Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
110,303
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 8

KELAS sesi petang sudah selesai. Seorang demi seorang pelajarnya mengucapkan terima kasih sebelum beredar keluar dari studio itu. Airel membalas dengan senyuman. Sehingga semuanya sudah keluar, barulah dia ke kaunter.

Fizi yang berada di situ sedang ralit membuat semakan dokumen untuk sekolah-sekolah tadika yang mengambil kelas taekwondo dengan mereka.

“Dah siap semua?” Airel bertanya.

“Belum, bang. Tapi surat untuk propose sekolah-sekolah baru dah siap dah. Tu ha...” tunjuk Fizi ke arah tepi meja kaunter itu. Bersusun sampul surat putih.

“Ada berapa?”

“Sepuluh.”

“Okey, Isnin nanti abang submit semuanya.” Airel mula perlahan-lahan mahu menanggalkan tali pinggang hitamnya. “Malam ni kita round KL nak, Fizi? Kita pekena nasi kandar dulu. Lepas tu lepak KLCC ke, jalan-jalan kat Petaling Street ke, Jalan TAR ke...”

“Saya baru ingat nak balik rumah awal hari ni, bang.”

“Alah... malam ni malam minggu kot. Esok tak kerja. Jomlah...” pujuk Airel.

Fizi sudah menyengih mahu beralasan lagi.

“Bukan selalu pun kita melepak. Kita ni nama je duduk KL. Pergi KLCC tu setahun sekali je kot.”

“Saya...”

“Abang nak tukar baju. Lepas maghrib kita keluar,” paksa Airel tanpa sempat Fizi mengelakkan diri. Dia masuk ke dalam bilik persalinan sambil tersenyum kemenangan.

Fizi mengalah. Mujurlah Airel tu bosnya. Diikutkan saja perintah Airel. Dia kembali menyambung kerja.


-----------------

 

DARI duduk di bawah pokok, Intan ke tengah padang. Kemudian ke pinggir jalan. Lenguh kaki berdiri, dia duduk di tempat yang tak mengganggu orang lain. Dari langit cerah, sehinggalah remang senja mula kelihatan. Bayang Jazadin yang ditunggu masih tak kelihatan.

Bangunan Sultan Abdul Samad pada waktu malam sangat cantik. Dari jauh kelihatan seperti sebuah bangunan yang diperbuat daripada emas. Ralit dia merenungnya.

Sekeliling Dataran Merdeka pula banyak lampu-lampu bergantungan dan berjuraian. Kota raya ini bagaikan berpesta dengan lampu dan cahaya. Intan menyaksikan suasana malam di Kuala Lumpur itu dengan perasaan takjub.

Sesekali, matanya tak lepas mencari kelibat yang dikenali. Dia masih mengharap Jazadin datang mencarinya di sini. Jazadin kata, ada kawan yang boleh membawanya ke mari. Tapi kenapa Jazadin masih tak muncul-muncul?

“Ayah... bila ayah nak datang ni?” Intan menghempas nafas panjang.

Sudah seharian dia berada di situ. Menyaksikan bermacam-macam ragam manusia. Mungkin kerana malam itu malam minggu, pengunjung masih ramai. Ada yang bergambar, bersantai-santai di tengah dan tepi padang, bersiar-siar dan juga duduk melepak beramai-ramai.

Sementara dia seorang diri di tepi tembok tangga berdekatan dengan tiang bendera yang paling tinggi itu. Kalau tanya penat ke tak, dia akan jawab tak penat selagi tak berjumpa dengan Jazadin. Dia yakin ayahnya akan datang ke situ.

Tak semena-mena perutnya berbunyi. Dipegang perutnya itu. Sejak semalam perutnya hanya diisi dengan roti dan air mineral. Lalu, dia membuka beg sandang. Roti yang ada tinggal sebuku lagi. Air mineral pula tinggal tiga teguk saja. Itulah makan malamnya.

Nanti dia akan membeli roti dan air mineral lagi buat stok makanannya. Setelah selesai makan, perutnya masih terasa lapar. Dia perlu makan nasi sebenarnya. Tapi dia kena berjimat cermat. Akan diajar perutnya agar makan sekadar keharusan saja.

