SELESAI sudah mereka menjamu selera tengah hari Sabtu itu.
Sesi suai-kenal antara Irdina dan keluarga Raif berlangsung dengan lancar dan
mesra. Keramahan keluarga Raif benar-benar membuatkan Irdina tidak berasa asing
dan kekok sepanjang tiga jam berada di dalam banglo itu.
Terjawablah beberapa persoalan yang bermain di minda
Irdina sebelum ini tentang perbezaan wajah Raif dan abangnya yang pernah
menjalani rawatan fisioterapi dahulu. Rupanya, Ian Redza adalah adik-beradik
berlainan ibu dengan Raif dan Raiha. Ibu kandung Ian adalah
wanita berbangsa Scottish bernama Ruth Caitlin McHardy. Manakala ibu Raif bernama Datin Raudhah.
‘‘Saya balik dulu ya, aunty.’’ Irdina meminta diri apabila
jam sudah melangkau ke 4.00 petang. Tangan wanita separuh abad itu disalami.
‘‘Nanti Idin datanglah sini lagi. Kalau Raif tak bawa pun,
datang aje sendiri,’’ pelawa Datin Raudhah mesra. Sejak dari dulu lagi, dia
sudi menerima rakan-rakan anaknya sebagai tetamu. Dari situ, dia boleh
mengenali mereka dengan lebih dekat. Justeru, boleh dinilai yang mana sesuai
dijadikan kawan dan yang mana pula selayaknya dijadikan menantu. Lebih-lebih
lagi untuk anak bujangnya yang seorang itu.
Irdina hanya mengangguk dan tersenyum. Dalam hati terasa
cuak. Nak datang tanpa Raif? Aduh... segannya! Aku ni siapa untuk Raif?
Jangankan tunangan, teman wanita Raif pun masih 50-50 peluangnya. Status: complicated!
‘‘Kirim salam pada atuk Idin, ya?’’ Ian Redza yang patah
kaki itu sudah sembuh 100 peratus sekarang ini. Malah dia dan isterinya; Johana
bakal menimang cahaya mata pertama beberapa bulan lagi.
‘‘Insya-ALLAH, along.’’ Pelik rasanya bagi Irdina untuk
memanggil Ian dengan panggilan along. Tapi menurut Raif, mereka adik-beradik
memanggil Ian dengan panggilan itu. Maka, Irdina juga tidak sepatutnya berasa
canggung untuk turut memanggilnya. Tapi aku ni bakal jadi ‘adik-beradik’ juga
ke nanti?
‘‘Idin, nanti bila tak sibuk... jom kita keluar minum. Girl’s
day out. Apa you nak tahu pasal abang I, tanya aje. Ada banyak tentang Raif
Imran yang kita boleh cerita... tak gitu Kak Jo?’’ Raiha Imani, adik bongsu
Raif mula menyakat. Dia mengenyit mata kepada Johana.
‘‘The untold story of Raif Imran,’’giat
Johana dalam tawa. Dia tahu yang Raiha memang sengaja hendak ‘mengenakan’ Raif
di depan Irdina. Kedua-dua adik iparnya itu memang saling ‘berdengki.’
Irdina tertawa. ‘‘Okey... nanti kita catch up.’’
Ya... memang dia perlukan tempat rujukan untuk tahu lebih lanjut tentang lelaki
ini. Apakah status sebenar Raif di kalangan gadis-gadis yang pernah didengar
namanya seperti Atilia, Zoey, Mayza dan entah siapa-siapa lagi!
‘‘Komplot nak kenakan I lah ni.’’ Raif picing mata
memandang Raiha dan Johana yang tergelak-gelak mengenakannya. Kalau dahulu,
Raiha seorang sahaja. Kini kakak iparnya pun sekepala juga.
Meletus tawa mereka di anjung rumah. Setelah bersalaman
dengan Johana dan Raiha, Irdina melangkah ke Scirocco milik Raif yang terparkir
di garaj.
‘‘Raif nak ke mana lagi lepas ni?’’ laung Datin Raudhah.
‘‘Ingat nak pergi...’’
