Home Novel Cinta Sindiket Cinta
Sindiket Cinta
awa
3/9/2024 10:15:04
7,994
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

DISEBABKAN Hawa belum pulih sepenuhnya dari rasa terkejut, dia gagal memberi kerjasama. Kerap kali dia ditegur supaya maniskan wajah. Gara-gara teguran itu juga dia kerap menerima kerlingan orang sebelah.


“Cepat bagi kerjasama, cepat majlis akan selesai.”


Bisikan orang sebelah melebarkan senyuman Hawa. Barulah ibu jari jurugambar naik. Puas hati bila kedua-duanya memberi kerjasama seperti yang dimahukan.


“Bukan murah nak upah photographer…”


Menoleh Hawa bila dengar rungutan orang sebelah. Tanpa segan-silu kerutan di wajah munculkan diri. Kala itu pandangan mereka bertaut.


“Nak hasil terbaik, perlu buat yang terbaik.”


Apa sebentar tadi Hawa tidak memberi yang terbaik? Dia telah memberi senyuman paling manis dia ada. Mustahil untuk gagal. Jurugambar pun puas hati dengan apa yang dia persembahkan.


“Sean…” Hawa mahu buat bantahan kerana kerjasama dia sedang dipertikaikan.


Sebaliknya, Sean palingkan wajah. Mula memandang ke arah kamera semula. Tentunya kerutan Hawa semakin dalam. Sean sengaja mengelak selepas mencetus provokasi.


“Tolong bagi pose yang terbaik. Untuk tatapan anak-anak nanti.”


Belum cukup 24 jam, Sean sudah bangkitkan hal anak. Sedangkan di pihak Hawa pula tidak sabar-sabar nak heret Sean ke bilik untuk disoal siasat. Sepatutnya Adam yang menikah dengan dia. Bukannya Sean.


Baru saja bibir atas dan bawah Hawa terpisah, jari telunjuk Sean mengetuk lembut pipi kanannya.


“Cepat! Abang photographer dah lapar.”


Kelip-kelip Hawa pandang Sean. Tak percaya lelaki ini tergamak menyuruh dia melakukan aksi terlarang biarpun ada sengketa yang masih belum diselesaikan antara mereka.


“Ramai tunggu giliran nak bergambar dengan kita.”


“Ini ugutan atau paksaan?” Hawa gagal menahan diri daripada bertanya. Sehabis baik dia mengawal kemarahan, biarpun ada getaran pada suara dia.


Sean menoleh. Lama dia berbalas renungan sebelum bersuara.


“Buat dengan seikhlas hati…InsyaAllah tak akan timbul isu kena ugut atau paksa.”


Hawa rasa dia baru saja ditampar dengan kata-kata pak ustaz versi Sean. Ada banyak persoalan berlegar-legar di dalam kepala dia. Sampaikan dia rasa sedang bermimpi. Masih belum percaya bahawa Sean itu adalah suaminya. Terasa seperti sedang menonton drama melayu dimana Sean itu ibarat bidan terjun yang menggantikan tempat Adam bagi menutup malunya.


Namun segala persoalan tersebut gagal diluahkan. Dia masih terpinga-pinga lagi. Dalam terpinga-pinga, tetap saja dia menurut seolah-olah sudah dipukau oleh suami sendiri.


Elok saja bibir dia menyapa pipi kasar Sean, suara orang-orang keliling mula berbunyi. Bunyi kamera itu bersepah-sepah. Masing-masing enggan melepaskan peluang keemasan merakam aksi terlarang yang baru saja berlangsung.


“You are rude, Sean!” Bisik Hawa dipinggir telinga Sean setelah selesai menunaikan permintaannya.


Dia mengharapkan wajah serba salah Sean, sebaliknya lelaki itu kekal tenang. Malah tangan kekarnya selamba memaut pinggang dia supaya lebih rapat.


Secara refleknya, Hawa ikut senyum. Mula membiasakan diri dalam mengabdikan gambar-gambar supaya nampak sempurna dan tiada cacat celanya. Dalam hati, dia berharap sesi bergambar cepat selesai. Ada urusan yang jauh lebih penting menanti dia.




DUDUK Hawa tiada diamnya lagi. Puas dia mengukur keluasan bilik. Puas juga dia duduk dan bangun. Tumpuan diberikan sepenuhnya di muka pintu. Setiap kali penantian dia menemukan kehampaan, setiap kali itulah dia mengeluh.


Jika diikutkan hati, mahu saja Hawa bertanyakan langsung pada emak. Namun niat itu terpaksa dikuburkan buat masa ini memandangkan emak masih sibuk melayani tetamu.


Bunyi daun pintu dibuka dari luar menggamit Hawa. Detak jantung dia tidak keruan. Hilang terus semua keberanian yang dia kumpul sebentar tadi.


Mulalah Hawa menyumpah seranah dirinya apabila gagal mengeluarkan suara setelah orang yang dinanti-nantikan telah munculkan diri. Mata dia hanya mampu melihat setiap pergerakkan Sean yang langsung tidak kekok. Seolah-olah sudah terbiasa berada di dalam bilik dia.


“Aw…”


Hawa gigit bibir. Kekok mahu mengelar Sean apa.


“Abang.”


Kelip-kelip Hawa pandang Sean. Terkejut Sean tiba-tiba menyebut abang.


“Saya prefer awak panggil abang.”


Maaf. Ada bantahan dari pihak Hawa. Baru kelmarin mereka berdua menggunakan kau dan aku. Sekarang dia perlu memanggil Sean abang? Tidakkah terlalu mendadak?


“Slowly…nanti sayang akan terbiasa.” Sean tenang meletakkan songkok di atas meja solek.


