“MAMA tak benarkan! Jangan
pergi!” ujar Puan Jalina memberi amaran keras.
Hatinya risau sangat-sangat apabila anak daranya
menyuarakan hasrat hendak pergi mencari tunangnya di Kampung Nilam Setia.
“Kenapa tak boleh pergi pulak?” tanya Amani Sofea,
sebiji macam kanak-kanak berumur 12 tahun dengan suara merayu.
Wajahnya terpamer rasa kecewa yang teramat sangat.
Keningnya berkerut. Tangannya menarik-narik kain lapik meja berwarna merah
jambu itu. Habis terburai benang-benang berkait tepi kain itu. Hatinya mula meruap
rasa panas. Dia kecewa dengan keputusan Puan Jalina.
“Mama kata jangan pergi, jangan pergilah!” ulang Puan
Jalina lagi.
Kali ini suara Puan Jalina kedengaran tegas. Tiada
kata dua lagi. Puan Jalina masih menganggap Amani Sofea bagaikan anak-anak kecil.
Perlu pengawasan dan perhatian. Dia terlupa agaknya yang anak daranya tu bakal
menjadi isteri orang.
“Tapi, ma...” ujar Amani Sofea cuba merayu.
Air matanya mula berguguran. Pipinya basah dan hujung
anak rambutnya turut basah dek air matanya. Anak matanya memandang wajah Puan
Jalina lembut seolah-olah merayu. Namun Puan Jalina tetap keras hati. Tidak
mengizinkan Amani Sofea pergi. Dia tidak rela berpisah dengan anak gadisnya
itu.
“Amani cuma nak cari Zafrizan, tu pun tak boleh,”
rungut Amani dengan nada perlahan.
“Ya mama faham. Tapi takkan Amani nak pergi seorang?”
ujar Puan Jalina risau.
“Ma, Amani dah dewasa. Dah masuk 26 tahun. Bukan
anak-anak lagi.”
Sebenarnya, Puan Jalina risaukan keselamatan anak
daranya itu. Bukannya dia tidak pernah berjauhan tapi kali ini tujuannya lain.
Seorang diri mencari Zafrizan. Apatah lagi di Kampung Nilam Setia. Kampung yang
belum pernah diterokai. Dahlah tempatnya jauh.
“Amani tu perempuan. Biarlah pihak berkuasa saja yang
uruskan. Dahlah tu, Amani. Mama tak nak dengar lagi pasal perkara
ni.”
Keputusan Puan Jalina muktamad. Dia tidak mahu Amani
Sofea menurut kata hatinya.
“Mama, janganlah risau. Amani akan jaga diri dengan
baik. Amani nak sertai pihak polis mencari Zafrizan dan kawan-kawannya,” jelas
Amani Sofea, masih cuba memujuk.
“Mama tetap tak benarkan.”
“Ma, kalau Amani hanya duduk kat sini, macam mana
Amani nak tahu perkembangan pencarian mereka. Kalau Amani ada kat sana,
sekurang-kurangnya pihak polis akan meningkatkan lagi usaha mencari. Sebab ada
orang yang tunggu, kan?”
Amani Sofea cuba memberikan alasan-alasan yang
munasabah. Dalam hati, Amani Sofea berdoa agar ALLAH melembutkan hati mamanya.
Dia memang hendak pergi. Hatinya tidak akan tenang selagi dia tidak pergi dan
lihat sendiri tempat itu.
Dadanya berombak laju. Sedih dan geram bercampur di
dalam hati. Wajah Zafrizan bermain di layar minda. Saat itu serta-merta
terpampang wajah Zafrizan yang kelihatan sugul dan kusut masai. Bertambah parah
perasaan Amani Sofea dibuatnya.
“Hisy, budak ni! Degil betul!” jegil Puan Jalina
memandang wajah Amani Sofea.
Kesabarannya sudah sampai ke puncak. Sayur kacang
panjang yang sedang dipegang dihempas kasar di atas meja. Pisau di tangan
dituding ke arah wajah Amani Sofea. Mujurlah jarak antara dua beranak itu jauh.
“Mama kata, tak boleh! Tak boleh! Tak faham-faham ke!”
Bulat mata Puan Jalina. Dia tidak pernah marahkan anak
gadisnya macam itu sekali. Namun kedegilan Amani Sofea kali ini benar-benar
telah memecahkan tembok kesabarannya.
Kreeek! Kedengaran bunyi kerusi ditolak kasar. Amani
Sofea sudah hilang di sebalik dinding dapur. Dia melangkah keluar dari dapur
dengan esak tangis yang kuat. Papanya, Encik Yakob yang lalu di sebelahnya
tidak dihiraukan.
“Kenapa ni?” tanya Encik Yakob dengan nada lembut.
Anak matanya mengiringi kelibat Amani Sofea pergi dari
situ. Kemudian dia mengalihkan pandangan ke arah Puan Jalina yang sedang
merenung sayur di dalam mangkuk hijau. Rasa kesal mula bertamu dalam hati
wanita separuh umur itu. Sepasang matanya redup dan tidak bermaya bagai hilang
sudah cahaya keceriaan.
“Degil betullah anak awak tu! Dia nak jugak pergi ke
kampung tu cari Zafrizan,” beritahu Puan Jalina.
