Home Novel Cinta Sindiket Cinta
Sindiket Cinta
awa
3/9/2024 10:15:04
10,694
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

SEGALA persiapan Hawa serahkan pada emak dan kakaknya. Mereka lebih pakar dalam bab pengurusan memandangkan tempoh masa yang diberikan oleh pihak lelaki terlalu singkat. Takut jika dia turun padang, semuanya serba tidak kena di mata mereka.


Hari ini Hazirah tawar diri menjadi pemandu emak untuk menjemput saudara-mara terdekat pada majlis akad nikah kelak. Majlis resepsi pula akan berlangsung seminggu kemudiannya disebabkan pengantin lelaki ada urusan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Urusan apa, kena tanya pada tuan badan sendiri.  


Dikesempatan ini Hawa gunakan untuk keluar mengambil angin. Rasanya terlalu lama dia berkurung. Pesan emak supaya tidak keluar dari rumah sehingga majlis selesai, diabaikan. Lagipun dia hanya keluar di sekitar taman berdekatan dengan rumah, tak jauh mana pun. Dan dia akan pastikan dia pulang awal supaya tidak tertangkap.


Lima belas minit berjalan, barulah peluh mula keluar dari seluruh badan. Dahi diseka dengan tuala kecil yang melilit di leher. Mungkin sebentar lagi Hawa akan berpatah balik. Punyalah berjalan sampai tak sedar rupanya dia sudah ke taman seberang. Agak jauh dari kawasan taman perumahan dia.


Takut emak dan kakaknya pulang, bising pula mereka. Nanti mulalah emak mengungkit dia sudah melanggar adat. Boleh bernanah telinga dengar setiap bebelan emak. Itupun belum lagi kakak dia turut serta. Silap haribulan dia perlu berjumpa dengar pakar telinga gara-gara mengalami gangguan pendengaran.


“Hawa!”


Langkah Hawa terbata. Tidak hanya langkah, pergerakkan tangan dia juga kaku. Hilang semua bayang emak dan kakaknya.


“Kau ke tu?”


Suara itu berjaya mengepam jantung Hawa cukup laju. Sehinggakan seluruh tubuh dia terasa lumpuh. Wajahnya pucat lesi. Peluh yang hilang mula tumbuh bak cendawan semula.


“Kau Hawa kan?”


Suara itu berbunyi lagi. Semakin kerap. Disusuli pula dengan derapan kaki sehingga berjaya membuatkan Hawa tidak keruan. Mahu berlari, kaki dia bagai digam oleh suara tersebut. Ada aura yang menyampaikan supaya dia kekal di situ.


“Memang kau.”


Ada bayang berhenti di depan Hawa. Kepala diangkat. Pandangan dia bertemu dengan raut wajah yang sangat tenang. Ada senyuman tergaris di bibir. Hanya dia yang gagal membalas senyumannya.


“Sean…” perlahan saja suara Hawa. Hampir-hampir tidak terluah.


Semakin lebar senyuman Sean. Ingatkan Hawa sudah tidak mengenali dia lagi. Apa lagi melihat reaksi Hawa yang seperti terserempak hantu. Tubuh kecilnya jelas-jelas menggigil. Mungkin kesan trauma daripada kejadian lalu masih tersisa.


“Kau masih ingat aku, Hawa.”


Kekok senyuman Hawa. Masakan dia lupa. Sean yang membanting tulang menyelamatkan dia dari neraka itu. Bahkan dia berhutang nyawa dengan Sean.


“Kau buat apa dekat sini?” Dia melarikan pandangan. Tertanya-tanya akan kemunculan Sean di sini.


“Aku duduk situ.” Sean mengerling ke kanan.  


Teruk kerutan di wajah Hawa. Tiga perkataan itu menimbulkan banyak persoalan di dalam kepala. Bahkan dia merenung Sean dengan muka setengah percaya. Berharap bahawa lelaki ini mungkin sedang bergurau.


“Rumah family aku…Aku je baru pindah sini”


Hawa ikut sama memandang ke tempat yang sama. Semakin dalam kerutan dia. Sejak bila Sean tinggal sini? Bertahun-tahun menjadi penghuni taman, belum pernah lagi dia terserempak dengan Sean?


