9
“Helo,kawan!” Suara Zila di talian telefon. |
Aku
tersenyum. Inilah suara yang ingin aku dengar saat fikiran dan jiwaku melayang
entah ke mana. Permulaan hariku sangat sengsara! “Eh, helo! Dah balik
dari holiday ke? So, how’s Shanghai and Beijing? Seronok?”
“Pergi
bercuti. Mestilah seronok. Bukan aku pergi kerja.”
Kami
berdua ketawa. Macam dulu. Macam zaman kanak-kanak. Seronoknya aku bila
mendengar suaranya itu. Tiba-tiba aku terlalu rindu padanya. Aku perlukan Zila
saat ini biarpun Zila tidak pernah mengetahui rahsia hatiku.
“Souvenir
aku ada tak?” Aku cuba mencari keceriaan.
“Of
course!Kita lunch hari ni? Aku bawa sekali souvenir untuk
kau. Macam-macam aku beli untuk kau. Beb, barang sana murah-murah. Kita patut shopping
kat sana pula. Balik-balik Bandung-Jakarta... Jakarta-Bandung!” Seronoknya
hidup sebagai seorang gadis yang bernama Norzailila itu.
“Aik?
Tak mahu ke lunch dengan Imran dulu?”
Imran,
lelaki yang dicintai Zila selama aku kenal dengan gadis periang ini. Kemudian
entah mana silapnya, hubungan mereka putus, tetapi bertaut kembali sejak lima
bulan yang lepas. Sebulan kemudian mereka terus bertunang dan kini sedang
menyiapkan diri untuk menempuh gerbang perkahwinan pula. Itulah dia kalau sudah
dinamakan jodoh. Bagaimana jauh pun kita berada, kalau dah jodoh, tetap akan
bersatu juga.
Dia
ketawa. “Semalam aku balik, dia dah jumpa aku. Jangan risau. Malam ni, aku dinner
dengan dia.”
Aku
teruja untuk bertemu dengannya. Kali terakhir kami bertemu, hampir sebulan yang
lepas. Bertemu di talian tidak sama dengan bertemu empat mata. “Okey, kat mana
nak lunch?”
“Tempat
biasalah. Aku nak beritahu kau apa yang berlaku hari ni,” kata Zila dengan nada
riang. “By the way, aku ajak Miza dengan Nor join kita sekali.”
Aku
ketawa gembira. “Aku pun dah lama tak jumpa dia orang!”
“Bagus.
Tapi aku ada beli oleh-oleh special untuk kau seorang aje. Orang lain
aku tak beli tau. So,kalau kau boleh datang awal, lagi bagus. Senang
aku nak bagi kau barang yang aku beli ni. Boleh tak?”
“Bolehlah,
insya-ALLAH. Tempat biasa, kan?”
“No
problem!” Aku meyakinkan dia. Boleh juga aku menceritakan kisahku hari ini
kepadanya. “Kali ni aku belanja.”
“Yeah!
Aku doakan murah rezeki kau, Ju.”
Senyumanku
semakin meleret. “Kalau macam tu...” Aku segera melihat jam di pergelangan
tangan, “... lagi satu jam setengah aku jumpa kau kat tempat biasa. Ingat,
jangan lambat tau!”
“Kau
tu pun, jangan lambat! Lama aku tak jumpa kau ni.”
“Ya...
ya... sebulan kita tak jumpa. Tau-tau, kau sakan bercuti ke China. Stres aku
dengar!”
Kami
saling ketawa lagi.
TEPAT 12.30 tengah hari aku sudah
berada di dalam restoran yang biasa kami bertemu. Dan Zila sudah pun berada di
tempat yang kami selalu guna, iaitu di suatu sudut, di sebalik dinding, sedikit
privasi untuk kami bergosip dan berbual apa sahaja tanpa memikirkan jika ada
sesiapa yang dapat mendengar perbualan kami.
