Home Novel Cinta AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
AKU TAK SUKA KAU! (NINA/ISKANDAR)
EMY RUSLI
16/6/2015 14:32:30
88,025
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 5
Jom terjah NINA/ISKANDAR sekali lagi.
Kalau nak tahu cerita sebenar, jangan lokek tekan bab 1 dulu. Barulah dapat tahu "hal ehwal" sebenar NINA/ISKANDAR.

Episod kali ini dan seterusnya pasti akan terus "membako" jiwa dann raga kalian.
Teruskan menyokong dan mengikuti perkembangan NINA dan ISKANDAR.

Ha, episod kali ini juga anda dapat belajar lorat KLATE. Yalah, keseluruhan cerita ini berlaku di Klate. Maklumlah, Nina dan Iskandar ni memang anak jati klate.

Nak tahu apa sebenarnya yang akan terjadi? Jom baca jangan segan-segan...:-)


-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

"IS!” Tan Sri Shahril yang sedang duduk di buaian memanggil pemandu peribadinya apabila melihat kelibat Iskandar di hujung sana.

Sebaik sahaja mendengar suara majikan memanggil namanya, Iskandar terus mencari suara itu. Tan Sri Shahril menggamitnya. Tanpa berlengah, dia terus berjalan ke arah Tan Sri Shahril yang sedang memegang sebuah buku. Iskandar tahu, Tan Sri Shahril orang yang suka membaca. Semua buku akan ditelaahnya.

Iskandar sudah pun menghampiri Tan Sri Shahril.

Tan Sri, ado gapo hok buleh sayo tulong?” (“Tan Sri, ada apa yang boleh saya tolong?”) tanya Iskandar penuh hormat.

Tan Sri Shahril membalas dengan senyuman sebelum memulakan bicara.

Awok sibuk ko?” (“Awak sibuk ke?”) soal Tan Sri Shahril ramah dan memandang tepat wajah bersih di depannya ini.

Kali ini Iskandar pula tersenyum.

Err... takdoklah sibuk sangat, Tan Sri. Tadi sayo dok ngemas rumoh tetamu tu,” (Err... tak adalah sibuk sangat, Tan Sri. Tadi saya sedang mengemas rumah tetamu,”) jawab Iskandar sejujurnya.

Siap doh ko ngemas?” (“Dah siap mengemas?”) tanya Tan Sri Shahril lagi.

Matanya tidak beralih dari melihat wajah putih bersih yang dimiliki oleh pemandunya ini. Entahlah, pertama kali dia melihat anak muda ini, hatinya menjadi tenang. Mungkin kerana perwatakan sopan santun dan budi bahasa Iskandar menarik perhatiannya.

Iskandar mengangguk laju.

“Siap doh, Tan Sri. Sayo kemas blako doh. Pahtu gak sayo nok gi masjid. Nok masuk asar doh ni.” (“Dah, Tan Sri. Semua saya dah kemas. Cuma sekarang ni saya nak ke masjid. Sekejap lagi nak masuk asar.”)

Kali ini Tan Sri Shahril pula mengangguk.

“Saya perhatikan awak selalu solat di masjid. Kenapa tak solat di rumah aje? Rumah saya ini pun ada bilik khas untuk solat. Memang saya sediakan untuk pekerja saya termasuk awak, Is.”

“Hmm... bukan saya tak nak solat di rumah, Tan Sri. Cuma saya lebih senang solat di masjid. Lagi pula orang lelaki digalakkan untuk solat berjemaah di masjid. Lagi besar pahalanya, Tan Sri.”

Penuh hormat Iskandar membalas kata-kata majikannya ini. Tan Sri Shahril mengangguk tanda faham.

‘Bagus betul Is. Aku tak kuat untuk jadi sepertinya,’ bisik Tan Sri Shahril sambil termenung jauh.

Sepatutnya di usia mudalah kita kena banyak mendekatkan diri dengan ALLAH kerana di waktu itu tubuh badan kita masih sihat. Bukannya di hujung usia baru hendak melakukan amal ibadat.

“Sebenarnya ada satu perkara saya nak beritahu awak,Is.”

Tan Sri Shahril mula bersuara. Ada satu hasrat yang ingin disampaikan kepada anak muda ini.

“Macam penting aje, Tan Sri...”

Iskandar mula tidak sedap hati. Dia memandang majikannya itu yang semakin dimamah usia.

Tan Sri Shahril menghembus lembut nafasnya dan memandang tepat pada Iskandar.

“Saya berhajat nak ajak awak tinggal kat sini, Is. Maksud saya di rumah belakang tu yang awak bersihkan tadi.”

