Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
110,237
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 23

PUKUL 7.00 pagi Intan sudah keluar dari hotel mahu ke kedai runcit itu. Bersemangat dia nak kerja. Hari ini, dia memakai kemeja lengan panjang. Tak mahu luka-luka di tangannya menjadi tontonan mata yang merasa geli melihatnya.

Pagi-pagi begini, kota raya ini sudah mula banyak kenderaan. Tapi banyak kedai yang belum dibuka. Hanya kedai makan saja yang dibuka awal pagi. Dia sudah makan roti dan minum air mineral di hotel tadi. Harap-harap kenyang sampai ke tengah hari.

Sambil menyandang beg yang biasa dibawa, dia melalui ruang kaki lima dari satu bangunan ke satu bangunan. Sepanjang jalan matanya meliar memandang andai ada kertas-kertas iklan ditampal di dinding-dinding atau pintu kedai.

Dia mahu mencari lagi peluang pekerjaan untuknya. Semua iklan yang dia jumpa, semua diambilnya tanpa berfikir. Sehinggalah dia jumpa iklan untuk kerja separuh masa. Dibaca iklan itu dengan riak teruja. Dia sudah tak sabar!


--------------------

 

TENGAH HARI itu ketika waktu rehat yang cuma 30 minit, Intan berlari menuju ke tempat yang ingin dituju sejak pagi tadi. Dengan nafas sedikit mencungap dia melangkah masuk ke dalam sebuah kedai menjual telefon bimbit jenama terkenal. Kelihatan beberapa orang pelanggan di dalam kedai yang berhias cantik dan berhawa dingin itu.

Dia meliarkan pandangan ke sekeliling sebelum dia ditegur staf di situ.

“Boleh saya bantu?”

Pandangan Intan menghala ke arah empunya tubuh yang bertanya. Seorang lelaki berbangsa India yang tinggi lampai orangnya. Kacak orangnya. Dia tergamam.

“Nak beli handphone ke?” soal lelaki itu lagi.

Cepat-cepat Intan menggeleng. “Err... tak... tak... err... saya...”

Lelaki India itu memandang Intan dengan muka berkerut.

Lalu dengan pantas Intan mengeluarkan sehelai kertas dari dalam beg sandangnya. Dihulur kertas itu kepada lelaki tersebut. Huluran itu bersambut. Diperhatikan lelaki itu melihat kertas tersebut.

“Ohh... you nak kerja kat sini?” Lelaki itu bertanya dengan nada ceria.

Segera Intan mengangguk. “Saya boleh mula kerja malam ni jugak.” Bersungguh dia meyakinkan.

“Betul ni you boleh kerja? You tahu kan kerja apa yang you kena buat?” Dipandang Intan dari kepala hingga ke kaki.

Walau teragak-agak dan yakin tak yakin, Intan mengangguk. “Ya... saya nak kerja kat sini.”

Melihat kesungguhan Intan, lelaki itu meleretkan senyum. “I Vijay Raj, manager kat sini. Boleh panggil I Encik Vijay. Malam ni pukul 8.15 mesti dah ada kat sini okey? Sebab you kena mula kerja pukul 8.30. Habis kerja pukul 10.30.”

Intan teringat yang dia perlu ke dataran menunggu ayahnya pada pukul 8.30 malam. “Tapi...”

“You kata you boleh kerja?”

Intan terdiam. Mula serba salah.

“Betul ke ni you boleh kerja?” soal Vijay sambil memerhatikan riak wajah Intan. Ragu-ragu.

Demi mengenangkan niat mahu mengumpul wang, terus Intan bersetuju tanpa berfikir panjang. “Okey, saya datang kerja malam ni.” Dia tersenyum lebar.

Wajah Vijay kelihatan puas hati.


------------------------

 

TEPAT pukul 8.30 malam, Airel sudah terpacak di tepi tiang bendera paling tinggi di Dataran Merdeka itu. Dia bercadang nak temankan Intan menunggu ayahnya.

Sempat dia membaca tulisan yang diconteng Intan semalam. Masih elok lagi di situ. Tak ada sesiapa yang memadamnya. Mungkin tak perasan barangkali.

Dia melabuhkan duduk di anak tangga. Menanti kedatangan Intan. Waktu berlalu dan terus berlalu. Dari pukul 8.30 malam beralih ke pukul 9.00 malam. Dari pukul 9.00 malam ke pukul 9.30 malam. Bayang Intan masih tak kunjung tiba.

Airel sudah keresahan. Tak senang duduk dia dibuatnya. Intan kata nak tunggu ayah dia kat sini pukul 8.30. Ni dah hampir pukul 10.00! Kalau ayah dia datang ke sini... macam mana?

Lalu, dia melontar pandangan ke sekeliling. Tak ramai yang berada di situ. Dan dia tak nampak susuk tubuh seseorang yang boleh dianggap sebagai ‘ayah Intan’. Lagipun, dia pernah melihat gambar Intan bersama ayahnya dalam dompet gadis itu. Tapi tak ada.

Ayah Intan tak ada, bayang Intan pun tak muncul juga. Kerana risau, Airel bingkas bangun dan segera ke hotel tempat Intan menginap.

“Maaf, rasanya dia tak ada dalam bilik.” Staf di kaunter lobi meletakkan gagang telefon sambil menggeleng.

Airel menghembus nafas panjang. Berkerut dahinya. Ke mana Intan pergi? Kata nak tunggu ayah dia datang kat dataran. Kat dataran tak ada, kat hotel pun tak ada.

Airel menunggu kepulangan Intan di hotel itu, tapi Intan tetap tak muncul-muncul juga. Oleh kerana terlalu resah dan fikiran mula memikirkan bermacam-macam kemungkinan yang terjadi pada Intan, Airel lantas ke kedai tempat Intan bekerja. Dia masih ingat. Intan kata dia bekerja di kedai runcit di Jalan Dewan Sultan Sulaiman.

Namun, semua kedai runcit yang ada di situ sudah ditutup. Dipandang jam tangannya. Sudah pukul 11.30 malam. Nak tak nak, dia perlu pulang ke rumah. Nanti risau pula mamanya.

Sedangkan hatinya masih mahu mencari Intan. Risau bukan kepalang. Risau kalau jadi lagi kejadian seperti tempoh hari. Intan tu perempuan. Kalau lelaki, dia takkan serisau ini. Dahlah naif. Risau sungguh andai Intan ditipu atau diperbodohkan.

Hendak tidur pun dia tak lena. Asyik terfikirkan tentang Intan saja. Dia betul-betul risau!

Previous: BAB 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.