Home Novel Cinta ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
Batiah Hadi
13/2/2020 23:02:04
209,086
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

Akhirnya dia tiba juga di tingkat 25. Terlambat 15 minit. Bella seperti tak cukup tanah berlari ke tempat di mana temubual berlangsung. Temubual sebenarnya di adakan di sebuah dewan di tingkat itu. Bella dapat melihat di luar dewan ada ramai yang menanti. Bella terus mendapatkan mereka yang bertanggungjawab menguruskan temubual itu. Dia memberikan nama dan kad pengenalan kepada wanita di kaunter.

“Maaf Cik. Cik dah lambat. Slot cik dah diisi dengan orang lain,” ujar wanita di kaunter receptionist itu bila Bella memberikan namanya. Dia menunjukkan ruangan yang ada nama Bella tetapi telah dipotong oleh orang lain. Matanya memandang kepada Bella ke atas ke bawah dengan wajah sombong.

“Tolonglah Puan. Saya hanya lambat 15 minit sahaja,” rayu Bella,

“15 minit tu lama. Maaf. Polisi syarikat kami hanya mahukan orang yang boleh menepati masa. Bos kata reject semua yang datang lambat dari masa temujanji yang telah ditetapkan. Nampaknya Cik dah gagal ujian saringan itu,” ujar wanita itu. Bella rasa mahu menjerit kehampaan.

“Janganlah macam ini. Tolonglah pertimbangkan. Saya bukan sengaja datang lambat. Saya ada hal kecemasan pagi tadi terpaksa uruskan rumah makcik saya. Sepupu saya sakit dan minta saya bantu dia sediakan sarapan. Saya bukan sengaja untuk lambat,” rayu Bella.

“Maaf sangat-sangat. Saya hanya ikut arahan. Cik boleh cuba ditempat lain,” ujar wanita itu dengan jawapan acuh tak acuh.

“Masalahnya, saya dah tak ada tempat lain. Jawatan ini sahaja harapan saya. Keluarga saya miskin. Ibu saya harapkan saya bantu dia. Tapi kalau saya tak kerja bagaimana saya nak bantu dia?” soal Bella. Wanita itu buat muka. Dia bukan kisah pun tentang luahan Bella itu. 

“Saya faham Cik rasa tak adil. Tapi ini polisi syarikat. Nak tak nak saya kena ikut,” ujar wanita itu.

“Polisi? Ini polisi yang tak adil. Datang lambat tak semestinya sikap yang buruk. Saya tak sengaja datang lambat. Saya lambat atas masalah keluarga. Puan tak ada keluarga ke?” soal Bella seperti terdesak kepada wanita itu. Wanita itu hanya memandang Bella dengan wajah tanpa riak simpati..

“Cik...tolonglah tinggalkan tempat ini. Nanti boss marah. Lagipun akan ada peluang lain dalam tiga bulan lagi. Cik boleh cuba lagi,” pinta wanita itu.

“Saya tak mahu. Saya akan tunggu di sini sehingga saya dipanggil,” ujar Bella buat degil. 

“Tolonglah pergi dari sini,” pinta wanita itu lagi. Suaranya sudah sedikit kasar sekarang kerana geram dengan sikap Bella yang makin degil.

“Saya akan tunggu di sini hingga nama saya dipanggil,” kata Bella sambil berpeluk tubuh. Merancang untuk tidak bergerak dari situ.

“Jangan buang masa cik dan juga masa kami semua,” pinta wanita itu. Mukanya sudah mencuka.

“Saya tak kira. Saya nak tunggu juga di sini. Kasihanlah pada saya, Puan” ujar Bella degil namun masih mahu merayu. Wanita itu hanya memberikan jelingannya pada Bella. Geram dia pada sikap Bella itu. Bella tidak peduli. Dia terus berada di situ seperti yang dia katakan.

Bella kemudian duduk melangut di tepi dinding kaunter itu. Seketika juga dia di situ. Setiap 10 minit dia akan bertanya kepada wanita itu tetapi jawapannya masih sama. Sejam Bella di situ hingga buat wanita di kaunter jadi geram. Dia kelihatan berbincang dengan rakan sekerjanya yang turut berada di situ. Kemudian dia menghampiri Bella.

“Cik perlu keluar dari sini sebelum saya panggil guard untuk bawa Cik keluar,” ugutnya.

“Serius ke?” soal Bella.

“Ye Cik...saya sangat serius. Cik benar-benar ganggu saya. Sila pergi sebelum saya panggil guard. Kalau guard halau cik, cik juga yang malu,” kata wanita itu. 