Iskandar terdiam. Membiarkan Tan Sri Shahril terus berkata-kata.

“Rumah tu dah lama terbiar, Is. Sekurang-kurangnya bila ada orang tinggal di situ, boleh jugak awak tengokkan. Lagi pula saya memang memerlukan seseorang untuk jaga Villa ini di waktu malam.”

Iskandar masih lagi seperti tadi. Terkejut juga dengan permintaan majikannya ini.

“Macam mana Is? Awak setuju ke? Saya harap sangat awak terima permintaan saya ni. Awak buatlah rumah tu seperti rumah awak sendiri.”

Tan Sri Shahril terus memujuk lembut.

“Hmm... saya faham maksud Tan Sri tu, cuma buat masa sekarang saya tak boleh bagi jawapan. Lagi pula saya masih ada mak untuk dijaga. Mak saya pun bukan sihat sangat, Tan Sri. Saya jugak kena tengokkan mak saya.”

Tan Sri Shahril senyum seolah-olah akan mendapat jawapan positif daripada Iskandar.

“Itu awak tak perlu bimbang, Is. Awak boleh ajak mak awak tinggal bersama di sini. Lagipun rumah tu kosong. Sekurang-kurangnya bila ada orang tinggal di rumah tu, ada jugak serinya nanti. Tak adalah sunyi sangat,” kata Tan Sri Shahril.Dia amat berharap agar Iskandar menerima pelawaannya ini.

Iskandar mula tidak sedap hati. “Nanti apa pulak kata Puan Sri bila saya bawa mak saya bersama tinggal di sini.”

“Hisy... apa kena-mengena dengan Puan Sri pulak? Ini rumah saya dan saya ketua keluarga. Ini jugak arahan saya. Tak ada sesiapa yang boleh bangkang. Awak jangan risau tentang Puan Sri. Kalau ada apa-apa, awak maklumkan saja pada saya.”

“Hmm... insya-ALLAH, Tan Sri. Bagi saya sedikit masa. Biar saya bincang dulu dengan mak saya,” jawab Iskandar lembut.

“Kalau macam tu baguslah. Lagi cepat awak tinggal kat sini, lagi bagus. Lagi satu saya nak ingatkan awak, Is. Ahad minggu depan anak saya akan balik Malaysia. Dia dah tamat pengajian di Australia. Nanti awak jemput dia kat airportya.”

“Insya-ALLAH, Tan Sri.”

Tan Sri Shahril melihat jam di tangannya. Sekejap lagi azan asar akan berkumandang.

“Awak kata nak ke masjid, kan? Apa kata kalau saya ikut sekali?”

Tan Sri Shahril sudah bangun. Dia kelihatan begitu ceria dan bersemangat.

Iskandar yang tidak menyangka dengan tindakan majikannya ini turut sama bersemangat. Moga-moga pintu hati Tan Sri Shahril terus terbuka untuk ke rumah ALLAH. Alhamdulillah!


--------------------------------------------------------------------------------------

“MAK bukan tak nak ikut kamu tinggal di rumah Tan Sri tu Is, tapi mak rasa kekok. Mak dah biasa tinggal di rumah kita ni. Tiba-tiba nak duduk di rumah yang lebih selesa. Mak takut mak tak lena tidur nanti.”

Puan Leha meluahkan isi hatinya. Dia memandang wajah kacak anak lelakinya. Kelihatan Iskandar mengangguk tanda memahami isi hati emaknya. Kemudian dia memandang Puan Leha penuh kasih sayang. Kedutan di wajah tua ini menjadi perhatiannya.

“Tapi mak, Is tak nak tinggalkan mak sorang-sorang kat rumah ni. Kalau boleh Is nak bawa mak ke mana aje Is pergi. Lagipun Tan Sri yang ajak mak tinggal sekali di sana. Kalau apa-apa jadi pada mak kat sini, Is takkan maafkan diri Is, mak.”

Iskandar terus memujuk Puan Leha. Tangan emaknya dicapai dan digosok lembut. Dia mengharapkan jawapan positif daripada emaknya. Jika Puan Leha tidak bersetuju untuk mengikutnya, terpaksalah dia menolak permintaan Tan Sri Shahril itu. Walau apapun yang terjadi, tidak sesekali Iskandar meninggalkan emaknya. Puan Leha adalah syurga baginya!

