Home Novel Cinta Sindiket Cinta
Sindiket Cinta
awa
3/9/2024 10:15:04
10,687
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

REAKSI Ayana dan Hawa jauh berbeza. Lihat saja wajah bersinar Ayana. Bak bulan purnama yang digilai ramai. Senyuman tidak lekang dari bibir. Berseri-seri mengalahkan pengantin.


Bebeza dengan Hawa yang ibarat baru saja mengalami kerugiaan berjuta-juta ringgit dalam perlaburan saham. Gelisah tak tentu hala. Punggung pun terasa panas. Terasa seperti sedang dikejar pengutip hutang. Habis keadaan sekeliling diteroka sebagai langkah berjaga-jaga.


“Relaks Hawa! Kau nak takut apa? Aku ada.”


Pujukan Ayana ditepis oleh hati Hawa. Hati dia tidak mampu nak dipujuk. Lebih parah, segala pujukan Ayana tidak mampu menenangkan dia jiwanya lagi. Dia masih resah gelisah.


Sepuluh jari disulam kemas. Terasa seram sejuk. Terasa ada hal buruk yang bakal terjadi kelak. Hal yang akan membuatkan dia menyesal seumur hidup. Entah kenapa dia boleh ada firasat seperti itu.


“Mak ayah kau percayakan aku. Apa lagi kau nak risau, Hawa?”


Kerlingan Hawa singgah pada Ayana yang sibuk skrol telefon pintarnya. Sedikit pun tidak hairan dengan pemandangan sekeliling. Seolah-olah sudah terbiasa dengan perjalanan jauh sebegini. Hanya Hawa yang nampak jakun dengan dunia luar.


“Tak payah takut. Dapat je duit, hilanglah rasa takut kau tu nanti.”


Sejujurnya, Hawa mula bosan dengar cerita berlandaskan wang. Ayana tidak sudah-sudah momokkan dia dengan cerita berkisarkan wang ringgit. Sampaikan saban hari dia terlalu asyik memikirkan tentang wang. Tidak pernah sekali pun tidak memikirkannya.


Diam setelah itu. Hawa lebih selesa membuang pandangan ke luar tingkap. Cuba meredakan segala kekusutan di kepala. Dalam diam-diam juga Hawa cuba memujuk hatinya yang gundah-gulana dengan mengingat ayat-ayat pembakar semangat Ayana sejak beberapa hari ini. Dipujuk hati andai satu hari nanti dia punya rezeki menjadi seperti Ayana, dapat dia bayangkan betapa bangganya orang tuanya kelak.


Teringat kejadian kelmarin, Ayana ada datang ke rumah. Mujur saja Hazirah sudah pulang ke ibu kota. Tidak dapat Hawa membayangkan bagaimana Ayana bakal diusir oleh kakaknya jika Ayana muncul sehari lebih awal.


Kedatangan Ayana disambut baik orang tuanya. Dilayan selayaknya sebagai tetamu walaupun ada kisah hitam terjadi antara mereka. Emaklah orang yang paling ramah bertanyakan itu dan ini. Kegembiraan emak tidak bertahan lama apabila Ayana menyuarakan tujuannya ke sini. Awalnya, emak bangkang sekeras-kerasnya. Atas alasan Hawa itu seorang perempuan. Tak sesuai bekerja jauh-jauh. Apalagi di negara orang.


Semua keresahan emak dijirus dengan janji Ayana yang kononnya akan menjaga dia dengan baik. Sebagai jaminan, Ayana akan bertanggungjawab sekiranya terjadi sesuatu terhadap dirinya.


Atas dasar campur tangan pengarah keluarga iaitu ayah, emak akhirnya akur biarpun terpaksa. Berbekalkan pujukan ayah juga emak tandatangan borang kebenaran secara lisan membenarkan Hawa merantau di negara orang demi meraih gelaran jutawan.


Kini Hawa dalam perjalanan demi merealisasikan impiannya untuk menjadi orang kaya baharu. Yang duitnya tidak habis dipakai. Yang dapat menggembirakan hati emak dan ayah. Yang boleh diharapkan. Dan paling penting, Hawa akan pastikan mata kakaknya tersembul keluar melihat kekayaan yang akan dia bawa pulang kelak.