“Mana family kau? Tak nampak pun.” Akhirnya Hawa luahkan soalan. Dalam waktu yang sama dia cuba mengelak bertembung mata dengan Sean. Itu merupakan pilihan selamat. Dia lemas. Resah. Takut pun ya. Takut ada isu berbangkit keluar dari mulut lelaki ini.


“Dia orang tak ada.”


“Oh!” Dia sudah hilang modal bersembang. Tak tahu apa lagi ayat yang sesuai untuk menghilangkan rasa kekok antara mereka.


“Aku balik dulu.”


Sumpah! Ini cara paling kuno pernah Hawa lakukan demi larikan diri. Bukan tak nampak tumpuan Sean itu seratus peratus terhadap diri dia. Apa lagi melihat Sean seolah-olah tidak sabar mahu muntahkan soalan.


“Urusan kita belum selesai, Hawa.”


Awal-awal lagi niat Hawa sudah dikekang. Tubuh tinggi Sean menjadi tembok supaya rancangan dia melarikan diri gagal.


“Keadaan kau semakin baik.” Sepasang mata dia tidak jemu meratah wajah kalut Hawa. Luka-luka di wajahnya juga sudah hilang sepenuhnya. Perubahan ini yang dia mahukan. Dia mahu Hawa sihat.


“Alhamdulillah…” Hawa benar-benar kehilangan ayat. Ayat berjela-jela Sean dibalas kebisuan ataupun sepatah-sepatah.


Terima kasih kepada bebelan emak yang membuatkan Hawa tidak culas menempel ubat mengikut waktu disaran supaya lukanya cepat sembuh. Hawa memberi senyuman janggal bila tiada perbualan tercipta antara mereka berdua setelah itu.


“Kau tak nak tanya keadaan aku?”


Tentunya Hawa mahu. Terlalu banyak yang ingin dia bertanyakan kepada Sean. Tetapi takut semua soalan bakal dia utarakan bakal menjerat diri.


“Aku dah sihat, Hawa.”


Ya. Dari luaran Sean nampak sihat. Dalaman tiada siapa yang tahu. Hanya Sean dan Allah saja yang tahu. Tapi entah mengapa firasat dia kuat mengatakan Sean itu tidak sihat. Ada sisi lain yang belum ditonjolkan untuk tatapan dia. Sisi yang mampu menggerunkan sesiapa pun yang melihatnya.


Hawa teguk liur sekali. Itu pun belum mampu meredakan tekaknya yang kering kontang bak gurun sahara.


“Kau tak rasa jodoh kita kuat?”


Senyuman Hawa tersasar dari landasan bila perbualan Sean sedang menuju ke arah kisah lalu mereka.


“Aku perlu pulang Sean…Takut orang tua aku risau.” Balik-balik orang tuanya dijadikan alasan. Boleh dikatakan hampir semua perkara dia akan jadikan orang tuanya sebagai tujuan dia melarikan diri.


“Sebelum tu." 


Peluh Hawa tak sempat mengering dengar ayat separuh-separuh Sean.


"Aku nak tuntut janji kita.”


Belum sempat Hawa buka langkah, Sean sudah buka mulut tentang hal yang dia takutkan. Sepuluh jari dikepal bagi menghilangkan rasa gugup.


“Janji? Kau mabuk agaknya Sean.” Besar harapan Hawa yang Sean tidak akan ungkit janji tersebut.


“Aku tak mabuk...Kau dah berjanji nak kahwin dengan aku sebaik saja aku berjaya bawa kau lari dari sana.”


Hampir putus nafas Hawa mendengar ayat senada Sean yang sarat dengan ketegasan. Ada amaran terselit disetiap bait-bait bicaranya sehingga memaksan dia mencari wajah Sean.


“Sekarang aku nak tuntut janji aku.” Tegas Sean. Serius. Tiada langsung kompromi.


“Sean…Dengar.” Hawa tidak tahu dari mana dia mahu mulakan ayat. Semuanya serba tidak kena.


“Cakap saja bila, nanti aku akan hantar rombongan. Lagi cepat, lagi bagus.”