“Rumah yang kita duduk nanti tu belakang rumah Tan Sri, mak. Rumah tu dah lama kosong. Semua kelengkapan dah ada. Tan Sri tak nak rumah rehat tu terbiar kosong. Sekurang-kurangnya bila kita tinggal kat situ, kita boleh tengok-tengokkan rumah tu. Lagipun Tan Sri mintak Is tengokkan sekali Villa tu.”

Puan Leha diam seketika sebelum menyambung bicara. “Habis bila kita tinggal di sana nanti, rumah ni macam mana pulak?”

Kali ini Iskandar tersenyum manis.

“Itu mak jangan risau. Ini kan rumah peninggalan arwah ayah. Sesekali kita baliklah sini. Mak ikut Is, ya?”

Lama berfikir barulah Puan Leha bersuara.

“Kalau macam tu, yalah. Mak ikut.”

Iskandar tersenyum meleret.

“Alhamdulillah. Terima kasih mak.”

Iskandar terus mengucup tangan Puan Leha.

Puan Leha juga turut tersenyum seraya mengusap lembut rambut anaknya ini.

“Insya-ALLAH, lusa kita akan pindah ke rumah tu mak. Esok Is siap-siapkan dulu barang yang nak kita bawa nanti,” beritahu Iskandar dengan perasaan teruja. Pasti Tan Sri Shahril juga gembira dengan jawapan yang akan diberikan nanti.

“Jom kita makan mak. Is laparlah. Tak tahan dah nak makan yang mak masak.”

Iskandar mula bangun. Dia menarik perlahan tangan emaknya.

“Hisy kamu ni, macam dah bertahun tak makan masakan mak. Hari ni mak masak kari itik.”

“Wah, gulai itik! Mak ni macam tahu-tahu aje kegemaran Is. Kalau boleh hari-hari Is nak makan makanan dari air tangan mak. Mak kalau goreng telur pun Is boleh tambah dua pinggan nasi tau.”

Puan Leha tersenyum bahagia. Senang hatinya memiliki anak lelaki sebaik Iskandar. Kalaulah arwah suaminya masih ada, pasti suaminya bangga dengan anaknya ini.

Dengan kakinya yang tempang itu, Puan Leha berjalan beriringan dengan anaknya. Jelas terpamer kasih sayang di antara dua beranak itu.


----------------------------------------------------------------------------------------

ISKANDAR melihat jam di tangannya. Sudah satu jam dia menunggu kepulangan anak gadis Tan Sri Shahril di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa.

Nina Natasha dijangka tiba tepat pukul 4.30 petang, namun sehingga kini bayang gadis itu masih tidak kelihatan. Walaupun tidak pernah bersua muka dengan gadis itu, Tan Sri Shahril sudah memaklumkan kepada anaknya supaya terus ke kereta milik keluarga mereka.

Iskandar masih berada di dalam kereta. Azan asar berkumandang melalui corong radio. Tanpa menunggu lama, Iskandar terus mematikan enjin kereta dan menuju ke surau yang terletak di dalam kawasan airport. Dia mahu menunaikan solat asar terlebih dahulu. Moga-moga anak gadis majikannya akan tiba kemudian.

Nina berhenti betul-betul di depan BMW milik keluarganya. Dia mengintai-intai di dalam kereta itu. Mukanya berubah merah.

‘Mana pulak pergi pemandu papa ni? Hisy... papa cakap pemandu tu dah lama datang ke sini. Aishhh!’

Nina membebel di dalam hati. Geram pun ada. Sudahlah dia penat satu hari berada di dalam kapal terbang. Ada pemandu pula lembap! Kutuk Nina, bengang. Dia melihat beberapa bagasi yang berada di dalam troli.

“Sayang...”

Panggilan itu membuatkan Nina terus pusing belakang. Mukanya masam.

“Driver you tak datang lagi ke?” soal Izz Zhafran yang baru saja keluar dari tandas.

“Ni...” Nina menunjukkan BMW di depannya.

“Kereta ada, orangnya pulak tak ada. Hisy... I tak suka betullah menunggu orang. I dahlah penat. Ada pemandu pun lembap!” marah Nina berapi-api.

“Mungkin dia pergi tandas kot. Tak pun dia cari you kat dalam.” Suara Izz Zhafran lembut mahu memujuk buah hatinya itu.

“Manalah pergi orang tua ni! Eee... geram betullah!” bentak Nina. Sakit hatinya.

Izz Zhafran memandang wajah putih gebu di depannya ini.

“Jomlah naik dengan I. I hantar you sampai ke rumah. Driver I dah lama sampai.” Izz Zhafran memberi cadangan sambil tangannya memeluk bahu buah hatinya itu.

