Home Novel Cinta Sindiket Cinta
Sindiket Cinta
awa
3/9/2024 10:15:04
9,124
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

EMAK tidak senang duduk. Seharian Hawa berkurung di dalam bilik. Risau jika anak bongsunya melakukan perkara yang bukan-bukan kerana marahkan dia.


“Macam mana mak?”


Emak menoleh. Pandangan dia bertaut dengan Hazirah yang baru muncul setelah dikhabarkan keadaan Hawa. Ada rasa menyesal yang menyapa kerana telah menjodohkan Hawa tanpa persetujuan empunya badan terlebih dahulu.


“Dia masih tak keluar dari bilik.” Adu emak dengan wajah sugul.


“Mak risau Azi.” Kata emak lagi setelah Hazirah mengambil tempat di sisinya.


“Kalau Hawa cuba bunuh diri macam mana? Sampai bila-bila mak takkan maafkan diri mak.”


“Astaghfirullahalazim…Bawa mengucap mak!” Terlalu jauh pemikiran emak.


“Kita orang membesar sama-sama…Didikan agama kami cukup. Azi kenal Hawa. Dia takkan buat benda-benda macam tu.” Tegas Hazirah.


“Mak jangan fikir bukan-bukan. Nanti Azi akan pergi tengok keadaan Hawa.” Pujuk Hazirah bila emak nampak serba salah.


“Hawa marah sebab kita jodohkan dia dengan orang yang dia tak kenal, Azi.”


Memang tidak dinafikan, hal tersebut yang menjadikan Hawa kembali ke dirinya yang asal. Adiknya sedang melancarkan mogok supaya mereka tolak pinangan tersebut.


“Hawa tak marah. Mak tolong percayakan Azi.” Hazirah cuba meyakinkan emak. Bahu emak disentuh. Cuba menyalurkan semangat emak yang hilang.


“Apa kata kita batalkan semua ni? Nanti mak dengan ayah cuba bincang dengan pihak lelaki.”


Laju Hazirah geleng kepala. Tak setuju.


“Dah terlambat mak.”


Jatuh sepasang bahu emak. Kecewa kerana gagal menyelamatkan masa depan anak bongsunya. Rasa menyesal tidak henti-henti datang bertandang.


“Mana mungkin kita akan berpatah balik, mak?” Suara Hazirah mula mengendur.


“Mak dah bagi pihak lelaki harapan. Apa kata keluarga sebelah lelaki nanti?” kata Hazirah lagi. Tak mahu emak buat keputusan melulu. Perkara ini melibatkan banyak pihak. Banyak maruah dan hati perlu dijaga.


“Mak…” Kedua bahu emak disentuh. Memaksa emak mengangkat muka. Pandang muka dia.


“Mak dah jumpa dia. Dah soal siasat dia…Dan dia lulus dengan cemerlang semua ujian untuk jadi calon menantu mak.”


Bibir atas dan bawah emak terpisah. Mahu bersuara. Namun tidak terluah.


“Mak tak percayakan dia?” Tebak Hazirah.


“Mak percaya dia.” Jujur emak. Hati tuanya yakin dengan pilihan dia. Yang dia tidak yakin adalah penerimaan Hawa.


“Azi pun baru balik cari baju nikah dia orang. Semua benda dah sedia…Azi tak rasa dia main-main. Dia sungguh-sungguh nak Hawa jadi isteri dia.” Hazirah boleh nampak niat pihak pengantin lelaki. Wajahnya cukup bercahaya.


“Nanti kita cuba pujuk Hawa ya mak.” Perlahan-lahan tangan Hazirah turun lalu menggenggam erat sepuluh jari emak. Dia sendiri akan turun padang ketika sesi memujuk satu-satunya adik dia.


Lambat-lambat emak angguk kepala. Lega sedikit hati tuanya. Sempat hati tuanya berdoa semoga anak bongsunya lembut hati menerima calon suami pilihan mereka.


“Hawa belum makan?”


Emak geleng kepala. Sejak dari pagi dia belum nampak bayang Hawa. Berjumpa dengan Hawa pun tak berani. Takut dia akan kalah dengan pujuk rayu Hawa supaya batalkan pernikahan yang akan berlangsung kurang dari sebulan.