Memikirkan hal itu, tanpa sedar Hawa mengukir senyuman. Tidak sabar untuk sampai ke destinasinya. Kepala dilentokkan pada pintu. Mata terpejam rapat. Akhirnya Hawa terlelap menempuh perjalanan sangat jauh demi sebuah kekayaan yang dia dambakan.


Dalam meraikan kegembiraan yang belum pasti disebalik mata terpejam rapat, ada rasa sedih bila wajah comel milik Ayra menyapa. Sempat Hawa mencium wajah di kecil itu sebelum bertolak. Rasa berat hatinya mahu meninggalkan Ayra yang dikira rapat juga dengan dia. Namun apakan daya, dia tetap perlu pergi demi mengutip kembali maruah dia.


Hampir satu jam terlelap, Hawa celik mata. Bingkas bangun. Mata galak dia mula memerhati sekeliling. Takut dia sudah pun sampai ke destinasi tanpa disedari.


Ketika itu kereta dinaiki mereka baru saja melintasi sebuah sign board. Mengecil mata Hawa ketika cuba membaca bahasa asing yang tertulis pada papan tanda tersebut.


“Aya…Ni bukan dekat Singapura.” Wajah Ayana dicari setelah memastikan apa dibaca itu bukannya bahasa ibunda Singapura. Bahasa yang terakam di kepala lain benar bentuk rupanya.


Ayana jatuhkan tangan di atas riba. Tidak lagi fokus pada telefon. Sebaliknya, dia berpaling menatap Hawa yang nampak sangat keliru. Sangat teruk kerutan di wajah sahabat baiknya itu.


“Sorry. Last minit tukar plan.”


Hampir bertaut sepasang kening Hawa. Tak faham. Ikut perancangan asal, dia ditawarkan bekerja di sebuah hotel lima bintang di bandaraya Singapura dengan gaji 2000usd sebulan.


“Hotel dekat Singapore penuh. Jadi terpaksa transfer kau dekat Bangkok. Kau okey kan?”


Kelip-kelip Hawa pandang Ayana. Padanlah saat akhir mereka berdua tidak jadi menaiki kapal terbang. Menurut Mr Kelvin selaku pihak atasan, mereka akan menaiki kereta terus ke destinasi. Mr Kelvin jugalah orang yang bertanggungjawab menanggung segala perbelanjaan semasa dalam perjalanan ke sana. Terasa kurang sedikit bebanan. Tak perlu susah payah memikirkan kos pengangkutan lagi.  


“Tapi kau jangan risau! Mr Kelvin janji akan up gaji. Semua kebajikan kau sebagai pekerja ditanggung beres.” Lengan Hawa disentuh bagi meyakinkan sahabatnya yang nampak risau.


Lega hati Hawa mendengarnya. Sudahlah dia datang hanya berbekalkan wang seratus ringgit. Itupun tak tahu berapa lama dia akan dapat bertahan dengan duit yang sedikit itu. Terpaksalah dia catu perbelanjaan sampai menunggu gaji pada hujung bulan nanti.


“Mr Kelvin up 2500usd!” Kata Ayana lagi. Bercahaya wajah dia. Tumpang gembira dengan kemurahan hati pihak atasan.


Kenaikkan itu berhasil membentuk senyuman di wajah Hawa. Cukup lebar. Cukup mengubati keresahan dia sepanjang perjalanan. Bersyukur kerana dipertemukan orang-orang yang sangat pemurah mahu berikan dia gaji sebanyak itu. Sempat dia titipkan doa semoga satu hari dapat berjumpa empat mata dengan lelaki pemurah bernama Kelvin itu. Mahu berterima kasih kepadanya.