“Lama
sampai?” tanyaku sambil kami berdua berpelukan erat. Dialah kawan suka dan
benciku, gembira dan dukaku, lawan dan teman. Segala-galanya kecuali perasaanku
terhadap lelaki itu.. Yang lain, bagaikan tiada di antara kami. Ibarat isi dan
kuku. Kami saling mengenali hati budi masing-masing.
“Nah!”
Dia menghulurkan sekarung beg plastik yang padat dengan barangan kepadaku
dengan senyuman yang melebar. “Untuk kau. Macam-macam ada.”
Aku
terkejut. Mengintai kandungan di dalamnya. Ya, begitu banyak barang yang
dibelikan untukku. “Takkanlah murah sangat?” Aku bingung sebentar.
“Murah
kau! Percaya cakap aku. Aku ada beli kain sutera Cina untuk kau dengan mama
kau. Abang-abang kau, T-shirtajelah, ya? Kemudian alas meja dua helai,
jaket sejuk untuk kau. Manalah tahu, esok-esok kau dengan Rizan kahwin nak berhoneymoon
kat tempat sejuk. Tak payahlah lagi beli baju sejuk. Sana murah-murah. Tak
sampai seratus ringgit, kau dah dapat baju sejuk yang bagus.”
Zila
terus bercerita tentang percutiannya di Tanah Besar China. Daripada menaiki
tangga Tembok Besar China, Stadium Olimpik Sarang Burung, pengalaman menaiki
kereta api dari Beijing ke Shanghai sehinggalah ke tempat-tempat membeli-belah.
Perjalanan percutiannya sangat mengujakan. Memberi seribu impian untukku
menjejaki ke negeri tersebut satu hari nanti.
“So...”
Akhirnya baru kami kembali ke perbualan yang sebenar. Cerita tentang hidupku
dan hidupnya. “Apa cerita? Kau kata aku hari tu, baju tunang kau siap awal
bulan. Dah ambil baju tunang tu?”
Aku
mengangguk. “Mama Rizan siap suruh aku tempah baju nikah sekali.”
Ternganga
mulut Zila mendengar ceritaku itu. “Aku yang dah bertunang dulu dari kau pun,
belum nak menempah baju kahwin. Yang kau belum bertunang ni, dah siap-siap
dengan baju nikah? Serius kau ni Ju?!”
Ya,
aku tidak salahkan Zila jika dia sukar untuk mempercayai ceritaku kerana aku
sendiri payah untuk menerima hakikat itu.
Zila terus merenungi wajahku. Dia mula membaca sesuatu
jika pandangannya begitu. Pandangan yang redup, tetapi tajam cara
penglihatannya. Dia melihatku tidak berkelip. Mulutnya terkunci, tetap matanya
yang berkata-kata.
“Tak
guna kau pandang aku macam tu.”
“Pandang
macam mana?”
“Seolah-olah
aku macam ada benda aku sorokkan pada kau.”
Dia
ketawa kecil. Kemudian menggeleng kepalanya beberapa kali seolah-olah tidak
mempercayai kata-kataku. “Kalau aku kata, sememangnya ada benda yang kau
sorokkan dari aku, apa kau nak cakap?”
Aku
mengeluh. Nasi goreng di hadapanku masih belum bersentuh. Begitu juga dengan
nasi goreng Zila. “Tak ada benda aku nak sorokkan pun.”
“Betul?
Tengok muka kau tu saja, aku dah boleh nampak.” Dia mengamati diriku seperti
tidak puas hati. “Pasal Rizan?”
Aku
diam sahaja. Membiarkan soalan itu berlalu
“Betul,
kan? Ini semua pasal Rizan. Kau tak pasti diri kau dengan Rizan, kan?” Dia
menduga dan dia meyakini perkara itu.
“Come
on, Zila. Aku dah nak bertunang dengan Rizan. Soalan jenis apa kau tanya
aku tu?”
