Home Novel Cinta Takdir Cinta Kita
Bab 22

Foto yang diambil ketika bersiar-siar di Kampung Cina semalam dilihat oleh Arra. Banyak foto yang menarik. Arra melihat satu persatu foto yang telah diambil. Selepas selesai fitting baju sanding. Mereka bersiar-siar di bandar Terengganu. Sampai malam baru mereka pulang ke rumah. 

Aril yang sedang berenang-renang di dalam kolam mandi dilihatnya. Walaupun sudah berkali-kali diajak mandi bersama dia tetap menolaknya. Arra lebih selesa duduk diatas buaian sambil melihat Aril dari jauh. Aril telah memohon cuti bagi meraikan hari bahagianya nanti. Lagi dua hari sahaja lagi majlis itu akan berlangsung. Terasa berdebar pula di dalam hatinya.

"Sayang!" panggil Aril sambil melambai-lambaikan tangan ke arah Arra.

"Apa?"

"Marilah temankan abang?"

Arra menggelengkan kepalanya. "Arra baru aje mandi," balas Arra. Dia baru saja selesai mandi setelah menunaikan solat fardhu Asar.

"Okey," ujar Aril perlahan kecewa.

Arra kembali melihat foto di dalam galeri telefon. Foto dia memakai baju yang bakal digayakan pada majlis perkahwinan nanti dilihatnya. Warna keemasan menjadi pilihan hatinya dan juga Aril. Mereka hanya memilih sepasang baju sahaja untuk hari persandingan. Sagu pasang sahaja sudah cukup memadai daripada tiada kenangan langsung bagi meraikan hari bahagianya. 

Kring! Kring! Kring!

Arra tersenyum melihat nama pemanggil dihujung talian. Dia segera menjawabnya. "Assalamualaikum, Puteri Ain," ujar Arra mengusik Ain. 

"Waalaikumussalam Puan Arra."

Arra tersenyum mendengarnya. Dia sedar kini memang itu gelaran buatnya yang telah bergelar isteri. "Ya, Cik Ain sayang oii. Ada apa call ni?"

"Amboi takkan call kawan sendiri tak boleh kot?" ada nada rajuk dalam ucapannya.

"Bukan tak boleh. Kau call mesti ada sebab kan. Dah lama senyap aje," kata Arra sedih apabila Ain sudah lama tidak menghubunginya.

"Aku bukan sengaja tau. Kau yang tak call aku dulu. Last aku call, kau merepek apa entah pasal Hairi," balas Ain masih tertanya-tanya mengapa Arra bercakap begitu. "Dua hari lepas tu aku dapat tau kau dah kahwin dengan sepupu aku."

Arra mengayunkan buaian perlahan dengan kakinya. "Phone aku rosak," balas Arra perlahan. Kejadian sewaktu dia terjatuh dalam kolam mula terlayar di ruang matanya kembali.

"Tahu. Aril ada bagi tahu aku."

"Tapi kau boleh call Aril atau Mak Long kalau nak bercakap dengan aku kan?"

"Dah tapi semua tak dapat," jawab Ain bersama keluhan kecil. "Aku ada call nombor baru kau. Tapi asyik masuk voice mail aje."

"Bila? Aku tak perasan pulak?" 

"Nak perasan macam mana kalau suami peluk kat sebelah. Mana nak ingat aku yang jauh kat KL ni?"

"Hisy... Mana ada aku lupa," ujar Arra perlahan. "Aku stress aje. Jadi aku lebih banyak menyendiri. Kau sendiri tahu kan apa yang dah berlaku. Bukan senang aku nak terima semua ini dengan mudah."

"Aku turut bersimpati dengan apa yang berlaku. Aku sebagai sahabat kau hanya mampu mendoakan yang terbaik. Semoga kau bahagia selalu disamping Aril. Aku yakin dia mampu jadi suami yang baik buat kau, Arra," kata Ain menyuntik semangat ke dalam hati Arra.

