Home Novel Cinta DIALAH CINTA HATIKU
DIALAH CINTA HATIKU
7/8/2014 13:29:47
89,019
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

12

“DAH sampai pun dia!” seru Mama Hamidah sebaik terlihat kelibatku di muka pintu rumahnya.

Aku menarik nafas dalam-dalam dan cuba tersenyum. Inilah detiknya. Inilah masanya. Dadaku semakin berdebar. Degupan jantungku juga semakin laju. Sesekali aku terpaksa menarik nafasku melalui mulutku kerana terasa udara bagaikan tidak masuk ke ruang paru-paruku.

“Kenapa lambat ni?” tanya Mama Hamidah kepada aku dan Rizan. Rizan melemparkan pandangan penuh maknanya kepadaku.

Kemudian suara Rizky berkata dengan penuh ceria, “Jom kita terus makan. Perut dah lapar ni.”

Aku hanya senyum.

Tiba-tiba datang seorang anak kecil paling comel yang pernah aku temui, berlari mendapatkan Uncle Rashid. Lantas Uncle Rashid mendukungnya dan kemudian mencium pipinya bertalu-talu.

Aku terpaku. Terkejut. Wajah anak kecil itu, persis dia. Betapa comelnya anak itu. Aku cuba tersenyum. Ketika itu jugalah aku semakin sukar untuk bernafas.

“Inilah cucu tok pa.” Betapa girangnya orang tua itu yang sudah mempunyai cucu secantik itu. “Daddy mana, sayang? Daddy tak nak turun ke?” Uncle Rashid berbicara dalam bahasa Inggeris dengan cucunya itu.

“Tok pa, siapa dia?” Anak kecil itu menuding jari ke arahku. Anak kecil itu turut berbahasa dalam bahasa Inggeris juga. Manakan tidak, sejak dilahirkan persekitarannya dikelilingi bangsa asing dan sudah tentu bahasa Melayu bukan pertuturan hariannya di sana.

“Inilah Auntie Julia. Auntie Julia nanti kahwin dengan Pak Ngah Rizan tak lama lagi.”

Mata si kecil membulat memandangku.

Uncle Rashid terus mendukung si kecil menghampiriku. “Salam dengan Auntie Julia, sayang.”

Si kecil menghulurkan tangannya tanpa sedikit pun rasa takut-takut. Bila disuruh mencium tanganku, dia melakukan tanpa teragak-agak.

Entah kenapa, dia mendepakan tangannya pula meminta aku mendukungnya. Aku terpaku. Anak kecil ini begitu mesra sekali.

“Tok pa, Auntie Julia cantik.” Begitu spontan dia memujiku.

Aku kehilangan kata-kata dengan semua ini. Mengetahui bahawa si kecil ini anak ‘dia’ dan melihatnya sebagai anak yang suci bersih, memuji dengan jiwa yang tulus. Aku membawanya ke dalam pelukanku.

“Inilah dia anak Megat,” beritahu Mama Hamidah dengan nada sedikit jengkel.

Aku tidak kisah dengan nada suara itu. Aku tidak peduli jika Mama Hamidah masih menyimpan perasaan marah dan benci pada anak tirinya. Yang penting, anak kecil ini suci dan tidak mengerti apa-apa yang telah dan pernah berlaku.

“Nama siapa, sayang?” tanyaku sambil menatap wajah comelnya yang kemerah-merahan. Rambutnya panjang serta ikal sekali mencecah pinggangnya. Sekali imbas memandang dirinya persis anak kacukan Arab.

Uncle Rashid ketawa kecil. “Nadia ni istimewa sikit. Tak pandai cakap Melayu. Yang senang-senang bolehlah. Yang dia pandai, English dengan French.”

Aku terkejut tapi gembira. Aku segera membetulkan soalanku dan bertanyakan dirinya dalam bahasa Inggeris. “What’s your name, sayang?

“Nadia.”

“Nadia?” ulangku. Pasti namanya bukan sekadar dua suku kata sahaja. Terlalu ringkas untuk anak kecil secantik Nadia.

Uncle Rashid tersenyum lebar. Wajahnya jelas dengan perasaan sayang yang tidak berbelah bahagi terhadap cucunya yang seorang itu. “Nadia apa, sayang?” tanyanya turut sama dalam bahasa Inggeris.

Dia mengangguk. “Nadiarose Isabella binti Megat Iskandar Zulkarnain.”