Dia
tetap mengamati pandanganku, wajahku, gerak-geriku. “Berani kau, ya? Kau tak
pasti dengan dia, kau nak teruskan jugak pertunangan kau dengan dia. Walaupun
mama kau, mama Rizan yang plan semua ni, kau kena berani cakap yang kau
tak setuju.”
Aku
amati wajah Zila dengan penuh erti. Sahabatku ini ternyata sahabat sejati. Dia
lebih mengerti diriku dari aku sendiri. “Dari dulu kau tak pernah yakin aku
dengan Rizan, kan?”
Zila
ketawa kecil. “Dari sinar mata kau, aku boleh tahu kau sekadar sayang Rizan
sebagai teman baik, Ju. Kau boleh tipu diri kau. Tapi aku tetap kata, kau tak
pernah cintakan Rizan.”
Aku
menundukkan wajahku sedikit dari Zila. Menyembunyi wajahku sepertimana aku
menyembunyikan perasaanku daripadanya selama ini.
“Cuba
kau jujur dengan diri kau, Ju. Kau cintakan Rizan tak? Kau kena ingat, kau dah
nak kahwin dengan dia. Kau yakin kau boleh hidup dengan lelaki yang kau tak
cinta?” Zila seolah-olah mencabar aku.
“Yakin
atau tidak, kita yang perlu bijak mencorak rumah tangga kita nanti, Zila. Sama
ada kau pandai bawa diri atau tidak ataupun bahagia atau sengsara, semua dalam
tangan kau,” jelasku. Aku harap kali ini, aku benar-benar dapat meyakini Zila.
“Macam kau, kau yakin bila kau kahwin dengan Imran nanti, kau boleh bahagia
sampai kau tua?”
Zila
mengeluh. “Sekurang-kurangnya aku ada satu yang kau tak ada, Ju.”
Aku
mengerutkan dahiku.
“Aku
ada cinta hati aku. Aku cintakan Imran. Dia lamar aku sebab dia nak aku jadi
isteri dia. Aku terima sebab aku pun nak dia jadi suami aku. Kau tu... kau
betul-betul cintakan Rizan?”
“Sayang,
cinta, kasih... itu semua boleh timbul nanti. Asalkan perasaan tu kekal
selama-lamanya, aku happy, dia happy.”
Zila
ketawa lagi. Menggeleng-geleng kepalanya seperti tadi. “Ju, kau kawan aku.
Rizan jugak kawan aku. Kita semua kawan-kawan satu kolej dulu. Kalau kau kahwin
dengan dia, aku happy. Bukan aku sorang, tapi Miza, Nor, Azli, Alan...
semua happy.”
“Jangan
risaukan aku. Kalau aku dengan Rizan boleh berkawan bertahun lamanya,
insya-ALLAH aku boleh hidup dengan dia.”
Saat
itu, Zila menepuk dahinya sambil mengucap panjang. Dia seperti tidak percaya
dengan kata-kataku. “Habis kau dengan Rizan bukan bercintalah? Selama ni kau
berharap dengan persahabatan kau yang bertahun tu, kau boleh bina rumah tangga
dengan dia?”
Aku
mengangkat bahu. Kurang yakin apa yang aku sedang rasa. “Entahlah, Zila. Aku
tak tahu. Pada aku, sayang ke... cinta ke... benda tu sama.”
“Kau
pernah tak cakap dengan Rizan kau cintakan dia? Sayangkan dia? Pernah tak?”
tanya Zila. “Ju, jangan buat kerja bodoh ni, Ju. Perkahwinan bukan macam pensil
dengan pemadam. Kau buat salah, kau padam. Kau salah lagi, kau padam lagi.
Jangan buat kerja bodoh, Ju. Aku tahu kau hormat keluarga dia, kau sayang
dengan keluarga kau. Tapi tolonglah... ini masa depan kau. Kau kena fikir
baik-baik lelaki yang akan kau hidup sampai kau tua.”
