Home Novel Cinta ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
Batiah Hadi
13/2/2020 23:02:04
209,128
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19

Bella membasuh sapu tangan itu keesokan harinya. Memang Bella berhasrat untuk mengembalikan sapu tangan lelaki itu  kepada pemiliknya tetapi entah bagaimana dia tercicir pula kad lelaki itu. Oh ya namanya Ben. Ben apa?, Bella tidak pasti pula kerana dia tidak melihat pada kad yang diberikan. Pasti kad itu tercicir dari poket seluar Bella semalam. Bella mencuci sapu tangan itu bersih-bersih sambil bibirnya mengorak senyum. Teringat sikap keperihatinan lelaki berbahu lebar dan tegap itu. Hatinya berbunga setiap kali teringat lelaki itu dan juga bagaimana lelaki itu selamatkan dia di Zouk dan juga di pasar malam. “My knight in shining armour,” bisik Bella sendiri membayangkan wajah kacak lelaki itu. Bella seperti berangan seketika mengharapkan akan berjumpa lelaki itu semula. 

Namun tanpa kad itu Bella tidak dapat menghubungi lelaki itu. Jadi, sepanjang dia berada di pasar malam dia selalu mengharap untuk terserempak dengan lelaki itu. Namun hari ke hari, bulan ke bulan lelaki itu tidak lagi Bella temui. Entah kenapa dia kian mengharapkan pertemuan kembali dengan lelaki itu. Kelibat Ben seolah terlihat-lihat tapi setiap kali Bella memanggil orang yang disangkanya Ben itu, yang menoleh adalah orang lain. 

Mula-mula Bella penuh dengan harapan namun setelah sebulan dua Bella pasti yang dia tidak ada harapan untuk berjumpa lelaki itu lagi. Mungkin jodohnya dengan lelaki itu hanya setakat itu. Mungkin sapu tangan itu jadi kenangan antara dia dan lelaki itu. Lelaki yang menyelamatkan dia di Zouk dan juga dari niat jahat Farouk di pasar malam. Lelaki tinggi tegap bernama Ben yang menarik dia masuk ke dalam keretanya untuk menyelamatkannya. Berhari-hari juga dia tidak boleh tidur mengingatkan itu semua. Merah-merah muka Bella bila mengingat semua itu. Hati Bella juga berbunga bila lelaki itu selamatkan dia dari Farouk. Kemudian sangat perihatin terhadapnya sehingga bertanya beberapa kali kalau-kalau dia mahu laporkan kepada polis. Lelaki itu juga mendesak untuk menghantar Bella walaupun Bella tidak mahu. Tapi dia teringat pula kata-kata lelaki itu di Zouk yang Bella bukan taste lelaki itu. Kata-kata itu buat Bella rasa sedar siapalah dirinya.


Ada masa Bella akan renung sapu tangan lelaki itu dan teringat semula lelaki itu. Lelaki yang mungkin dia tidak akan jumpa lagi. Syukurlah dia ada sapu tangan lelaki itu. Itu sahajalah kenangan dari lelaki itu.  Bella sering membawa sapu tangan itu ke mana-mana kerana manalah tahu kalau dia terserempak dengan lelaki itu. Dapatlah dia kembalikan semula sapu tangan bermotif checkers itu kepada pemiliknya. Namun harapan hanya tinggal harapan.

Atas nasihat lelaki itu juga Bella sentiasa cuba elakkan tempat-tempat yang sunyi. Dia tahu Farouk masih memperhatikan dia namun kalau dia bersama ibunya Farouk tidak akan berani buat perkara yang tidak senonoh. Cuma yang menakutkan ialah bila Farouk selalu datang ke rumah kadang-kadang sengaja memberhentikan motosikalnya di hadapan rumah. Dia akan duduk di situ 10 dan 20 minit memerhati pintu rumah. Banyak kali Bella terpaksa duduk senyap di dalam rumah walaupun lelaki itu membunyikan loceng pintu beberapa kali. Farouk seolah-olah tidak serik menganggu dia.

Rumahnya kini sudah tidak selamat lagi. Bila dia keluar dia perlu pastikan Farouk tidak mengekorinya. Bella sebenarnya hidup dalam ketakutan kerana Farouk. Dia sering rasa yang dirinya tidak selamat. Tapi apakan daya. Dia hanya boleh berlindung dengan ibunya. Farouk tidak akan buat apa-apa kalau ibu Bella ada di rumah. Mungkin dia segan pada Puan Rubiah. Tapi, Bella tak akan sentiasa bersama ibunya. Ada masa dia terpaksa juga keluar seorang diri. Sesungguhnya Bella merasa trauma dengan apa yang berlaku namun dia sedikit pun dia tidak memberitahu ibunya. Bella tak mahu ibunya risau. Sudahlah ibunya bukan seorang yang sihat. 

Bukan sahaja Farouk, Hanim juga kian selalu singgah untuk menyakitkan hati Bella. Dia mahu Bella bekerja di kilangnya tetapi Bella enggan kerana dia tahu kalau dia satu tempat kerja dengan Hanim, makin galaklah Hanim mengenakan dia atau membulinya. Lagipun dia masih belum lupa apa yang Hanim lakukan padanya di Zouk dahulu. Hanim juga mula mengugut untuk naikkan sewa rumah. Katanya dah 5 tahun sewa rumah itu tidak naik. Semuanya secara tiba-tiba. Sebelum ini hanya Rm400 kini Hanim minta Rm800. Bukan rumah teres dua tingkat pun. Rata-rata di kawasan kejiranan itu Rm800 untuk teres dua tingkat bukan untuk rumah kos murah setingkat.

