SESEKALI terbit rasa cuak di sudut hati Raif. Sudah
berkali-kali dia menimbang tara tindakannya. Ini merupakan pelaburan yang
terbesar yang pernah dilakukannya. Betulkah cara yang dipilihnya ini?
Lantas, dia menepis semua rasa curiga dan membayangkan
yang baik-baik sahaja. Niatnya cuma untuk menambah pendapatan agar dia dapat
merealisasikan apa yang menjadi impiannya selama ini.
Bersama lafaz Bismillah di bibir, Raif menurunkan
tandatangan pada cek yang tertulis jumlah 350 ribu ringgit itu. ‘‘Bahagian I,’’
ujarnya seraya menceraikan helaian cek tersebut daripada buku ceknya. Lalu
dihulurkan cek itu kepada Fawzia yang duduk di depan.
Fawzia tersenyum menyambut huluran cek itu. ‘‘Dalam masa
tiga bulan, you akan dapat 105 ribu, Raif. Boleh buat deposit Audi R8,’’
usiknya.
Raif tertawa kecil. ‘‘Cukup-cukuplah tu beli kereta... I
nak beli rumah pula kali ni.’’ Dia sudah merancang yang duit itu nanti akan
digunakan sebagai deposit untuk sebuah townhouse yang telah menarik
minatnya baru-baru ini.
Mayza yang duduk di sebelah Raif sudah berangan-angan.
Alangkah indahnya jika dia yang akan melangkah masuk ke rumah milik Raif itu
nanti. Pasti bahagia melingkari jiwa. Selama ini pun, dia dambakan lelaki yang
stabil dari segi ekonomi dan kewangan. Setakat ini, hanya Raif yang
dirasakannya setaraf dari segi material. Tetapi bagaimana untuk merantai hati
lelaki yang duduk di sebelahnya ini?
‘‘Cik Mayza... macam mana?’’
Teguran Fawzia melenyapkan angan Mayza. ‘‘Oh... ini I
punya.’’ Lalu dia menyerahkan cek bernilai 100 ribu kepada Fawzia. Ada
kerisauan mengetuk hatinya tatkala
menyerahkan 100 ribu itu ke tangan Fawzia. Namun, cuba dikikis perasaan
itu. Dia harus berfikir secara positif dan yakin dengan tindakannya.
Sebagaimana yakinnya Raif melabur sehingga 350 ribu. Kerana itu, dia akhirnya
memutuskan untuk melabur sebanyak 100 ribu dengan menghabiskan semua wang
simpanannya.
‘‘Dalam beberapa hari lagi, I akan beri investment
agreement yang baru untuk Raif tandatangan memandangkan investment
ni di atas nama Raif. Dengan apa yang you laburkan, you akan dapat returns
yang sama macam Raif dan Zoey.’’ Fawzia menjelaskan kepada Mayza.
‘‘Berapa allocation kali ni, Fawzia?’’ Raif sedia
maklum, Fawzia sudah ada peruntukan setiap kali membuat pelaburan.
‘‘Kali ni 2 juta. 500 ribu daripada you, Zoey dan Mayza, I
sendiri 500 ribu dan roll over 1 juta daripada Fariq iaitu pemilik
syarikat IQ Event & Management bersama isterinya.’’ Fawzia bercerita.
Rezeki untuknya pada hari Rabu itu bila mana pagi tadi, Ahmad Fariq dan Zahara
Inas turut melabur 1 juta. Kini pengarah urusan Ilyas Trading ini pula melabur
sebanyak 500 ribu bersama rakan-rakannya.
‘‘Roll over
1 juta?’’ Raif dan Mayza serentak bertanya. Terpegun dan kagum bila ada pelabur
lain yang sanggup melabur sebanyak itu. Pastinya pelabur itu mempunyai tahap
keyakinan dan keberanian yang tinggi.
‘‘Dah terbukti. Tak pernah lagi dalam sejarah FZ
Investment Corporation, pelabur tak dapat pulangan. Paling kurang pun 10
peratus.’’
Raif dan Mayza terangguk-angguk bersetuju.
Tatkala itu, telefon bimbit Raif berbunyi. ‘‘Excuse me
ladies... I need to answer this call,’’ ujarnya sebaik melihat nama yang
tertera dan berjalan keluar dari bilik mesyuarat. Ada senyuman terhias di
bibirnya. ‘‘Yes dear...’’
