DI RUANG tamu apartmen itu, Irdina berdiri gaya ala-ala Top
20 Model di hadapan Yasmin yang sedang berbaring di sofa. “Okey tak macam ni?
Tak overdressed ke?”
Selalunya, dia lebih selesa berseluar khaki dan berkemeja.
Namun, memandangkan yang dia bakal bertemu dengan orang yang istimewa sebentar
nanti, dia mahu mengubah sedikit gayanya.
Sungguhpun kepala Yasmin masih berdenyut-denyut, tetapi
matanya tetap mengamati gadis yang menyarung skirt berpotongan payung serta
blaus bercorak dengan potongan Empire Line. Cekak rambut berwarna merah jambu
terletak kemas di atas rambutnya yang dibiarkan melepasi bahu. Solekannya nipis
namun tetap manis. Sesekali bila gadis ini berpakaian feminin, keayuan wajahnya
pasti terserlah.
“Dah okey sangat ni... tak overdressed pun.
Cantik,” puji Yasmin. Apa sahaja yang tersarung di tubuh Irdina, semua
dirasakannya cukup sempurna. Sesuai dengan ketinggiannya yang 160cm itu dan
tubuh yang tidak terlalu kurus.
Irdina tersenyum lebar mendengar pujian itu. Dia yakin
tiada siapa yang akan memujinya sedemikian ikhlas selain daripada Yasmin.
“Terima kasih, mama!”
Serentak itu juga, telefon bimbit di tangan Irdina
berbunyi. Tanda mesej diterima. Laju dia membaca pesanan yang tertera.
I kat bwh ni. Sorry dear, I x bole naik atas jumpa mama u… xde
parking.
“Dia dah sampai... tapi tak boleh naik jumpa mama sebab
tak ada parking,”beritahu Irdina sambil jari jemarinya membalas mesej
tersebut dengan ayat ‘K... 5 min.’
“Tak apa.” Yasmin tahu kesukaran mencari ruang parkir di
kawasan Apartment Crystal.
“Mama okey ke ni tinggal seorang? Atau mama ikut Idin
ajelah.” Irdina pelawa lagi. Berharap Yasmin turut serta. Setidak-tidaknya,
peratusan kekoknya akan berkurangan.
“Kepala mama berdenyut-denyut lagi ni. Malas mama nak
keluar. Mama dah makan ubat... sekejap lagi okeylah ni. Kalau dah sihat sikit,
mama janji dengan Aunty Carol nak temankan dia ke flea marketdi Curve.”
Yasmin menolak lembut. Bukan dia sengaja mahu menghampakan permintaan Irdina,
tetapi dia kurang sihat sejak pagi tadi. Lagipun, masih terlalu awal untuk dia
ke sana. Biarlah Irdina sahaja yang mendahului buat masa ini.
“Alaa... cakap pada Aunty Carol tu... minggu depan Idin
boleh temankan dia ke flea market dari pagi sampai ke petang. Sebab
kalau mama tak ada, Idin rasa kekoklah.” Irdina memikirkan yang bukan-bukan.
Rasa bimbang mula membiak di hati untuk pertemuan yang pertama kali itu.
Yasmin tertawa kecil. “Laa... borak ajelah macam biasa.”
Irdina yang kelihatan berani itu rupanya penakut juga.
Irdina memuncung. Tidak dapat dibayangkan bagaimana
pertemuan itu nanti.
“Dahlah tu... tak payah risau. Dia orang mesti okey
punya.” Yasmin memberi sokongan.
Irdina akhirnya mengucup pipi Yasmin. “Apa-apa hal mama
telefon Idin, tau?”
“Ya!”
“Kalau Idin balik nanti, mama masih tak sihat... Idin bawa
juga mama pergi klinik!”
Yasmin tersenyum. Cara Irdina mengugutnya bagaikan
‘mak-mak’ pula. Tapi itulah cara keprihatinan anak gadis kesayangannya.
“Pergi turun cepat... dah lama dia tunggu kat bawah tu.
Kesian dia. Kirim salam pada dia dan keluarga.”
“Insya-Allah.
Pergi dulu, ma...” Irdina berjalan ke pintu. Kasihan si dia menunggu di dalam
kereta. Lima minit yang dijanjikan sudah hampir tamat tempohnya.
Irdina menghayun langkah ke lif untuk turun ke lobi dengan
hati yang semakin berdebar. Debaran yang pertama kali dirasakannya setelah
berpuluh-puluh kali keluar bersama ‘si dia’.