Namun, tidak lama kemudian berbunyi lagi perutnya. Tak dapat lagi dia nak bertahan. Jam tangan dilihat. Sudah pukul 10.20 malam.

Keluhannya terhempas berat. Sudah lewat begini, Jazadin akan datang mencarinya ke? Dia pun dah terlalu penat. Tubuhnya perlukan tidur dan rehat. Tapi persoalan yang timbul sekarang, di mana dia hendak bermalam?

Termenung dia dibuatnya. Dia akan fikirkan kemudian. Buat masa sekarang dia mahu kenyangkan perut terlebih dahulu. Lalu dia beredar dari situ dan mencari kedai berdekatan.

Dia berjalan dan berjalan mengikut naluri. Sambil berjalan dia mengingati laluan untuk kembali ke Dataran Merdeka semula. Risau juga dia kalau sesat. Tak lama berjalan, dia sudah nampak sebuah kedai serbaneka 24 jam. Dibeli lagi beberapa bungkusan roti dan sebotol air mineral saiz besar. Semuanya dimasukkan ke dalam beg sandang.

Dia perasan pandangan juruwang tadi apabila dia mengeluarkan duit dari dalam stoking. Langsung dia tak hiraukan. Duit yang dibekalkan Jazadin itu makin menyusut. Tak tahulah sampai bila dapat bertahan. Langkahnya lemah diatur untuk kembali ke Dataran Merdeka. Dia masih mahu menunggu Jazadin walau sehingga lewat malam.

Ketika sudah hampir dengan Dataran Merdeka, tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Dompet lusuh dari poket belakang seluar dikeluarkan. Di dalam dompet itu ada sekeping gambar dia bersama ayahnya. Itulah satu-satunya gambar yang dia ada. Gambar ketika menghadiri majlis Hari Kantin di sekolah. Jazadin datang ke sekolahnya pada waktu itu. Kebetulan ada booth polaroid. Diajak Jazadin bergambar berdua.

Wajah tua Jazadin direnung dengan perasaan rindu dan sayu. Sebenarnya, dia sangat susah hati mengenangkan Jazadin. Selagi Jazadin tak datang ke sini, dia risaukan ayahnya itu. Dalam keadaan tua tak berdaya, apalah yang boleh Jazadin lakukan.

Entah-entah, geng lintah darat tu tangkap ayah! Mungkin jugak ayah kena kurung dan diseksa sebab tak bayar hutang. Berderau dadanya memikirkan kemungkinan itu. Dia tergamam sehingga terhenti melangkah.

Tak mungkin! Tak mungkin! Sedaya upaya akalnya cuba menidakkan.

Kalau orang jahat tu kurung dan seksa ayah, apa je yang dia orang boleh dapat? Ayah tetap tak boleh bayar hutang. Dia yakin ayahnya tak diapa-apakan. Pasti ayahnya dilepaskan. Yang geng lintah tu nak tangkap, dia. Bukan ayah. Insya-ALLAH ayah selamat.

Tiba-tiba dompet dari tangannya dirampas seseorang. Tergamam dia seketika. Matanya membulat. Baru saja dia mahu menoleh, lelaki yang merampas dompetnya itu sudah berlari.

“Hei, pencuri! Hoi! Hoi! Pencuri!” Intan dengan perasaan berang cuba mengejar. “Pulangkan balik dompet aku tu! Hei! Pencuri! Pencuri! Hei!” jeritnya sekuat hati.

Lelaki yang dikejar itu berlari macam lipas kudung.

“Woi! Pulangkan balik dompet aku tu. Woi!”

Beberapa orang lelaki yang kebetulan melihat kejadian ragut itu juga cuba mengejar.

Intan tak berdaya nak berlari lagi. Peragut itu dah menyelinap ke lorong entah ke mana dan terus menghilang. Tercungap-cungap dia kelelahan.

“Tak guna! Kenapa tak ada kereta lalu lepas tu langgar pencuri tu? Menyusahkan orang betul!” Kuat dia mendengus. Geram! Ditendang dinding bangunan tepinya itu melepaskan rasa marah.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.