"Thanks Ain," balas Arra lalu menyapu air mata yang mula menitis. "Eh... nanti jangan lupa datang masa kenduri kahwin aku."

"Semestinya," kata Ain dengan teruja.

"Kau jadi bridesmaid aku tau," ujar Arra sambil tersenyum.

"Orang lain tak ada ke?"

Arra mencebik. "Kalau kau ada depan aku sekarang dah lama kepala kau tu aku ketuk," ujar Arra dengan nada marah. Kedengaran suara Ain ketawa dihujung talian. "Kau dah janji okey nak jadi bridesmaid aku. So sekarang tunaikanlah."

"Aku gurau ajelah," balas Ain sambil menahan suara tawanya daripada meletus. "Takkanlah aku tak nak tengok sahabat baik aku naik pelamin."

Senyuman terukir pada wajah Arra apabila mendengarnya. "Janji tau. Aku tak cari orang lain dah ni. Kalau tak datang siap aku kerjakan kau nanti dekat kampus," ujar Arra berbau ugutan.

"InsyaAllah aku datang. Aku tak lupalah janji kita. Tapi baju macam mana? Aku perlu pakai baju warna apa?"

"Soal baju aku dah uruskan. Sekejap lagi aku send gambar dekat kau."

"Cantiklah. Jimat bajet aku dari beli baju baru."

"Huh... Nanti sila bayar balik tau?" ujar Arra sambil tersengih.

"Cis! Kedekutlah kau ni," kata Ain kecewa mendengarnya. "Ingatkan nak belanja tadi?"

Arra ketawa perlahan. "Aku gurau ajelah. Baju tu Aril belanja. Kau pakai aje nanti. Baju tu memang aku pilih khas buat kau."

"Thank you so much. Sayang abang Aril," kata Ain dengan gembira.

"Jangan sayang lebih-lebih ea," kata Arra berbau cemburu. "Abang Aril kesayangan kau dah beristeri. Jangan nak bermanja lagi dengan dia."

"Amboi marah nampak. Dah sayang ke?"

"Isteri mana yang tak sayangkan suaminya," kata Arra sambil tersenyum melihat Aril di hadapannya.

"Bunyi macam dah jatuh cinta aje."

"Dia dah jadi suami aku, Ain. Seorang isteri mestilah mencintai dan menyayangi suaminya," kata Arra dengan penuh keikhlasan di dalam ucapannya. 

Ya, aku mula menyayanginya. Betapa bahagianya hati ini berada disampingnya, desis hati kecil Arra.

"Bahagia aje aku dengar."

"Sayang ambilkan abang tuala," pinta Aril.

"Okey," balas Arra lalu mengerling tuala yang berada di atas buaian. "Ain nanti aku call lagi. Aril panggil."

"Amboi sweetnya."

"Seorang isteri perlu melayani suaminya. Aku hanya insan biasa yang punya hati. Tidak kira bagaimana cara kita disatukan. Bagi aku biarlah ikatan yang dibina kekal untuk selamanya."

"Wah! Ayat yang penuh romantis. Semoga berbahagia selalu. Pergilah layan putera raja kau tu. Assalamualaikum."

"Terima kasih Ain. Waalaikumussalam," balas Arra lalu mematikan talian telefon.

Arra meletak telefon bimbitnya di atas buaian. tuala yang telah disediakan diambil. Dia bangkit dari tempat duduknya lalu melangkah ke arah Aril yang masih berenang-renang di dalam kolam mandi.

"Abang ni tuala," kata Arra lalu menghulurkan tuala kepada Aril.

Aril mengelap wajahnya dengan tangan. "Cakap dengan siapa tadi?"

"Ain."

Aril menghampiri Arra. "Bukan Hairi?"

Arra mengerutkan dahinya. "Hairi mana tau nombor baru Arra."

"Betul?"

"Iya," kata Arra sambil menganggukkan kepalanya. "Tuala ni ambillah."

Aril tersenyum nakal. Tuala ditarik bersama tangan Arra.