Aku tersentak. Isabella? Apakah ini secara kebetulan atau disengajakan? Ah! Jangan kembali berkhayal, Julia! Mungkin nama itu diberi oleh ibunya. Namun aku tidak mampu menolak sesuatu yang bersarang jauh di lubuk jiwaku.

“Macam nama Auntie Julia. Nama auntie ni Julianna Isabelle,” celah Rizan yang berada di sisiku, jelas mempamerkan rasa sayangnya pada anak buahnya yang seorang itu.

Nadia terkejut. Ketika itulah Mama Hamidah melaung nama kami satu per satu ke ruang makan yang telah tersedia dengan hidangan yang sangat istimewa.

“Jom, kita makan. Nadia lapar tak?” tanyaku kepada Nadia yang masih tidak mahu melepaskan dirinya daripada dukunganku.

“Lapar.”

“Papa mana, sayang? Kenapa papa tak turun lagi?” tanya Uncle Rashid.

Mama Hamidah tersenyum sinis, tetapi tiada apa yang mahu diperkatakan.

Rizky seperti biasa mengambil tempat duduk di sisiku.

“Pak usu,” tegur si comel kepada Rizky. “Nadia nak duduk sebelah Auntie Julia.”

Aku segera berpaling ke arah Rizky. Terkejut. Kemudian ketawa bersama ahli keluarga yang lain.

Darling, you don’t want to sit beside me?” Rizky suka sekali bergurau si kecil. Tetapi si kecil tidak mengendah kata-kata Rizky sama sekali.

“Hmm... demand sungguh dia tu,” komen Mama Hamidah sambil mengerling ke arah si kecil. “Kecil-kecil dah pandai nak mengarah itu ini!”

“Idah...” tegur Uncle Rashid sambil mengerutkan dahinya. Ternyata dia tidak suka isterinya berkata sedemikian.

Rizky segera bersuara dalam bahasa Inggeris, sengaja berloghatkan Inggeris Australia. Ya, kami sudah maklum dengan dirinya yang pulang bercuti dua minggu. Dan esok lusa, dia akan kembali semula ke negara Down Under itu. “Okey, tuan puteri. Silalah tuan puteri duduk. Patik segera menurut perintah,” selorohnya dengan muka sengetnya, mencuit perasaan kami untuk terus ketawa.

Rizan mengambil tempat duduk di sisi Nadia sebelah kiri menjadikan Nadia duduk di antara kami berdua. Mama Hamidah duduk berdekatan dengan suaminya, bertentangan dengan Rizan sementara Rizky bertentangan pula dengan Nadia. Anehnya, hanya satu persiapan sahaja yang ada? Kenapa tidak dua untuk suami isteri yang masih belum turun?

Bukankah masih ada dua kerusi yang masih kosong?

“Mana daddy tak turun lagi ni, Nadia? Pergi panggil daddy, sayang,” pinta Uncle Rashid.

Serentak itu laungan si kecil bergema di segenap ruang rumah. Aku ketawa sambil menutup telinga. Betapa nyaring suaranya itu. Rizan segera menakup mulut si kecil. Turut sama tidak tahan dengan jeritan bernada tinggi ala soprano itu.

“Uiks! Perlahan sikit suara tu. Sakit telinga semua orang,” marah Mama Hamidah kepadanya.

Aku tersentak. Beginikah penerimaan Mama Hamidah terhadap cucunya? Aku tidak kira jika dia membenci Megat, tetapi kenapa perlu Nadia terkena tempias kebenciannya itu?

“Daddy datang, sayang!” Suara garau itu kedengaran dari entah mana sekali gus membuatkan dadaku berombak. Jantungku berdegup kencang. Aku seperti mahu lari jauh kerana tidak mahu berhadapan dengan pasangan suami isteri itu. Inilah kali pertama aku bakal bertemu dengan isterinya.

“Duduk, Megat. Malam ni Mak Yam and companymasak special untuk Megat,” seloroh Uncle Rashid kepada anaknya yang sudah beberapa tahun tidak ditemuinya.

Aku tidak perlu memastikan lelaki itu sudah berada di ruang bersama kami semua kerana sebaik dia melangkah, seluruh tubuhku seolah-olah meremang memberitahuku akan kehadirannya. Jiwaku bergelora. Ya ALLAH, cukuplah semua ini. Dia sudah beristeri! Matra itu berulang-ulang kali terpahat dalam kepala dan fikiran. Aku perlu tenang, perlu bersahaja. Betapa peritnya aku ketika itu sehingga untuk mengangkat wajah pun terlalu payah.

