BAB 3
Sungguh
ramai orang di Mid Valley ketika itu. Amani terpaksa berjalan bersusup-sasap
dicelah-celah orang ramai untuk bertemu dengan kawan-kawannya di tempat yang
telah dijanjikan, Golden Screen Cinema di tingkat tiga Mid Valley
tersebut. Dihantar oleh ibunya puan Qaseh,
Amani telah berjanji akan menelepon ibunya sekiranya perjumpaannya telah
selesai nanti. Dari kejauhan Amani terlihat kelibat Monika dan Hazim yang
sedang berdiri berhampiran tiang di satu sudut kawasan itu.
“Hai!
Monika! Hazim!” Amani memanggil nama kawannya sambil melambai-lambaikan
tangannya. “Wah! Dah lama ke korang sampai?” Amani sedikit tercungap bila dia
telah sampai di hadapan Monika. Perasaannya gementar bercampur gembira. Dia
terasa sedikit kaget ditengah-tengah orang yang begitu ramai. Bag sandang merah
jambu digenggamnya erat bagi mengurangkan perasaan gementarnya.
“Hakim
pun dah sampai tadi tetapi dia pergi
tandas sekejap. Danial dan Shin masih dalam perjalanan. Sekejap lagi sampailah
tu..” Hazim menerangkan sambil wajahnya sentiasa tersenyum manis. Tak sampai
beberapa minit menunggu akhirnya Danial dan Shin pun sampai dan mereka terus ke
kaunter beratur untuk membeli tiket. Tinggal lagi lima minit saja lagi tayangan
akan bermula.
“Saya
suka sungguh dengan watak Hermaine, dahlah cantik, bijak dan rambutnya pun panjang
macam rambut saya ni...” cerita Monika akan watak kegemarannya. Hazim dan Shin
yang berhampiran mendengarnya hanya tersenyum dan sedikit mencebik. “Hah! Hah!
Jangan nak mula ye...nanti saya cubit awak berdua karang baru tahu..” Monika
memberikan amaran.
“Tak..tak
kami takan berani.....” Shin tersenyum menafikan. Selalunya dia, Hazim dan
Danial akan bersama-sama mengusik atau sengaja membuli Monika yang lembut dan
pendiam itu. Saja suka-suka nak mengusik kawannya yang manis lawa itu. Bak kata
orang-orang tua, usik-mengusik membawa bahagia. Gurauan-senda pengerat ikatan.
Mereka berenam selalu tak sunyi dari gelak-tawa dan gurauan pengerat
persahabatan. Yang selalu menggamatkan suasana tentulah mereka bertiga tu.
Shin, Danial dan Hazim. Mereka berenam beratur masuk ke dalam panggung yang
sudah mula gelap itu. Monika berpimpinan tangan dengan Amani. Amani membontoti
Hakim yang mengepalai kumpulan mereka. Hakim mencari nombor F2 untuk tempat
duduk mereka. Setelah menjumpai tempat duduk masing-masing, mereka pun mula
menonton dengan penuh khusyuk.
Hari
berikutnya mereka berenam telah merancang untuk ke perpustakaan sebelah stesen
keretapi lama tersebut. Amani, Monika, Hakim, Hazim dan Danial sedang menunggu kedatangan
Shin yang agak lewat dari jadual yang telah dirancang. Dia terlupa pada hari tersebut
dia ada kelas piano, jadi Shin mungkin akan lewat dalam tiga puluh minit.
Sementara menunggu Shin, mereka berlima berjalan-jalan melihat sekeliling.
Kawasan tersebut bertentangan dengan Galeri Seni Lukis Negara tak sampai
beberapa meter dari perpustakaan. Hanya mengambil masa selama sepuluh
minit dengan berjalan kaki. Mereka berlima
menuju ke sana. Hakimlah orangnya yang paling gembira dan teruja sekali
memandangkan dia minat melukis. Semua lukisan yang ada di sana datangnya dari
pelukis-pelukis dalam negara dari semua
negeri dan sedikit saja dari luar negara. Walaupun Amani, Monika dan Hazim tak
berapa memahami beberapa makna lukisan-lukisan yang ada di situ, tetapi mereka
masih boleh menjiwai kecantikan dan kehalusan yang dihasilkan oleh
pelukis-pelukis itu. Mereka benar-benar ralit dengan lukisan-lukisan yang ada
di Galeri tersebut sehinggakan mereka terleka dengan perjalanan waktu. Terasa
bagai waktu berjalan terlalu pantas. Tak sangka mereka telah terlewat lima
belas minit dari Shin!
Mereka
berjalan dengan pantas menuju ke perpustakaan. Dari kejauhan kelihatan Shin
sedang mencekak pinggangnya dan wajahnya sedikit masam kerana telah
ditinggalkan oleh kawan-kawannya.
“Amboi!
Pergi ke sana tak ajak kita...” rajuk Shin.
Mukanya ditarik masam.
“Alaaah!
