Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
110,247
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 9

SEBAIK sahaja nampak seorang lelaki berlari sambil tertoleh-toleh ke belakang dalam keadaan mencurigakan, Airel dah tahu. Ni mesti peragut! Tak teragak-agak, dia terus laju mengejar. Ditinggalkan Fizi yang tercengang-cengang. Dia kejar lelaki itu yang mencelah-celah masuk ke setiap lorong yang gelap.

Pandangan Airel tajam mengekori pergerakan lelaki itu. Dengan mudah dia berjaya mengejar dan menangkapnya. Ditarik bahu lelaki itu, lalu menumbuk tepat ke muka. Lelaki itu jatuh terlentang.

Airel menerkam pula lelaki itu. Leher lelaki itu dicekik dan bersedia mahu melayangkan sebiji lagi penumbuk.

“Kau tak ada kerja lain ke? Hah?! Sampai nak meragut orang? Miskin sangat ke kau?!” jerkahnya.

“Lepaskan saya, bang. Saya minta maaf. Saya janji tak buat lagi. Tolong, bang. Lepaskan saya.” Lelaki itu cuba melepaskan tangan Airel yang mencekik lehernya. Nafasnya sudah mencungap-cungap.

“Bagi balik beg yang kau ragut tadi. Bagi balik!” tengking Airel. Garang.

Ketika ini, barulah Fizi muncul sambil berlari menghampiri Airel. “Kenapa, bang? Dia meragut eh?”

“Meragutlah... apa lagi.” Airel menarik leher baju-T peragut itu. “Bangun! Bangun aku kata,” suruhnya.

Peragut itu bersusah payah berdiri sambil leher baju-Tnya masih dicekak Airel.

Fizi memerhati sambil bercekak pinggang. Dilepaskan lelah kerana berlari mengejar Airel tadi. Namun, tangannya sempat lagi mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg sandang yang dibawa. Dia merakam video kejadian yang berlaku di hadapannya ini.

“Ampunkan saya, bang. Jangan report polis, bang. Saya janji tak buat lagi. Sumpah! Sumpah, bang. Lepaskan saya.” Lelaki itu merayu-rayu dengan kedua-dua tangan ditekup isyarat meminta maaf. Mukanya cuak seperti mahu menangis.

“Kau ni terdesak sangat ke? Sampai meragut tak kira tempat. Ada tangan, ada kaki... muda lagi. Kerjalah! Buat apa meragut?” Marah sungguh Airel. Dia bengang dengan manusia yang nak duit cara senang macam ni.

“Ya, bang... ya...” Suara peragut itu bergetar.

“Mana beg yang kau ragut tadi? Bak sini.”

Peragut itu menyeluk poket belakang seluarnya. Dompet yang diragutnya itu diserahkan kepada Airel.

Airel melepaskan cengkamannya di leher baju peragut itu. Dompet itu diambil, lalu membuka isinya. Terkejut dia melihat dompet itu kosong. “Mana pergi duit dalam wallet ni? Kau sembunyi kat mana? Cakap!” Dicekak semula leher baju-T lelaki itu.

“Tak... tak... saya tak... tak... ambil duit dia. Sumpah!” Sampai tergagap-gagap peragut itu kerana ketakutan.

Airel menampar pipi lelaki itu. “Kau ingat aku nak percaya cakap kau?”

“Sumpah, bang...” Lelaki itu mula menangis.

Airel menampar sebelah lagi pipi peragut itu. “Kau jangan nak temberang akulah! Kau ingat aku tak tahu taktik peragut macam kau ni?”

“Betul, bang. Sumpah saya tak ambil duit dia. Saya ambil wallet dia je. Tak sempat nak buka pun. Sumpah, bang...” Esakan lelaki itu kedengaran kuat.

“Ah, aku tak percaya!” Airel meraba-raba poket seluar jeans lelaki itu. Tak puas hati, ditanggalkan kasut sneakers lelaki itu pula. Tapi langsung tiada apa-apa.

“Ni mesti kau sempat sorok kat mana-mana ni. Baik kau cakap. Kalau tak, makan penumbuk aku lagi kau ni.” Airel mendesak.

“Saya tak tipu. Sumpah...” rayu peragut itu bersungguh-sungguh supaya Airel percaya cakapnya.

Airel memandang lelaki itu dari atas hingga ke bawah.

Fizi masih merakam video. Dia tak nak menyampuk apa-apa. Dibiarkan Airel selesaikan sendiri.

“Buka baju kau,” arah Airel.

Lelaki itu berkerut cuak memandang Airel.

“Buka seluar sekali. Bogel.”

“Janganlah macam ni, bang. Saya tak sorok duit tu dalam seluar saya pun.” Peragut itu menangis semula. Dikerling Fizi yang sedang merakam wajahnya.

“Aku cakap buka, buka jelah!” tegas Airel serius. Dia berdiri sambil berpeluk tubuh.

Takut dibelasah, diturutkan saja permintaan Airel itu. Sambil menyeka air mata, perlahan-lahan dia membuka butang seluar jeansnya. Zipnya juga dibuka. Dia sudah bersedia mahu melurutkan seluarnya ke bawah.

“Dah, dah. Tak payah buka.” Airel menahan.

Peragut itu memandang Airel dengan riak takut.

“Aku saja nak tengok reaksi kau. Kalau kau sorok duit kat seluar dalam kau, mesti kau dah keluarkan duit tu awal-awal.” Airel guna psikologi untuk mengetahui sama ada peragut itu bercakap benar atau menipu.

Peragut itu memakai semula seluarnya. Teresak-esak dia menangis.

“Kali ni aku lepaskan kau. Tapi kalau aku dapat tahu kau meragut lagi, nahaslah kau. Muka kau dah kena record ni memang sampai hujung dunia kau tak boleh lari. Bagi IC.” Airel hulur tangan.

“Saya tak bawa, bang.”

Airel tahu peragut itu tak membawa dompetnya langsung. “Berapa nombor IC kau? Sebut kuat-kuat depan kamera tu.” Ditunjuk ke arah Fizi.

Peragut itu hanya menurut. Disebut nombor kad pengenalannya satu per satu.

“Dah, berambus.” Airel melepaskan lelaki itu. Dia harap, kejadian ini menginsafkan lelaki itu.

Lelaki itu beredar pergi sambil menyeka air mata dengan tapak tangan. Kedengaran esakannya.

Sekali lagi Airel melihat dompet yang lusuh di tangannya. Jangan kata duit kertas, duit syiling pun tak ada. Tanpa berfikir panjang, dia mengeluarkan wang RM50 dari dompetnya. Dimasukkan ke dalam dompet lusuh tadi.

“Jom kita pulangkan wallet tu, bang.” Fizi mengajak. Dia masih merakam video.

“Rasanya, tuan punya wallet ni kat dataran. Sebab lelaki tu lari dari arah dataran tadi. Mungkin dia tengah tunggu kita. Jomlah...” 

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.