“Kalau
aku dah bersetuju untuk kahwin dengan dia, bukan ke aku sayang kat dia? Salah
ke aku?” Giliran aku pula mencari kepastian dari dia.
Zila
menggeleng-geleng kepalanya. Lama juga aku menunggu reaksi darinya. “Ju, aku
tak tahu persepsi kau tentang cinta, tentang lelaki. Aku tak tahu cara kau
macam mana kau dengan Rizan setiap kali kau keluar atau jumpa dia. Dan aku tak
tahu macam mana aku nak mendefinisikan cinta pada kau. Tapi kalau kau sayang
atau cinta, memang kau bersedia untuk kahwin dengan dia. Cinta itu lebih halus
Ju. Lebih bermakna kalau kau dapat rasakan. Debaran dada, degupan jantung kau
jadi laju bila tiapkali kau jumpa dia. Perasaan rindu biarpun dia baru aje
hantar kau balik. Bila Imran outstation, akulah orang yang paling cemas.
Dia nak pergi Jepun kursus seminggu, aku dah sebulan sebelum tu duk risau kat
dia.”
Sebaik
dia berkata rasa debar dan jantung berdegup laju, ingatanku kembali pada Megat
Iskandar Zulkarnain. Macam itu ke? “Itu macam dalam novel aje.” Aku ketawa.
“Beb,
kalau kau nak tahu macam mana bila rasa cinta, bacalah novel cinta. Bila cinta
datang, segala fakta tentang cinta, macam tulah penulis tulis. Rindu, resah,
cemas, perasaan berdebar, kau asyik teringatkan dia dan seminit pun, kau tak
mahu lepaskan dia.” Dia terkejut bila aku mendiamkan diri. “Kau memang tak
pernah rasa macam tu, kan? Sekali pun tidak dengan Rizan? Sekalipun tidak
dengan sesiapa?”
Aku
tersedak sedikit dengan minuman yang aku hirup.
Mata
Zila membuntang bila merasakan apa yang dia katakan itu benar. “Kau pernah
cakap dengan aku, kau tak suka dengan perangai Rizan sebab Rizan ni anak mama.
Betul, kan? Sekalipun kau tak pernah ‘rasa’ dengan Rizan?”
Aku
tersenyum. Hambar. Biarpun aku cuba untuk menunjukkan rasa yakin di hadapan
Zila. Zila bijak membaca reaksiku biarpun sekilas pandangannya. Dia pintar
menangkap apa yang tersorok di sebalik wajahku.
“Atau
kau ada lelaki lain?” Dia menduga.
“Zila!”
Aku menjegilkan mataku kepadanya. Namun dalam pada masa yang sama, pipiku
terasa tebal.
Dia
menuding jari telunjuknya ke arahku. “Tu, tu muka tu. Kau jangan nak bohong.”
“Assalamualaikum.
Hamboih kau orang berdua! Berborak sakan sampai tak sedar kita orang semua ada
kat depan mata!”
Kami
berdua mendongak melihat arah mana datangnya suara itu. Miza, Nor dan di
belakang mereka si Alan tersengih-sengih memandang kami berdua.
Aku
dan Zila bertempik kegembiraan. Tidak menyangka akan bertemu dengan mereka
semua ini, terutama Alan.
“Tadi
aku call si Rizan, suruh dia joinkita lunch hari ni. Tapi
dia kata, dia sibuk. Azli pun sibuk semacam,” terang Alan mengambil tempat
duduk di sebelah Miza.
Aku
tersenyum. “Dia tahu aku ada lunch dengan kau orang semua. Tu yang dia
kata dia tak ada masa.”
“Ya...
ya... aku tahu. Dia ada cakap. Eh? Kau dengan Rizan apa hal? Senyap-senyap aje
dah nak bertunang. Sikit pun kau tak beritahu kami semua!” marah Alan padaku.
Aku
dan Zila ketawa kecil. Miza, Nor dan Alan terpinga-pinga.
“Kau
nak bertunang dengan Rizan? Sampai hati kau tak beritahu aku,” seru Miza.
