SUDAH menjadi rutin kedua-dua beranak itu untuk duduk
bersembang sebelum masuk tidur. Sama ada di ruang makan atau di ruang tamu
sambil menonton televisyen. Malam itu, Irdina menemani Yasmin menjamah nasi
kerabu yang dibelinya dari Restoran Belanga tatkala makan malam bersama Raif
tadi.
‘‘Tak sedap ke nasi kerabu tu, ma?’’ tanya Irdina apabila
Yasmin menyuruhnya mengambil bekas lain untuk memasukkan lebihan nasi itu ke
dalam peti sejuk.
‘‘Sedap... tapi mama dah kenyang,’’ jawab Yasmin sambil
bersendawa dan melafazkan Alhamdulillah. Tercuit hati apabila Raif
membelikannya makan malam. Bukan kerana nasi kerabu itu memang kegemarannya,
tetapi apa yang penting ingatan Raif terhadapnya amat dihargai. Agak payah di
zaman sekarang ini untuk berjumpa anak muda yang prihatin dan berbudi bahasa
seperti itu.
‘‘Petang tadi mama pergi jumpa klien kat mana?’’ Irdina
menuangkan air suam ke gelas Yasmin.
Yasmin meneguk air suam tersebut. ‘‘Padang Jawa.’’
‘‘Klien mama tu lelaki ke perempuan?’’ Antara mereka,
tidak ada rahsia. Malah Irdina selalu ambil tahu jadual tugas mamanya serta
dengan siapa mamanya berjumpa. Begitulah juga sebaliknya setiap kali dia
melangkah keluar dari rumah. Yasmin pasti diberitahu ke mana destinasinya dan
siapa yang menemani.
‘‘Perempuan.’’
‘‘Klien mama asyik perempuan aje... tak ada ke klien
lelaki? Kalau ada, manalah tahu Idin boleh dapat babah baru ke?’’ Irdina
bercelatuk.
Yasmin tergelak. Mengarut betul Idin ni! ‘‘Takkan ada
babah baru, Idin. Sekarang ni, mama nak tanya... Idin dengan Raif macam mana?’’
Cepat-cepat Yasmin menukar tajuk perbualan. Secara tidak langsung, ingin
mengetahui status terkini hubungan kedua-duanya memandangkan Irdina sudah
berjumpa keluarga Raif hari Sabtu lepas. Adakah susulan daripada pertemuan itu?
‘‘Macam biasa ajelah, ma. Hari ni makan malam... lepas ni
tak tahulah lagi bila boleh jumpa dia. Dia tu kan sibuk memanjang.’’ Ada
keluhan di hujung kata-kata Irdina. Dia tahu, dia tiada hak untuk merungut
tentang kesibukan Raif. Dia bukannya memiliki sijil kuasa ke atas lelaki itu.
Tetapi kadang-kadang mulutnya itu laju sahaja mengomel.
‘‘Dalam sibuk-sibuk dia pun, sempat juga dia jemput Idin
di pejabat,’’ umpan Yasmin. Daripada pemerhatiannya dan cerita yang dikongsikan
oleh Irdina, dia rumuskan yang kedua-duanya saling menyimpan perasaan. Cuma
masing-masing tidak meluahkan. Sama ada Irdina yang cuba bermain tarik tali
atau Raif masih ingin menguji.
‘‘Hari ni dia jemput Idin. Entah esok lusa dia jemput
siapa pulak.’’ Irdina terkenang perbualan telefon antara Raif dengan gadis
bernama Atilia tatkala mereka makan malam tadi. Butir bicara bagaikan
berbincang tentang bisnes. Tapi nada suara Raif tetap mesra melayannya.
Ketika dalam perjalanan balik untuk menghantarnya, ada
pula gadis bernama Zoey yang menelefon. Pun Raif layan mesra juga. Siap
berjanji akan bertemu sebelum gadis itu pulang ke Kuching. Tidak hairanlah kalau
Raif bakal bertemu dengan Zoey pada esok malam pula.
‘‘Macam patah hati aje ayat tu?’’ sakat Yasmin melihat
muka cemberut anaknya.
‘‘Bukan patah hati, ma... sakit hati!’’ Bukan dia sakit
hati kepada Raif, dia ‘sakit hati’ kepada dirinya sendiri yang menyimpan
sekelumit perasaan terhadap Raif. Kalaulah dia mampu mengikat persahabatan
dengan Raif itu sebagai satu hubungan platonik seperti mana dia dengan Feroz,
pasti dia tidak menjeruk perasaan begini.
‘‘Kalau berkawan dengan Raif tu buat Idin sakit hati...
baik tak payah berkawan dengan dia lagi,’’ provok Yasmin mahu menguji hati
Irdina.
