BAB 2
Akhirnya Amani keletihan memikirkan perkara yang
terjadi siang tadi. Hazim juga tak dapat membantu banyak. Mungkinkah pemuda itu
datang dari masa hadapan? Amani mula berangan dengan imaginasi yang mengujakan.
Kalaulah benar dia dari dunia asing bukan dari dunia kita kan bagus! Biarlah adventure sikit cuti kali ini. Bagusnya!
Kalaulah kita semua boleh merantau ke luar negara atau mengalami satu peristiwa
yang ganjil...... Amani mula berangan lagi. Akhirnya Amani tertidur di temani
dengan anganannya mengenai pemuda misteri itu.
Hakim
mengambil kedatangan semua murid di dalam kelas tingkatan satu M itu. Selalunya
di minggu terakhir persekolahan sudah ramai murid yang memulakan cuti sekolah
mereka sendiri. Lagipun pinjaman buku teks untuk tahun hadapan pun mereka sudah
dapat, jadi sesiapa yang malas dah hendak datang ke sekolah sudah boleh mula
bercuti dan balik kampung. Dalam kelas tingkatan satu M yang berjumlah tiga
puluh lima orang murid pada kebiasaannya, telah berkurangan tujuh murid.
Nampaknya mereka sudah pun mula pulang ke kampung untuk bercuti, jangka Hakim
di dalam hatinya. Wajah-wajah kawannya
masih lagi ada. Mereka pasti akan datang ke sekolah sehingga ke saat-saat
akhir. Pada masa akhir hari persekolahan selalunya mereka dapat berjumpa dengan
guru tingkatan baru mereka. Jadi peluang ini mereka tidak mahu ketinggalan.
Mereka sangat-sangat ingin tahu guru kelas baru mereka nanti.
Amani
termenung sebentar memandang kepada kerusi belakang yang kosong. Masih
terbayangkan kelibat pemuda yang memapah Hazim semalam. Mata Amani memandang
kepada Hazim pula, apa yang pemuda tu sudah lakukan kepada Hazim sehinggakan
Hazim tak ingat satu apa pun? Amani tertanya-tanya. Apa tujuan kedatangan
pemuda misteri itu? Amani masih tak dapat nak melepaskan topik tersebut di
dalam mindanya. Amani ralit memerhatikan Hazim, ingin melihat kalau-kalau ada
sebarang perubahan kepada sikap Hazim atau apa-apa saja sebagai bukti akan
kewujudan pemuda misteri tersebut. Sambil meraup wajahnya, perasaan ingin tahu
Amani semakin meruap-ruap.
“Hah!
Kenapa ni? Masih tak puas hati lagi ke dengan kes semalam tu?” tanya Hazim
dengan senyuman menawannya.
“Hem,
mestilah! Aku tak puas hati. Dari mana
munculnya mamat tu? Apa yang dia dah buat kepada kau sampaikan kau tak dapat
mengingati satu apa pun? Kau tak risau ke Hazim? Entah-entah dia sudah lakukan
sesuatu kepada kau atau sudah mengubah kau
punya daya ingatan ke?” provok Amani kepada Hazim yang masih tersenyum
mendengarkan hujahnya.
“Tak.”
pendek saja jawapan dari Hazim.
“Yang
peliknya aku sahaja yang tahu akan kewujudan mamat tu..” tukas Amani lagi tak
puas hati.
“Sudah-sudahlah
tu Amani, dah nak masuk waktu rehat. Jom kita ke kantin sama-sama nanti. Monika kata dia tak makan tetapi dia ada
bawakan buku novel yang kau nak pinjam tu..” Hazim berlalu dan duduk semula ke
tempatnya selang dua meja di hadapan Amani.
“Hakim
kau makan tak?” Amani menoleh kepada Hakim di sebelahnya.
“Tak,
aku nak pergi ke pusat sumber ambil aku punya lukisan. Cikgu Razali hendak
pulangkan kembali lukisan tu” terang
Hakim yang memenangi pertandingan lukisan peringkat daerah sebagai wakil
sekolah mereka. Memang tidak dinafikan lukisan-lukisan Hakim sentiasa menjadi
perhatian malah dia juga sentiasa menang bila ada pertandingan. Hakim juga suka
melukis untuk majalah komik G3 sebagai mengasah bakat, katanya. Khalina
pembantu ketua kelas memandang kepada mereka dan menunjukkan isyarat supaya
diam. Amani hanya memandang sinis kepada Khalina yang suka berlagak itu. Danial
pula sempat membalingkan sesuatu seperti cebisan kertas kepada Amani. Sambil jari telunjuknya
menuding ke arah Amani. Amani mengambil cebisan kertas itu lalu membacanya. ‘Petang
nanti kita pergi ke rumah Shin. Dia nak ajak berbincang tentang aktiviti cuti
sekolah’.
Selepas
membaca nota itu, Amani memberikan pula kepada Hakim dan Hakim menganggukkan
kepalanya. Hakim bangun lalu cebisan kertas itu diberikan kepada Hazim pula.
Sementara menunggu masa berlalu, Amani sempat memikirkan tempat-tempat menarik
untuk mereka berenam lawati. Dia juga mencari aktiviti lain untuk mereka
lakukan bersama sempena cuti nanti.
Seperti
yang sudah dijanjikan mereka berenam berkumpul di rumah Shin. Shin sudah
menyediakan snek petang buat mereka
semua dan air teh ais lemon buat pembasah tekak yang sedang dahaga. Masih lagi
cuaca pada hari itu berbahang dengan kuatnya hari ini. Amani berbasikal ke rumah
Shin, berpeluh-peluh dia . Rambut ikalnya di ikatnya tinggi sedikit lagi bagi mengurangkan panas. Dia
sampai di rumah Shin serentak dengan Danial yang menunggang basikal mauntain bikenya. Nampak segak, memang
sesuai benar dengan kaki Danial yang panjang itu.