"Abang!" jerit Arra apabila tangannya ditarik oleh Aril.

Kedebus!!!

Aril ketawa.

"Abang!" marah Arra lalu menyimbah air pada wajah Aril. "Habis basah baju arra. Abang ni  sengaja kan."

Aril tersenyum. "Abang ajak tak nak?"

"Habis tu perlu ke paksa," kata Arra lalu memuncungkan bibirnya. Geram dengan tindakan Aril.

Nak kena cium ni? desis hati kecil Aril. Tubuh Arra didekatinya. Dia mengukirkan senyuman nakal lalu mencium bibir Arra. "I love you," kata Aril perlahan.

Arra terkejut dengan tindakan berani Aril menciumnya. Ucapan Aril membuat hati Arra tidak keruan. Wajahnya mula kemerahan menahan malu. Dia hanya mampu menolak tubuh Aril menjauhinya. Dia melangkah keluar daripada kolam mandi terus menuju ke dapur. Tanpa disedari dia merasakan hatinya sangat bahagia ketika ini. Terasa hatinya berbunga-bunga mendengar ucapan cinta daripada Aril. 

I love you too, abang, ucap Arra di dalam hati. Dia masih belum bersedia mengucapkannya dihadapan Aril.


SELIMUT yang menutupi badan Melysa ditarik oleh Rafiq. Wajah melysa kelihatan pucat. Dia menyentuh dahi Melysa yang masih lagi lena. Suhu badan Melysa berasa sangat panas. Rafiq mula cemas.

Panasnya. Mel deman ni. Ya Allah, berilah kesembuhan buat isteriku, doa Rafiq di dalam hati.

Pipi Melysa ditepuk perlahan. "Mel," panggil Rafiq cuba mengejutkan Melysa daripada tidur. 

Melysa mengerang kesejukan. Selimut ditariknya kembali. "Abang tolong call Tania. Beritahu dia Mel tak masuk kerja hari ni."

"Okey. Nanti abang maklumkan. Tapi jom kita pergi klinik. Badan sayang panas sangat ni," ujar Rafiq risau akan kesihatan isterinya.

"Mel okey. Abang janganlah risau," kata Melysa lalu membuka matanya. Dia melihat Rafiq sudah siap untuk keluar bekerja. "Abang nak pergi kerja dah ke?"

"Sayang tak sihat. Abang tak jadi masuk ofis hari ni."

"Tak apa ke? Nanti daddy marah kan?" ujar Melysa risau jika bapanya memarahi Rafiq. Maklumlah sejak Rafiq bergelar suaminya. Dia sudah tidak menjadi pengurusnya lagi tetapi mula bekerja dengan Dato' Yusri bapa mertuanya sendiri.

"InsyaAllah daddy tak marah. Lagipun abang risau sayang tinggal di rumah sorang-sorang."

Melysa bangkit daripada pembaringan. Dia menghadap Rafiq. Dia terharu mendengar Rafiq risau akan dirinya. "Mel nak cakap something."

"Apa?"

"Ryan ugut Mel lagi," ujar Melysa perlahan dengan perasaan takut. 

Rafiq mengeluh berat mendengarnya. "Sayang masih berhubung dengan dia lagi ke?"

Melysa menggeleng kepalanya. "Dia yang call Mel."

"Dia nak apa lagi?" soal Rafiq hairan mengapa Ryan masih lagi tidak berhenti mengganggu Melysa. "Dari dulu lagi abang tak suka sayang berkawan dengan dia," ujarnya dengan nada kesal kerana Melysa tidak mendengar dia melarang berhubungan dengan Ryan. Rafiq turut mengenali Ryan yang terkenal dengan sikap licik dan jahatnya. 

"Mel pernah upah dia untuk cederakan Arra," jelas Melysa dengan rasa kesal di dalsm hatinya.

"Ya Allah, apa yang sayang dapat dengan mencederakan Arra?" ujar Rafiq terkejut mendengarnya. "Siapa Arra?"