Alangkah bagusnya jika Hawa mampu mengekang semua rancangan Sean. Akan dia bidas dengan segala alasan yang mampu diterima akal supaya Sean lupakan janji mereka. Sayangnya, akal dia gagal berfungsi dengan baik sejak bertemu dengan Sean lima belas minit lalu.


“Sean, semua ni salah…”


Tajam renungan Sean. Karakter Sean berubah seratus-peratus. Sedia mahu menelan Hawa hidup-hidup sekiranya dia silap memilih ayat.


“Apa yang salah?” Suara Sean tanpa jiwa. Seluruh tumpuan diberikan Hawa yang berkali-kali mengelak pandangan matanya.


“Agama kita berbeza Sean.” Sehabis lembut Hawa bersuara. Enggan menambahkan lagi kemarahan lelaki di depannya.


“Apa bezanya? Aku islam, kau pun islam.”


Tak berkedip Hawa mendengar pengakuan tidak terjangka Sean. Bermati-matian dia menyangka Sean itu bukan seagama dengan dia.


“Ayah aku cina, mak aku bugis melayu. Ayah aku masuk islam bila kahwin dengan mak aku. So, aku memang islam sejak lahir lagi.”


Oh, tuhan! Alasan pertama Hawa gagal. Sepatutnya dia selidik habis-habisan.


“Apa lagi?” Sean berpeluk tubuh. Sedia mendengar alasan Hawa seterusnya.


“Risau keluarga kau tak dapat terima aku?” Tebak Sean bila nampak Hawa gagal mencipta alasan lagi.


“Biar aku jumpa dan yakinkan dia orang aku mampu jaga kau seumur hidup aku.”


“Mana rumah kau? Tunjuk pada aku.” Sean pusing-pusing. Tercari-cari di mana letaknya rumah keluarga Hawa bila tiada jawapan.


Laju gelengan kepala Hawa bila Sean mula melangkah.


“Jangan, Sean!”


Mendadak Sean berhenti, lantas dia menoleh. Hampir saja tubuh kecil Hawa melanggar dia. Dalam keadaan dekat begini, dapat dia melihat dengan jelas betapa takutnya Hawa bila dia nekad mahu berjumpa dengan orang tuanya.


Selangkah Sean mara. Ada yang tak kena. Firasat dia kuat mengatakan ada sesuatu yang Hawa sembunyikan.


“Kau ada orang lain, Hawa?”


Hawa angkat muka. Bibir dia bergerak-gerak mahu mengeyakan. Sayangnya, sejak dari tadi dia gagal untuk jujur.


“Kau mungkir janji, Hawa.”


Sean salah faham. Kalau dia tahu Sean masih hidup, bermati-matian dia akan perjuangkan janji mereka.


“Putus dengan dia.” Arah Sean serius. Tinggi harapan dia Hawa akan patuh.


“Tak boleh, Sean.” Tersekat-sekat suara Hawa. Tiada niat dia mahu menyakitkan hati Sean yang suci itu.


“Kenapa?” Urat-urat leher Sean mula timbul. Dia marah besar pada Hawa. Setelah apa dia lakukan, sewenang-wenangnya Hawa mencampak dia begitu saja.


“Kita orang akan kahwin lusa Sean.” Akhirnya Hawa jujur. Tidak mahu terus-terusan menyakiti hati Sean.


Nafas ditarik dalam-dalam. Fahamlah mengapa Hawa tidak mampu bertentang mata dengannya. Lebih faham mengapa Hawa beralasan bila janji dituntut.


“Kau bahagia dengan dia?”


Sejujurnya, Hawa lebih bahagia jika bakal suaminya Sean. Dia tahu hati murni Sean. Sayangnya, kejujuran itu sekadar di dalam hati. Tidak mampu diluahkan.


“Fine!” Berkali-kali Sean angguk kepala. Faham maksud disebalik kebisuan Hawa.


“Doa banyak-banyak majlis kau bakal berjalan lancar. Takut nanti bakal suami kau akan mati dibunuh.”


Usai saja memberi ancaman, Sean berlalu masuk ke dalam rumah. Panggilan Hawa tidak dihiraukan. Tiada apa lagi yang perlu dia bincangkan lagi. Antara mereka berdua sudah tamat

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.