Irdina terdiam. Sudah bersedia ke dia untuk tidak berkawan
dengan Raif? Tergamak ke dia untuk ‘membuang’ kawan seperti lelaki itu?
‘‘Tapi... kawan tetap kena kawan, ma. Idin sebenarnya suka kawan dengan dia.
Dia sebenarnya kawan yang baik... cukup-cukup baik.’’ Dia senang bila bersama
Raif. ‘Membuang’ kawan seperti Raif tidak semudah menekan ikon ‘delete’
dalam senarai kawan-kawan di telefon bimbit atau di Facebooknya.
‘‘Hmm...’’ Yasmin tersenyum dengan jawapan itu. Sahlah
kini, dalam rasa sakit hati, Irdina sebenarnya tidak sampai hati mahu membuang
Raif jauh dari hatinya.
‘‘Caring...’’sambung
Irdina perlahan. Memuji kebaikan ‘rakannya’ itu. Teringat bagaimana Raif pernah
bergegas datang menemuinya sebelum dia bertolak untuk ekspedisi di Hutan Belum
beberapa bulan yang lalu semata-mata mahu membekalkannya dengan satu kotak first
aid kit.Kesungguhan Raif itu cukup mengusik hatinya. Daripada kuncup
hingga jadi kembang.
‘‘Hmm...’’ Yasmin mengangkat kening.
‘‘Gentleman...’’
puji Irdina lagi. Layanan Raif terhadapnya boleh dianggap first class.
Datang berjemput, balik berhantar... Raif tidak pernah membiarkan dirinya
terkontang-kanting seorang diri pergi atau balik daripada dating. Lelaki
itu akan memastikan semuanya teratur dan lancar setiap kali mereka keluar
bersama. Dari pemilihan restoran sehinggalah ke menu makanan, semuanya diambil
kira. Pernah sekali, ikan salmon yang dipesan oleh Irdina di sebuah restoran,
agak kurang segar isinya. Raif tidak berkompromi tentang hal itu. Pengurus
restoran dipanggil supaya menggantikan dengan yang ikan salmon yang baharu.
Menjadikan Irdina serba-salah dan malu ketika itu.
‘‘Hmm... nice, caring, gentleman... tu semua macam
ciri-ciri menantu mama aje,’’ acah Yasmin. Bila Irdina memuji Raif sehingga
begitu sekali, ia bagaikan luahan hati Irdina terhadap si kekasih.
Irdina tersentak dengan kata-kata Yasmin. Tidak menduga
akhirnya dia yang terperangkap gara-gara memuji Raif secara berlebihan.
‘‘Err... apa, ma? Menantu?’’ Mukanya serta merta bertukar merah dan hangat.
‘‘Ya, menantu.’’ Yasmin tersengih melihat wajah Irdina
yang sudah merah menahan malu.
‘‘Ke hantu?’’ Pantas Irdina berlawak untuk menutup rasa
malunya.
Yasmin tergelak.
Irdina turut ketawa lalu bangkit dari kerusi. ‘‘Okeylah
ma, Idin nak masuk mandi dulu.’’ Dia meminta diri. Lagi lama dia di situ,
sedikit demi sedikit rahsia hatinya pasti akan berjaya dikorek oleh Yasmin.
Memang benar, mereka jarang berahsia. Tetapi biarlah perkara yang satu ini
dirahsiakan sehingga semuanya sudah menjadi satu kepastian. Selagi dia dan Raif
tidak berterus-terang tentang hati dan perasaan, jauh sekali berbincang tentang
lamaran dan perkahwinan, maka dia harus menganggap mereka tergolong dalam
kategori ‘berkawan.’
‘‘Sebelum mama terlupa... atuk tanya, nanti Idin boleh
hantarkan atuk pergi kebun tak hujung minggu ni untuk ambil buah?’’ sempat
Yasmin bertanya sebelum Irdina hilang di sebalik pintu bilik. Dia rasa sangat
bersyukur kerana Irdina jenis yang ringan tulang untuk membantu. Apatah lagi
untuk memberikan ‘khidmat’ kepada kedua-dua orang tua itu.
Irdina mengiakan. ‘‘Nanti Idin telefon atuk,’’ sahutnya
sebelum menutup pintu bilik. Sebagai cucu sulung dan satu-satunya cucu atuk
yang ada lesen memandu, dia yang akan melakukan ‘tugas-tugas khas’ untuk atuk
dan wan. Apatah lagi, jarak rumah mereka lebih kurang 15 minit sahaja. Mereka
di Ampang dan atuk di Kampung Pandan. Maka dia sahaja cucu terdekat yang boleh
memberikan khidmat segera kepada kedua-duanya lebih-lebih lagi sejak Atuk Jamil tidak boleh memandu setelah terkena seranagn strok.