"Maid dekat rumah Aril," jawab Melysa perlahan. "Mel rasa dia ada hubungan dengan Aril. Lagipun abang tahu kan? Betapa sayangnya , Mel dekat Aril dulu," jelas Melysa dengan nada sedih. Jauh di dalam sudut hatinya, dia masih menyayangi Aril.

Rafiq mengeluh. "Ya, abang tahu," balasnya perlahan. Rafiq sedar, dialah punca hubungan Melysa dan Aril berakhir. Bagaimana Melysa tidak sanggup kehilangan Aril. Begitu juga dengan dia yang tidak sanggup kehilangan Melysa.

"Mel tak sanggup kehilangan Aril masa tu. So siapa saja yang menjadi penghalang hubungan I dengan Aril," Melysa berhenti sejenak. "I nak bunuh," sambungnya perlahan.

"Astargfirullah hal adzim," ujar Rafiq terkejut mendengarnya. "So sekarang apa yang dah jadi?"

"Ryan tak sanggup buat macam Mel nak. Tapi dia plan nak malukan Arra."

"Malukan Arra? How?"

Melysa menggelengkan kepalanya. "Mel sendiri tak tahu apa yang telah Ryan rancangkan. Dia call selepas kita dah kahwin."

"Dia cakap apa?"

"Dia marah dekat Mel sebab plan dia tak menjadi. Lepas tu, dia minta upah dia."

"Sayang dah bagi ke?"

Melysa angguk. "Dah. Tapi dia minta lagi dan lagi," kata Melysa risau memikirkan Ryan masih tidak berhenti mengganggunya.

Rafiq mengeluh berat. "Itu namanya peras ugut."

"Dia ugut nak cederakan Arra atau Aril lagi jika Mel tak bagi dia duit."

"Tak perlu bagi. Sayang dah buat report polis?"

Melysa gelengkan kepalanya. "Tak. Mel takut dituduh bersubahat."

Rafiq memegang tangan Melysa. "Jangan takut. Mel cakap Ryan peras ugut sahaja. Nanti kiya serahkan pada polis untuk tangkap dia."

"Tapi mesti pihak polis akan tanya sebab Ryan menggugut Mel?"

Rafiq diam. Kata-kata Melysa ada benarnya juga. Dia mengeluh kecil. "Mel perlu berterus terang dengan Aril? Minta maaf atas apa yang telah berlaku?"

Melysa terkejut mendengarnya. Dia masih belum bersedia untuk bertemu dengan Aril. "Mel malu?"

"Ini sahaja cara untuk sayang lepaskan diri daripada tahanan polis."

"Bagaimana kalau Arra dan Aril tidak mahu memaafkan Mel?"

Kepala Melysa diusap perlahan oleh Rafiq. "Abang temankan sayang jumpa mereka. InsyaAllah kemaafan akan sayang perolehi."

Hati Melysa berasa lega mendengarnya. Tubuh Rafiq dipeluk. Air mata mula menitis. Dia benar-benar rasa takut ketika ini. Ryan sudah hilang akal. Semalam sewaktu dia tidur, Ryan menghubunginya lagi. Dia meminta Melysa memberinya wang lagi dengan kadar segera. 

Ryan menggugutnya akan membunuh Arra, jika kemahuannya tidak dituruti.Perasaan bersalah terhadap Arra mula timbul di dalam hatinya. Arra tidak bersalah tetapi dia menjadi mangsa cemburu dan demdamnya. 

Maafkan Mel, Arra, desis hati kecil Melysa.


"CANTIKNYA, Arra," puji Ain apabila melihat Arra begitu anggun setelah disolek. Arra jarang memakai solekan yang tebal. Oleh itu, wajahnya kelihatan begitu cantik apabila memakai solekan  pada hari ini.

Arra tersipu malu mendengarnya. "Eh, mana ada. Kau ni puji lebih-lebih pulak."