Oh, tidak! Sean sudah melebih-lebih dengan memanggil Hawa sayang pula. Dia tidak setuju! Panggilan itu hampir buat dia pitam.


“Sayang nampak tak sabar nak mulakan sesi perbincangan dari hati ke hati.”


Hawa teguk liur. Dia masih sibuk memerhatikan Sean sedang membuka butang baju satu persatu. Tahu-tahu saja, tubuh lelaki itu hanya dibaluti sehelai singlet putih tanpa lengan. Perlahan-lahan Sean mendekat. Setiap langkahnya hampir membuatkan peluh Hawa mahu tumpah.


“Okey, kita boleh mulakan. Abang dah sedia.”


Berkerut dahi Hawa. Bincang apanya kalau Sean dengan selamba rebahkan badan atas katil. Mata pula terpejam rapat. Takut sesi perbincangan tidak akan bertahan lama jika Sean selamat belayar ke lautan mimpinya.


“Sepatutnya Adam suami sayang. Bukannya abang.” Lancar saja sebutan Hawa. Dan disebabkan kelancaran itulah dia mula gelabah sendiri. Apa lagi terpandang Sean yang tersenyum senget.


“Siapa Adam? Abang tak kenal dia.” Tenang Sean bertanya. Tidak terkesan langsung dengar nama lelaki lain.


“Sayang pun tak kenal abang. Kita baru kenal sebulan.” Pangkah Hawa.


“Tapi kita dah berjanji nak kahwin.” Sean betulkan apa yang Hawa tertinggal. Mata dia masih terpejam rapat.


Jatuh sepasang bahu Hawa bila soal janji dibangkitkan lagi. Sememangnya dia kalah teruk apabila isu tersebut dibahaskan.


“Lupakan cerita lama. Fokuskan macam mana kita nak tempuh hari-hari akan datang sebagai suami isteri.”


Bukan senang nak tempuh hari esok dan seterusnya kalau ada dosa yang mengejar rapat. Dosa dia terhadap Adam.


“Kita perlukan strategi memandangkan kerja abang tak menentu.”


Serabut Hawa jadinya. Dia tak faham apa maksud Sean. Apa Sean sedang mengajak dia berperang dengan kerja-kerjanya? Maaf! Dia sendiri tidak tahu apa pekerjaan Sean.


“Sayang tak nak terlibat dengan strategi abang.” Perbualan mereka sudah jauh menyimpang. Sedangkan segala persoalan Hawa masih lompong.


Sean bangkit dari perbaringan. Dia duduk bertentang dengan Hawa yang mula gugup.


“No excuse! Dua-dua kena terlibat. Kalau tak macam mana abang nak ada waris?”


Bahang teruk muka Hawa. Ini bukan strategi yang dia mahu dengar. Membayangkan kejadian itu pun dia mahu pengsan, apa lagi melaksanakan.


“Sebab sayang betul-betul belum kenal abang. Dan sayang masih belum faham, kenapa abang? Kenapa bukan Adam yang datang hari ni?” Senafas Hawa suarakan.


“Mungkin abang muncul sebab nak balas dendam kena tinggal hari tu? Dan jangan cakap abang ada niat nak jual sayang! Betul tak?” Hawa mula melalut. Lupa janji. Lupa yang dia tak sepatutnya menuduh.


Sean mendekat. Meninggalkan jarak mereka hanya beberapa inci saja. Bahkan, Sean sedang mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya. Barulah timbul rasa menyesal dek kelancangan Hawa menuduh. Takut Sean bakal mengeluarkan senjata api lalu melancarkan ugutan kerana dapat membaca niat jahat suaminya.


“Kalau sayang dah tahu siapa abang sebenarnya…Sayang akan dengar cakap abang tanpa sebarang bantahan?”


Rasa nak hempuk kepala ke dinding. Sepatutnya Hawa geleng. Tapi dia salah tingkah.  Turun naik kepala dia.


“Semua sekali?”


Sekali lagi Hawa gagal menolak. Elok saja dia mengangguk kepala.


“Good! Pastikan tak ada limit. Abang nak seramai yang mungkin.”


“Nak apa?” Tanya Hawa bingung. Tak faham sebenarnya.


“Anak.”


Ya tuhan! Jika tidak dikira sebagai dosa, izinkan Hawa hempuk kepala Sean supaya berhenti merepek. Percakapan Sean terlalu terbuka dan tidak sesuai dibahas waktu genting begini.


“Abang puas hati dengan respon sayang. Tenang, tak cepat melatah walaupun muka berkerut teruk.”


Hawa ada satu lagi penambahan. Dia berharap mengutuk suami sendiri di dalam hati tidak akan menambahkan dosanya.


“Disebabkan respon sayang yang baik, abang dengan senang hati perkenalkan diri…”


“Nama abang, Adam Lee Sean…Umur 33 tahun. Baru menikah setengah jam yang lalu. Pernah bercinta lima kali sebelum menikah. Dan abang seseorang yang sangat bertanggungjawab.” Selesai saja memperkenalkan diri, Sean menghulur sekeping kad sama saiznya dengan kad pengenalan kepada Hawa.


Tercengang sejenak Hawa. Dalam dia masih terkesima, huluran Sean tetap saja disambut. Dan dalam banyak-banyak perkara yang disebut Sean, hanya satu yang dia inginkan pengesahan daripada tuan punya badan supaya tidak salah mendengar.


“Ulang balik.” Pinta Hawa dengan suara gagap.


“Mana satu? Abang dah lupa.”


“Yang pertama.”


Terangkat sepasang kening Sean. Cuba mengingati ayat pertamanya semula.


“Nama abang.” Ujar Hawa tidak sabar bila Sean seperti cuba melengah-lengahkan masa. Sedangkan dia sudah tidak sabar untuk mendengar buat kali keduanya.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.