Sorrylah Shin. Sebenarnya kami secara tak sengaja telah pergi ke sana..bila dah
masuk terleka pula. Lukisan-lukisan di sana semuanya cantik-cantik belaka. Lain
kali kita pergi lagi sama-sama ye? Eik! macam berpantun pula aku..” pujuk Hakim
serentak tangannya dirapatkan mengakui kesalahannya dan kawan-kawan yang lain.
Mereka semua meminta maaf dengan Shin sambil wajah mereka sayu menunjukkan yang mereka benar-benar minta
maaf dan minta dikasihani. Bila melihatkan wajah masing-masing yang macam muka ‘seposen’
tu akhirnya Shin pun tergelak..
“Hahahahaha...”
gelak Shin, “Sudahlah korang! Kesian aku tengok muka korang macam ayam nak kena
masak je muka tu..” akhirnya Shin kalah dengan reaksi kawan-kawannya yang
kelakar itu.
“Dahlah
jom.....” akhirnya Shin mengajak kawan-kawannya masuk ke perpustakaan sambil
tangannya menepuk bahu Hakim. Mereka berbondong-bondong memasuki ke dalam
perpustakaan awam itu. Bau buku-buku dan karpet di dalam perpustakaan awam itu
menujah hidung mereka. Hazim dan Hakim terus pergi ke tempat rak-rak buku sains
fiksyen, manakala Danial dan Shin mereka terus ke tempat komputer untuk
melayari internat yang ada di situ. Monika dan Amani terus ke bahagian yang
sama dengan Hakim dan Hazim setelah meneliti keadaan sekeliling. Buku-buku yang
banyak bertingkat-tingkat di susun kemas di rak-rak tersebut telah membuatkan
perasaan Amani seperti di awangan. Dia amat sukakan buku-buku. Terasa bagaikan
tak cukup satu hari tu, untuk dia menghabiskan semua buku yang ada. Rasanya
bagaikan dia nak bertunggu-bertangga saja di situ. Amani mula berkhayal,
kalaulah dia boleh bermalam di situ dan dapat menghabiskan membaca separuh dari
rak buku itu alangkah seronoknya!
“Hei!
Amani, buat apa tu?” Monika menyapa mematikan khayalan Amani. “Hah! Berangan ye....
dah berkerut dah tu dahi awak yang luas tu..” Monika mengusik sambil menjentik
lembut dahi Amani serentak memberikan senyuman manisnya memandang wajah Amani.
Merona merah wajah Amani, malu sendiri dengan khayalannya yang tak masuk akal
itu.
“Dahlah
Monika jom, kita pergi cari buku untuk kita baca...” lekas-lekas Amani mengubah
topik perbualan bagi menghilangkan malunya sambil menolak belakang Monika
dengan lembut menghala ke rak-rak buku.
Masing-masing
telah dapat buku kegemaran pilihan masing-masing untuk dibaca. Mereka duduk
semeja yang menempatkan lapan orang. Amani mengambil buku sains fiksyen
mengenai makhluk asing yang datang ke Bumi. Hazim dan Hakim membaca buku
ala-ala penyiasatan dan Shin pula buku pengembaraan masa. Danial mengambil buku
berkenaan kanak-kanak yang bercita-cita ingin menjadi saintis muda manakala
Monika pula buku mengenai planet-planet di cakerawala Bimasakti ini. Mereka
layan buku masing-masing sehinggakan tak perasan masa telah berlalu dengan begitu
cepat dan mereka belum makan tengahari lagi.
Mereka makan di restauran makanan segera yang behampiran dengan kawasan
perpustakaan. Cepat-cepat mereka menghabiskan makanan mereka kerana tidak mahu
membuang masa yang sangat berharga. Mereka hendak menghabiskan buku cerita
mereka dengan cepat dan menikmati suasana yang aman di perpustakaan tersebut.
Ketika
mereka sedang berjalan menuju ke meja bacaan mereka, tak semena-mena Danial
mencuit lengan Hakim, “Cuba dengar tu.....” Danial menunjukkan jari telunjuknya
di bibir, isyarat diam dan berikan perhatian.
“Ada
terdengar sesuatu yang ganjil tak? Macam bunyi angin sedang bertiup..?” bisik
Danial ke telinga mengarahkan Hakim agar
membuka cuping telinga lebih lebar lagi bagi mendengarkan bunyi yang asing di
dalam kawasan itu. Hakim meletakkan tapak tangannya di belakang cuping telinga
kanannya, cuba mendengar. Seperti desiran angin sepoi-sepoi di salah satu
rak-rak buku di seksyen cerita dongeng Asia. Mereka berdua berjalan masuk ke
dalam lagi ke rak-rak buku tersebut. Semakin mendekati rak di tengah semakin
jelas bunyi desiran angin tersebut bertiup! Jantung Danial dan Hakim berdegup
kencang, sesuatu keganjilan di luar jangkauan fikiran logik. Mana ada saluran
angin di sini. Mata Hakim meliar memandang atas dan sekeliling, kalau-kalau ada
lubang angin atau bunyi pendingin udara. Bukan. Jadi Danial mendekati rak-rak
buku tersebut. Ingin membuat kepastian. Terlihat sebuah buku berbaldu biru tua,
bunyi seakan datang dari arah situ, detik hati Danial. Danial menarik lengan
Hakim agar mengikutnya ke arah buku yang dia nampak itu dan semakin kuat bunyi
desiran itu. Mereka berpandangan sesamasendiri.
