Home Novel Fantasi Ekspres Jupiter (Sudah Terbit)
Ekspres Jupiter (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/10/2023 10:05:24
7,640
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
Bab 2

"SEJAK floor exercise tadi, sampailah ke vault dan sekarang kat beam, Teja dah kalahkan Angie tau. Pergerakan dia lebih kemas daripada Angie. Padahal kau dan aku belum ajar dia lagi semua tu. Aku rasa dia tak cakap besar tadi. Dia memang dah seorang gimnas. Aku agak-agak dia mungkin dalam tahap yang sama dengan Angie sebelum dia bersara tu." Berhati-hati Coach Badrol berbisik padanya.

"Jadi kau rasa dia terbaiklah? Konon gimnas 11 tahun yang lalu, yang dah bersara lepas tu out of the blue nak ikut latihan gimnastik balik, lebih baik daripada budak-budak kita, yang dah masuk empat tahun kita latih?"

Coach Badrol bercekak pinggang, wajahnya serius.

"Kau nampak sendiri, Flo. Semua Rutin Angie dia boleh buat." tuturnya. Coach Flora berpeluk tubuh, hujung bibir mencebik halus. Dia terus memerhati Teja yang masih tenang berdiri di sebelah Angie, menunggu arahan seterusnya. Laju Coach Flora menggeleng sebelum kembali memandang rakan setugasnya.

"Tak, aku rasa dia bukan bekas gimnas. Mungkin dia dah hafal semua rutin Angie sepanjang dia berlatih kat sini. Mungkin dia cuma pandai copycat pergerakan orang lain." Yakin Coach Flora menutur.

"Kalau dia tiru Angie pun, masalahnya pergerakan dia lebih kemas dan sharp berbanding Angie!" desis Coach Badrol perlahan.

Coach Flora mencebik lagi.

"Flo, kita uruskan Teja nanti saja. Dia tak masuk pertandingan pun, dia cuma nak terus berlatih kat sini dengan kita semua. Just let her be. Tapi Angie, lets not crush her. Walaupun kita tak cakap apa-apa, Angie punya confidence dah drop."

Kali ini mata Coach Flora beralih pada Angie. Tampak gelisah gimnas itu. Menggigit bibir, dia berfikir-fikir sebelum berbisik kembali pada Coach Badrol.

"Dah alang-alang, Bad. Kita teruskan saja. Angie tu kita boleh pujuk nanti. Lagipun aku tak boleh biarkan budak Tawau tu pandang rendah kat kita." Coach Flora nampaknya berkeras untuk meneruskan pertandingan ini.

"Dah tiga bulan dia diam saja mengikut apabila kau suruh dia stay kat level satu. Aku rasa kita yang pandang rendah kat dia, Flo, sebab kita anggap dia tu newbie."

"Shut up, Bad." gumam Flora.

Coach Badrol mengeluh panjang. Walaupun kurang bersetuju, dia menurut juga kerenah Coach Flora. Lalu dia bertepuk tangan bagi menarik perhatian semua gimnas.

"Okay, lastUneven bars!" umumnya dan mula melangkah ke radas palang bertingkat. Yang lain mengekori langkahnya.

"Tak perlu yang rumit-rumit. Buat pergerakan asas macam glide kip, hip circle dan flyaway. Ingat, kekuatan bahagian atas tubuh. Jaga timing. Okey?"

Coach Badrol puas hati melihat Angie mengangguk faham pada pesanannya. Sementara Teja hanya mendiamkan diri di sebelah gadis itu.

"Okay. Angie, kamu duluan."

Menurut arahan, Angie yang sudah bersiap mengenakan alat pencengkam pada kedua-dua tangannya melangkah ke hadapan palang rendah. Kedua-dua tangan yang sudah dilumur serbuk kapur memegang palang.

Kali ini persembahan Angie tampak lebih kemas berbanding tadi. Bermula dengan glide kip yang lancar, Angie meneruskan ke pergerakan hip circletap swing dan melayangkan tubuh ke palang tinggi. Di situ Angie membuat satu lagi hip circle sebelum lanjut melakukan hip circle dan flyaway sebelum mendarat.

Mungkin bukan persembahan terbaiknya, tetapi Angie tampak menghela nafas lega sebaik menamatkan rutin radas palang bertingkat itu. Dia memandang ke arah Coach Flora. Jurulatih itu mengangguk padanya.

"Next, Teja!"

Teja mengatur langkah ke radas palang bertingkat. Tangannya baru mahu memegang palang rendah apabila Coach Badrol menegur.

"Kamu tak mahu pakai handgrip?"

Sesaat Teja bagai kebingungan mendengar soalan lelaki itu sebelum dia tunduk memandang tangannya yang kosong. Bergegas dia meninggalkan radas palang bertingkat, menuju je meja panjang di hujung dewan. Di situ, bersusun beg sukan masing-masing. Sedikit kelam-kabut Teja menyauk tangan ke dalam beg sandang miliknya, menarik keluar alat pencengkam yang sudah lama. Sedikit cemerkap ulahnya memasukkan jari ke dalam alat pencengkam sebelum mengetatkan pelekat velkro di kedua-dua lengan.

"Kapur," Coach Flora pula mengingatkan. Terangkat sedikit kening Coach Badrol ketika memerhati gerak tubuh Teja yang sedang menyembur sedikit air ke permukaan alat pencengkam sebelum meletakkan serbuk kapur.

"Dia macam ...," Coach Badrol terhenti, menoleh pada Coach Flora. Angguk-angguk Coach Flora mengerti maksud lelaki itu.

Teja kini sudah bersedia di hadapan palang rendah. Dia mengambil masa hampir satu minit, tegang wajahnya merenung palang rendah sebelum memegangnya. Bermula dengan glide kip, mereka menyaksikan Teja melakukan hip circle dan tap swing sama seperti Angie tadi sebelum melayang ke palang tinggi. Teja terus membuat pergerakan tap swing.

Satu pusingan.

Dua pusingan.

Tiga pusingan.

Apabila Teja sambung membuat pusingan yang keempat, Coach Flora mulai merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Disenggolnya lengan Coach Badrol sambil tidak melepaskan pandangan pada Teja yang sudah membuat pusingan keenam.

"Teja," dia cuba memanggil.

Namun Teja terus membuat tap swing di atas palang tinggi itu dengan daya pusingan yang semakin laju. Coach Flora cuba mendekati radas palang bertingkat dan menyedari Teja rupanya sedang memejam mata, rapat.

"Teja!"

"Stop, stop! Teja!"

Terpinga-pinga gimnas yang lain melihat Coach Badrol dan Coach Flora kini berada dalam mod panik. Masing-masing cuba mendekati radas itu dari tepi, menjerit memanggil nama Teja. Coach Badrol mengambil risiko memegang palang tinggi dan menggoncangnya sedikit.

"Teja!"

"Teja!"

Teriakan itu umpama baru dapat menyapa gegendang telinga Teja sekali gus membuatkan dia akhirnya membuka mata.

"Slow down, Teja! Slow down!" Coach Badrol memberi arahan.

Menyedariapa yang sedang berlaku, Teja mahu mengawal keadaan dengan cuba membetulkan cengkamannya pada palang tinggi. Namun tindakan itu malangnya hanya membuatkan cengkamannya tergelincir lalu melayangkan tubuhnya tinggi ke udara sebelum terhempas di tikar pendaratan bersama bunyi yang kuat.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.