Home Novel Seram/Misteri TARANTULA
TARANTULA
3/2/2015 08:32:05
7,108
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 2

BAB 2

SEBUAH kereta Kelisa berwarna oren dipandu laju oleh seorang gadis dalam hujan renyai-renyai yang membasahi jalan raya. Amani Sofea hendak cepat sampai ke destinasi yang dituju.

Sudah hampir lima jam dia memandu seorang diri menuju ke Kampung Nilam Setia. Sejak sebulan yang lalu, gadis itu cuba menjejaki tunangnya, Zafrizan seorang jurufoto bebas.

Sudah lama Amani Sofea terpenjara dalam perasaan bimbangnya dari mula-mula Zafrizan menyertai ekspedisi mencari ‘tumbuhan ajaib’ bersama dengan tiga orang lagi kawannya iaitu, Morgan, Ikmal dan Afzan.

Kebimbangan Amani Sofea semakin memuncak sehingga dia tidak tahan lagi menanggung rindu dan resah menunggu kepulangan Zafrizan. Akhirnya, dia nekad mencari tunangnya dan kawan-kawan Zafrizan walaupun terpaksa pergi seorang diri.

Ke mana destinasi sebenar Zafrizan dan kawan-kawannya tidak pula diketahui. Hanya nama Kampung Nilam Setia saja sebagai petunjuk utamanya. Amani Sofea benar-benar nekad.

Perjalanan yang panjang akhirnya sampai ke destinasi apabila Amani Sofea berjumpa dengan papan tanda berwarna hijau bertulis Kampung Nilam Setia, 500 meter susur ke kanan. Amani Sofea mengukir senyuman apabila melihat papan tanda itu.

Syukur alhamdulillah! Hatinya berdetik.

Amani Sofea seorang gadis yang berketinggian153 sentimeter dan seorang yang ranggi serta tangkas. Berkulit putih kemerahan dan bermata redup. Dia juga seorang yang periang dan mudah mesra. Sesiapa pun tidak akan menolak jika ingin berkenalan dengannya.

Amani Sofea meneruskan perjalanan dan akhirnya berhenti di sebuah chalet yang telah ditempah sebelum ke kampung itu.

Wau! Cantik jugak chalet ni walaupun terletak jauh di pendalaman, detik hati Amani Sofea.

Tanpa berlengah lagi, Amani Sofea mematikan enjin kereta dan membuka bonet. Kemudian dia melangkah keluar dan mengeluarkan beg pakaian serta barang-barang yang dibawanya bersama. Dengan langkah berhati-hati, dia terus menuju ke penyambut tetamu di chalet itu.

Sebuah senyuman manis terukir indah di wajah Amani Sofea sebaik sahaja sampai di hadapan penyambut tetamu itu.

“Selamat petang cik. Boleh saya bantu,” ujar penyambut tetamu yang tertera nama Aida di pakaian.

“Selamat petang. Saya ada buat tempahan di chalet ni,” ucap Amani Sofea dengan nada lembut.

“Boleh saya tahu nama cik?”

“Oh, nama saya Amani Sofea.”

“Sekejap, saya semak sebentar.”

“Hmm... Amani Sofea Binti Mohd Yakob ya?”

“Ya, tu nama saya.”

“Bilik cik nombor 575. Ni kunci bilik dan kupon untuk sarapan pagi,” ujar Aida dengan senyuman terukir di bibir.

“Terima kasih.”

Amani Sofea mencapai kunci bilik itu bersama kupon dari tangan gadis itu dan melangkah meninggalkan kaunter. Setelah melangkah beberapa tapak, dia berhenti dan menoleh ke arah Aida.

“Oh ya, bilik arah mana ya?” tanya Amani Sofea.

“Cik jalan terus, kemudian belok ke kanan. Nanti cik akan nampak tanda arah menuju ke bilik 575.”

“Okey, terima kasih.”

Amani Sofea memeluk tubuhnya dengan kuat dek kedinginan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Chalet ini sebenarnya terletak di atas bukit. Amat cantik pemandangannya.

Tidaklah begitu besar dan terdapat lebih 160 chalet di sekitarnya. Dan di tengah-tengah chalet ini terletaknya sebuah restoran yang cantik mata memandang dengan berhiaskan tema ala Bali.

Sebaik sahaja sampai di chalet yang bernombor 575, Amani Sofea memasukkan anak kunci bilik itu dan melangkah masuk.

“Huh, penatnya!” ujar Amani Sofea.

Tanpa berlengah lagi, Amani Sofea merebahkan tubuhnya di atas katil berkembar yang diselimuti cadar berwarna merun. Terdapat sebuah almari pakaian, meja solek dan perabot. Di tepi tingkap pula terdapat sebuah meja tulis.

Kedengaran Amani Sofea melepaskan keluhan. Berat keluhan itu. Kemudian matanya dipejam erat. Hatinya pula terasa mengkal dan berat. Tidak setanding dengan penat badannya yang sudah memandu jauh.

Perasaan sedih mula menyucuk tangkai hati. Pedih, perit mencengkam. Kedua-dua tapak tangannya pula diletakkan rapat ke dada bagaikan menahan sakit.

Tiba-tiba wajah Zafrizan muncul menyingkap tabir kenangan semasa mereka bersama. Air jernih merembis keluar menitis di hujung kedua-dua belah mata. Tembok ketabahan akhirnya runtuh tatkala dia bersendirian lagi. Amani Sofea mula teresak-esak di bilik itu.

“Zaf, aku benar-benar rindukan kau.”

Zaf adalah panggilan manja tunangnya, Zafrizan. Senyuman insan itu menerpa ke benak gadis itu yang sedang kerinduan. Penawar sakit di dada Amani Sofea, hanya ada pada Zafrizan seorang.

Hatinya tertanya-tanya? Adakah dia dapat berjumpa dengan insan yang dicarinya di sini? Di Kampung Nilam Setia ini? Entahlah, dia sendiri tak tahu?

Zaf, di mana kau? Aku sangat merindui senyuman dan ketawa kau, rintih hati Amani Sofea penuh lirih bercampur esakan.

Amani Sofea memusing tubuhnya di posisi mengereng pula. Matanya dibuka dan pandangannya jauh seperti menembusi dinding kamar itu. Dia seolah-olah berada di dunianya sendiri.

Di alam itu, dia dapat melihat Zafrizan dari jauh. Sedang tersenyum dan Amani Sofea menyambut senyuman itu dengan penuh ikhlas. Sambil menghulurkan tangan, dia menarik tunangnya agar mendekati dirinya namun kelibat Zafrizan semakin jauh dan jauh. Tangan Amani Sofea terangkat ke udara tanpa disambut dan akhirnya dia terlena.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.