“Mana
Hakim dan Danial ni?” Amani bertanya kepada Monika setelah agak lama mereka
tidak muncul semula selepas makan tadi. Sedangkan sebentar tadi semasa masuk ke
perpustakaan mereka berjalan di belakang kumpulan mereka. Monika hanya
menggelengkan kepalanya, terasa seperti terganggu dengan pertanyaan Amani.
Cepat-cepat Monika menyambungkan pembacaannya tanpa mempedulikan kehilangan
Hakim dan Danial. Amani meneruskan pencarian, matanya melilau ke segenap arah
mencari kelibat Hakim dan Danial. Masih tak kelihatan, mana mereka telah pergi
ni? Amani tak puas hati, dia tak dapat nak meneruskan pembacaan bukunya selagi
tidak pasti akan keselamatan kawan-kawannya.
“Mungkin
mereka ke tandas tak?” Shin cuba memberikan alasan untuk mengurangkan rasa
bimbang di hati Amani itu. “Janganlah awak risau tak bertempat...” Shin
tersenyum, Hazim yang duduk di sebelah Shin juga menganggukkan kepalanya. Tersenyum
kepada Amani. Lima minit sudah berlalu,
Amani tak sedap hati, lalu dia bangun dan berjalan menuju ke rak-rak buku untuk
melihat jikalau mereka ada di sana....telahan Amani membuahkan hasil.
Kelihatannya Hakim dan Danial seperti melihat sesuatu yang ‘ajaib’ di atas salah-satu
rak di situ. Amani berjalan menuju ke arah mereka senyap-senyap, tak mahu
mengganggu konsentrasi mereka berdua...semakin Amani mendekati sahabatnya itu,
telinga Amani juga dapat menangkap bunyi yang Hakim dan Danial sedang dengari
itu, bunyi desiran bayu sepoi-sepoi sedang bertiup! Bunyi angin? Di dalam
perpustakaan? Amani juga menjadi hairan. Dengan perlahan-lahan tangan Amani
menyentuh bahu Hakim yang sedang asyik mendengar bunyi itu, Hakim tersentak, “
Amani! Hish, terperanjat saya...janganlah buat begitu lagi, boleh lemah jantung
saya dibuatnya tau,” Hakim memberikan amaran namun, wajahnya tersenyum.
“Korang
buat apa ni?” tanya Amani penuh dengan perasaan ingin tahu.
“Shyyy!
Cuba awak dengar tu? Bunyi macam bunyi anginkan?” Danial yang menyedari
kemunculan Amani mengajaknya mendengar bunyi ganjil tersebut. Amani
menghulurkan telinganya dan cuba mendengar dengan lebih teliti lagi, “Yelah!
Macam bunyi anginlah.” Amani memandang ke atas kalau-kalau ada pendingin udara
berdekatan. Tidak ada.
“Datangnya
dari buku itu.” tuding Danial buku yang dimaksudkan dengan jari telunjuknya.
“Mana?”
Amani bertanya masih kurang pasti.
“Itu...yang
berkulit baldu warna biru tua tu..” Danial bersuara dan Hakim mengiakannya
dengan anggukan kepala. Debaran jantung Amani semakin kuat dan terasakan bagai
debaran itu menembusi telinganya. Kini mereka bertiga pula, perlahan-lahan
mendekati buku berbaldu biru tua itu. Danial yang lebih tinggi dari mereka
bertiga menyuakan tangan untuk mengambil buku tersebut. Mula-mula tu, Danial
seperti teragak-agak ingin mengambil buku itu. Tetapi setelah di berikan
sokongan moral oleh Amani dan Hakim, Danial menjadi berani. Dengan pantasnya dan
tanpa teragak-agak lagi Danial mencapai buku tersebut! Mereka bertiga
merapatkan diri ke buku itu. Danial menyelak-nyelak helaian buku, terasa
tangannya bagaikan sejuk dan ditarik-tarik oleh buku itu! Begitu juga Hakim dan
Amani. Mereka dapat rasakan tiupan angin yang datangnya dari buku itu. Mereka
seperti ditarik-tarik masuk ke dalam buku tersebut! Akhirnya Danial tak dapat
bertahan lagi, kerana dia yang paling dekat dan yang sedang memegang buku itu, dia disedut
masuk ke dalam buku! Diikuti oleh Hakim dan seterusnya Amani. Terasa bagaikan
badan mereka melayang dan terawang-awang di udara. Mereka bertiga menjerit
sekuat hati kerana takut terjatuh dari tempat tinggi.
“Aaaaaaargh!
Jeritan mereka bertiga tidak dapat di dengari oleh sesiapa pun, hatta
kawan-kawan mereka yang berada tak berapa jauh dari tempat mereka itu pun! Apa
yang telah terjadi sebenarnya? Dapatkah Hakim, Danial dan Amani menyelamatkan
diri mereka dari terus jatuh? Apakah kehilangan mereka akan disedari oleh
seseorang?