Selepas lapan jam menempuh perjalanan tanpa henti, mereka berdua tiba juga di sempadan negara gajah. Sebaik saja selesai urusan dengan pihak imigresen Thailand, mereka berdua dibenarkan berehat selama lima belas minit sebelum bertukar dengan kereta lain. Ada lagi lapan jam perlu dia tempuh sebelum dia tiba di daerah Mae Sot. Itu destinasi seterusnya yang disebutkan Ayana selaku pemandu pelancong dia hari ini.


Perjalanan kali ini Hawa langsung tidak rasa mengantuk. Matanya terasa segar setelah disogok dengan wang yang sangat lumayan bagi rakyat marhaen seperti dia. Wang adalah segala-galanya demi meneruskan kelangsungan hidup dan kalis segala tohmahan. Lebih-lebih lagi jika tohmahan tersebut datangnya dalam kalangan keluarga sendiri.


Pandangan Hawa terhala pada jalan raya yang lurus. Sesekali lirikan dia singgah pada lelaki yang menjadi pemandu mereka. Lelaki itu hanya berdiam diri. Tidak bersuara hatta sepatah pun. Kebisuannya meranapkan niat dia ingin beramah mesra dengannya. Dia kembali merenung ke jalan raya.


Kegusaran Hawa yang hampir hilang kini datang kembali. Jalan raya yang tadinya mempunyai tiga lorong bertukar menjadi dua lorong. Dalam sekelip mata mereka sudah melalui jalan yang hanya mampu memuatkan sebuah kenderaan.


Tadinya pemandangan dia disapa bangunan-bangunan di kiri dan kanan jalan. Kini apa yang menyapa irisnya adalah hutan tebal yang tingginya bermeter-meter hampir mencecah langit.


Suasana gelap menyelubungi sepanjang perjalanan mereka. Ada rasa takut yang mula menjalar ke seluruh tubuh. Rasa seram sejuk bila tiada satu kereta pun sepanjang menempuh lalun hutan tersebut.


“Aya…Kita sesat ni.” Luah Hawa perlahan. Lengan digosok bagi meredakan ketakutannya yang kian meraja.


“Mana ada sesat. Betullah jalan ni.”


Menoleh Hawa. Bangunan hotel sudah jauh tertinggal di belakang mereka. Sini bukan hotel. Tetapi hutan belantara! Apa Ayana sudah tidak tahu membezakan bangunan hotel dan hutan?


“Aku tak rasa ada hotel dekat sini, Aya. Baik kau cakap dengan driver tu yang dia dah sesat.” Hawa masih cuba bersangka baik. Kerlingan dia singgah pada pemandu kereta yang tenang memandu.


“Sabar okey? Sikit lagi kita akan sampai…Sekejap je lagi.”


Jika ada cahaya, Hawa yakin Ayana dapat betapa teruknya kerutan di wajah dia ketika ini. Mustahil ada hotel di sini. Kalau ada sekalipun, Hawa yakin tidak akan maju. Syarikat hotel bakal mengalami kerugian teruk kerana mendirikan hotel di tengah-tengah hutan begini.


“Tu…Kita dah sampai.” Ayana segera menyimpan telefon di dalam beg semula. Tumpuan dia terhala pada hujung jalan.


Kurang berpuas hati dengan respon Ayana yang sengaja memesongkan cerita. Namun Hawa enggan memanjangkan cerita. Dia turut memandang ke arah yang sama. Tiada bangunan tinggi yang menyapa. Yang ada hanya cahaya lampu daripada kereta. Disebalik pantulan cahaya ada sebatang sungai yang tidak pasti berapa besarnya.


Sayup-sayup Hawa terdengar bunyi bot. Semakin lama, semakin jelas. Dan tidak lama selepas itu, bot tersebut berhenti betul-betul di depan matanya.


“Jom, turun!”


Ayana tidak teragak turun dari kereta. Sedangkan Hawa sudah berpeluh satu badan. Takut melihat orang-orang yang serba hitam datang menghampiri.


Elok saja kaki Hawa jejak ke tanah, tubuh dia ditolak kasar hingga dia jatuh melutut ke atas tanah. Belum sempat bangkit, sesuatu yang keras ditekan tepat pada pelipisnya. Membuatkan dia pegun sejenak.


“Don’t move!”

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.