"Aku cakap apa yang betul aje. Serius, kau memang nampak cantik sangat."

"Terima kasih," balas Arra dengan malu-malu. Dia tak teebiasa dipuji begitu.

"Jom bergambar," kata Ain lalu mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam tas tangannya.

"Okey," balas Arra sambil tersenyum.

Ain mengambil foto bersama Arra diatas pelamin. Pelbagai gaya dilakukan. Foto yang diambil dilihatnya sambil tersenyum. Ain memandang wajah Arra lalu memegang tangan sahabatnya itu.

"Tahniah. Aku tumpang gembira dengan perkahwinan kau dengan abang Aril."

"Thanks. Malam ni kau tidur kat mana?"

Ain mengukirkan senyuman. "Semestinya dekat rumah bekas majikan kau a.k.a mak mertua."

Arra mencubit pinggang Ain. "Sukalah mengusik aku?"

"Alah, bukan selalu pun," ujar Ain perlahan. "Aku rasa macam tak sabar nak kahwin bila tengok kau cantik sangat," sambung Ain lagi.

"Hurmm... lepas ni kau lah pulak naik pelamin. Aku yakin bila kau make up nanti mesti lawa jugak macam kau cakap dekat aku."

"Alah siapalah nak kahwin dengan aku ni," ujar Ain dengan sedih mengenangkan diri tiada insan yang sudi menjadikannya suri hati.

"Saya single lagi," kata Hanif sambil melemparkan senyuman ke arah Ain.

Ain memandang wajah Hanif yang berdiri dihadapannya. Aril turut tersenyum memandangnya. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. "Ain gurau ajelah."

"Saya serius," balas Hanif lalu memandang wajah Aril disebelahnya. "Sepupu kau kan?"

"Ya."

"Tak salah kan kalau aku jadikan dia wife aku?"

Aril tersenyum mendengarnya. "Aku bersyukur sangat sahabat aku jadi husband Ain," ujar Aril menyokong kata-kata Hanif. Dia mengenyitkan mata kepada Ain.

Arra turut tersenyum melihat sahabatnya diusik begitu. "Tak perlu tunggu putera raja dari kayangan turun Cik Ain oii. Depan mata pun ada," ujar Arra mengusik Ain.

Bahu Arra ditumbuk perlahab oleh Ain. "Arra," marahnya. Ain menjeling marah. "Ain main-main ajelah. Study pun tak habis lagi takkan dah menggatal nak kahwin."

"Arra pun belum habis study lagi. Boleh aje kahwin. Kan Aril?" ujar Hanif semakin rancak mengusik Ain.

Ain mati kutu dibuatnya. Lidahnya kelu untuk bersuara. Tidak sangka Hanif berani mengusiknya begitu. 

"So apa keputusan Ain?" soal Aril lalu menghampiri Arra.

"Huh? Keputusan apa?" soal Ain pura-pura tidak faham.

"Bila nak kahwin? Hanif dah lamar tu?"

Ain mencebik. Paha Aril ditamparnya. "Abang Aril ni, sukalah tu usik Ain."

Mereka tergelak mendengarnya. Wajah Ain mula kemerahan. Dia hanya mampu menundukkan wajahnya menahan malu. 

"Sembanglah dulu. Arra nak masuk bilik sekejap. Lepas ni, nak kena cuci periuk belanga kat belakang rumah," kata Arra lalu mengenyitkan matanya kepada Aril.

"Abang nak ikut."

Arra bangkit dari tempat duduknya. Dia meraih tangan Aril lalu melangkah turun dari atas pelamin indah miliknya. Impiannya ingin menjadi Raja Sehari telah tercapai. Dia mengucapkan rasa syukur di dalam hatinya kerana majlis perkahwinannya berjalan dengan lancar.


HANIF melabuhkan punggung diatas kerusi bersebelahan dengan Ain. Suasana di dalam rumah agak sunyi pada waktu petang. Keriuhan suara para tetamu hanya kedengaran di dapur dan di luar rumah sahaja. 