“Azi jumpa dia.”


Belum sempat Hazirah angkat punggung, tangan emak menegah.


“Jangan marah atau tekan dia sangat.” Pesan emak. Takut Hawa memberontak dan lari dari rumah. Cukuplah sekali Hawa pergi bersama Ayana.


“Mak jangan risau.” Senyuman dititipkan bagi mengusir jauh kegusaran emak. Biarpun tidak sebulu, dia yakin dengan kuasa vetonya sebagai kakak sulung akan mampu membuatkan adiknya akur.


Tiga kali ketukan, barulah Hawa memberi respon. Suara Hawa tidak seperti selalu. Suaranya tidak berjiwa. Lemah. Penuh keterpaksaan.


“Siapa?”


Sayup-sayup Hazirah terdengar suara dari dalam.


“Ni kak long.” Sengaja dia tinggikan suara. Biarpun Hawa tahu akan kehadirannya.


Sepi. Tiada lagi suara Hawa. Tiada juga tanda-tanda Hawa akan buka pintu. Jadi dia putuskan untuk mengetuk pintu bilik. Biar roboh pun tak mengapa.


Belum sempat buku lima menyapa daun pintu, terdengar bunyi dari dalam lalu pintu bilik terbuka luas. Wajah Hawa terus menyapa irisnya.


“Kak long bawa Ayra?” Mata Hawa tercari-cari kelibat Ayra. Faham sangat dengan kedatangan Hazirah ke sini. Tak lain tak bukan, nak jadikan dia pengasuh kepada si kecil itu.


“Ayra tak datang…Abang Adnan ada jaga dia.”


Mengecil sepasang mata Hawa. Jadi, ada apa Hazirah ke sini? Dia jadi tertanya-tanya sendiri.


“Kak long nak jumpa Hawa.”


Sebaris ayat Hazirah sudah menjemput rasa kurang senang dalam diri dia. Dapat dia rasakan apa yang ingin dibincangkan nanti.


“Hawa nak rehat.” Sengaja dia berikan alasan untuk mengelak. Tangan ingin mengatup pintu. Tak mahu diganggu.


Tangan Hazirah lebih pantas menahan. Tubuh kecil Hawa terdorong sedikit ke belakang. Tidak menjangka mungkin dengan tindakan dia.


“Sampai bila Hawa nak mengelak? Kalau tak hari ni, esok pun kak long akan datang. Ada hal penting yang kak long nak bincangkan.”


Hawa hela nafas berat. Rasanya, tiada apa yang perlu dibincangkan jika mereka semua sudah sepakat. Keputusan terletak di tangan mereka. Hanya dia yang disisihkan. Keputusan dia tidak penting dan tidak menjejaskan sedikit pun keadaan.


Biarpun marah, Hawa beralih. Memberi laluan kepada Hazirah masuk ke dalam.


“Kak long nak bincang pasal majlis Hawa.”


Sebaik saja pintu tertutup rapat, Hazirah terus bersuara. Mata tidak lari dari memandang Hawa yang duduk dibiraikan katil. Dia lebih selesa berdiri sambil berpeluk tubuh.


“Hawa bukan orang penting…Tak guna kita berbincang.”


Sudah dapat menduga reaksi Hawa. Awal-awal lagi Hazirah sudah menyediakan beberapa lapisan kesabaran sebagai benteng pertahanan supaya kalis dengan setiap serangan adiknya.


“Hawa marahkan kak long.”


Baguslah kalau Hazirah sedar. Mujur rasa marahnya masih terkawal. Takut dia akan menjadi adik yang derhaka nanti.


“Kak long minta maaf.”


Hawa tak perlukan permohonan maaf Hazirah. Apa yang dia perlukan adalah penarikan semula keputusan yang telah Hazirah buat. Dia sudah berjanji dengan Sean. Biarpun Sean telah mati, dia tidak boleh mungkir janji. Sean tidak suka orang munafik.


“Tapi jangan marahkan mak…Mak tak salah dalam hal ni. Kak long yang bagi cadangan nak Hawa kahwin. Dan kak long juga yang carikan calon suami Hawa.” Tegas Hazirah. Rela dirinya dipersalahkan.