Setiap kali berada di dalam lif, pasti perkenalannya
dengan si dia hampir sembilan bulan yang lalu, mengimbau kotak memori.
Siri-siri pertemuan di antara mereka di hospital sehingga terjalinnya hubungan
antara mereka. Tetapi hubungan apa ya? Berteman sahaja atau sebenarnya lebih
daripada itu?
Sembilan bulan sebelumnya...
PINTU lif di hadapan unit fisioterapi
itu hampir tertutup apabila Irdina menangkap satu suara dari luar.
“Hold the lift, please!”
Memandangkan hanya dia sahaja di dalam lif itu, pantas
jari Irdina menekan punat lif agar pintunya terbuka semula. Sejurus, seorang
jejaka berkemeja denim biru dan berseluar jean hitam memasuki lif itu. “Terima
kasih,” ujarnya dengan senyuman.
Ohh... mamat ni rupanya! Mamat yang sudah tidak asing di
pandangan mata sejak kunjungannya ke hospital sebulan yang lalu.
Kronologi pertemuan mereka bermula apabila dia terlanggar
jejaka itu waktu menyorong kerusi roda yang diduduki oleh Atuk Jamil. Mujur
jejaka itu tidak marah dan menerima kemaafannya. Walaupun jelas raut mukanya
menahan kesakitan di kaki, tetapi jejaka itu masih mampu tersenyum. Selepas itu
pula, kad rawatan atuk terlepas dari genggamannya. Kebetulan pemuda itu berdiri
hampir dengannya di kaunter, lantas mengutip kad tersebut yang terjatuh ke
lantai dan memulangkan kepadanya.
Sejak dari itu, setiap kali dia ke hospital menemani atuk,
mereka akan terserempak sama ada di unit fisioterapi, di lobi atau di kafe.
Berbalas senyuman sudah menjadi satu kemestian walaupun tiada sapaan atau
teguran. Tadi pula, mereka duduk selang dua kerusi di ruang menunggu. Adakah ia
satu kebetulan atau sudah ditakdirkan?
“Tingkat berapa?” soal Irdina memandangkan dia yang
berdiri di panel butang tersebut.
“You nak pergi tingkat berapa?” Pemuda itu bertanya.
Lunaknya suara si manis ni... kalau berkaraoke ni, mesti bestsuara dia!
Peluang yang ada tidak akan dilepaskan. Inilah masanya
untuk bercakap dengan gadis yang sudah acapkali lalu lalang di depan matanya
sejak dia berkunjung ke hospital itu. Kalau tidak dapat berbual panjang, dapat
tahu nama pun sudah mencukupi. Sepertimana dia mengetahui nama pelatih
praktikal yang bertugas di unit fisioterapi itu. Tidak lengkap rasanya
‘pertemuan’ mereka jika sebaris nama pun tidak diketahui sedangkan mereka sudah
berada di ruang yang sama sejak sebulan yang lalu.
Soalan pemuda itu membuatkan Irdina berkerut dahi. Aku
tanya dia... dia tanya aku balik? Apahal nak ikut aku pula? Malas untuk
bersoal-jawab, Irdina terus menekan ‘G’. Suka hati kaulah hendak ikut atau
tidak.
“Ada apa di ground floor tu ya?” Dia memasang umpan
untuk berbual. Pura-pura menyoal sedangkan dia berharap sangat gadis itu ke
kafe kerana dia juga mahu ke situ. Untung-untung boleh duduk semeja. Setelah
mereka duduk selang dua kerusi di ruang menunggu sebentar tadi.
Sekurang-kurangnya, ada peningkatan dalam siri pertemuan mereka.
Irdina berdeham. Ni pick-up line ke? Sudah kerap
kali mereka berada di zon yang sama, pemuda itu ingin memulakan langkah pertama
agaknya.
‘‘I pun tak berapa pasti apa ada di ground floor
tu. Tapi ada kaunter pertanyaan kat situ... bolehlah you tanya nanti.”(New para)Pemuda itu tersenyum mendengar
jawapan bersahaja itu. Namun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus
berbual. Akan diteruskan misi mengenali si gadis.
Irdina menoleh untuk memandang pemuda yang tersenyum itu.
Aduh... handsome pulak dia ni bila senyum! Terserlah lesung pipit yang
hanya ada di sebelah pipi kanan sahaja. Jantung Irdina sudah berdetap-detup
menatapnya.
Pintu lif terbuka. Mencantaskan lamunan Irdina. Termalu
sendiri kerana membiarkan matanya mengkagumi wajah itu. Kau ni kenapa, Idin?
“After you.’’
