Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
110,116
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 21

SEMALAMAN tidurnya sangat nyenyak. Tengah hari baru Intan terjaga daripada lena. Sungguh nyaman dan selesa dia tidur dalam bilik berhawa dingin itu. Rasa penat, sedih, gundah-gulana dan lara selama dia berada di Kuala Lumpur, seakan larut dalam lenanya yang panjang itu.

Barulah dia dapat mandi sepuas-puasnya. Rambut yang berhari-hari tak berbasuh, wangi semula. Pakaian yang dipakai berhari-hari tak bertukar juga dibasuh. Digunakan saja sabun mandi yang hotel sediakan di dalam bilik air itu.

Selesai mandi, barulah terasa perutnya kelaparan. Dengan rambut berlilit dengan tuala, dia duduk bersila di atas katil. Roti dari dalam beg dikeluarkan. Terpandang sebungkus roti yang dibelikan untuk anak-anak Lina.

Dia terbayang wanita itu bersama dua orang anaknya. Apalah agaknya yang mereka makan pagi tadi? Mungkin nanti dia akan ke bawah jambatan itu memberikan roti tersebut kepada mereka.

Intan membuka bungkusan roti yang lain. Sebuku roti berinti kaya dimakannya. Dari sebuku, dia makan sebuku lagi. Kemudian sebuku lagi. Dia kelaparan sungguh. Mungkin kerana sejuk atau keadaan selepas lama dia di dalam bilik air membuatkan dia sangat lapar.

Air mineral diteguk sesekali. Tapi dia masih lapar. Sebuku lagi roti terakhir di dalam begnya itu dimakan sehingga habis. Dia akan membeli roti sebentar nanti. Lalu, dia mengeluarkan stoking hitam dari beg. Duit yang berbaki di dalam stoking itu dikira. Wang yang tinggal hanya RM13.40.

Intan berkira-kira. Dia perlu beli roti dan air mineral lagi. Duit yang tinggal memungkinkan dia bertahan untuk dua hari saja. Dan selepas itu, mana dia nak dapat duit? Dia perlu makan dan minum.

Serta-merta dia berasa kenyang. Padahal tadi, dia masih mahu makan. Dia berkeluh panjang. Lama dia diam berfikir. Direbahkan diri di atas katil dengan lemah. Siling bilik itu dipandang kekosongan.

“Aku kena cari kerja,” fikirnya berbolak-balik.

“Tapi bila aku cari kerja nanti, macam mana kalau ayah datang cari aku?” Dia mengeluh lemah. Serabut akalnya.

Mengenangkan Jazadin, dengan mudah matanya bergenangan. Sudah hampir seminggu, Jazadin masih tak muncul-muncul. Betapa risaunya dia mengenangkan ayahnya itu. Entah apa yang jadi Jazadin di Kedah. Tiada langsung cara untuk dia berhubung. Lalu, gugur air matanya.

Dia bingkas bangun semula. Walau macam manapun, dia mesti kena kerja! Demi kelangsungan hidupnya di kota raya ini, apa-apa kerja pun dia sanggup buat. Lantas dia turun dari katil. Dia mahu bersiap-siap.


-----------------------

 

TELEFON bimbit yang berbunyi di tempat duduk sebelah Airel jenguk sebentar. Melihat nama yang tertera di skrin, lekas-lekas dia menyambutnya dan menekan speaker. Dia kembali fokus pada pemanduan.

“Ya, mama...”

“Airel, Airel kat mana?” Wanifah terus bertanya.

“Tengah drive. Kenapa, ma?”

“Nak ke mana?”

“Baru habis mengajar kat Bandar Baru Sentul ni. Nak balik ke studio pulak.” Sambil menjawab, Airel terasa pelik dengan soalan mamanya itu.

“Nak suruh ambilkan Aariz dengan Harraz kat sekolah. Budak berdua tu balik lambat hari ni. Mama kejap lagi kena pergi rumah Datin Fuziyah. Ada hal nak bincang pasal persatuan.”

“Ohh... okey.” Alang-alang sudah berada di jalan raya, terus Airel mengambil jalan untuk menuju ke Jalan Bukit Nenas.

“Malam tadi Midah beritahu mama, Airel balik pukul 2.00 lebih. Kenapa balik lambat sangat?” Wanifah menukar topik pula. Pagi tadi tak sempat dia nak bertanya kerana Airel keluar awal.

“Airel hantar Roza balik. Lepas tu mak uda ajak makan kat rumah dia. Dah makan, dah borak-borak dengan pak uda... memang lamalah.” Airel tertawa dengan ceritanya sendiri.

“Mak uda Airel tu cakap dengan mama, pukul 10.30 Airel dah balik. Takkanlah dari Ampang ke Impian Bukit Tunku lama sangat. Pukul 2.00 pagi baru sampai.” Nada Wanifah berubah curiga.

“Mama ni... Airel tak habis cerita lagi tadi. Lepas balik dari rumah mak uda, Airel jumpa kawan pulak. Dia ada masalah. Tolong dialah malam tadi. Tu yang balik lambat tu.”

“Ya ke ni?”

“Ya, mama... nak tipu buat apa? Bukan ke tadi mama kata nak pergi rumah Datin Fuziyah. Tak jadi pergi ke?” soal Airel melencongkan topik perbualan. Dia sebenarnya tak mahu lagi bercerita tentang malam tadi.

“Nak pergilah ni. Okey, okey... drive safely.”

“Okey. Bye, ma.” Talian diputuskan.

Airel teringatkan Intan. Buat masa sekarang, dia tak rasa mahu bercerita hal Intan pada mamanya. Sebab dia sendiri pun belum tahu tentang Intan yang sebenar-benarnya. Banyak yang dia kena tanya pada gadis itu. Nak harap Intan sendiri bercerita tentang masalah dan kehidupannya, dalam mimpi pun belum tentu lagi.


-------------------------

 

OLEH kerana baju kemeja lengan panjang Intan basah dibasuh, dia hanya memakai baju-T warna hitam dan berseluar slack juga berwarna hitam. Lengannya yang luka-luka terdedah. Mujur luka-lukanya sudah beransur kering setelah disapu dengan minyak gamat pemberian Airel. Tapi tetap nampak buruk.

Dia tak peduli. Dia tetap mahu mencari kerja. Dari hotel, dia berjalan dari satu bangunan ke satu bangunan. Setiap kedai yang ada dia masuk bertanyakan tentang kerja kosong. Semuanya menggeleng.

Dan dia perasan pandangan mereka terhadapnya yang berpakaian selekeh. Dengan topi lusuh yang dipakai dan ditambah pula dengan luka-luka di lengannya. Mereka seolah-olah memandang serong padanya. Dah hampir dua jam dia berpusing di tengah-tengah Kuala Lumpur. Tapi dia tak putus asa. Dia tetap bertanya dan bertanya di setiap kedai.

Sehinggalah dia tiba di sebuah kedai runcit. Terus dia bertanya di kaunter bayaran.

“Helo, uncle...” tegurnya pada lelaki Cina yang sudah berusia itu. “Sini ada kerja kosong ke?”

“Kau mahu kerja ke?” soal tauke kedai itu kembali.

Cepat-cepat Intan mengangguk.

Tauke itu memandang Intan ragu-ragu. “Kalau kau mahu kerja sini, aku bayar RM10 satu hari.”

“Boleh, boleh!” Terus Intan bersetuju sambil mengangguk-angguk. “Boleh saya kerja sekarang?”

Previous: BAB 20
Next: BAB 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.