“Masuklah!
Mereka semua dah berkumpul di atas bilik Shin,” auntie May sudah mengarahkan Amani dan Danial terus naik ke atas.
“Marilah
masuk,” Shin menguakkan daun pintu dan menjemput mereka berdua masuk.
Kelihatannya Monika, Hazim dan Hakim sedang duduk bersila mengelilingi meja
yang terletak di tengah-tengah ruang bilik tersebut. Monika kelihatan comel
bila rambutnya di biarkan lepas mencecah lantai.
“Marilah
duduk di sini,” Monika menepuk-nepuk tempat duduk di sebelahnya. Amani mengikut
apa yang disuruh. Wajahnya masih lagi kemerah-merahan sisa dari bahang panas di
luar tadi. Monika tersenyum. Amani membalas senyumannya.
“Semua
dah ada dah?” Shin memandang semua kawannya.
“Bolehlah
kita teruskan macam ni..” sambungnya lagi sambil duduk di sebelah Hazim dan
mencapai kertas di atas meja. Penghawa dingin dibukanya lebih kuat lagi bagi
menambahkan kuasa sejuk untuk menampung penghuni yang bertambah.
“Apa
kata minggu pertama cuti ni kita pergi tengok wayang. Nak? Cerita Harry Potter
yang terbaru dah keluar dah..” cadang Amani tiba-tiba.
“Yelah..betullah..kita
minat cerita tu. Jomlah kita pergi tengok,” Hazim menyokong, lapan pasang mata lagi
tertumpu kepada Hazim yang sedang tersenyum. Amani pula memandang sekeliling
untuk melihatkan reaksi semua kawan-kawannya.
“Jomlah...satu
cadangan yang menarik juga. Saya pun minat dengan cerita Harry Potter tu.
Tentang budak ahli sihir dan kawannya, kan?” cerita Danial seakan teruja. Hakim
mendiamkan dirinya dari tadi, bila semua kawan-kawannya telah memberikan reaksi
yang positif barulah Hakim menganggukkan kepalanya tanda bersetuju. Shin
menulis di atas kertas aktiviti pertama yang mereka semua telah persetujui.
“Jangan
lupa ye, masukkan sekali aktiviti pergi
ke perpustakaan di stesen keretapi lama tu. Kita semua pun tak pernah pergi ke
sana lagikan?” Hakim mengarahkan. Shin tekun menulis dan tangannya mencapai
gelas teh ais lemon lalu minum. Monika menjengukkan kepalanya untuk melihat
nota yang sudah ditulis.
“Oh
ya, ada sesiapa yang akan mengikut keluarga pergi melancong ke mana-mana ke,
bercuti balik kampung rindukan datuk-neneknya ke?” Hakim bertanya lagi.
Wajahnya nakal mengusik kawan-kawannya.
“Saya
bertanya ni, kerana saya sendiri akan bercuti balik kampung nenek saya di
Tanjung Karang..” bilik itu menjadi gamat tiba-tiba kerana Hakim di sorakkan oleh
kawan-kawannya.
“Cakaplah
awak tu yang sudah rindukan nenek awak sebenarnya,” laung Danial ambil membaling
kusyen kecil ke arah Hakim untuk bergurau.
“Bila
awak nak balik ke kampung awak tu?” Amani bertanya.
“Selepas
semua aktiviti kita selesai kita lakukan,” kata Hakim sambil memandang semua
wajah kawan-kawannya.
“Oh
ya! apa kata kalau awak semua ikut saya balik kampung? kita bercuti sama-sama
di kampung saya di Tanjung Karang. Tentu nenek saya gembira kerana rumah nenek
saya di kampung tu pun besar. Tentu kita boleh buat bermacam-macam aktiviti di
sana..” bersinar mata Hakim bila meluahkan pendapatnya dan mengajak
kawan-kawannya pulang ke kampung bersama dengannya.
“Wah
seronok tu..” sampok Danial. “ Kalau macam tu akulah orang pertama yang nak
sangat ikut kau balik kampung, macamana Hazim, Shin, korang semua?” Mata Danial
mencerlang bulat gembira dengan idea yang bernas itu.
“Bolehlah
kita merasa suasana kampung kan...” Monika pula mencelah. Matanya memandang
kepada Amani menyampaikan isyarat ajak
ikut sekali. Amani tersenyum lalu menganggukkan kepalanya.
“Hei!
Kau buat apa tu Danial?” tegur Hazim bila dia melihatkan Danial sedang menconteng sesuatu di atas
kertas. Mereka berlima terus menumpukan perhatian kepada Danial yang sedang
melukis gambar sebuah motor berkuasa tinggi. Mereka semua kagum dengan
kecantikan lukisan itu.
“Ini
aku belajar dari Hakimlah ni, seronok tau bila melukis ni. Dapat macam satu
kepuasaanlah orang kata! Alangkah bagusnya kalau lukisan aku ni boleh
bertukar menjadi real,” Danial
merenung lukisannya.
“Jadi
kau patut panggil aku sifu..tau!” Hakim mengusik Danial.
“Baik
sifu Hakim. Nanti bolehlah saya menghantar lukisan saya ni ke majalah G3 macam kau.,” Danial menambah. Kawan-kawan yang lain ketawa memberikan
sokongan.