Home Novel Cinta Sindiket Cinta
Sindiket Cinta
awa
3/9/2024 10:15:04
10,680
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

SEMALAMAN Hawa gagal melelapkan mata. Hati dia tidak tenang setelah berterus-terang dengan Adam. Semalaman juga dia persiap-siapkan diri menerima berita buruk dari pihak lelaki itu. Sayangnya, berita yang dia nanti-nantikan tidak juga kunjung tiba.


Berkali-kali juga Hawa turun memeriksa keadaan emak. Takut jika perkara yang dia nantikan sudah sampai ke pendengaran orang tuanya. Sebaliknya, emak nampak gembira. Emak sibuk menyiapkan segala persiapan majlis esok tanpa rasa sedih.


Malah emak sempat menitipkan pesan supaya tidak terlalu risaukan dirinya. Emak sudah biasa. Bila lagi emak nak merasakan suasana begini memandangkan ini merupakan majlis yang terakhir.


Akhirnya, Hawa akur. Dia naik semula ke bilik dan berehat. Itupun tidak sampai satu jam dia sudah terjaga. Dia mimpi ngeri. Mimpi Adam bertukar menjadi orang lain. Adam sengaja tidak munculkan diri pada hari pernikahan mereka.


“Ya Allah, Hawa! Apa jadi?”


Hawa tayang senyuman tipis. Bersalut dengan kekok. Hasilnya, dia berjaya menaikkan suara mak andam satu oktaf.


“Muka pucat! Mata sembab! Kulit ni ha…Dah ada simptom nak kering…Kurang kasih sayang.”


Rahang Hawa disentuh lembut. Mak andam merangkap kawan baik Hazirah mula belek seluruh wajahnya. Dan pandangannya berhenti pada sepasang iris Hawa yang mengerdip perlahan.


“Banyak kerja nak buat dekat mata Hawa ni.” Hujung ayat mak andamnya mengeluh.


Ya. Harus Hawa akui. Dia sedang memberi bukti cukup jelas yang dia tidak mampu lelapkan mata. Nak pandang muka sendiri dekat cermin pun dia sudah merasa ngeri.


“Akak faham…Darah gemuruh kan. Tak boleh nak tidur tu perkara biasa. Tunggu nanti dah halal. Setiap malam akan ada yang tolong dodoikan.”


Kelat muka Hawa. Gurauan mak andam bernama Baizura tidak kena dengan masanya. Dia sedang menanti khabar duka. Menunggu masa untuk menjalani sesi berkabung. Setiap detik itu mencemaskan dia.


“Dulu akak pun macam tu…Tapi nasib baik mak andam pro. Habis semua kekurangan dekat muka akak ditebas, biar halimunan.”


Semakin kekok senyuman Hawa bila Baizura mula kupas kembali detik-detik kegembiraannya mengubah status anak dara ke isteri orang. Jauh berbeza dengan cerita versi dia. Dan dia tak rasa dia bakal melalui peralihan frasa tersebut.


“Untung Hawa dapat Adam.”


Boleh jadi Baizura dengan Adam satu tempat kerja. Tak hairanlah kalau selepas ini dia akan didengarkan semua sisi baik Adam yang belum pernah dia tahu. Dan percayalah, setiap kebaikkan yang diceritakan hanya menambahkan rasa serba-salah dia pada Adam.


“Dengar-dengar, Adam tu tua sepuluh tahun dengan Hawa.”


Maaf. Hawa tak pernah dengar cerita itu. Dia sendiri pun tak tahu berapa jarak umur mereka. Apa yang dia tahu, pemikiran Adam itu tidak seiring dengan umurnya. Tersangatlah kebudak-budakkan.


“Dapat lelaki yang berumur ni lagi matang. Lagi memahami jiwa perempuan. Masalah akan jarang-jarang timbul sebab dia orang lebih bijak tangani masalah.”


Tapi kenapa Hawa merasakan perkara sebaliknya? Dia rasa Adam itu pengecut. Sengaja berdiam diri setelah dia bersikap jujur bahawa dia punya orang lain.


