Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 40

40

DI LUAR, hujan semakin melebat, memutih turunnya lalu turut membataskan jarak pandangan. Sesekali alam akan dihiasi oleh pancaran kilat beserta dengan bunyinya yang membingitkan telinga. Jalanraya licin dan becak menyebabkan pemandu harus lebih berhati-hati ketika menyusurinya. Longkang dan saliran dipenuhi air membuatkan ada penduduk menjadi gelisah kalau-kalau longkang yang melimpah akan menyebabkan kediaman mereka ditimpa banjir kilat. Mereka harus bersedia kerana bencana boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

Walaupun hujan yang turun di waktu pagi kadangkala terasa menyeksakan terutamanya kepada mereka yang harus berkejar ke tempat kerja, pun begitu hujan bukanlah tiket untuk mereka menghentikan masa. Di bumi yang sentiasa berdenyut itu, masa harus terus berjalan, sama sekali tidak boleh dihentikan. Itulah yang memaknakan masa kepada penghuninya.

Selagi hujan tidak berubah menjadi bah yang menenggelamkan rumah dan bangunan, ribut belum bertukar menjadi puting beliung yang menerbangkan premis-premis pejabat serta gedung perniagaan, maka mereka harus sampai ke destinasi mengikut masa yang ditetapkan. Tiada pengecualian; kecuali mungkin kepada Tengku Najib yang kini sedang bersantai menikmati roti telur dan teh tariknya di sebuah restoran mamak bersama-sama dengan Tengku Reza.

Dia tidak pernah rapat dengan bapa saudara bongsunya itu sepertimana hubungannya yang terlalu rapat dengan Tengku Amirul. Malah, dek kerana terlalu rapat dan sayangkan lelaki itu maka dia pernah menganggap bahawa Uncle Amir adalah idolanya.

Dia tidak tahu kenapa selama ini dia membeza-bezakan agihan kasihnya di antara Tengku Amirul dan juga Tengku Reza sedangkan kedua-dua lelaki itu bukanlah sesiapa lagi dengannya, bapa saudaranya juga. Mungkinkah sebab terikut-ikut dengan mama dan papanya yang selama ini tidak pernah mahu rapat dengan Tengku Reza?

Dia tidak pernah diberitahu kenapa seluruh keluarganya menumpahkan kasih kepada Tengku Amirul dan meminggirkan Tengku Reza, tetapi dia pasti setiap yang berlaku ada penyebabnya. Cuma dia malas hendak mengorek rahsia itu daripada mamanya.

Malu hendak mengakuinya, tetapi inilah kali pertama dia menikmati sarapan pagi bersama-sama dengan Uncle Rezanya. Okey jugaklelaki ni, bisik hatinya sambil sesekali menilai keperibadian Tengku Reza. Dia tidak canggung barang sedikitpun dengan lelaki itu. Pada pendapatnya, Tengku Reza adalah seorang lelaki biasa yang hangat, peramah dan mudah mesra.

“Kenapa kau pandang aku macam tu, Jib? Kau pelik tengok kulit aku yang hitam ni ke?” tegur Tengku Reza ketika menyedari mata anak saudaranya seolah-olah sedang mengawasinya.

“Err... uncle ni, tak adalah!”

“Aku taulah kulit aku ni gelap sikit, tak sama warna dengan kau tu... ataupun kulit uncle kesayangan kau tu.” Agak kasar, berjauh hati bunyinya.

“Ah, peduli apa dengan warna kulit, Uncle Reza? Yang penting hati ni aje, putih ataupun hitam.”

Tengku Reza ketawa kecil. Dia tidak pasti apakah anak saudaranya sekadar hendak mengambil hatinya, tetapi dia peduli apa. Dia pun menjenguk Tengku Najib sekadar untuk mengambil hati kakaknya, Tengku Sarah.

“Eh, kau masih belum cerita lagi dengan aku, siapa yang pukul kau sampai macam ni sekali?” Sekali lagi Tengku Reza cuba mengorek rahsianya.

