mia tak puas hati. Kalau boleh mama Mia nak cari pengganti Mak Jah. Yang lebih muda dan lebih bertenaga.” Jelas Pak Jamil yang hampir sepuluh tahun lebih muda dari Mak Jah.

“Betul apa Pak Jamil cakap ni?” Soal Mia Sakinah perlahan.

“Takkan Pak Jamil nak main-main.”

“Sampai hati, mama.” Ucap Mia Sakinah lebih perlahan.

Ulas bibirnya diketap kuat. Aturan nafas jadi tidak menentu. Tanpa sedar jari-jemari Mia Sakinah bermain-main dengan daun keladi di dalam pasu. Daun keladi yang segar menghijau terkoyak menjadi cebisan. Pak Jamil hanya memandang tanpa mahu menegur. 

Dia mahu membiarkan Mia Sakinah begitu. Pak Jamil amat sedar dan memahami apa yang sedang bergolak dalam diri gadis sunti itu. Baginya Mak Jah adalah segala-galanya. Mak Jah tempatnya bermanja dan mencurah segala macam perasaan.

“Maafkan Pak Jamil sebab buat Mia sedih.” Perasaan bersalah men jengah diri Pak Jamil sedangkan Mia Sakinah masih tenggelam dalam perasaan yang tidak menentu.

“Mia!”

“Err, ya Pak Jamil.” Sahut Mia Sakinah gugup.

“Pak Jamil minta maaf kalau dah buat Mia sedih.” Ulang Pak Jamil.

“Mia seharusnya berterima kasih pada Pak Jamil. Kalau tak Mia tak tau ni semua. Tak apalah Pak Jamil, Mia minta diri dulu.” Mia Sakinah mahu cepat-cepat pergi kerana hatinya sedang berkocak hebat.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.