HARI berganti minggu. Minggu bertukar sebulan. Petang itu,
sebaik sahaja kereta yang dipandu oleh Ganesh meninggalkan pejabat Lembaga
Pemasaran Pertanian Malaysia, Raif melepaskan kelegaan. Bersyukur di dalam hati
kerana perbincangan dengan pegawai atasan tadi berjalan lancar. Ilyas Trading
telah diberi kepercayaan untuk membawa masuk jentera berkuasa tinggi yang akan
digunakan untuk memproses hasil-hasil pertanian.
Bagi tujuan itu, dia terus menghubungi Melissa yang berada
di pejabat. ‘‘Mel... nanti tempahkan tiket untuk I pergi Bangkok hari Khamis 13
hari bulan sampai hari Sabtu.’’
Melissa terus mencatit di dalam diarinya. ‘‘Okey bos.
Maknanya, you akan pergi ke syarikat jentera di Bangkok tu, ya?’’ Dia sudah
maklum, kalau mesyuarat tadi berjaya, agenda Raif seterusnya akan ke Bangkok
untuk berurusan dengan syarikat pembuat jentera tersebut.
‘‘Ya...’’
‘‘Nanti I akan inform mereka di Bangkok tu. Tapi
you nak pergi ke Taiwan 16 hari bulan, confirm atau tidak?’’ Melissa
risau jika jadual Raif bertindan. Balik dari Bangkok pada Sabtu malam dan Ahad
terbang pula ke Taiwan. Tidak cukup rehat pula bosnya nanti.
Raif memicit dahinya. Baharu teringat yang dia juga
sepatutnya ke Taiwan untuk meninjau beberapa syarikat pengeluar tab di sana.
Hampir dia terlupa dan mujur Melissa yang cekap itu mengingatkannya. ‘‘Kalau
macam tu, tunda sikit. I pergi Taiwan hari Isnin atau Selasa.’’
‘‘Bos... jadi ke Mel nak berhenti kerja?’’ tanya Ganesh
setelah Raif mengakhiri perbualan dengan Melissa. Sejak sebulan yang lalu, dia
sudah mendengar keluhan hati Melissa yang ingin berhenti kerja. Dalam masa yang
sama, Melissa juga tidak sampai hati untuk melepaskan jawatannya itu gara-gara
simpati dan hormatkan Raif.
‘‘Aku sebenarnya berat hati nak bagi dia berhenti. Aku dah
selesa kerja dengan dia selama bertahun-tahun ni. Dia tu bagus dan faham cara
aku. Tapi takkan nak halang pula kalau dia nak berhenti sebab nak jaga baby
dia yang tak sihat tu.’’ Raif meluahkan rasa serba-salahnya. Sebagai majikan,
dia perlukan Melissa sebagai setiausahanya. Tetapi sebagai seorang rakan, dia
faham kepayahan Melissa yang harus menjaga anaknya yang telah didiagnos
menghidap penyakit jantung berlubang sebulan yang lalu. Kerana itu, Melissa
sering berulang-alik ke hospital dan mengambil cuti kecemasan.
‘‘Kena cari setiausaha yang lainlah, bos. Kesian Mel.’’
Walaupun Ganesh sekadar pemandu kepada Raif, tetapi hubungan mereka lebih
bersikap terbuka. Namun, rasa hormat itu tetap ada.
‘‘Kau ingat senang ke nak cari setiausaha yang bagus macam
Mel tu?’’
‘‘Iklankan dalam Jobstreet, gerenti ramai yang tunggu
depan Ilyas Trading, bos.’’ Ganesh yakin pasti berderet gadis yang akan
memohon. Siapa yang tidak mahu menjadi setiausaha atau PA kepada bos yang kacak
dan bergaya seperti Raif?
‘‘Ramai yang datang, tapi kalau harap cantik aje dan tak
pandai buat kerja... menyusahkan aku saja macam si Elena dulu,’’ bebel Raif
terkenangkan Elena yang pernah menggantikan Melissa ketika wanita itu cuti
bersalin selama dua bulan. Letih mulut bercakap perkara yang sama berulang-ulang
kali kerana Elena tidak faham-faham.