Tengku Najib menggeleng-gelengkan kepalanya. “Lupakan ajelah pasal ni, uncle. Saya malas nak panjang-panjangkan cerita.”

“Kalau kau nak, aku boleh tolong...” Tengku Reza melontar pandangannya yang dalam dan bermakna ke arah Tengku Najib. “Aku serius ni, Jib. Aku boleh buat sampai budak yang pukul kau, melutut minta maaf pada kau. Walaupun sekarang ni aku tinggal kat UK tapi jangan lupa kawan-kawan aku masih ramai lagi di sini.”

Tengku Najib menelan air liurnya. Dia terbayangkan wajah Uncle Amirulnya yang kini sedang merengkok di penjara akibat kesalahan yang tidak pernah terfikir di benaknya lelaki itu sanggup lakukan. Kini, Uncle Rezanya bercakap gaya seorang samseng. Keturunan samsengkah keluarga aku ni, hatinya mula bersoal jawab.

Melihatkan Tengku Najib terkebil-kebil memandangnya, dia segera melambakkan tawa.

“Aku tak paksa. Kalau kau tak nak, tak apa. Aku cuma tak mahu orang perkotakkatikkan anak saudara aku, tu aje.” Tengku Reza segera menjernihkan suasana. Dia mencapai gelas berpeluh di depannya lalu menyedut teh aisnya perlahan-lahan.

“Ala... hal kecil aje, uncle. Dah selesai pun.”

“Baguslah kalau macam tu. Aku pun malas nak kotorkan tangan aku ni!” Tengku Reza kemudian ketawa kecil. “Eh, boleh aku tahu kenapa kau bertumbuk dengan budak tu? Pasal perempuan?”

“Err... tak adalah!” Takkan dia hendak mengaku dengan bapa saudaranya.

Tengku Reza tergelak besar melihatkan dia serba-salah hendak menjawab.

“Aku tengokkan engkau ni dengan Amir ada persamaan. Sanggup berbuat apa aje demi seorang perempuan. Cantik sangat ke perempuan tu sampai kau sanggup lebam-lebam muka macam ni? Berbaloi ke?” Kata-kata yang meluncur keluar kadangkala langsung tidak mempedulikan perasaan orang yang mendengarnya.

Tengku Najib menggetap bibir serta menggenggam buku limanya.

“Maaflah, aku tak bermaksud nak sakitkan hati kau. Jauh sekali nak cari gaduh dengan kau. Aku datang ni sebab mama kau risaukan kau. Dia pesan, petang ni kau kena balik ke rumah.” Tengku Reza segera mengalih topik perbualan mereka setelah melihat perubahan ketara pada wajah anak saudaranya.

“Tengoklah nanti.”

“Baliklah petang ni. Jangan buat mama kau risau.” Tengku Reza sempat menasihatinya.

Tengku Najib tersenyum cuma. Mereka terdiam seketika, menghabiskan makanan yang terhidang di pinggan masing-masing. Di luar, hujan masih melebat. Belum ada tanda-tanda hendak berhenti.

“Mama kau pernah cerita dengan aku yang kau sekarang ni dah ada girlfriend. Siapa nama dia? Kau tak nak kenalkan dengan aku ke?”

Sekali lagi dia terkejut. Itu pun mama ceritakan pada Uncle Reza?

Girlfriend saya ramai, uncle. Mama ada sebut tak yang mana satu?”

“Kau pun Romeo jugak ke? Aku ingatkan Amir seorang aje Romeo dalam keluarga kita, rupa-rupanya kau pun ikut jejak dia.” Tengku Reza ketawa besar. “Cuma satu aje aku nak ingatkan kau, Jib, jangan sampai menculik anak dara orang dahlah.”

“Saya bukan orang macam tu!”

“Hmm... bagus.”

Uncle pulak macam mana? Bila nak kahwin?”

Sekali lagi terhambur ketawa dari mulut Tengku Reza.