Biarpun bernanah telinga dengar semua ayat-ayat Hazirah, dia mengambil pendekatan hanya tunduk bermain sepuluh jari. Enggan bertentang mata dengan kakaknya.


“Sekali lagi kak long minta maaf…Tapi kak long nak yang terbaik buat adik kak long.”


Sudah masanya Hawa bersuara. Hazirah gagal membaca isi hati dia. Dirinya sedang didesak supaya menerima bakal suaminya dengan hati terbuka sedangkan hati dia milik orang lain.


“Kak long tak terima sebarang bantahan. Keputusan kak long tak akan berubah. Majlis tetap akan berlangsung sama ada Hawa suka atau tidak. Kak long tak nak ayah dan mak tanggung malu.”


Hazirah bersuara lagi. Meranapkan terus niat Hawa ingin membuat bantahan secara besar-besaran. Kepala diangkat, bersabung mata dengan kakaknya. Redup saja renungan Hazirah, tidak garang seperti selalu sehingga dia hilang susunan ayat.


Kerusi yang ada di meja solek ditarik. Kini Hazirah duduk bertentang dengan Hawa. Sepuluh jari adiknya diraih lalu digenggam erat. Berharap dapat memindahkan semangat yang ada dalam diri dia kepada Hawa.


“Tolong jangan kecewakan mak dan ayah.”


Hati Hawa disimbah dengan rayuan Hazirah. Perlahan-lahan suara lembut kakaknya cuba memadamkan api kemarahan dia yang sedang marak sebentar tadi.


Bagaimana dia dapat melupakan kekecewaan emak ketika menyambut dia pulang tempoh hari? Betapa luluhnya hati dia melihat emak menitiskan air mata setelah sekian lama. Terasa dia merupakan anak derhaka dan tidak mengenang budi langsung.


“Kak long kejam kan?” Sempat Hazirah berseloroh. Wajah keruh adiknya menjemput rasa simpati dia.


Ya. Hawa akui, terkadang kakak sulungnya memang kejam. Sampaikan dia pernah terfikir mahu larikan diri dari rumah. Tak tahan dengan setiap kawalan ketat kakaknya. Semua perkara dalam radarnya. Tiada kebebasan. Ke mana-mana pasti perlu berteman.


Namun harus dia akui juga semua itu ada hikmahnya. Allah sudah pun memberi teguran kepada dia kerana cuba-cuba memberontak. Percubaan berani mati bagi membuktikan dia mampu berdikari tanpa ahli keluarga telah menemui kegagalan teruk.


“Disebabkan Hawa dah buat muka kesian…Kak long nak buat u-turn. Kak long takkan paksa Hawa lagi. Keputusan akak serahkan pada Hawa sepenuhnya.”


Selepas menjemput rasa serba salahnya, tergamak Hazirah nak buat u-turn? Kakaknya sengaja tinggalkan dia dalam keadaan tersepit. Tak tahu keputusan apa yang terbaik ketika ini.


“Betul ni?” Tebak Hawa.


Hazirah mengerdip mata sekali. Timbul kesedaran dalam diri bahawa paksaan tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikkan. Cukup selama ini dia memaksa. Dia tahu apa yang Hawa suka dan tidak suka. Nanti-nanti dia karang ayat magis supaya emak tidak kecewa. Sekurang-kurangnya dia berjaya membuat adiknya tersenyum kembali.


“Hawa terima dia kak long."


Hazirah geleng kepala. Kurang senang mendengar gurauan adiknya.


“Jangan bergurau Hawa." Dia perlukan kepastian. Takut telinga dia salah mendengar.


“Siapa pun pilihan mak dan kak long, Hawa terima.”


Keputusan dia bulat setelah menemukan petunjuk di dalam solatnya. Kegembiraan mereka semua jauh lebih bermakna dari kesedihan dia. Tidak mengapa jika dia berduka kerana mungkir janji pada Sean. Kelak dia akan berdoa pada Allah supaya Sean memaafkan dia.


Perlahan-lahan Hawa nampak Hazirah mengukir senyuman. Sebelum berlakunya kebocoran air mata, tubuh kakaknya ditarik ke dalam pelukan. Didakap erat.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.