“Hanim, cubalah bertolak ansur dengan kami,” pinta Bella. Hanim mengeleng. Hari ini dia memakai skaf yang tertonggok sekuntum replika bunga ros merah jambu di atas dahi. Entah fesyen apa. Bella sebenarnya rasa lucu tetapi dia tidak sampai hati untuk ketawakan Hanim. Fashion sense Hanim selalu ke laut dalam. Selalu gayanya acah-acah urban tetapi dalam banyak keadaan tak kena gaya.

“Aku tak kira. Akhir bulan ni kau kena bayar. Mak aku yang cakap.,” katanya sombong.

“Hanim, kau cubalah fikir. Gaji kami berdua sangat kecil. Mana mampu nak bayar sewa rumah sebanyak itu?” ujar Bella cuba memasukkan logik ke dalam pemikiran Hanim.

“Sewa kena bayar walau apa pun,, kalau tidak kau kena keluar dari rumah ini. Buat pengetahuan kau, ramai aje yang tengah tunggu rumah ni,” ujar Hanim. Bella dan ibunya berpandangan.

“Jadi kalau kami tak mampu bayar, kau nak halau kami semua keluar ke?” soal Puan Rubiah.

“Dah tentulah. Kami rugi tau bila Mak Ngah hanya bayar RM400,” terang Hanim dengan mulutnya dimuncungkan.

“Tapi kita ni kan bersaudara? Tak kan tak boleh bertolak ansur?” ujar Bella masih mahu berunding dengan sepupunya itu.

“Ini hal business tak ada kena-mengena dengan hubungan kita sebagai saudara. Kalau nak fikir saudara je boleh rugi semua business dalam dunia ini. Mak kata kalau Mak Ngah tak boleh bayar, senang saja. Mak Ngah dan Bella boleh keluar dari rumah ini. Selamat tinggal,” ujar Hanim bersungguh sambil berpeluk tubuh.

“Tapi Hanim, mana kami nak pergi kalau kami tak ada rumah??” soal Puan Rubiah dengan nada sedih. Hanim juihkan bibir pada Puan Rubiah.

“Itu bukan masalah kami,” jawab Hanim endah tak endah. 

“Kak Hanim...tak kan tak boleh bertimbang rasa? Mak tu makcik Kak Hanim, ” ujar Bella. Hanim menjuihkan bibir.

“Kami dah puas bertimbangrasa dan terpaksa tanggung rugi bertahun-tahun. Sekarang kami dah tak mahu lagi rugi,”

“Kak Hanim, kasihanilah kami anak beranak,” ujar Bella.

“Ye Hanim...nak cari rumah lain bukan senang,” kata Puan Rubiah pula.

“Ah...saya tak kira. Hujung bulan ni sewa rumah ialah RM800. Kalau tak boleh bayar, Mak Ngah dan Bella boleh cari rumah lain ye. Okay aku nak balik!,” ujar Hanim. Dia kini melangkah keluar dari rumah itu. Dia tidak mahu mendengar lagi rayuan Bella dan ibunya itu.

Bella dan Puan Rubiah kemudiannya cuba memujuk Hanim dan Puan Yusni melalui pertemuan dan panggilan telefon namun permintaan mereka berdua tetap tidak diendahkan. Menangis Puan Rubiah mengenangkan nasib mereka yang bakal kehilangan tempat tinggal itu. Bella turut rasa sebak. Seolah-olah hubungan kekeluargaan antara mereka sudah tidak penting lagi. Benarkah Puan Yusni dan Hanim mengalami kerugian selama ini? Sudahlah begitu pendapatan mereka memang tidak cukup untuk membayar sewa rumah itu yang akan naik ke RM800. Ada kemungkinan kesemua wang gaji mereka hanya mampu untuk bayar sewa rumah sahaja. Bagaimana pula untuk makan dan keperluan lain?

Disebabkan itu, Bella makin terdesak untuk mendapatkan kerja dengan tindakan Hanim menaikkan sewa rumah dua kali ganda. Kalau Bella dapat kerja dengan gaji mungkin antara Rm1800- Rm2500, sewa rumah sebanyak itu tidak akan jadi masalah. Namun kalau dia dan ibunya masih bekerja di pasar malam dengan gaji rata-rata Rm1000 pastilah tidak cukup. Mereka akan hanya ada sebanyak RM200 untuk makanan dan lain-lain. 

“Ibu jangan risau. Bella akan cuba dapatkan kerja. Oh ya Bella dah mohon untuk ditemubual untuk satu syarikat ni. Bella pasti kali ni Bella akan berjaya. Ibu jangan risau ye,” ujar Bella memujuk ibunya yang sedang menangis dan mula mengungkit tentang hidup Bella yang sukar disebabkan oleh dirinya.

“Ibu, jangan cakap macam itu. Ibu tak bersalah. Tiada siapa pun bersalah. Sabarlah ibu. Bella pasti lepas ni kita akan pindah dari sini dan duduk di tempat yang lebih baik bila Bella dapat kerja nanti,” ujar Bella lantas memeluk ibunya. Air matanya jatuh juga tapi cepat disekanya. Dia tidak mahu ibunya tambah sedih.


Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.