“Hmm... nantilah, bila dah jumpa gadis yang sesuai dengan jiwa aku nanti, aku kahwinlah,” jawabnya setelah tawanya terhenti.

Sebelum sempat Tengku Najib menyambung bual, telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. Segera dicapainya lalu direnungnya skrin. Nama ‘Tasya’ terpapar. Segera dipekapkan telefon kecil itu ke telinga.

“Ye, Tasya?”

“Jib, you kat mana ni?”

“Err... I tengah minum kat restoran. Kenapa?”

“Boleh tolong hantar I ke kampus tak? I tak ada transportlah, hujan lebat pulak ni.” Nada merayu.

“Kenapa you tak panggil teksi?”

“Ai, sombongnya! Tak nak tolong, tak apalah.” Merajuk.

“Err... sorrylah, Tasya. Sebenarnya I tengah minum dengan pak sedara I ni. I pun tuang kelas hari ni. Okey ye, Tasya, bye.” Dia segera menamatkan perbualannya dengan Natasya lalu memandang lurus ke wajah Tengku Reza.

“Kenapa?” soal lelaki itu.

Dia tidak menjawab, sekadar senyum. Malas hendak memanjangkan cerita tentang gadis bernama Natasya pula. Lagipun gadis itu sudah tidak penting lagi dalam kamus hidupnya.

DI RUMAH, Adeela bersendirian dan terkurung di dalam hujan. Rasa bosan mula menyelubungi dirinya. Bosan duduk di ruang tamu, dia membawa diri ke bilik yang dikonginya dengan Annessa.

Dia melabuhkan punggung di birai katil. Tatkala diri dihurung kebosanan begitu, kenangan lama sering mengusik ruang ingatannya. Perceraian di antara papa dengan mamanya telah menyaksikan dia dipisahkan dengan Annessa. Entah apa sebabnya maka Zikri mendesak agar Annessa tinggal dengannya, sementara dia dan Aleya pula tinggal dengan Sofea.

Begitulah kejamnya sebuah perceraian yang menyaksikan pasangan kembar itu dipisahkan oleh papa dan mama mereka sendiri semata-mata untuk memuaskan ego masing-masing.

Tetapi kenapa papa pilih Anne tinggal dengannya? Sedangkan kalau diikutkan aku lebih rapat dengan papa daripada Anne? Kalaulah papa pilih aku tinggal dengannya pasti kini aku yang berada di menara gading sana dan bukannya Anne!

Kalaulah papa pilih aku, pasti aku tidak terseksa begini. Kenapa? Kenapa bukan aku yang terpilih untuk tinggal di samping papa? Kenapa aku yang perlu menanggung semua seksa ini? Kenapa nasib malang ini harus membelit diriku dan bukannya Anne?

Kenapa?

Kenapa???

Air matanya mengalir lebat menuruni pipi, selebat hujan yang mencurah-curah di luar rumah. Jari-jemarinya mencengkam tilam. Tiba-tiba dia bingkas bangun lalu menuju ke kepala katil. Sehelai tuala kecil berwarna putih ditariknya keluar dari bawah bantal. Tuala itulah yang dicari-cari Annessa, tuala milik Tengku Najib.

Dia tidak pasti kenapa dia harus mencuri tuala itu daripada Annessa dan menyembunyikannya pula di bawah bantal itu. Kemudian buat-buat tidak tahu pula ketika Annessa sibuk mencari tuala itu semalam. Yang dirasainya cuma rasa sakit hati melihat hubungan Annessa yang semakin rapat dengan anak saudara kepada lelaki yang pernah menabur jelaga ke dalam hidupnya.

Dia membawa tuala itu ke dapur lalu disumbatkannya ke dalam plastik sampah. Setelah hujan reda nanti plastik sampah itu akan dipindahkan pula ke dalam tong sampah yang terletak di luar rumah untuk diangkut pergi oleh lori pemungut sampah.

Dia menarik nafas dalam-dalam, membasuh mukanya di sinki lalu menuju semula ke ruang tamu.

 

Previous: Bab 39
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.