Ain terasa kekok apabila berdua begitu dengan lelaki yang baru dikenalinya itu. "Ain minta diri dululah. Pinggan banyak tak cuci lagi," kata Ain cuba mengelak daripada Hanif. Dia bangkit dari tempat duduknya.

Hanif memaut lengan Ain. "Jom bergambar dengan saya sekejap."

"Huh?" Ain mula rasa serba salah. Jantungnya mula berdegup dengan laju apabila Hanif memegang tangannya. "Okeylah," balas Ain perlahan lalu duduk kembali di atas kerusi.

Hanif mengukirkan senyuman. Dia mengambil foto bersama Ain dan juga fotonya bersendirian diatas pelamin. Tanpa disedari mereka mula selesa berkawan. Pelbagai gaya ketika bergambar diambil.

Ain merampas telefon bimbit Hanif lalu melihat gambar yang diambilnya. "Cantiknya," ujar Ain sambil tersenyum. Dia mendail nombor telefonnya lalu menghantar semua foto yang diambil melalui whatsApps.

"Sesuka hati aje rampas phone orang kan?"

Ain tersengih. Dia menyerahkan kembali telefon bimbit milik Hanif. "Saya dah dapat semua gambar tadi. Thank you," kata Ain lalu meninggalkan Hanif.

Ain melangkah ke luar rumah. Tetamu pada waktu petang tidaklah terlalu ramai sewaktu tengah hari tadi. Ain menarik kerusi lalu duduk. Dia melihay foto yang diambilnya dengan Hanif dan jugak bersama Arra 

Tanpa berfikir panjang dia memuatnaik di status WhatsApps gambarnya bersama Arra dengan kata-kata 'Selamat Pengantin Baru My Bestfriends'. Dia juga memuatnaik fotonya bersama Hanif dengan ucapan 'Tak sangka jumpa jodoh sendiri dekat majlis perkahwinan sahabat kesayanganku'.

Ain memandang ke arah meja yang menghidang lauk. Perutnya mula terasa lapar. Tanpa membuang masa dia bangun lalu mengambil nasi. Usai mengambil nasi dia meletakkan pinggan di atas meja lalu duduk. Dia menikmati makanan dengan berselera. Tiba-tiba kerusi di hadapan mejanya ditarik. Kelihatan Hanif tersenyum di hadapannya. 

"Boleh kan saya duduk di sini?"

"Ada saya cakap tak boleh ke?" ujar Ain lalu menyuap nasi ke mulutnya.

"Mana tau ganggu awak nak makan."

"Saya tak kisah pun," kata Ain sambil tersenyum sumbing. 

Handsome jugak mamat ni. Kalah Hairi, omel Ain di dalam hati. Dia memandang wajah Hanif dihadapannya. 'Agak-agaklah dia serius ke dengan kata-kata tadi? Fikir Ain lagi.

"Kenapa diam aje?"

Ain dengan cepat mengalihkan pandangan matanya ke arah lain. "Ermm... tak ada apa yang nak dibualkan. Lagipun ketika makan tak baik bercakap."

Hanif menganggukkan kepalanya.

Kring! Kring! Kring!

Ain melihat nama yang tertera pada skrin telefon bimbitnya. Dia mengeluh kecil apabila melihat nama Hairi. Dia hanya membiarkan sahaja telefon bimbitnya berhenti berbunyi.

"Kenapa tak jawab?"

"Tak penting?"

Bib! Bib! Bib! 

Telefon Ain berbunyi menandakan mesej masuk.   Ain masih tidak peduli dengan mesej yang baru diterimanya. Ain menghabiskan makanannya. Dia bangkit dari tempat duduknya setelah selesai makan. 

Kring! Kring! Kring!

Telefon Ain berbunyi lagi. Sebelum sempat dia mengambil telefon bimbitnya. Hanif terlebih dahulu menjawab panggilan itu.

"Hello, assalamualaikum," ujar Hanif.

