Home Novel Cinta ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
Batiah Hadi
13/2/2020 23:02:04
209,067
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

Disebabkan rasa terdesak Hanim akan menaikkan sewa rumah, Bella kian giat mencari tempat untuk bekerja. Dia menggunakan kemudahan perpustakaan berdekatan untuk menggunakan perkhidmatan mencari jawatan kosong melalui internet. Dia juga menggunakan khidmat perpustakaan untuk mencetak cv dan juga resumenya. Bella bernasib baik bila satu hari dia dipanggil untuk temubual di sebuah syarikat digital sebagai eksekutif di bahagian pemasaran. Hari yang dinanti pun tiba. Bella pun bersiap-siap di awal pagi untuk temubualnya. Tadi semasa keluar Puan Rubiah seperti meletakkan harapan yang Bella akan mendapat kerja. Besar harapan dari Puan Rubiah untuk Bella.

Tapi pagi itu jugalah Hanim demam. Bella diminta oleh Hanim untuk memasakkannya bubur sewaktu dia sedang bersiap untuk ke temubual itu. Puan Yusni dan suaminya sedang bercuti di Bali. Hanim tinggal kerana dia tidak dapat cuti. Sekarang dia demam dan gadis itu sengaja meminta Bella buatkan bubur untuknya padahal bukan dia tidak boleh order dari McDonald ataupun Food Panda. Sudahlah begitu macam-macam pula kerenahnya. Tak mahu cair sangat atau pekat sangat. Tak mahu sayur dan macam-macam lagi. Itu yang buat Bella makin lambat. 

Bella memang sudah lambat. Perjalanan dari rumah ke pejabat yang terletak di Yap Kwang Seng itu memang agak mencabar. Bella terpaksa mendapatkan khidmat grab tapi kalau sudah lambat semua akan lambat walaupun dia jalan cepat atau percepatkan segala tempo langkah dan pergerakan. Ya. Dia memang lambat. Dari rumah sepatutnya dia keluar sejam lebih awal tetapi dia keluar satu jam lagi dari waktu interview. Dan dia pula keluar pada waktu sesak. Pemandu grab sedaya upaya untuk cepat tapi dalam kesesakan apa yang boleh pemandu itu buat. 

Namun, Bella sampai juga ke destinasi setelah rasa seperti kupu-kupu penuh dalam perutnya. Bila dia sampai di pejabat tersergam indah dan tinggi menjulang itu dia sudah terlambat 10 minit ke tingkat 25 pejabat tersebut. Dia sangat berharap lif yang akan dia naiki itu akan pantas mendaki setiap tingkat.  Bila Bella menunggu lif itu, ada ramai pula yang menunggu untuk naik di situ pada waktu yang sama. Bangunan tinggi itu juga dipenuhi oleh pejabat kepada beberapa syarikat besar. Waktu Bella sampai warga kerja juga sedang bergegas untuk ke tingkat masing-masing dengan pakaian mereka yang kemas dan bergaya. Enam buah lif semuanya yang berlepas dari foyer dan Bella berharap dia mampu menyelit masuk di antara mereka untuk salah satu lif itu. Hari itu Bella menyarung sepasang baju kurung kain kapas berwarna hijau lembut yang dibeli untuk hari raya tahun lepas. Sejak setahun jadi penganggur baju kurung itulah baju paling elok yang dia ada.

Bila melihat mereka yang amat kemas seperti itu Bella terasa sedikit rendah diri. Ada juga di antara mereka yang nampak sebaya sepertinya dengan beg dan fail masing-masing. Bella pasti mereka juga seperti dia. Datang untuk ditemubual untuk sesuatu jawatan. Bella tahu dia tidak nampak sofistikated seperti mereka semua. Apakan daya. Dia memang tiada duit untuk pakai sesuatu yang sofistikated hari itu. Walau apa pun nasib Bella baik apabila dia dapat menyelit di antara mereka yang masuk ke dalam lif. Dia lantas menekan nombor 25 dengan berdoa dalam hati supaya semuanya akan dipermudahkan. 

Baru lif mahu bergerak tiba-tiba pintu terbuka. Kelihatan seorang lelaki berpakaian kemas dengan kot warna kelabu terpacul di depan pintu. Orangnya tinggi dan tegap. Di bahu kanannya tersangkut satu beg laptop. Dia nampak sofistikated dan profesional. Wajahnya jadi perhatian semua di dalam lif kecuali Bella. Lelaki itu memerhati seketika ke dalam lif dengan wajah kacaknya sebelum menyelit masuk dan berpusing menghadap pintu lif. Matanya lekat seketika pada Bella namun Bella yang dalam fikiran sendiri tidak perasan lelaki itu. Bella tidak dapat melihat wajah lelaki itu kerana dia sedang melihat skrin telefonnya. Semua gadis di dalam lif kecuali Bella seperti terlopong melihat wajah lelaki itu. Mereka semua berpandangan sesama sendiri sambil tersenyum. Ada pula yang mengambil gambar kelibat lelaki itu. Mereka berbisik sesama sendiri.

Bella hanya perasan bila lelaki itu berada betul-betul di sebelahnya cuma dia tak nampak muka lelaki itu. Lelaki itu tinggi orangnya sehinggakan kepala Bella hanya setakat bahunya sahaja. Bila bau perfumenya yang segar dan spicy menyinggah seketika di hidung Bella, Bella terdetik dalam hati. Bau ini seperti bau Ben. Tapi mustahil Ben ada di sini. Lagipun Bella tak akan terjebak dengan ilusi Ben lagi. Cukuplah dia jadi seperti tak betul sebulan yang lepas. Mula nampak kelibat Ben di mana-mana. Bila lelaki itu memusing badan, lengan kotnya menyentuh sisi baju kurung Bella menyebabkan Bella sedikit tersentak. Pantas Bella merapatkan dirinya ke dinding. 

“Sorry,” kata lelaki itu dengan suara yang garau dan dalam. Bella tidak menjawab.  Tidak memandang pun kepada lelaki itu. Dia sudah terbiasa untuk tidak memberikan eye contact kepada orang yang tidak dikenali. Cuma hatinya ada terdetik yang suara itu seperti pernah didengari. Dan bau itu. Juga bau yang pernah dia hidu. Ben? Ah! Mustahil. Bella mengelengkan kepalanya.

Lif berhenti di beberapa tingkat sebelum tingkat 25. Ada masa lelaki itu amat hampir dengan Bella ketika dia mahu memberi laluan kepada mereka yang mahu keluar. Ada masa sangat rapat hingga Bella terpaksa mengalihkan dirinya supaya tidak terkena tubuh lelaki itu. Namun Bella tidak pula mengangkat muka kepada lelaki itu. Dia terlalu fokus dengan temubual yang bakal berlangsung. Dalam otak Bella dia sedang membayangkan soalan-soalan yang akan ditanya dan kemudian menjawabnya dalam fikirannya. Dia ada terbaca yang itu adalah satu cara yang boleh membantu interviewee untuk menjawab soalan temubual dengan baik dan yakin. Bella terlalu ingin berjaya dalam temubual itu supaya dia dapat pekerjaan sehingga dia tak kisah tentang sesiapa sahaja di dalam lif itu. Dengan pekerjaan itu nanti Bella boleh duduk di tempat yang lebih baik bersama ibunya dan tidak bergantung kepada Puan Yusni dan Hanim.


Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.