Di hujung sana, Irdina menggaru keningnya mendengar sapaan
Raif. Keliru bila memikirkan adakah dia seorang saja yang dipanggil ‘dear’
atau semua orang menerima panggilan yang serupa? ‘‘You tengah sibuk ke?’’
‘‘I tengah ada discussion ni.’’
‘‘Sorry...kacau
you. Tak apalah Raif, nanti kita sembang.’’ Cepat Irdina memohon maaf. Terasa
bersalah menelefon lelaki itu di waktu pejabat.
‘‘Lepas habis discussion, I telefon you balik ya?’’
Janji Raif.
‘‘Okey...’’
‘‘Sorry...’’
Raif kembali ke bilik mesyuarat.
‘‘Tak apa,’’ jawab Fawzia. Siapa dia untuk melarang Raif
bercakap telefon. Malah, dia tidak ambil peduli pun siapa yang menghubungi
Raif. Perkara penting baginya adalah pelaburan yang sudah dibuat oleh Raif
sebagai mencukupkan peruntukan yang dia sudah sediakan untuk pelaburan kali
ini. Itu sahaja yang menjadi keutamaannya.
Mayza pula tidak menjawab apa. Dia tertanya di dalam hati,
siapakah gerangan pemanggil itu sehingga bersungguh Raif hendak menjawab
panggilan tersebut. Sampai terpaksa keluar dari bilik mesyuarat.
Benarkah Raif sudah ada teman wanita seperti yang
diguraukan pada hari Sabtu lepas? Siapa gadis bertuah yang berjaya menambat
hati Raif? Dia mula cemburu. Walaupun dia tidak tahu siapa yang harus
dicemburukan.
Namun, dengan cepat dia memujuk hati. Si pemanggil itu
hanya berpeluang menelefon Raif. Sedangkan dia akan berdua-duaan dengan Raif
sebentar lagi. Bukankah Raif sudah berjanji akan menghantarnya ke pusat servis
kereta sebaik sahaja selesai urusan mereka dengan Fawzia? Mayza sudah tersenyum
senang membayangkan saat-saat indah berada di sisi Raif sekejap lagi.
KERETA yang Raif pandu, perlahan
memasuki susur ke pusat servis kereta itu. Petang begitu, memang sesak di
mana-mana. Kalau Ganesh ada, pasti dia tidak perlu menempuh kesesakan lalu
lintas untuk menghantar Mayza. Akan diarah sahaja Ganesh menjalankan tugas
tersebut. Malangnya, pemandu yang merangkap bodyguardnya itu masih
diberi cuti oleh doktor kerana sakit gigi. Esok baharu Ganesh masuk semula ke
pejabat. Seksa betul bila terpaksa memandu sendiri, rungut Raif di dalam hati.
‘‘Kita bertiga melabur 500 ribu. Kalau ada lima orang yang
melabur jumlah yang sama, bayangkan berapa juta Fawzia dapat.’’ Mayza
melahirkan rasa kagum tentang Fawzia yang pertama kali ditemuinya tadi.
‘‘Setiap kali melabur... rasanya Fawzia ada allocation antara
2 hingga 5 juta. Kalau congak, I rasa dia tu dah jadi jutawan agaknya. Bila
tengok returns yang pernah dapat, itu yang buat I terus yakin nak
melabur lagi.’’
Mayza memberi sepenuh tumpuan dengan penjelasan Raif.
Wajah lelaki itu tidak lepas dari pandangannya sejak tadi. Mahu ditatapnya
sepuas hati. Biar wajah Raif yang dimimpikannya malam nanti.
‘‘Dulu I deal dengan Atilia tapi allocation
Atilia tak banyak. Bila Atilia kenalkan I pada Fawzia, I deal directly dengan Fawzia sebab allocation dia
lebih besar.’’ Raif terus berbual tanpa menoleh kepada Mayza.
