LAMPU kereta Sedan kelabu itu
masih terpasang. Enjin sudah lama dimatikan. Empat orang remaja yang berada di
dalam kereta itu memandang antara satu sama lain. Tidak berani bersuara.
Suasana di hadapan mereka gelap-gelita. Mereka datang
di situ semata-mata hendak memenuhi cabaran kawan-kawan kolej mereka. Hendak
buktikan yang mereka berani menghadapi apa sahaja rintangan.
Kebetulan kelab sukan kolej mereka membuat lawatan
sambil belajar ke kawasan berdekatan hutan ini. Inilah peluang yang
ditunggu-tunggu. Bila lagi nak berasa bebas. Asyik dikongkong pensyarah saja.
“Kita nak keluar kereta ke tak?” tanya Vincent yang
bercermin mata.
Renik-renik peluh sudah mula memercik di dahi Vincent.
Perasaan gugup mula terasa.
“Huh, gelapnya kat luar tu,” jawab Rajan.
Rajan tidak berani keluar. Terasa kepala lututnya
menggeletar. Karim yang duduk di sebelah hanya senyap tanpa sebarang reaksi.
Suasana di dalam kereta itu kembali sunyi. Tidak
seorang pun bersuara. Hanya kedengaran dengusan nafas masing-masing.
“Wei! Kita nak buat apa kat sini? Berapa lama kita nak
tunggu?” Saiful mula bersuara.
Karim yang memandu kereta itu hanya membisu. Matanya
tidak berkelip memandang sesuatu di hadapan. Dia nampak cahaya hijau melayang
dalam kegelapan itu. Renungannya menjadi tajam. Cuba fokus apakah cahaya hijau
itu? Antara nampak dan tak nampak.
Cahaya hijau itu seperti menari-nari di celah
daun-daun pokok hutan itu. Rajan yang duduk di sebelah Karim menyiku lengannya
tiba-tiba. Karim terkejut. Hilang sekejap semangat jantannya.
“Kau ni kenapa? Ada jugak yang kena humban keluar kereta ni kang,” marah Karim.
Konsentrasinya hilang. Dia berpaling ke arah depan
semula sambil menjeling Rajan yang sedang tersengih.
“Sorrylah, kau terkejut ke? Aku bukan apa,
tiba-tiba kau tu tegak macam batu. Langsung tak bergerak-gerak. Risaulah aku.
Suspenkan orang ajelah kau ni. Ingatkan dah mati keras tadi,” jelas Rajan,
turut mengalihkan pandangan ke arah depan.
“Kau nampak apa kat depan tu, Rim. Khusyuk nampak?”
Rajan cuba meninjau apakah ‘benda’ yang telah
membuatkan kawannya itu begitu leka sekali. Karim masih diam. Dia tidak
mengendahkan langsung soalan Rajan.
“Cent, kau jangan terkucil dalam kereta bapak aku ni
pulak,” ujar Karim memberi amaran.
“Eh, Rim, mana ada aku nak terkucil? Cuma aku rasa tak
sedap hatilah!” ucap Vincent tiba-tiba.
“Alah, jangan cakap macam tu, Cent! Kita lelaki. Mesti
berani tau,” celah Saiful.
“Habis kita nak buat apa ni? Hari semakin larut
malam,” sampuk Rajan pula.
“Kita patah balik ajelah,” cadang Vincent, perasaan
takutnya sudah mula menguasai diri.
Tanpa sedar,
Vincent sudah mula menggoyangkan sebelah kakinya. Cermin matanya pula
dibetulkan kedudukannya yang sudah mula meluncur dari batang hidungnya yang tak
berapa mancung itu.
“Kau memang takkan mengaku tetapi ‘ketakutan’ kau tak
dapat nak sorok lagi. Tengok tu, kaki kau dah bergoyang laju. Mahu sampai Kuala
Lumpur kalau kau lepaskan kaki kau tu pergi,” perli Karim di dalam keadaan
samar-samar gelap itu.
Saiful melemparkan pandangan ke luar tingkap. Hanya
kegelapan saja yang jelas kelihatan.
“Kau nampak tak apa yang aku nampak, Rajan?” tanya
Karim cuba menguji penglihatan Rajan yang duduk di sebelahnya.
Dia hendak kepastian. Atau dia yang tersalah
pandang. Betul ke ada cahaya hijau di
pucuk daun-daun pokok sekarang ni? Kadang-kadang penglihatan mata boleh menipu,
lebih-lebih lagi dalam keadaan gelap begini.
Soalan Karim itu tidak dijawab segera. Rajan
mengarahkan pandangannya ke hadapan. Mencari apa yang dimaksudkan Karim.
“Apa yang kau nampak?” tanya Rajan.
Di kepala Rajan hanya andaian yang buruk-buruk saja
mengaburi fikirannya. Terbayang kemunculan ‘hantu’ atau makhluk yang aneh-aneh
macam dalam cerita ‘Alien’ yang pernah ditonton di panggung wayang dulu. Memang
dahsyat dan mengerikan. Hatinya berdebar kencang.
Kalaulah ‘Alien Predator’ tiba-tiba muncul di hadapan
kereta mereka, apa patut dia buat? Imaginasi Rajan mula menerawang jauh dan
membayangkan sesuatu yang tidak mungkin ada kewarasannya.
“Haah, apa yang kau nampak?” sampuk Saiful.
“Betul kau tak nampak apa-apa, Rajan?”
“Betul aku tak nampak apa-apa pun. Gelap adalah!”
“Apa yang kau nampak, Rim?” tanya Saiful ingin
kepastian.
“Tak ada apa-apalah. Mungkin imaginasi aku aje,”
beritahu Karim, tidak mahu kawan-kawannya berasa takut.
Rajan, Saiful dan Vincent berasa lega mendengar
pengakuan Karim. Enjin kereta dihidupkan kembali. Mereka bercadang berpatah
balik.