“Jangan nak ugut pulak,” marah Bella.

“Saya tak ugut tapi saya dah tak boleh sabar dengan tindakan cik. Saya dah panggil guard. Mereka akan naik sekejap lagi untuk bawa cik keluar dari sini,” ujarnnya. Mahu tak mahu Bella terpaksa mengalah.

“Company awak memang tak adil. Saya syukur saya tak kerja dengan company tak bertimbangrasa ini,” kutuk Bella sebelum berlalu. Hatinya sangat geram. Walaupun dia teringin untuk melawan tapi bila diugut dengan guard kecut juga hatinya. Dia perasan guard yang berada di bawah semasa dia masuk tadi agak bengis juga muka mereka. 

Bella kemudiannya berlalu ke lif dengan perasaan hampa. Dia menekan butang turun. Dalam hati dia asyik menyalahkan Hanim. Ini semua salah Hanim. Tiba-tiba pula mahukan sarapan. Terpaksa Bella ke rumahnya dan masak. Itu yang buat dia lambat. Dan sekarang disebabkan oleh Hanim dia tidak dapat masuk untuk ditemubual pun. Tapi, Hanim sakit bukan sengaja. Memang Hanim benar-benar sakit. Dia teringat kelibat Hanim pagi tadi. Memang sangat teruk dengan rambut kusut serta hidung dan muka kemerahan. Semua itu memang simptom demam. Jadi yang salah di sini ialah syarikat itu yang langsung tidak bertimbangrasa. Dia bukan sengaja untuk datang lambat. Bagaimanalah dia mahu beritahu ibunya nanti yang dia langsung tidak masuk untuk ditemubual. Dapat kerja jauh sekali. Hanya tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan Bella. Dia kecewa, marah dan geram kerana akhirnya terpaksa pulang sahaja. Bagi Bella syarikat itu memang tidak bertimbangrasa. Dia bencikan syarikat itu. Benci!

********************************

Bella masih lagi mengutuk syarikat itu yang baginya tidak adil langsung dengan polisinya itu. Dia masih lagi mengomel apabila pintu lif terbuka dan masuk ke dalam. Di dalam lif hanya ada seorang lelaki berpakaian kemas dengan kemeja putih dan seluar kelabu. Dia bersandar di dinding lif sambil satu tangan di dalam kocek seluar. Wajahnya agak familiar tetapi Bella yang sedang fokus pada masalahnya tidak mengendahkannya. Sebenarnya dia seperti tidak nampak lelaki itu. Sambil mengepit fail di ketiak Bella berpusing ke pintu lantas menekan butang ke lobby dengan wajah sugul. 

Sepanjang lif turun Bella rasa sedikit sebak. Besarnya harapan ibunya semalam untuk temubual itu tetapi nampaknya tidak kesampaian. Bahkan tidak dipanggil masuk pun hanya kerana dia terlambat. Tak guna Hanim, tak guna receptionist tadi dan tak guna syarikat itu, gerutu hati Bella. Entah kenapa matanya kini bergenang air mata. Semuanya bukan seperti yang dia hajatkan dan dia gagal lagi mendapatkan pekerjaan. Semuanya kerana dia lambat. Sepatutnya dia harus bersedia 2-3 jam lebih awal supaya kalau Hanim minta bantuan pun dia masih ada banyak masa. Kerana geram Bella tanpa sedar tiba-tiba menumbuk dinding lif beberapa kali.

“Tak guna...tak guna Hanim, tak guna lif ni dan tak guna syarikat Aspire Network!” jerit Bella tiba-tiba. Kemudian Bella menangis teresak-esak seketika. Suasana senyap di dalam lif itu. Bella menekup wajahnya. Ada rasa menyesal melepaskan kemarahan seperti itu. Tapi dia benar-benar tidak puas hati. Dia mahu lepaskan rasa marah dan kecewa yang dia rasa. Dia tidak tahu bagaimana mahu lepaskan rasa yang berbuku itu kecuali pada dinding lif di hadapannya itu. Walaupun setelah itu dia dapat rasa tangannya sakit kerana menumbuk agak kuat tadi. Bella kemudiannya menangis teresak-esak.

“Tumbuk lif berkali-kali dan jerit dalam lif ni tak akan selesai masalah,” tiba-tiba satu suara garau dan dalam kedengaran di belakang Bella. Bella tersentak. Dia baru sedar yang dia bukan berada dalam lif seorang diri sejak dia masuk tadi. Dia menepuk dahi sebelum perlahan-lahan menoleh. Bulat matanya bila melihat lelaki yang bersandar di dinding lif.