‘‘Nak pergi ke mana lagi? Terus hantar Idin balik ke
rumah. Nanti mama Idin risau pula kalau lambat balik. Jangan nak melencong sana
sini,’’ pesan Datin Raudhah sebelum Raif menghabiskan ayatnya. Irdina pada
pandangan matanya, gadis yang baik. Kalau boleh, dia tidak mahu Raif
mensia-siakan gadis itu.
‘‘Okey!’’ sahut Raif sambil membuka pintu kereta. Patuh
dengan arahan Datin Raudhah walaupun dia sebenarnya sudah berkira-kira hendak
mengajak Irdina minum kopi di mana-mana bistro. Bukan selalu dapat meluangkan
masa dengan Irdina gara-gara kesibukannya. Sekali-sekala dapat keluar bersama,
pastinya dia ingin berlama-lama dengan gadis itu.
Namun, bila Datin Raudhah kelihatan begitu beria-ia
berpesan itu dan ini, Raif mula merasakan Irdina sudah mampu mencuit hati umi
yang agak bertegas dengan siapa dia ingin berpacaran. Mungkin 10 markah sudah
Irdina perolehi daripada umi.
‘‘MACAM mana umi, okey ke Idin tu
jadi menantu?’’ Raiha bertanya ketika kereta yang Raif pandu sudah melepasi
pagar rumah. Irdina ini, entah teman wanita Raif yang nombor berapa agaknya!
‘‘Nampak okey... berbudi bahasa, peramah. Dressing
pun senonoh... tak macam budak yang kita jumpa di Pavilion hari tu. Siapa nama
budak yang pakai hot pants tu, dik... Syireen?’’
‘‘Bukan Syireenlah, umi... Syikeen!’’
‘‘Haa... Syikeen! Tak berkenan betul umi tengok
pakaiannya.’’ Datin Raudhah menggeleng kepala bila teringatkan gadis yang
diperkenalkan oleh Raif ketika mereka terserempak di pusat membeli-belah
sebulan yang lalu. Kadang-kadang dia pelik, apa sebenarnya kriteria yang Raif
cari bila keluar dengan gadis sebegitu.
‘‘Kalau umi dah berkenan, kenalah cakap pada Raif tu...
supaya pinang Idin tu cepat-cepat.’’ Ian memberi pendapat. Dia juga nampak
keserasian Irdina dan Raif. Apatah lagi setelah mengenali datuk Irdina ketika
bersama-sama menjalani rawatan fisioterapi dahulu. Dia dapat merasakan yang
Irdina berasal dari keluarga yang baik-baik.
Datin Raudhah mengangguk setuju dengan pandangan Ian. Dalam
menentukan calon isteri untuk Raif, memang dia perlu berhati-hati dan bertegas.
Anak bujangnya yang seorang itu, cukup berbeza dengan Ian Redza. Teman wanita
Raif keliling pinggang. Entah yang mana satu paling istimewa. Maka, calon
isteri pun harus lebih teliti ujian saringannya!
SEPANJANG perjalanan pulang, Irdina
masih terasa kemesraan yang dipamerkan oleh keluarga Raif sebentar tadi.
Masing-masing tidak kekok untuk berbual, walaupun baharu kali pertama berjumpa.
Ataupun mereka sebenarnya sudah biasa menerima teman-teman wanita Raif sebagai
tetamu di rumah itu? Dan aku ni, entah-entah teman yang ke 99 Raif pelawa ke
rumah!
‘‘Umi dan ayah you sporting, ya? I suka tengok you
dengan Along Ian, Kak Jo dan Raiha. Walaupun sindir-menyindir, tapi sebenarnya you
all ni rapat dan mesra,’’ komen Irdina jujur. Terhibur hatinya melihat
keakraban Raif dan adik-beradiknya sebentar tadi. Dalam usik-mengusik, mereka
tetap saling hormat-menghormati.
‘‘Hah... kalau you nak tahu, I dan Raiha tak boleh selalu
berjumpa. Kita orang ni macam Tom and Jerry,’’ beritahu Raif yang sedang
memandu. Dia menoleh sekilas ke arah Irdina dan tersenyum apabila mata mereka
bertemu. Irdina kelihatan ayu pada hari itu apabila mengenakan skirt dan blaus.
Biasanya jika keluar bersama, Irdina lebih gemar berpakaian ranggi dalam gaya
sehariannya. Sesuai dengan karakternya yang gemarkan aktiviti lasak.