Pemuda itu menahan pintu lif dengan tangannya untuk memberi laluan kepada
Irdina melangkah keluar terlebih dahulu.
“Terima kasih.’’ Irdina pantas berjalan menuju ke kafe.
Tidak mahu diri diekori tetapi kenapa dia terasa seolah-olah pemuda itu sedang
cuba menyaingi langkahnya?
Masuk sahaja ke kafe, langkah Irdina terhenti. Matanya
liar mencari meja kosong. Rezeki untuknya, sesaat kemudian dia terlihat dua
orang pemuda berura-ura hendak bangkit dari kerusi di satu sudut kafe itu.
Pantas Irdina menghala ke situ.
Sambil menunggu pelayan mengemas dan mengelap meja, Irdina
terus melabuhkan punggung di kerusi dan mula mencari-cari menu yang hendak
dimakan bagi mengisi perutnya yang sudah bergendang kelaparan.
Namun, tiba-tiba terlintas sesuatu di fikirannya. Kalau
aku bangun beli makanan, siapa pula nak jaga kerusi aku ni? Ini kafe layan
diri! Alahai...
‘‘Err... boleh I tumpang duduk sini?’’ Tiba-tiba muncul
pemuda itu di sisi mejanya.
Irdina terkejut. Kepalanya terdongak memandang pemuda itu.
Dia ni memang ikut aku ke? Apahal nak duduk semeja dengan aku pula? Kenal pun
tidak... takkan nak mengadap muka dia sepanjang makan?
Tapi, bukannya dia tidak kenal langsung pemuda itu. Dan
pertanyaan lelaki itu pula dalam nada yang sungguh ikhlas. Takkan kau nak suruh
dia cari meja lain sedangkan tak ada meja yang kosong... kejamnya kau, Idin!
Irdina menimbang tara tindakannya. Buat beberapa detik,
dia berperang dengan perasaan dan membiarkan pemuda itu terus menanti
jawapannya.
‘‘Hmm... duduklah.’’ Akhirnya Irdina mempelawa. Boleh juga
mamat ni tolong jagakan meja sementara aku beli makanan. Dan pastikan ia cuma
sesi makan saje, Idin... tak perlu borak-borak.Peringatan kepada diri sendiri.
‘‘Thanks,’’ ucap pemuda itu lalu menarik kerusi di
depan Irdina. ‘‘You pergilah beli makanan dulu... I jaga meja ni. Atau you
duduk sini, I belikan makanan untuk you. You nak makan apa?’’ Terus dia
menawarkan bantuan.
‘‘Eh... tak apa... tak apa. You tunggu sini. Biar I beli
sendiri.’’ Irdina pantas menggeleng. Walaupun pemuda itu tampak ikhlas, tetapi
dia tidak mahu termakan budi. Lantas, dia bergerak ke kiosk yang menjual nasi
ayam.
Lima minit kemudian, Irdina kembali ke meja dengan
sepinggan nasi ayam dan segelas sirap limau.
‘‘I pergi beli nasi sekejap ya?’’ Pemuda itu berdiri
sambil meminta izin sebaik sahaja Irdina melabuhkan punggung di kerusi.
Irdina sekadar mengangguk. Beria-ia pula dia ni minta izin
aku... apa hal? Matanya mengiringi langkah lelaki itu hingga ke kiosk nasi
campur. Kelihatan lelaki itu sempat pula menegur dan tersenyum-senyum dengan
Dr. Syauqina yang beratur di depannya. Doktor muda berdarah Arab itu merupakan
doktor fisioterapi untuk Atuk Jamil. Hish, mamat ni... semua perempuan di sini
dia tegur ke?
Tanpa terus larut dalam persoalan itu, Irdina kembali ke
menu di depan mata. Membaca doa dan terus menyuap nasi ayamnya ke mulut. Cepat
dia makan, maka cepat jugalah dia meninggalkan meja tersebut. Pasti dia tidak
perlu berbual panjang dengan pemuda itu. Rasa kekok sungguh bila semeja dengan
lelaki asing ini.
Tapi... dia handsome!Takkan nak‘chow’aje
bila habis makan tanpa tahu nama dia? Sekali lagi Irdina diserang kekeliruan
dengan tindakan seterusnya.
It's alright, Idin. We go with the
flow!Pesanan untuk diri sendiri sambil
menarik nafas tatkala pemuda itu kembali, lantas meletakkan pinggan nasi campur
dan gelas limau ais di atas meja.
Suasana sunyi di antara mereka. Masing-masing kelu untuk
berkata. Juadah di depan mata dinikmati sambil minda merencana apa langkah
seterusnya.