Semalam selepas berjumpa dengan Sean semula, dia mengambil pendekatan kurang cerdik dengan menghubungi Adam. Habis cerita janji dia dengan Sean untuk ke jinjang pelamin dikhabarkan. Dengan harapan bahawa Adam dapat menerima dengan hati terbuka. Siapa tahu Adam memberi reaksi sebaliknya.


Adam mula mengamuk besar. Terasa dirinya sedang dipermainkan. Bahkan, dituduhnya Hawa memberi harapan palsu. Tidak setakat itu, kesalahan diletakkan seratus peratus di bahu dia. Malah dia diancam supaya bertanggungjawab jika sesuatu yang buruk bakal terjadi pada hari pernikahan kami kelak. Perkara itu sedikit yang membuatkan dia tidak senang duduk.


Enggan mengusutkan kepala, Hawa memilih untuk diam. Sepanjang sesi merias dia hanya banyak mendengar saja tanpa mencelah. Membiarkan Baizura mencerita segala kebaikkan bakal suaminya yang dia tidak pernah tahu. 


Hampir dua jam berlalu, akhirnya kerja-kerja menconteng muka Hawa selesai. Berkali-kali Baizura meneliti hasil air tangan supaya tiada cacat celanya. Berkali-kali juga dia diingatkan supaya senyum. Dah cantik-cantik, tapi sayang. Kecantikkan tenggelam dek wajah muram dia. Terpaksalah dia senyum biarpun tidak ikhlas mana pun.


“Hawa dah siap?”


Kepala diangkat. Sorotan Hawa bertemu dengan emak melalui pantulan cermin besar yang menampakkan separuh badan dia. Bibir terus merekah senyuman tipis.


Senyuman emak tak usah dipertikaikan lagi. Sejak kejadian Hawa bersetuju menikah dengan Adam, senyuman emak tak pernah lekang di bibir. Mengalahkan bah besar. Tak ada tanda-tanda akan surut. Sesiapa saja yang melihat pasti tahu betapa gembiranya emak menyambut bakal menantu bongsu. Macam Adam itu satu-satunya lelaki terbaik Malaysia.


“Mak yang tengok ni pun dah terpersona, apa lagi Adam.”


Emak sengaja menempel buah tomato pada kedua belah pipi Hawa. Saja nak Hawa tersipu-sipu bila dipuji. Saja nak naikkan darah gemuruh dia dengan menyebut nama Adam.


“Ada apa lagi yang belum siap?”


Hawa geleng kepala. Sebelum keluar, Baizura sudah pun double check. Dan Baizura juga memberi pujian saling tidak tumpah seperti emak.


“Mari…Majlis dah nak mula.” Emak menggenggam kedua belah tangan Hawa yang sejuk.


Gemuruh Hawa datang menyerang lagi. Sekejap saja seluruh tubuh dia mula berpeluh-peluh. Penangan nama Adam sungguh dahsyat. Nama yang mampu memberi dia ketakutan. Takut dengan ancaman lelaki itu.


“Adam dah sampai?” Soal Hawa risau.


“Sekejap lagi sampai la tu…”


Jawapan emak sekadar nak menyedapkan hati dia. Hati dia tidak tenang selagi Adam tak munculkan diri. Sengaja nak dia tanggung malu sendirian. Dalam waktu yang sama, dia mengharapkan Sean tidak munculkan diri. Kemunculan Sean hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.


“Mak percaya Adam?” Entah dari mana Hawa dapat idea mengutarakan soalan tersebut. Soalan yang berjaya mengubah raut wajah emak. Soalan yang membawa terbang separuh kegembiraan emak.


“Mestilah mak percayakan Adam!” Tegas emak. Tangan emak mula merapikan pakaian dan tudung Hawa dengan muka sedikit tegang. Namun ketegangan tersebut dikaburi dengan senyuman buat-buat emak.