Dia sedar, mata Mayza seakan tidak beralih dari menatap
wajahnya. Namun, dia tidak ada mood pula untuk bermain mata dengan Mayza
yang sering mengenakan bulu mata palsu itu. Kerana di dalam fikirannya,
hanyalah pulangan yang akan diterimanya dengan pelaburan sebanyak 350 ribu. Dan
apakah yang akan dilakukan dengan sejumlah pulangan tersebut. Beli rumah dulu
ke? Atau kahwin dulu?
Dia terkenang perbualan bersama Ian dan Johana dua hari
lepas. Kedua-duanya menasihati agar dia menamatkan zaman bujangnya secepat
mungkin. Adakah sekarang waktunya untuk mendirikan rumah tangga? Sudah
bersediakah dia dari segi kewangan, emosi dan mental? Argh... dia perlukan masa
untuk berfikir secara mendalam tentang usul itu.
Mayza terangguk-angguk. Kemudian, dia berterusan mengajak
Raif berbual. Dari satu topik membawa ke topik yang lain kerana bukan selalu
dapat duduk ‘serapat’ ini dengan Raif. Berkongsi pendapat dan pengalaman
bersama lelaki yang memiliki personaliti yang memikat hati. Kalau selama ini,
dia terpaksa ‘berkongsi’ Raif dengan Ai Leen dan Zoey. Tapi kini, tumpuan Raif
hanya untuknya.
Akhirnya, Audi A6 milik Raif berhenti di hadapan pusat
servis Chevrolet itu.
‘‘Sorry
Mayza, lambat you sampai pusat servis ni. Harap-harap tak tutup lagi.’’ Raif
memohon maaf kerana kelewatan itu disebabkan kesesakan jalan raya. Kalau Ganesh
yang memandu, pasti Ganesh lebih arif tentang jalan pintas untuk tiba lebih
cepat.
‘‘Laa you ni, kenapa nak cakap sorry pula? Dah
jalan sesak, nak buat macam mana.’’ Mayza rela tersangkut lebih lama di dalam
kesesakan itu agar dapat berlama-lama berada di sisi Raif.
Raif tersenyum. Kalaulah tidak kerana dia pernah berjanji
untuk menghantar Mayza, pasti dia akan suruh staf lain sahaja yang menumpangkan
Mayza ke situ. Malas betul dia hendak memandu dalam kesesakan seperti itu.
‘‘Lepas ni apa plan you?’’ tanya Mayza lagi.
Gerak-gerinya tidak menunjukkan yang dia akan keluar dari kereta itu secepat
mungkin.
‘‘Kenapa?’’ Sesungguhnya Raif belum ada apa-apa
perancangan. Tetapi dia boleh merancang sesuatu dalam sekelip mata.
‘‘Lepas uruskan kereta I ni, jom kita pergi minum
sekejap... I belanja sebab you dah susah-susah hantar I,’’ pelawa Mayza. Rasa
sekejap sangat duduk sekereta dengan Raif. Tidak puas lagi berbual-bual dan
menatap wajah itu. Kalau selepas minum petang dan kemudian berlarutan hingga
makan malam pun, dia sudah cukup bersedia untuk sesi itu.
‘‘Err...’’ Raif menoleh sekilas jam di tangan. Sempat ke
hendak minum-minum dengan Mayza kalau dia sudah mula memikirkan rancangan lain
di dalam kepala?
‘‘Tak sudi minum dengan I ke hari ni?’’ soal Mayza manja.
‘‘Eh... bukan tak sudi, tapi I ada hal sikit petang ni.
Lain kali ya, Mayza?’’ Bukan Raif hendak mengecewakan Mayza, tetapi dia tidak
mahu mengecewakan orang lain pula. Sebagai rakan, dia tidak pernah berkira
untuk membantu. Tidak pernah juga dia mengharapkan balasan untuk semua
bantuannya.
‘‘Bila?’’ Mayza sudah merengek.
‘‘Hujung minggu ni. Nanti I telefon you, okey?’’
‘‘Janji?’’
‘‘Janji...” Raif tersenyum sambil melafazkan janji. Itu
sahaja caranya agar Mayza melangkah keluar dari keretanya.
‘‘I tunggu, tau!’’ pesan Mayza sebelum membuka pintu
kereta.
‘‘Okay dear... take care!’’ucap
Raif sebelum dia memandu keluar dari pusat servis kereta itu. Serta merta, dia
sudah ada destinasi seterusnya yang hendak dituju.