Nor
pula tarik muka masamnya. “Mentang-mentanglah kita orang ni jarang telefon kau,
sikit pun kau tak ada hati nak beritahu member sendiri.”
Aku
masih ketawa dan Zila saling berpandangan dan ketawa. Lucu pula melihat
teman-teman kami seuniversiti ini sedang merajuk denganku. “Kau orang kan baik
dengan Rizan. Kenapa kau sendiri tak tanya dia?”
“Dia
baru beritahu aku. Aku saja tanya kau pulak, sama ada betul kea tau tak betul,”
sengih Alan sambil meletakkan tangannya di atas meja. “Jadi betullah, ya?”
Aku
tersengih sahaja.
“Akhirnya
jadi juga kau dengan Rizan. Dulu bukan main tarik tali kau dengan dia. Last-last,
kalah juga. Aku pun lama tak makan nasi minyak ni. Kalau dapat makan nasi
minyak member, tentu sedap lagi dari makan nasi minyak kat kedai,” gurau Miza
sambil ketawa.
Di
bawah meja, kaki Zila sudah menguis kaki aku. Bila aku pandang wajahnya, dia
sekadar tersenyum sinis penuh makna.
“Kau
doakan ajelah dia orang cepat kahwin. Lagi cepat dia orang kahwin, lagi cepat
kau orang dapat rasa nasi minyak member kita ni.” Lantas dia melemparkan
pandangannya padaku.
Ya
ALLAH, tiada siapa pun dapat menafikan pandangan Zila penuh makna kepadaku.
Malah kata-katanya mampu menguatkan pandangan sinis tersebut. Namun baik Miza,
Nor dan Alan masih tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh Zila. Hanya kami berdua
sahaja yang tahu.
“Aku
doakan kau orang berdua kahwin, bahagia, rumah tangga kekal ke anak cucu.” Miza
teruja. Kata-katanya ikhlas.
“Don’t
worry.Dia takkan lari daripada Rizan. Sebaik dia dah kahwin dengan Rizan,
Rizan takkan lepaskan dia. Rizan cintakan Ju dari dulu.” Itu kata Alan.
Aku
terkesima. “Macam mana kau tahu?”
Alan
tersenyum. “Itu pun kau masih nak tanya? Mestilah aku tahu. Akulah tempat Rizan
curah perasaan dia. Apa sikit pasal kau dengan dia, aku orang pertama yang tahu
dulu!”
Sekali
lagi Zila menguis kakinya pada kakiku.
Aku
tersentak. “Semua?”
Alan
ketawa.
“Alan,
dia beritahu semua rahsia aku dengan dia pada kau?” Aku paksa dirinya untuk
mengaku.
Alan
terus ketawa. Apakah ini gurauan atau benar-benar serius? “Jangan risau, Ju.
Kau kena faham, dia pun ada perasaan juga. Dia perlu jugak seseorang untuk
luahkan perasaan dia.”
Saat
itu Miza dan Nor menyokong kata-kata Alan. Mereka berdua setuju bahawa tidak
salah jika Rizan berkongsi masalah dengan seseorang, apatah lagi Alan bukan
orang asing di antara kami. Kami semua sudah lama berkawan, apatah lagi Rizan
dan Alan pernah sebilik di kolej dahulu.
Entah
kenapa, aku rasa sedikit pelik. Bukankah berkongsi masalah dan rahsia itu hanya
pada sikap perempuan? Berapa banyak rahsia yang Rizan sudah berkongsi dengan
Alan? Sudah banyak mana pula masalah yang Rizan luahkan pada Alan?
Aku
rasa sungguh malu. Aku seolah-olah ditelanjangkan dengan hal-hal peribadi aku
dengan Rizan oleh Rizan sendiri kepada Alan. Dan sekarang Alan pula sedang
mentertawakan aku di hadapan teman-temanku sendiri!
Zila
terus tersenyum sinis.