“Berhenti fikir bukan-bukan. Adam dah janji akan jaga Hawa seumur hidup dia. Mak yakin Adam takkan mungkir janji.”


Senyuman buat-buat emak sudah berpindah pada Hawa. Apa jaminan Adam tidak akan mungkir janji? Bila-bila masa saja Adam boleh mungkir janji. Sama seperti apa yang telah dia lakukan terhadap Sean.


Diam-diam Hawa mengeluh perlahan. Disaat-saat begini pun dia masih memikiran Sean. Sukar untuk dia menghapuskan nama lelaki itu dari kotak memori. Aura Sean itu terlalu dominan.


“Mak!”


Kemunculan Hazirah mematikan Hawa. Serentak dia dan emak menoleh ke muka pintu. Raut wajah Hazirah gelisah. Dan penyakit gelisah itu perlahan-lahan sedang menjangkiti Hawa. Peluh yang mula mengering sebentar tadi mula tumbuh bak cendawan.


Sedikit pun Hazirah tidak memandang ke arah Hawa. Sebaliknya, ada mesej yang cuba disampaikan oleh kakaknya kepada emak melalui isyarat mata.


“Adam tak datang?” Kalut Hawa bertanya.


Bukan main laju emak menoleh. Sorotan emak tajam. Sorotan yang berjaya membuatkan Hawa berhenti bersuara setelah faham dirinya diberi amaran keras supaya berhenti mengutarakan soalan merepek.


“Jom kita keluar.”


Emak masih enggan melepas genggaman. Sebaliknya emak cuba membantu Hawa untuk berdiri. Namun Hawa sengaja mengeraskan badan. Tak ada hati nak keluar dari sini.


Keluhan lembut emak menyapa halwa telinga. Tidak menjangka mungkin Hawa akan berperangai kebudak-budakkan.


Ada sebab mengapa Hawa bersikap begini. Dia terlalu risau sekiranya Adam sengaja memalukan dia dan keluarganya dengan menghilangkan diri. Sengaja nak orang-orang taman memandang serong dirinya.


“Adam dah sampai.” Beritahu emak lembut.


Kepala diangkat, membalas renungan emak. Seminit membatu barulah Hawa angkat punggung. Dia berharap senyuman emak boleh dipercayai. Dia lebih percayakan emak berbanding Adam.


Majlis akad nikah hanya diadakan secara kecil-kecilan. Hanya kaum kerabat dan jiran terdekat saja dijemput. Itupun sudah tidak terhitung ramainya. Seluruh ceruk rumahnya dipenuhi jiran dan kaum kerabatnya.


Naik kebas bibir Hawa demi mengekalkan senyuman di depan semua. Pantang dia cuba padamkan senyuman, mulalah emak mencuit lengannya. Terpaksalah dia menurut dengan mengekalkan senyuman selagi majlis belum selesai.


Kiri dan kanan sudah ada yang sibuk menjadi jurugambar ketika dia melintasi mereka semua. Bahkan ada yang mengambil kesempatan memuji kecantikkan dia. Ada juga suara berseloroh Adam bakal gugup teruk jika melihat dia. Takut lelaki tidak keruan berdepan dengan tok kadi.


Gurauan mereka dibalas dengan senyuman kekok. Mana tidaknya, ada yang bergurau kasar dengan membangkitkan cerita malam pertama. Merah teruk muka Hawa dibuatnya. Mujur emak segera mengheret dia jauh dari kumpulan wanita seumuran dengan emak. Enggan pendengaran dia ternoda dengan cerita-cerita dewasa.


Dalam menanggung rasa malu, sempat mata Hawa meliar sekeliling. Tercari-cari kelibat seseorang. Dan di tengah-tengah ruangan tamu dia menemukan satu susuk lengkap dengan persalinan serona dengan dia sedang duduk menghadap tok kadi.


Mendadak Hawa berhenti. Tubuh dia hampir melayang jika bukan emak yang sempat menahan. Lekas wajah emak dicari.


“Apa dia buat dekat sini mak!

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.