‘‘Along Ian lah yang jadi orang tengah kalau you bertekak
dengan Raiha?’’ teka Irdina. Aura Ian sebagai abang sulung terserlah dalam gaya
dan percakapannya. Itu yang Irdina rumuskan sepanjang mereka berbual bersama.
‘‘Along tu macam Chief Justice!’’ balas Raif tersengih.
Begitulah perwatakan Ian Redza yang sering menjadi pihak neutral jika
dia dan Raiha berbalah.
‘‘Mesti seronok ada ramai adik-beradik, kan?’’
‘‘Tiga aje, Idin... tak ramai mana pun.’’ Apa yang penting
bagi Raif, bukan jumlah adik-beradik yang ramai. Sebaliknya, kemuafakatan
antara mereka. Tidak guna kalau ada keluarga besar tetapi tidak sependapat.
‘‘Tiga tu kira ramai untuk orang yang tak ada adik-beradik
macam I ni.’’ Irdina selalu berasa kekurangan diri melihat mereka yang
mempunyai adik-beradik untuk berkongsi rasa dan cerita. Ya... dia juga
sepatutnya ada adik. Tetapi ALLAH SWT lebih sayangkan adiknya. Izza Jasmin
tidak sempat melihat dunia kerana meninggal ketika masih di dalam perut mama.
Kini, dia hanya ada Yasmin sahaja. Yasminlah ibu, rakan
dan penemannya. Tiada sesiapa lagi untuk dia menumpang kasih dan bermanja.
Yasminlah segala-segalanya.
Terusik hati Raif mendengar keluhan Irdina. Dia tahu
kesunyian yang Irdina sering rasai. Kerana itu, Irdina kerap menghabiskan waktu
bersama rakan-rakan dengan pelbagai aktiviti luar jika mamanya sibuk dengan
temu janji.
‘‘Terima kasih sebab ajak I makan tengah hari dengan
keluarga you. I had a great time,’’ ucap Irdina apabila kereta yang
dipandu oleh Raif sudah berhenti di lobi Apartment Crystal.
‘‘Welcome dear.
Terima kasih sebab sudi luangkan masa dengan famili I.’’ Raif akui, senarai
teman wanitanya memang ramai. Tetapi hanya teman tertentu sahaja yang akan
dipelawa ke rumah bertemu keluarganya. Buat masa ini, Irdina sudah termasuk
dalam senarai pendeknya untuk kategori ‘teman tertentu’. Dan apabila Irdina
menerima jemputannya, kesudian Irdina itu sebagai satu penghargaan untuknya.
Irdina tersenyum. Apabila Raif sudi menjemputnya ke rumah,
dia menerima jemputan itu dengan seikhlas hati. Walaupun dia sendiri keliru,
apakah tujuan sebenar Raif mempelawanya. Untuk diperkenalkan sebagai kawan atau
lebih daripada itu?
Saat itu juga, telefon bimbit Raif berbunyi. Tanda mesej
diterima.
Raif, usual place... 5.30?
Pantas Raif membalas teks.
K. C u…
‘‘Alright dear...nanti
I telefon you.’’ Raif menjeling jam di tangan. Sudah pukul 4.55. Ada 25 minit
sahaja masa yang dia ada untuk bergegas keluar dari Ampang menuju ke Publika di
Sri Hartamas.
‘‘Drive carefully. Ingat pesan umi you tadi...
jangan melencong.’’ Irdina mengingatkan sebelum melangkah keluar dari kereta.
Sengaja dia mengusik Raif. Bukan dia tidak tahu, kalau Raif sudah terima mesej
dan kemudian mula menjeling jam di tangan, pasti lelaki itu ada agenda lain
selepas itu.
‘‘Umi I cuma pesan, jangan melencong dengan you...’’ bidas
Raif tersenyum nakal. Tidak mahu memberitahu Irdina, ke manakah arah
‘lencongannya’ selepas itu.
Kata-kata dan senyuman itu membuatkan Irdina mula
terfikir, Raif nak jumpa siapa pula selepas ini? Kawan lelaki ke kawan
perempuan? Cemburukah aku? Tapi berhak ke untuk rasa cemburu? Raif ni hak aku
ke? Persoalan yang terus bermain di fikiran Irdina sehinggalah dia naik ke
apartmen.