Encik Yakob menggeleng-geleng beberapa kali. Puan
Jalina terus menyambung kembali memotong sayur yang tergendala tadi. Encik
Yakob kemudian menarik kerusi yang diduduki Amani Sofea. Dengan tenang dia
melabuhkan punggungnya.
“Biarkanlah budak tu pergi. Awak tahan-tahan buat apa?
Dia bukannya pergi seorang. Tak beraninya dia seorang-seorang masuk hutan tu
mencari Zafrizan. Dia akan ikut anggota polis jugak nanti.”
“Alah! Awak tu memang. Semuanya nak diturutkan
kehendak Amani tu. Abang, Amani tu seorang aje anak perempuan kita. Kalau
apa-apa terjadi, mana ada lagi galang gantinya?” bebel Puan Jalina.
Saat ini hati Puan Jalina benar-benar terasa berat dan
mengkal macam ada batu yang besar mendiami hatinya.
“Saya tahu, Amani tu sayangkan tunangnya. Kalau kita
di tempat dia pun...”
Puan Jalina tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia
tiba-tiba sebak. Siapalah yang tidak sayangkan anak dan bakal menantu.
“Kalau saya, saya bagi aje Amani tu pergi. Saya
bimbang kalau ditahan-tahan nanti, jadi ke lain pulak budak tu. Kasihan saya
tengok. Awak tak kasihan ke?” tanya Encik Yakob.
Puan Jalina mengeluh berat.
“Mujurlah Amani nak beritahu awak. Dibuatnya pergi
senyap-senyap, hah, padan muka awak.”
“Eh? Awak ugut saya ke?” ujar Puan Jalina.
Encik Yakob sekadar tersenyum sahaja. Dia sengaja
memasang jerat agar Puan Jalina tidak terlalu mengunci pergerakan Amani Sofea.
Biarlah Amani Sofea buat keputusan sendiri. Belajar mengharungi ujian dengan
hasil usaha sendiri. Umur Amani Sofea pun sudah matang.
Nak jadi isteri orang dah pun. Takkan Puan Jalina
sudah lupa? Biarlah Amani Sofea belajar kuatkan semangat mengharungi kehidupan
yang penuh dengan pancaroba dan ujian ini dengan cara dia sendiri. Bukan
saja-saja dia hendak berikan anak gadisnya tu pergi. Tetapi untuk belajar
mengendalikan kehidupan pada masa akan datang. Itulah harapan Encik Yakob
sebenarnya.
“Bagi ajelah Amani cari tunang dia sekejap,” cadang
Encik Yakop lagi.
Dia berasa cukup rimas dengan suasana rumah sekarang
ni. Sana-sini asyik nampak muka Puan Jalina dan Amani Sofea yang layu dan
bermasalah sahaja. Paling dia kesal ialah Amani Sofea asyik termenung dan
memencilkan diri di dalam bilik setiap masa. Makan dan minum terabai walaupun
mereka duduk serumah. Anak daranya asyik nak merajuk saja dengan mamanya. Tak
selesa betul!
“Hei abang ni! Mana boleh. Dia tu perempuan. Biarlah
anggota polis yang selesaikan. Kita kat sini tunggu dan doa banyak-banyak. Mak
ayah Zafrizan sendiri pun, tak ke sana menunggu anaknya!”
Puan Jalina berasa panik dengan cadangan Encik Yakob.
Tanpa sedar, suaranya nyaring melempiaskan rasa tak senang tanpa rasa bersalah.
“Hisy! Tak faham betullah saya dengan orang perempuan
ni. Sayangkan anak tu, sayang jugaklah. Tapi janganlah sampai teruk sangat
macam ni,” ujar Encik Yakob mula hilang sabar.
“Saya pun sayangkan anak saya tu jugak,” sambung Puan
Jalina lagi. Kali ini nada suaranya mula mengendur.
“Awak berilah tempoh. Tiga hari ke? Seminggu ke? Untuk
cari tunang dia tu,” cadang Encik Yakob lagi.
Perbualan suami isteri itu dalam diam-diam telah
didengari Amani Sofia. Rasa pedih menusuk hati kalbunya ketika Puan Jalina
menuturkan kata-kata itu.
Sampai hati mama cakap macam tu. Kasihan Zafrizan!
Walau macam mana pun aku mesti cari jalan untuk pergi ke sana, desis hatinya.
Malam itu Amani Sofea makan malam bersama keluarga.
Sejak Zafrizan dilaporkan hilang, Amani Sofea jarang balik awal untuk makan
bersama keluarga. Dia akan balik lambat dari butiknya atau mengurungkan diri
saja di dalam bilik.
Sudah sebulan Amani Sofea berkeadaan begitu. Matanya
pun sudah sembab. Asyik basah dengan air mata saja. Walaupun Amani Sofea tiada
berbunyi di meja makan namun Puan Jalina sudah cukup puas hati dapat melihat
perubahan Amani Sofea.
Sedikit demi sedikit keadaan Amani Sofea semakin
pulih. Namun tidak sebecok seperti dulu. Bila bercakap seperti ditapis-tapis
pula dan dia lebih banyak tersenyum dari berkata-kata. Sebenarnya, dia sudah
ada rancangan sendiri. Hanya dia dan dirinya sahaja yang tahu.