‘‘Tapi kalau tak ada PA pun susah juga bos.’’
‘‘Aku tahu. Sekarang ni, Mel tengah cari di agensi
pekerjaan. Kalau dah dapat, aku akan suruh Mel latih budak tu betul-betul. Bila
dah pandai, lepas tu Mel boleh berhenti. Sekurang-kurangnya dalam tempoh tu,
kos perubatan anak Mel masih boleh ditanggung oleh syarikat.’’ Itulah
persetujuan yang telah dicapai di antara dia dan Melissa saat wanita itu
memberinya notis perletakan jawatan. Dia bersimpati dengan apa yang dilalui
oleh Melissa.
Ganesh mengangguk. Harus diakui, Raif memang seorang ketua
yang cukup bertolerasi. Tentang kebajikan pekerja, Raif tidak pernah berkira.
‘‘Hari ni Jumaat. Esok nak ikut ayah aku ke Singapore.
Khamis minggu depan nak pergi Bangkok... lepas tu nak pergi Taiwan. Padat betul
jadual aku ni.’’ Raif tersedar yang kesibukannya sudah berganda-ganda sekarang
ini. Sehingga masa untuk diri sendiri pun sudah terhad. Sudah banyak kali dia
terpaksa berkorban rasa dan menghampakan banyak hati apabila asyik
berulang-alik ke Bangkok dan Singapura sejak sebulan dua ini.
‘‘Tapi bos... itu semua pasal projek. Kasi masuk
banyak-banyak, bos. Hujung tahun bagi bonus,’’ giat Ganesh. Kalau Ilyas Trading
perolehi keuntungan, semua staf mendapat bonus paling kurang pun sebulan gaji.
Raif tersenyum mendengar usikan Ganesh. Itulah hakikatnya,
kesibukannya itu adalah untuk membawa profit masuk ke Ilyas Trading. ‘‘Sebab
nak masuk projek banyak-banyaklah sampai aku nak keluar dating pun tak
sempat.’’ Dek kerana sibuk, dia langsung tidak berpeluang untuk keluar dating
dengan sesiapa pun sejak kebelakangan ini.
‘‘Ayoyo bos... itu macam tarak bolehlah! Dating kena jugak
bos... nanti girlfriend lari, duit banyak-banyak pun tarak
guna juga.’’
‘‘Aku cari girlfriend lain!’’ Raif berjenaka.
Walaupun jauh di sudut hati, dia mengakui kebenaran itu. Ya... duit memang
boleh dicari. Tetapi mampukah dia mencari pengganti kepada seseorang yang
istimewa di hatinya andai si dia lari?
Ganesh tergelak. Kalau sudah berduit, tukar teman wanita
pun seperti tukar pakaian sahaja bosnya itu. ‘‘Tapi itu macam,tarak
baguslah, bos. Hati perempuan jangan kasi hancur, bos!’’
Kata-kata Ganesh yang berbentuk nasihat itu menyengat
telinga Raif. Mula tersedar sesuatu. Ada ke hati yang ‘hancur’ kerananya? Jika
ada... wajib dia ‘mencantumnya’ semula!
PADA hari Ahad itu, Raif sudah
menetapkan yang Irdina harus ditemui. Sudah beberapa kali dia berjanji untuk
keluar bersama Irdina, dan acapkali juga dia terpaksa membatalkannya. Termasuk
juga menolak pelawaan Irdina untuk aktiviti berkayak di Kuala Kubu Baharu pada
dua bulan lepas kerana dia terpaksa ke Bangkok. Walaupun raut wajah Irdina
kelihatan tenang dan bersahaja ketika berjumpa sehari sebelum gadis itu ke
Kuala Kubu Baharu, dia tetap menghimpun rasa bersalah di hati kerana terpaksa
membatalkan hasrat mengikut gadis itu di saat-saat akhir.