Akhirnya pemuda tersebut bersuara bila kebisuan itu
membuatkan dia kebosanan. ‘‘Dah lama atuk you terima rawatan fisio kat sini?’’
Sekilas dia mengerling pinggan gadis itu yang sudah separuh kosong. Lajunya dia
ni makan! Lapar sangat ke? Sempat ke aku nak berborak dengan dia? Atau paling
tidak pun, tanya nama dia?
Irdina menyudahkan kunyahannya. ‘‘Hampir dua bulan.’’
‘‘Strok, kan?’’
Irdina mengangguk tanpa memandang wajah itu. Tiba-tiba
terasa segan untuk menatapnya kerana ada debaran di hati tatkala bertentang
mata. ‘‘Mild stroke.’’ Pasti lelaki itu mengetahuinya daripada salah
seorang jururawat pelatih yang sering membantu atuk menjalani rawatan.
Keduanya kembali diam. Pemuda itu mula keresahan bila si
gadis begitu berselera menghabiskan nasinya. Tak mahu tanya aku apa-apa ke?
Takkan aku saja yang bercakap?
‘‘Hmm... yang you temankan tu, siapa?’’ Akhirnya Irdina
panggung kepala dan bertanya. Memandangkan pemuda itu menemani lelaki yang
berwajah kacukan, mahu juga dia tahu apa hubungan mereka. Kalau adik-beradik,
kenapa wajah mereka berlainan walaupun keduanya tampan? Kawan ke? Atau dia
ni... err...gay? Sayangnya... muka handsometapi
gay!
Astaghfirullah... Nauzubillah.
‘‘Abang I... dia patah kaki sebab jatuh basikal.’’
Ahh... lega hati Irdina mendengar perkataan ‘abang’ itu
kerana jelas pemuda ini masih normal. Walaupun terselit rasa curiga dengan
perbezaan wajah kedua adik-beradik itu. ‘‘Abang you rider ke?’’
‘‘Peminat tegar MTB.’’
‘‘Oh...’’ Irdina mengangguk. Si abang, peminat Mountain
Biking. Si adik ni, peminat perempuan ke? Kerana suka benar menegur kaum Hawa
yang ditemuinya!
‘‘Err... how should I address you?”
‘‘Hmm... nak buat apa tahu nama I?’’ Irdina main tarik
tali. Kalau dia tanya nama aku, pasti aku akan tahu nama dia. Mahu diberitahu
nama betul atau nama tipu?
Mendengar soalan itu, pemuda itu tahu perlunya memberikan
justifikasi. Tidak mahu disalah anggap dengan niat murninya untuk berkenalan.
‘‘Dah duduk semeja macam ni tapi tak tahu nama you... rasa tak syok pulak, kan?
Kita pun akan selalu jumpa di unit fisio tu.At least for the next month or so...’’Dia mula memikirkan perancangan masa
panjang. Berkawan biar seribu. Apa salahnya jika dia menambah seorang lagi
kawan dalam senarainya.
Irdina diam seketika. Ya... pastinya mereka akan berjumpa
lagi pada setiap hari Rabu dan Sabtu untuk minggu-minggu seterusnya. Kalau
selepas ini berselisih bahu, takkan hendak disapa dengan ‘hai’ sahaja tanpa
memanggil nama? ‘‘Hmm... Idin.’’
‘‘Idin.’’ Pemuda itu mengulanginya dengan suara perlahan
dan bersulam senyuman.’’Comel nama tu.’’
Irdina hampir tersedak mendengar pujian itu. Ni second
pick-up line ke? Ish... pandainya dia ni mengayat! Dan suara dia bila sebut
nama aku... kenapa romantik semacam aje? Irdina sudah tidak tentu rasa.
‘‘And how should I address you?Kalau
kita satu lif lagi selepas ni... at least for the next month or so?’’Rasa
ingin tahu Irdina melonjak.
Pemuda itu melemparkan senyuman bila terasa dirinya
diperangkap dengan ayat yang serupa. ‘‘Raif... Raif Imran.’’ Mindanya sudah
memeta perancangan seterusnya. Ada sesuatu pada Idin yang menarik
perhatiannya... gaya yang selamba dan bersahaja itu mengingatkan dia pada
seseorang yang cukup dekat dengan dirinya.
Senyuman itu telah berjaya mengocak hati Irdina sepanjang
hari. Dan hari-hari seterusnya, dia tidak mampu membohongi diri. Senyuman
itulah yang mahu ditatapnya setiap kali berkunjung ke hospital pada hari Rabu
dan Sabtu.