“Ben?” terpacul nama lelaki itu di mulutnya. Lelaki yang dia pernah jumpa di pasar malam dan Zouk itu dulu sedang memandang kepadanya dengan wajah bersahaja. Kini Bella dapat lihat wajah kacaknya dengan lebih jelas. Mata bundar, berkening tebal. Hidung mancung sedikit patah di tengah dan bibir yang penuh dan lebar.

“Hai Bella, kita jumpa lagi.,” tegurnya. Dia merenung wajah Bella yang kemerahan dan basah. Nampaknya gadis itu masih dirundung masalah. Dan peliknya dia pula ditakdirkan ada di situ. Bila mata mereka bertaut Bella cepat-cepat mengalih pandangan. Wajah Bella kian merah. Lelaki itu! Lelaki bernama Ben yang dia harapkan untuk berjumpa ada dalam lif itu juga. Dia ini manusia ke roh? Sentiasa ada bila dia dalam kesusahan. Cuma bezanya sekarang dia telah memalukan dirinya di hadapan lelaki itu. Mengapa dia tidak perasan tadi yang lelaki itu ada dalam lif itu juga? Mengapa dia tidak perasan langsung?. Ben menghela nafas. Dia memerhatikan Bella yang membelakangkannya itu.

“Seperti saya katakan tadi, tumbuk lif ini tak akan selesai masalah awak,” ujar Ben mengulang kata-katanya tadi. 

“Tak kisahlah asal hati saya puas,” ujar Bella masih hendak menjawab juga. Terdengar ketawa sinis lelaki itu.

“Puas hati ke? Nampak lagi miserable adalah,” balasnya. Terperasan wajah Bella yang nampak tidak tentu hala. Riak kecewa dan geram jelas di wajahnya. 

“Mana awak tahu? Ini cara saya lepaskan perasaan. Awak tak perlu nak judge saya,” marah Bella. Ben kini berpeluk tubuh. Seperti sebelum ini gadis itu masih degil dan ego.

“Kemudian apa?” soalnya semula.

“Not your business, Ben,” jawab Bella pantas. Dia geram bila Ben bertanya sinis dengannya seperti itu. Ben membulatkan matanya. Wah, gadis itu sangat kurang sopan.

“Exactly my business Bella. Awak dah ganggu ketenteraman saya Bella,” jawab Ben.

“Apa? Ketenteraman apa? Dalam lif?” soal Bella semula pada Ben. Kedengaran tawa sinis Ben.

“Don’t you know an elevator is a public place. Saya ada hak untuk rasa tenteram dalam lif ini. Bila awak tumbuk lif ni tadi awak menunjukkan satu keganasan. Awak telah menganggu hak ketenangan saya dalam lif ini,” ujarnya sengaja mahu buat Bella bengang. Entahlah. Dia seronok mempermainkan Bella sedikit pada waktu itu. Hak untuk rasa tenteram? Boleh tahan juga idea itu, desis hati Ben. Dan hasilnya Bella menoleh dengan wajah geram. Dapatlah Ben renung wajah itu lagi.

“Hak ketenangan? Keganasan. Macamlah saya akan pukul awak?,” soal Bella seperti tidak percaya apa yang dia dengar. Lelaki itu perlahan menghampiri Bella. Tepat-tepat di depan Bella. Bella mendongak pada lelaki itu. Mata lelaki itu kini pada wajah Bella.

“Bella... my advice is, if you are not happy with a person, a place and a company, complain directly. Do not vandalize the elevator. Lif ini tidak bersalah. Dan lagi satu, lif ini mahal tahu tak?,” sindirnya dengan senyum sinis. Matanya menatap anak mata Bella seketika. Bella tersentak. Lif akhirnya tiba ke lobi. Ben lantas berpusing dan keluar dari lif itu meninggalkan Bella yang masih terpinga-pinga. Bila Bella menyedari yang dia harus jelaskan pada Ben, barulah Bella bersuara namun terlambat.

“Ben... nanti... Saya bukan nak rosakkan lif ini...” jelas Bella tetapi kata-katanya hanya dia sahaja yang dengar kerana lelaki itu telah pun berlalu pergi. Bella rasa ralat. Dia mahu jelaskan kepada Ben dan mahu tahu mengapa lelaki itu menuduh dia begitu? Bukan luak pun dinding lif itu. Tapi kata-kata Ben itu seolah menusuk ke jantung Bella dan seterusnya menyebabkan Bella rasa murung. Dia tidak setuju dengan tuduhan Ben itu!. Tidak setuju! Dia bukan seorang yang ganas dan dia bukan pengecut!



Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.