"Ain ada?" soal Hairi dihujung talian. Pelik apabila mendengar suara orang lain yang menjawab panggilannya.

"Ain tengah makan. Nanti call lagi next time," ujar Hanif lalu mematikan talian. 

Ain marah. Telefon pada tangan Hanif diambilnya. "Sesuka hati aje jawab call?"

"Awak tak jawab tu, kenapa?"

"Phone saya. Ikut suka hati sayalah nak jawab atau tak?" ujar Ain lalu melangkah meninggalkan Hanif dengan rasa marah. Dia meletakkan pinggan di dalam bakul yang telah disediakan.

"Sengaja tak jawab sebab merajuk dengan buah hati ke?" ujar Hanif dari arah belakang.

"Hairi bukan buah hati saya. Kita orang kawan sahaja okey?"

"Betul ke?"

"Betul lah?"

"Habis tu kenapa tak jawab tadi?"

"None of your business," kata Ain lalu melangkah  meninggalkan Hanif. Dia masuk ke dalam rumah.

Sikap Hanif membuatnya sakit hati. Dia melihat jam pada dinding rumah telah menunjukkan angka lima. Tas tangannya diambil. Aril dan Arra yang baru keluar dari bilik dihampirinya. Dia tersenyum ke arah mereka.

"Hari dah lewat petang. Aku minta diri dululah."

Aril melihat jam pada tangannya. "Baru pukul lima. Ain dah nak balik ke?"

"Aku nak jalan-jalan kat sekitar bandar terenganu dulu. Esok dah nak balik KL."

"Aku ambilkan makanan sekejap," kata Arra lalu membuka langkah ingin ke dapur.

Ain segera menahan Arra. "Tadi kau dah kirim dekat Mak Long."

"Itu untuk Mak Long. Aku nak bagi yang kau punya."

"Sayang," panggil Aril perlahan.

Arra menyiku lengan Aril apabila memanggilnya begitu di hadapan Ain. Dia segan. "Apa?"

"Mak Long tu kan mama. Ain nak balik rumah mama. Nak kirim makanan banyak-banyak, nanti siapa nak makan?"

Arra menepuk dahinya perlahan. Dia hampir terlupa. "A'aalah," kata Arra sambil tersenyum pahit.

Ain menggelengkan kepalanya. "Amboi baru kahwin dah jadi pelupa."

Arra menjeling marah. "Janji tak lupa suami sendiri," balas Arra sambil menganggkat keningnya ketika memandang wajah Aril.

"Rindulah aku nanti dekat kau," kata Ain lalu memeluk tubuh Arra. "Bulan depan aku kena cari roommate barulah," ujar Ain dengan nada sedih.

Arra meleraikan pelukan. "Aku masih roommate kau, okey? Jangan nak mengada-ngada nak cari orang lain?"

Aril memandang wajah Arra meminta penjelasan. "Semester baru bila start?"

"Lagi tiga minggu?" jawab Ain perlahan. "Aku gerak dululah. Bajet sebelum maghrib sampai rumah Mak Long," ujar Ain lalu memakai kasut.

"Okey. Hati-hati memandu."

"InsyaAllah," balas Ain. Dia melangkah masuk ke dalam perut kereta. Enjin kereta dihidupkan. Dia melambaikan tangan ke arah Aril dan Arra serta ahli keluarga Arra yang lain.

"Abang Aril jangan lupa tunaikan janji tau. Tahun depan Ain jadi Cik Su lagi."

"InsyaAllah," balas Aril.

"Assalamualaikum," ujar Ain lalu meninggalkan kawasan perkarangan rumah Arra.

"Waalaikumussalam."

Kata-kata Ain menjadi bahan ketawa. Aril hanya mampu tersenyum mendengarnya. Wajah Arra mula kemerahan apabila mendengar suara orang ketawa mendengar ucapan Ain. Suara mengusiknya datang dari arah sana sini silih berganti. Dia hanya mampu menjeling marah kepada Aril.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Andayu