Dia mengambil tempat di hadapanku.

Nadia memecah keheningan dan kekalutanku saat itu. “Daddy, daddy... ini Auntie Julia. Kata pak ngah, nama Auntie Julia sama dengan Nadia.”

Aku tersenyum memandang ke arah Nadia yang tersenyum manis ke arah daddynya dan kemudian kepadaku.

“Kita baca doa makan dulu,” ujar Uncle Rashid. “Nadia, Nadia tahu tak baca doa makan? Daddy ada ajar tak?”

Nadia mengangguk. Dan tanpa disuruh-suruh, dia membaca dengan suara nyaringnya itu. Tepukan dan pujian melambung diberi kepada anak kecil itu. Aku sungguh seronok melihat dia begitu. Comel, keletah, berani dan bijak!

Aku sedaya upaya cuba mengelak untuk tidak bertentangan mata dengan lelaki itu di hadapanku. Fikiranku sebenarnya tengah kacau dengan satu persoalan. Di manakah gerangan isterinya? Tidakkah dia mahu memperkenalkan kepadaku? Kenapa isterinya tidak mahu campur dengan ahli keluarga barunya ini? Pelik. Aneh. Hairan.

Mereka berbual tentang masakan yang dihidangkan dengan kepakaran Megat dalam bidang masakannya. Tidak banyak yang aku dengar. Kerana dia sendiri seolah-olah meletakkan dirinya jauh dari kami semua. Seperti dulu juga, dia sangat tersendiri. Hanya anaknya yang lebih petah dan lebih mesra di sini.

Bila Nadia menunjukkan dia mahu merasai masakan udang yang sedikit pedas, entah kenapa, aku dan Megat serentak berkata ‘pedas’.

Suasana hening tiba-tiba. Mataku pantas memandangnya.

Aku kalah dalam pertarungan yang aku mulakan sendiri.

Megat berkata sesuatu kepada Nadia dalam bahasa Perancis. Kami semua tidak mengerti apa yang sedang diperkatakan oleh Megat kepada anaknya itu. Dan paling mengujakan aku bila melihat Nadia membalasnya dalam bahasa yang sama yang sangat lancar. Uncle Rashid dan Rizky segera bertanya apa yang sedang mereka perkatakan.

Lantas Megat menjawab, “Megat cakap tak boleh makan. Udang ni pedas. Esok Megat masak udang lain untuk dia.”

Aku diam sahaja. Tapi aku sebenarnya sangat tersentuh kali pertama melihat bicaranya yang sungguh lembut tatkala berkata-kata dengan anaknya itu.

Tidakkah lebih baik dia menggunakan nada yang sama seperti nadanya kepada Nadia kepada semua orang? Atau sememangnya dia sudah berubah dan tidak lagi kasar dan angkuh seperti dahulu? Mungkin juga. Masa mampu merubahkan corak dan sikap seseorang itu.

Nadia bertepuk tangan. Gembira dengan janji papanya.

“Abang, Nadia patut masuk private school. Bagus untuk dia.” Rizan mengeluarkan pendapatnya.

Aku cuba untuk tidak memandang ke arah Megat. Cuba untuk menjadi pendengar di antara mereka.

Megat ketawa. “Kenapa kau kata macam tu pulak? Sebab dia boleh berbahasa Perancis dengan baik, kau fikir dia patut masuk private school?”

Aku tersentak. Kasar sungguh kata-katanya biarpun di meja makan. Dia masih enggan menunjukkan sikap baiknya. Tidakkah dia melihat bahawa adik-beradiknya cuba untuk berbaik dengannya? Rupa-rupanya masih ada yang tidak berubah sepanjang enam tahun itu.

Suasana jadi tenang sebaik Megat berkata sedemikian. Aku benci dengan lelaki ini. Langsung tiada sifat memaafi. Dan di mana isterinya? Kenapa masih belum menunjukkan diri?

“Macam mana dengan rancangan Megat tu? Semua berjalan lancar?” Uncle Rashid segera membetulkan suasana di meja makan.

Good, good... alhamdulillah.”

Hmm... dengan bapanya, okey pulak. Getusku marah dalam hati.

“Agak-agak, bila nak bukak?” tanya Uncle Rashid lagi.