Nina masih bermasam muka. Dia memeluk tubuh. Orang ramai yang keluar masuk ke dalam airport tidak dipedulikan. Dia membiarkan saja Izz Zhafran mengusap bahunya. Dia tahu tunangnya itu amat mencintainya.

“Tak apalah. You baliklah, Izz. I nak tunggu driver I. I nak marah dia cukup-cukup! Dia tak tahu ke yang I ni anak Tan Sri? Hisy... I betul-betul tak boleh terimalah.”

Nina terus menghamburkan kemarahannya.

“Sabarlah sayang. Kejap lagi dia datanglah. Kereta pun dah ada kat sini. Confirm you tak nak I hantar you balik?”

Yes! You balik dulu.” Kali ini suara Nina sedikit reda, namun kemarahan di wajahnya masih jelas kelihatan.

Izz Zhafran menjongketkan bahunya.

“Kalau macam tu, I balik dulu. Apa-apa call I ya sayang. Love you!

Love you too,” balas Nina dengan senyuman terukir di bibirnya dan mata kedua-duanya bertaut seketika sebelum Izz Zhafran melangkah pergi.

Nina mengamati tubuh badan Izz Zhafran dari belakang yang semakin jauh meninggalkannya. Tidak sabar mahu hidup bersama lelaki itu.

“Assalamualaikum cik...”

Nina tersentak! Suara manusia yakni “orang tua” memberi salam jelas kedengaran di belakangnya. Nina terus pusing belakang.

Mata kedua-duanya saling bertentangan. Denyutan nadi kedua-duanya seolah-olah terhenti. Masing-masing kaku.

“Siapa kau?” Nina menyoal tegas. Matanya tajam merenung lelaki tinggi lampai di depannya itu.

“Err... saya Iskandar, pemandu keluarga Tan Sri Shahril. Ini Nina Natasha ke?”

Iskandar bertanya lembut dan matanya tidak berpaling dari melihat gadis cantik di depannya itu. Rupanya Nina jauh lebih cantik dari dalam gambar. Kulitnya putih melepak. Wajahnya tiada cacat cela. Semuanya sempurna tentang gadis ini.

“Ooo... kaulah pemandu keluarga aku, ya? Aku ingatkan orang tua nyanyuk yang jadi pemandu keluarga aku! Kau pergi mana hah? Dah satu jam aku tunggu kau kat sini! Kau ingat aku ni apa? Aku ni penat tau tak!”

Nina terus menghamburkan kemarahannya. Mukanya yang putih bersih menjadi kemerah-merahan. Iskandar melihat jam di tangannya. Rasanya tidak sampai sejam dia pergi menunaikan solat asar sebentar tadi. Iskandar tersenyum, lucu dengan gelagat anak majikannya ini.

“Yang kau senyum tu kenapa?” marah Nina lagi, tidak puas hati. Dia merenung tajam pada Iskandar.

“Maafkan saya, Cik Nina. Saya ke surau sebentar tadi, tu yang lambat sikit. Maafkan saya Cik Nina. Marilah kita balik.” Iskandar mengajak perlahan.

Nina masih seperti tadi. Kaku berdiri di situ.

“Kau tak nampak ke beg aku yang besar-besar gajah ni? Tak reti nak angkat ke atau buat-buat tak nampak? Kau tak pergi kursus untuk menjadi pemandu yang berkaliber ke?”

Nina mula melalut. Dia benar-benar marah terhadap lelaki ini.

“Maafkan saya Cik Nina. Saya memang nak angkat beg Cik Nina yang besar-besar gajah ni. Macam mana saya nak angkat beg ni kalau Cik Nina berdiri di depan,” beritahu Iskandar tanpa malu-malu.

Nina yang masam mencuka terus memberi laluan kepada pemandunya itu untuk mengangkat beg pakaiannya.

Satu per satu Iskandar mengangkat beg pakaian Nina dan dimasukkan ke dalam bonet kereta. Nina hanya memerhati perbuatan lelaki ini. Sakit hatinya!

“Jom Cik Nina kita balik sekarang,” jemput Iskandar sopan santun.

“Aku tahulah! Takkan aku nak tidur kat sini pulak!” jawab Nina agak bengis dan terus memasuki kereta.

Pintu kereta ditutup kuat. Iskandar yang masih berdiri di luar kereta tergeleng-geleng dengan sikap anak gadis majikannya itu.

Sepanjang perjalanan, kedua-duanya membisu. Sesekali Iskandar mencuri pandang pada si gadis cantik yang sudah lena tidur melalui cermin belakang kereta. Mungkin gadis ini kepenatan. Fikir Iskandar.


Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.