Maka pada hari itu, dia mahu menebus rasa bersalah yang
bersarang di hati. Semua perancangan lain akan diketepikan. Irdina merupakan
keutamaannya pada hari itu memandangkan selepas ini, dia akan kembali sibuk ke
Bangkok dan Taiwan semula.
‘‘Awal keluar Raif... nak ke mana?’’ tanya Datin Raudhah
saat Raif menuruni anak tangga dengan siap berpakaian kemeja dan seluar jean.
Selalunya pagi Ahad begitu, Raif masih berseluar Bermuda dan berkemeja T duduk
mengadap televisyen atau ipadnya selepas mereka bersarapan.
‘‘Nak keluar jumpa Idin, umi.’’ Raif terus ke kabinet tepi
pintu utama untuk mencapai kasutnya.
‘‘Tak penat ke? Semalam balik dari Singapore pun dah pukul
2 pagi... ni pukul 9.30 nak keluar lagi,’’ leter Datin Raudhah. Patutlah Raif
sekadar minum kopi sahaja sewaktu bersarapan tadi. Rupanya ada rancangan lain.
Raif memang tidak betah duduk di rumah. Panas punggung agaknya kalau seharian
tidak keluar.
‘‘Orang muda, Adah... tenaga dia banyak lagi. Biarlah dia
nak keluar,’’ sampuk Datuk Ilyas menyebelahi Raif. Dia tidak pernah berkeras
dengan anak-anak lelakinya atau mengongkong pergerakan mereka. Kerana itu, dia
tidak kisah sangat kalau Raif sering keluar. Asalkan tanggungjawab di Ilyas
Trading, Raif tidak abaikan.
Datin Raudhah menjeling ke arah Datuk Ilyas tanda tidak
bersetuju. Dia mahu Raif duduk di rumah, suaminya itu pula menggalakkan Raif
keluar.
‘‘Nak bawa Idin ke mana?’’ Kalau boleh, Datin Raudhah
hendak pasang device censor di badan Raif. Biar dia tahu setiap langkah
anak bujang yang sememangnya panjang langkah itu. Entah ke mana mahu dibawanya
Irdina.
‘‘Tak tahu lagi.’’ Raif tidak ada apa-apa perancangan. Apa
yang penting, dia mahu meluangkan masa bersama Irdina. Kalau boleh, sepanjang
hari Ahad itu. Sebagai mengganti hari-hari yang telah dibatalkannya sebelum
ini.
‘‘Bawa ajelah Idin tu ke sini... makan tengah hari dengan
umi dan ayah. Raiha tak ada, dari semalam lagi pergi ke rumah kawannya di
Sepang.’’ Datin Raudhah mempelawa. Hari Ahad itu, rumah mereka agak sunyi.
Setiap hujung minggu, Ian akan bermalam di rumah orang tua Johana. Tinggallah
dia dan Datuk Ilyas sahaja.
‘‘Hmm... lain kalilah, umi.’’ Bukan Raif tidak suka
mengajak Irdina ke rumahnya, tetapi dia mahu menurut kemahuan hati Irdina.
Terpulang kepada Irdina hendak pergi ke mana, dia akan cuba penuhi permintaan
gadis itu.
‘‘Jaga Idin tu elok-elok bila keluar dengan dia, Raif,’’
pesan Datin Raudhah. Dengan siapa pun Raif keluar, sebagai ibu dia sentiasa
berasa bimbang. Lebih-lebih lagi kalau Irdina. Gadis yang merupakan anak
tunggal kepada seorang ibu tunggal. Takut kalau terjadi apa-apa kepada anak
dara orang dan anak terunanya itu pula dipersalahkan.
Raif tersenyum dan membuat aksi tabik hormat kepada
pesanan Datin Raudhah itu. Jika dibandingkan Irdina dengan Wati, Syikeen dan
lain-lain yang pernah umi temui, nampak sangat yang umi berkenan pada Idin.
Serta merta hati terasa lega dengan penerimaan itu.