“Tengoklah nanti.” Itu jawapannya. Pendek sahaja.

Nadia mencuitku. Minta aku sedikit ayam kurma dari pingganku. Bila aku mengambil ayah dari pinggan hidangan, dia mencuitku sekali lagi sambil menggeleng. Tetapi masih menunjukkan ayam di pingganku. “Apa dia, sayang?” Aku bertanya dalam bahasa Inggeris.

“Ayam,” balasnya.

Aku mengerutkan dahiku.

“Mungkin dia nak ayam dari pinggan akak kut?” Rizky cuba meneka.

“Jangan!” Arahan tegas daripada Megat.

Aku buat tidak dengar walaupun tiada seorang pun yang terlepas dari suara Megat yang kasar itu.

“Nadia nak ayam auntie ke?” Aku tanya kepada Nadia kembali.

Nadia mengangguk.

“Nadia!” Suara Megat kedengaran sekali lagi dengan nada yang tetap sama seperti tadi.

Aku tersenyum senang, lantas mengoyak sedikit daging ayam di dalam pingganku untuk diletakkan ke dalam pinggan si kecil. Namun sebaik aku meletakkan cebisan daging ayam ke dalam pinggannya, Nadia sudah bersedia dengan mulut yang terbuka luas, mengharapkan aku menyuapkan ke mulutnya pula.

Aku terkejut. Anak kecil ini tidak tahu apa. Caranya seolah-olah ingin mesra denganku dengan caranya sendiri.

“Nadia!” Megat mula marah.

Aku terkejut sehingga cebisan daging ayam di tangan hampir terlepas daripada jariku.

Nadia juga tersentak dengan suara Megat kepadanya sebegitu rupa. “Nadia nak ayam, daddy.” Suaranya memberitahu kami semua, adakah hanya sekadar untuk meminta sedikit ayam dan menyuapkan ke mulutnya adalah satu kesalahan besar? Atau Megat sebenarnya cuba memarahi aku, lantas Nadia yang menjadi mangsanya?

Lantas anak comel itu menangis perlahan. Terkejut dengan sikap si bapa yang memarahinya tanpa sebab munasabah.

“Megat, dia nak ayam aje,” tegur Uncle Rashid, lembut.

Aku rasa sangat tersinggung dengan perbuatan Megat. Aku tahu dia mahu menegur aku, memarahi aku, tapi bukan itu caranya memberi teguran. Dan aku juga sedar, kini aku mula diperhatikan oleh mereka di meja makan.

Aku menyeka air mata di pipi Nadia. “Dah jangan menangis. Budak baik tak elok menangis. Nanti hilang comel dia.”

Tiba-tiba Nadia meraih memelukku. Tangisannya dibenam pada tubuhku. Aku benar-benar terkejut dengan sikap spontan Nadia. Tiada siapa pun mampu terduga akan pelukannya padaku yang baru dikenalinya tidak sampai sepuluh minit pun. Masing-masing mempamerkan wajah terkejut mereka!

Megat mula menunjukkan reaksi kurang senangnya dengan apa yang berlaku. Tubuhnya menyandar kembali ke kerusi. Tangannya sudah melepaskan sudu dan garpu di pinggan dengan agak kasar. Pinggan kaca dan sudu garpu berlaga sesama sendiri. Dia benar-benar tidak suka apa yang berlaku antara aku dan Nadia.

“Dah, dah... jangan menangis. Tak baik menangis depan rezeki TUHAN. Nadia suap sendiri, okey,” pujukku perlahan. Lantas aku mengoyakkan sedikit daging ayam dan meletakkannya ke dalam pinggannya. Kemudian aku bangun lalu membawa pinggan makanku ke singki dapur.

Di belakangku, Mama Hamidah kembali membebel. Rizan juga menegur. Nadia masih menangis. Mereka semua menyalahkan cara lelaki itu menegur. Cara dia menegur Nadia, menegur tetamu dan bakal menantu di rumah ini, semuanya itu tidak betul!

Aku mengambil masa sebanyak mana yang termampu di dapur. Memang tak berbaloi aku ke mari malam ni. Kalaulah aku terus berkeras hati, pastinya aku tidak merasai perasaan terhina sebegini.

“Dahlah... jangan ambil hati sangat dengan perangai Abang Megat tu. Bukannya you tak tahu perangai dia macam tu.” Rizan datang memujuk. Aku tidak menyedari kedatangannya ke dapur.

Aku tersenyum.

Rizan memandangku dengan pandangan pelik. Keningnya berkerut. “You menangis?” Lantas dia mengeluh. “Abang Megat benar-benar buat you tersinggung ya, Ju?”

Ya, aku menangis. Terlampau marah. Terlampau geram. Sikap abang Rizan itu keterlaluan. Memalukan diriku di hadapan semua orang di meja makan. Adilkah sikapnya itu? Kami tidak pernah kenal dengan baiknya, tidak pernah berbual mesra, tetapi kenapa aku boleh senang-senang dimarahinya?

“I nak balik,” kataku perlahan. “Tolong hantarkan I balik, Rizan.”

Rizan menarik nafas panjang. Pandangannya redup, mengerti. Kemudian dia mengangguk. “Sekurang-kurangnya lepas you jamah sikit pencuci mulut yang Mak Yam buat.”

Aku segera menggeleng. “Sekarang!”

Dengan sandaran pesanan abah yang mahukan aku kembali ke rumah seawal yang boleh, menjadikan kepulanganku begitu mudah. Tapi setiap wajah yang aku tatap kecuali ‘lelaki itu’, ada tanda soal. Namun aku cukup yakin mereka sudah menduga kenapa aku seakan-akan terburu-buru untuk pulang.

“CUKUP, Rizan! I tak nak fikirkan lagi. Jangan sebut-sebut hal tadi!” tegasku sepanjang perjalanan pulang. Rizan asyik berkali-kali meminta maaf atas kelancangan bahasa abangnya itu terhadapku sebentar tadi. Sedangkan aku sudah tidak mahu mengingatkannya. “Just stop it!Benda dah berlaku. Yang kena I, bukan you. Yang malu I, bukan you semua!” kataku separuh jerit kepada Rizan.

Rizan mengeluh.

“Apa masalah dia dengan I sebenarnya, ya? Apa yang tak kena dengan I?” Aku melepaskan rasa ketidakpuasan hatiku terhadapnya kepada Rizan. “I tak faham dengan perangai dia. Dari dulu sampai sekarang, takkanlah perangai dia sikit pun tak berubah?”

“Entahlah. Dia memang macam tu dari kecil. Tu sebab dia dengan mama, ‘frekuensi’ tak pernah nak sama,” jawab Rizan, seolah-olah kesal.

Aku mendengus. “Perangai sombong, kasar macam tu, boleh pulak ada perempuan yang nakkan dia. Kahwin dengan dia.” Aku terdiam. Ah! Siapa aku untuk menentukan jodoh seseorang itu? Siapa aku untuk mempertikaikan kuasa ALLAH? Atau aku sebenarnya cemburu kerana dia telah berkahwin? Ya ALLAH! Apa sudah jadi dengan diriku ini? Aku hampir mencurahkan perasaanku ketika ini. Hati yang sedang marah menjadi pintu rahsiaku hampir terbuka luas. “Hmm... jodoh tak kenal siapa.” Rahsia harus menjadi rahsia selamanya.

Rizan terdiam.

“Mana isteri dia? Mana kakak ipar you, Rizan? Sebab isteri tak ada kat meja makan, senang-senang dia buat perangai ke?”

Rizan tidak menjawab pertanyaanku serta-merta. Dan aku mengira waktu sampai bila dia mahu mendiamkan dirinya dengan soalanku itu. “Abang Megat dah bercerai dengan isteri dia.” Akhirnya, dia menjawab tenang,

Aku tersentak. Adakah benar yang aku dengar? “Hah?” Tapi cepat-cepat kembali tenang. Aku kembali berkata sinis, “Macam mana isteri dia nak tahan kalau perangai dia macam tu?”

Rizan terdiam lagi. “Abang Megat tak nak cerita pasal bekas isteri dia. Kenapa dia orang bercerai pun abang tak pernah nak cerita.”

“Takkanlah dengan papa you pun dia nak berahsia jugak?”

Rizan mengerlingku dengan penuh makna. Ya, perangai Megat penuh rahsia. Caranya sudah menunjukkan dirinya sebenar.

Aku tidak peduli. Aku tersangat benci dengan lelaki itu. Tapi anehnya, rasa cemburu terhadap isterinya terpadam. Kerana isteri bukan lagi isteri, tetapi sudah menjadi bekas isteri sahaja.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.